Khamis, 18 Jun 2009

Sisters in Islam digesa dekati ulama

UTUSAN ONLINE


SEPANG - Pertubuhan Sisters in Islam (SIS) digesa mengubah cara pendekatan dengan lebih mendekati ulama bagi mengelakkan kekeliruan tentang kefahaman mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pertubuhan itu perlu merujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sekiranya melibatkan isu pelaksanaan dan pentadbiran atau Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) jika membabitkan bidang kehakiman.

''Sebagai sebuah pertubuhan Islam, adalah lebih baik SIS mengambil pendekatan dengan mendekati pihak-pihak berkenaan terutama berkaitan isu hukum dan fatwa iaitu merujuk kepada institusi kefatwaan.

''Jadi dengan cara itu kita boleh mewujudkan satu suasana harmoni berbanding cara mereka yang mengambil langkah konfrantasi yang akan mengundang reaksi keras daripada pelbagai pihak," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan teks al-Quran di sini hari ini.

Wan Mohamad mengulas pendirian SIS yang tetap mahu meneruskan perjuangan untuk menuntut keadilan dan kesaksamaan hak bagi wanita Islam walaupun berhadapan dengan pelbagai kontroversi.

Menurut beliau, pendirian SIS itu tidak sesuai diperjuangkan apabila mereka cuba menyuarakan isu-isu yang diperjuangkan oleh pihak luar tetapi menggunakan nama Islam.

''Pendirian itu seolah-olah tidak membela orang Islam atau kepentingan agama Islam yang sendirinya boleh mencacatkan wajah SIS sendiri.

''Perubahan ini (pendekatan dengan ulama) masih belum dimulakan oleh mereka tetapi diharap ia boleh digerakkan oleh pimpinan SIS yang baru," katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, SIS sebenarnya terpengaruh dengan gerakan wanita dunia kerana mahu menyamakan kebebasan wanita mengikut pandangan mereka.

''Mereka sendiri tidak mengkaji secara mendalam kedudukan wanita yang diberi oleh Islam maka dengan itu mereka ikut pendapat-pendapat luar sehingga ada yang bertentangan dengan Islam," katanya.

Tiada ulasan: