Selasa, 23 Jun 2009

MEASAT-3a berjaya dilancarkan

Daripada HERMAN HAMID


MOSCOW – Selepas enam jam 25 minit dilancarkan di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, satelit Asia Timur Malaysia yang keempat atau MEASAT-3a berjaya memasuki ruang orbit seperti yang dijadualkan petang ini.

Berita kejayaan itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Operasi Measat Satelitte System Sdn. Bhd. (Measat), Paul Brown-Kenyon pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Demodedevo di sini petang ini.

Ia merupakan detik kritikal dalam pelancaran sesebuah satelit apabila ia berpisah dengan kenderaan pelancarnya kerana kejayaan tersebut akan memastikan kejayaan operasinya kelak.

Rombongan meliputi kira-kira 50 orang jemputan dan wakil media dari Malaysia menunggu penuh debaran sama ada pelancaran itu mampu mengikut jadual setiap peringkat pemisahan roket berkenaan yang mengambil masa enam jam 25 minit.

Sea Launch merupakan perkhidmatan pelancaran antarabangsa bertanggungjawab terhadap pelancaran MEASAT-3a.

Sebelum itu delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berada di Baikonur awal pagi ini bagi menyaksikan pelancaran roket yang membawa MEASAT-3a.

Baikonur adalah tapak pelancaran yang digunakan oleh angkasawan Rusia, Yuri Gagarin pada 1961 untuk menjadi manusia pertama sampai ke angkasa lepas.

Pelancaran MEASAT-3a dilakukan mengikut jadual pada pukul 3.50 pagi (5.50 pagi waktu Malaysia) dalam keadaan cuaca yang baik.

Sebaik saja kenderaan pelancar Zenit-3SLB meluncur ke angkasa, anggota delegasi Malaysia bersorak gembira memerhatikan dari dek terbuka.

Walaupun berada dalam kedudukan empat kilometer daripada roket itu dilancarkan, rombongan Malaysia termasuk lima pelajar cemerlang dapat melihat dengan jelas kerana cuaca yang cerah.

Seperti dijangka, perjalanan roket yang membawa satelit itu mengambil masa enam jam 25 minit minit sejauh lebih 35,000 kilometer dari bumi sebelum memasuki orbit pada pukul 10.15 tengah hari (12.15 petang waktu Malaysia).

“Segalanya mengikut jadual dan Measat berbangga misi ini akhirnya berjaya,” kata Brown sambil mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan teknikal Measat dan syarikat yang terlibat dengan pelancaran ini.

Menurut beliau, apabila MEASAT-3a mula beroperasi pada penghujung Julai kelak, sektor telekomunikasi negara khususnya akan memperoleh manfaat besar dengan kemampuan satelit ini.

‘‘Bagi pihak syarikat pula sudah tentu ia akan mengembangkan lagi perniagaan sekali gus mengukuhkan Measat sebagai pemain utama di rantau ini,” jelasnya.

MEASAT-3a yang mempunyai jangka hayat selama 15 tahun dibina oleh Orbital Sciences Corporation of Dulles yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat.

Satelit seberat 2.417 tan itu akan bertindak sebagai pelengkap kemampuan MEASAT-3 yang mempunyai capaian liputan ke lebih 100 negara yang mewakili lebih 70 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

MEASAT-3a direka bentuk dengan 12 transponder C-band berkuasa tinggi dan 12 transponder Ku-Band berkuasa tinggi untuk menyokong peningkatan perniagaan terus ke rumah (DTH), penyiaran dan telekomunikasi Measat.

Dengan liputan Ku-Band di Malaysia dan Indonesia serta pancaran C-Band yang meliputi lebih 100 negara mewakili 70 peratus penduduk dunia, satelit berkenaan akan menyokong pertumbuhan syarikat dalam bidang perniagaan penyiaran dan telekomunikasi.

Pada 12 Disember 2006, MEASAT 3 turut dilancarkan di Baikonur manakala dua satelit yang terdahulu iaitu MEASAT-1 dan MEASAT-2 dilancarkan di Pusat Angkasa Guiana (CSG) Arianespace di Kouru, French Guiana pada 13 Januari 1996 dan 13 November 1996.

Sementara itu, turut menyaksikan pelancaran bersejarah itu ialah Timbalan Duta Malaysia ke Rusia, Abdul Razak Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa, Naib Presiden Orbital Sciences, L. Lewis dan Pengarah Intelset Corporation, Brian S. Sing.

Tiada ulasan: