Selasa, 16 Jun 2009

KL kemuka 13 nota bantahan diplomatik

Pihak Indonesia didapati ceroboh Laut Sulawesi

Oleh Saufi Hamzah


PUTRAJAYA: Malaysia sudah mengemukakan 13 nota bantahan diplomatik kepada Indonesia berhubung aktiviti pencerobohan oleh pihak negara jiran itu di Laut Sulawesi yang dituntut kedua-dua pihak termasuk yang terbaru pada 30 April lalu.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, berkata Malaysia akan terus menggunakan nota bantahan diplomatik berkaitan aktiviti pencerobohan Indonesia sehingga sempadan maritim di antara kedua-dua negara di kawasan Laut Sulawesi itu dimuktamadkan.

Katanya, Malaysia merujuk kepada kawasan pertikaian sebagai Laut Sulawesi dan bukan Ambalat kerana Ambalat secara khususnya merujuk kepada blok konsesi cari gali minyak dan gas Indonesia.

Media massa Indonesia pula menggunakan istilah Ambalat untuk mengaitkan isu tuntutan bertindih dengan isu minyak dan gas.

"Sejak 2007, Malaysia sudah mengemukakan 13 nota bantahan diplomatik kepada Indonesia berhubung aktiviti pencerobohan pihak Indonesia di Laut Sulawesi," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis anugerah perkhidmatan cemerlang kementerian itu di Wisma Putra, petang semalam.

Terdahulu, pada majlis berasingan, Anifah menyerahkan surat pelantikan sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Asean kepada Datuk Hsu King Bee. Hsu, bekas Wakil Tetap Malaysia ke Geneva akan berkhidmat selama dua tahun di Sekretariat Asean, Jakarta berkuat kuasa 3 Julai depan.

Anifah diminta mengulas mengenai isu maritim di antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi apabila media negara jiran itu mendakwa kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menceroboh perairan itu.

Wisma Putra turut meminta semua agensi penguatkuasaan mengemukakan laporan lengkap berhubung pencerobohan kapal penguatkuasaan Indonesia kepadanya.

Mengenai keputusan pembebasan dua rakyat Malaysia dari pusat tahanan Teluk Guantanamo, Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, Wisma Putra masih menunggu hasil siasatan Jabatan Negara AS berhubung perkara itu.

"Kita yakin selepas siasatan tamat, Amerika Syarikat akan menyerahkan dua tahanan itu kepada Malaysia. Saya tidak dapat beritahu bila tapi Amerika bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Dua rakyat Malaysia terbabit ialah Mohd Farik Amin atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir Lep atau Bashier Lep (Lillie) yang ditahan di sana sejak 2003.

Tiada ulasan: