Selasa, 23 Jun 2009

Perangi ah long - Hishammuddin

Oleh ROHANI IBRAHIM


KUALA LUMPUR - Pinjam RM3,000 bayar balik RM35,000. Faedah yang dikenakan ah long tidak boleh diterima akal.

Keadaan ini menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengisytiharkan perang ke atas ah long hari ini.

Beliau menegaskan, fenomena ah long tidak boleh diterima sama sekali apalagi dibiarkan menular kerana ia adalah jauh daripada nilai ketimuran.

''Saya beri amaran sekeras-kerasnya kepada ah long. Saya nyatakan dengan tegas di sini bahawa saya mengisytiharkan perang terhadap ah long.

''Mana ada manusia yang tergamak meletakkan bunga dan faedah begitu besar berganda-ganda dan selepas itu ugut keluarga dan sanak-saudara peminjam. Saya tidak faham hendak buat duit pun janganlah secara itu. Apa sudah jadi dengan budaya kita,'' soalnya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa keluarga mangsa ah long di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Jelas beliau, dalam membanteras masalah ah long, pihak polis sudah berjumpa dengan mangsa-mangsa ah long selain mengenalpasti kawasan-kawasan panas ah long serta industri di mana mereka bergiat aktif.

''Daripada perjumpaan dengan keluarga mangsa ah long tadi dan maklumat yang diberikan pihak polis, saya dapati punca masyarakat meminjam wang daripada ah long adalah pelbagai.

''Ini termasuklah berjudi, menagih dadah dan melangsaikan hutang. Saya tidak boleh membantu mangsa membayar hutang namun saya akan pastikan ah long tidak mengeksploitasikan mangsa dengan pelbagai ugutan,'' katanya.

Hishammuddin menambah, ah long turut mengugut saudara-mara dan adik-beradik mangsa jika mangsa gagal membayar hutang.

''Keluarga mangsa ah long yang tidak berdosa terpaksa berdepan dengan manusia rakus dan ganas yang akan ambil kesempatan ke atas mereka.

''Akhirnya mereka terpaksa berdepan dengan keadaan yang tidak boleh dimaafkan,'' katanya.

Dalam sidang akhbar yang sama, Hishammuddin turut menyatakan komitmen untuk melawat kawasan-kawasan 'panas' di seluruh negara dan beliau tidak akan memilih kawasan tertentu sahaja.

''Jalan Haji Taib merupakan kawasan panas pertama yang saya lawati. Saya akan turun padang untuk melihat kawasan panas lain untuk menyaksikan sendiri suasana dan keadaan di situ.

''Daripada lawatan ke Jalan Haji Taib hari ini saya dimaklumkan oleh peniaga di kawasan ini mengenai masalah ketiadaan balai polis dan masalah yang menjejaskan perniagaan mereka iaitu kekurangan tempat letak kereta,'' katanya.

Hishammuddin menambah, antara pendekatan yang akan diambil kira dalam menempatkan sebuah balai polis di Jalan Haji Taib adalah menyewa premis tertentu, mewujudkan balai polis bergerak atau balai komuniti.

Tiada ulasan: