Ahad, 14 Jun 2009

Subsidi bagi nelayan, petani dikaji semula

Oleh Zatul Iffah Zolkiply


LUMUT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengkaji semula pemberian subsidi atau insentif untuk petani dan nelayan bagi memastikan negara mendapat pulangan daripada peningkatan produktiviti dan mengelakkan penyalahgunaan.

Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata pihaknya menerima aduan mengenai penyalahgunaan subsidi dan insentif seperti penyalahgunaan subsidi minyak untuk nelayan tidak dinikmati oleh golongan sasar.

"Kita akan mengkaji semula prosedur pemberian memandangkan pemberian subsidi dan insentif yang diberikan kepada mereka tidak lagi berkesan. Sebagai contoh subsidi minyak. Walaupun hasil ikan tidak seberapa, tetapi mereka masih memohon subsidi. Ada antara mereka menjual minyak kepada orang lain.

"Tujuan kerajaan untuk membantu mereka, tetapi saya lihat pemberian sesetengah subsidi dan insentif tidak lagi berkesan. Dalam insentif ternakan seperti ayam kepada golongan sasar bagi mereka memulakan penternakan, bantuan diberikan itu disalahgunakan sama ada dijual kepada pihak lain.

"Subsidi dan insentif itu seharusnya berupaya membantu mereka untuk terus bertahan dan melebarkan lagi perniagaan," katanya selepas Sesi Penerangan Petunjuk Prestasi Utama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Swiss Garden Golf Resort & Spa di sini, kelmarin.

Antara subsidi dan insentif disediakan kerajaan ialah Skim Subsidi Baja Padi Kerajaan Persektuan, Subsidi Harga Padi, Subsidi Pengilang Beras, subsidi Beras Sabah dan Sarawak, Skim Subsidi Diesel Nelayan dan Skim Subsidi Petrol Nelayan.

Noh berkata, sebanyak RM600 juta subsidi minyak diperuntuk kepada nelayan tahun ini kerana mereka hanya perlu membayar RM1.20 bagi seliter petrol berbanding harga pasaran RM1.80 dengan subsidi RM0.60.

Beliau berkata, selain subsidi minyak dan pemberian sampan, golongan nelayan turut menerima elaun sara hidup RM200 sebulan bagi meringankan beban mereka.

Tiada ulasan: