Isnin, 8 Jun 2009

PKA tolak Exco Selangor jadi ahli lembaga pengarah

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) menolak hasrat kerajaan campuran Selangor untuk meletakkan Exconya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam agensi itu.

Kerusi Ahli Lembaga Pengarah yang diperuntukkan untuk wakil kerajaan negeri itu sebaliknya kekal diisi oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Datuk Noordin Sulaiman.

Pengerusi PKA, Datuk Lee Hwa Beng berkata, pihaknya mengambil keputusan itu selepas kontrak pelantikan Nordin dilanjutkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan untuk mengekalkan Nordin sebagai ahli lembaga pengarah akan dimaklumkan kepada kerajaan negeri secara bertulis kelak.

''Saya berpendapat tidak perlulah kerajaan negeri meletak seorang Exco sebagai ahli lembaga pengarah kerana pelantikan Nordin telah disambung oleh Menteri Pengangkutan.

''Lagipun Nordin juga boleh berkomunikasi terus dengan Menteri Besar untuk menyampaikan sebarang maklumat atau perkembangan tentang PKA atau projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

''Seperkara lagi, kerajaan negeri juga telah mempunyai seorang lagi wakil dalam Port Klang Free Zone Sdn. Bhd. iaitu Norazmie Biron yang juga dari UPEN," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai hasrat Selangor untuk meletakkan seorang Exconya sebagai ahli lembaga pengarah PKA yang bertujuan memantau semua projek pembangunan di Pelabuhan Klang termasuk projek PKFZ.

Menurut Hwa Beng, PKA akan sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri dan beliau sendiri sedia berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada bila-bila masa jika diperlukan.

Sementara itu di Kuala Selangor, Abdul Khalid ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Hwa Beng berkata, terpulanglah kepada PKA dan agensi itu perlu menulis surat kepada kerajaan negeri untuk memaklumkan keputusannya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri berpendapat adalah lebih baik meletakkan seorang Exco daripada Pengarah UPEN supaya komunikasi antara kerajaan negeri dan PKA lebih efektif dan sebarang keputusan dapat dibuat lebih cepat.

''Lagipun ini bukan perkara baru kerana sebelum ini pun kerusi tersebut pernah diisi oleh Exco (Barisan Nasional)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Bersama Rakyat Bersama Menteri Besar di Dewan Orang Ramai, Sungai Buloh, Jeram petang ini.

Antara perancangan kerajaan negeri yang diumumkan beliau kepada rakyat pada program tersebut ialah membaik pulih masjid lama di Jeram yang telah berusia hampir 100 tahun untuk keselesaan jemaah.

Khalid juga mengumumkan yang kerajaan negeri akan memperuntukkan RM7 juta untuk membaik pulih masjid tersebut, membina lampu jalan dan parit di kawasan Mukim Jeram bermula di Jalan Raja Abdullah yang merupakan tempat kelahirannya.

Kerajaan negeri juga akan menyemak semula permohonan pemilikan tanah oleh penduduk Selangor untuk diberikan kepada mereka yang layak secara berkelompok.

Tiada ulasan: