Jumaat, 19 Jun 2009

Royalti minyak Kelantan modal utama PR

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Isu royalti minyak Kelantan dipilih sebagai salah satu modal utama kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai bulan hadapan.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata, pihaknya memilih isu tersebut kerana percaya ia mampu memberi kesan kepada penduduk untuk terus menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, menurut laporan Jabatan Perangkaan dari 2006 hingga 2008, jelas mencatatkan terdapat empat negeri di Malaysia yang terlibat dengan industri petroleum.

Katanya, kerajaan pusat sering memberikan alasan bahawa tiada industri petroleum di Kelantan, tetapi laporan Jabatan Perangkaan mengatakan bahawa terdapat empat negeri mempunyai industri petroleum dan Kelantan salah satu daripadanya.

“Dalam laman web Petronas juga jelas menunjukkan terdapat enam telaga minyak beroperasi di negeri ini iaitu GDP blok 17, GDP blok 18, Cakerawala, Bintang, Kekwa dan Labi.

“Oleh itu kenapa hanya :Sabah, Sarawak dan Terengganu sahaja yang mendapat royalti minyak? Sepatutnya sejak 2004, Kelantan sudah mendapat sebanyak RM500 juta jika royalti sebanyak lima peratus,” katanya kepada Sinar Harian di Lobi Parlimen.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang turut menjelaskan ia satu penipuan oleh kerajaan pusat.

“Adakah Jabatan Perangkaan silap? Hentikan kenyataan tidak tepat, jika tidak sila padam maklumat dalam Jabatan Perangkaan yang menyebut wujudnya industri petroleum di Kelantan,” katanya.

Tiada ulasan: