Selasa, 23 Jun 2009

Perhimpunan Secara Aman Tidak Perlu Disekat :Khalid

TV SELANGOR


Pihak berkuasa tidak perlu menghalang perhimpunan secara aman kerana ia tidak menjejaskan ketenteraman awam, katanya Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim.

Mengulas tindakan pihak polis dan FRU yang menghalang majlis makan malam anjuran ahli parlimen DAP Klang, Chales Santiago, malam tadi, beliau berkata tindakan itu adalah tidak wajar.

"Jika perhimpunan itu tidak menjejaskan keamanan dan memberi kesan kepada masyarakat ia sepatutnya boleh dilakukan," katanya.

Difahamkan, majlis yang dijangka dihadiri 3,000 orang itu bertujuan mengumpul dana untuk parti.

Bagaimanapun, polis mengepung tapak majlis makan malam itu dan merampas peralatan pembesar suara yang digunakan.

Menteri Besar berkata, beliau dimaklumkan permit yang diberi oleh pihak polis, telah ditarik balik pada saat-saat akhir.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada media selepas merasmikan perhimpunan bulanan kakitangan awam anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pagi ini.

Beliau berkata, polis harus bertimbangrasa dan membenarkan perjumpaan secara terbuka yang tidak mengancam keamanan dan keselamatan rakyat.

"Saya berharap pihak polis lebih bertimbangrasa kerana banyak majlis yang menghimpunkan ramai orang seperti kenduri kawin tetapi tidak memerlukan permit boleh dilakukan, kenapa majlis makan malam tidak boleh."

Dalam perkembangan lain, Tan Sri Khalid berkata, Kerajaan negeri masih meneruskan usaha mencegah kebakaran di kawasan-kawasan tanah gambut seperti Johan Setia dan Jalan Kebun, yang menjadi antara punca jerebu di negeri ini.

Tiada ulasan: