Selasa, 23 Jun 2009

Ong: Tiada guna bertegang urat dengan Kit Siang

MALAYSIA KINI


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata tiada gunanya beliau bertegang urat dengan Lim Kit Siang mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kerana mendakwa soalan-soalannya yang dibangkitkan, menunjukkan "pemimpin DAP itu tidak fahamkan isu yang diperkatakan".

Di samping itu, kata beliau yang juga presiden MCA, Lim juga asyik membangkitkan soalan-soalan yang sama setiap hari.

Sehubungan itu, beliau mendakwa Lim cuba menyembunyikan kebenaran dan terus mengelirukan Dewan Rakyat dan orang awam mengenai isu PKFZ.

Menulis dalam blognya hari ini, Ong berkata, Lim telah mengganggu penyampaian kenyataan menteri (Ong) dengan menuduhnya tidak merujuk kepada keputusan kabinet pada 23 Oktober 2002 bahawa tanah di PKFZ dibeli pada harga yang rendah RM10.16 sekaki persegi.

Sebaliknya, kata Ong, apa yang Lim sengaja tidak sebut ialah keputusan pada 23 Oktober itu, telah diganti dengan keputusan kabinet yang bermesyuarat pada 6 November 2002.

Malah, katanya, hansard Parlimen bertarikh 4 September 2007 dengan jelas mencatatkan bahawa keputusan kabinet pada 2 Oktober 2002 untuk membeli tanah terbabit pada harga RM25 sekali persegi, masih sah atas sebab-sebab yang telah disebut dalam kenyataannya di Parlimen.

"Kit Siang tahu mengenainya. Malah, beliau turut menyertai perbahasan pada 4 September 2007. Beliau juga turut menyiarkan petikan dari hansard itu dalam blognya pada hari berikutnya. Dan namun begitu, beliau memilih untuk menyembunyikan fakta penting ini dari pengetahuan umum demi gimik politik untuk menyelamatkan karier politiknya," katanya.

Menurut Ong lagi, beliau telah berusaha supaya keseluruhan laporan mengenai PKFZ diumumkan kepada rakyat serta memperjelaskan isu tersebut melalui media.

Katanya, sebuah lamanweb - www.pkfznews.com.my - juga diwujudkan untuk kemudahan umum, "malah saya sendiri berdiri di Parlimen semalam untuk menjawab semua soalan mengenai PKFZ dan ditambah lagi dengan menyampaikan kenyataan menteri (mengenainya)".

Sebenarnya, kata Ong, bukanlah begitu sukar untuk memahami isu-isu berkaitan dengan PKFZ dan usaha-usaha yang diambil untuk mendapatkan kepakaran bagi memulihkan projek tersebut.

"Walaupun kita mahu mereka yang bersalah dihukum, (tetapi) saya ingin ulangi bahawa PwCAS, pasukan petugas PKA dan saya, tidak boleh menjadi pendakwa, hakim dan pelaksana hukuman.

"Satu laporan telahpun dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). (Jadi), adalah terlalu awal untuk mengulas mengenai siasatan mengenainya, kecuali berkata kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM," tulis Ong.

Tiada ulasan: