Isnin, 22 Jun 2009

Kerajaan akan umum tambang baru teksi

BERITA HARIAN ONLINE


JOHOR BAHRU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menyerahkan kepada kerajaan untuk mengumumkan tambang baru teksi dalam tempoh terdekat ini, selepas berpuas hati dengan kajian dan semakan kadar baru tambang pengangkutan awam itu.

Pengerusinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata pengumuman itu akan dilakukan sama ada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

"Buat masa ini, apa yang saya boleh maklumkan yang semua kajian serta cadangan mengenai semakan terhadap tambang teksi sudah siap dan diterima LPKP serta kita menyerahkan kepada kerajaan untuk mengumumkannya dalam tempoh terdekat ini," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-14 dan Pelancaran Teksi Koperasi Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru yang turut dihadiri Pengerusi koperasi berkenaan, Mahmud Ahmad.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan bersetuju menaikkan tambang bas henti-henti dan ekspres dengan menjadikan surcaj 30 peratus yang dikenakan pada musim perayaan sebagai kadar tambang baru dengan menyaksikan kenaikan sebanyak 10 sen.

Difahamkan, pengumuman mengenai kenaikan tambang teksi yang kali terakhir dilakukan pada 2005 akan dilakukan selewat-lewatnya, akhir bulan ini.

Halimah berkata, LPKP sudah memperoleh semua kajian dan cadangan daripada jabatan serta kementerian berkaitan dalam penyemakan semula kadar tambang teksi.

Sementara itu, Halimah berkata, kerajaan berusaha untuk menyediakan pengangkutan awam bertaraf antarabangsa kepada rakyat dengan pengenalan pelbagai insentif serta dasar bagi membantu pemandu teksi bagi membolehkan mereka terus meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Antara langkah yang diambil adalah dengan meluluskan perlanjutan had usia teksi daripada tujuh kepada 10 tahun bagi membolehkan penggunaan kenderaan berkenaan dimaksimumkan sepenuhnya berbanding pembiayaan pinjaman yang perlu ditanggung pengusaha," katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih ada pengusaha teksi yang mengambil jalan singkat dengan mengupah pendatang asing membawa teksi mereka hingga menyebabkan nyawa penumpang berada dalam keadaan bahaya berikutan tidak dilindungi insurans.

"Walaupun, perkara ini masih terkawal tetapi saya ingin memberi amaran kepada semua pengusaha teksi yang berbuat demikian bahawa LPKP tidak akan bertolak ansur untuk menarik permit mereka serta menyenaraihitamkan mereka daripada mendapat lagi permit teksi pada masa depan," katanya.

Halimah berkata, LPKP sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesan pengusaha teksi yang berbuat demikian dan usaha pemantauan akan ditingkatkan lagi pada masa depan terutama sekali membabitkan teksi dalam kawasan bandar raya.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa kerajaan akan memperbaiki semua terminal pengangkutan awam di seluruh negara dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat.

"Ia selaras dengan saranan Perdana Menteri supaya rakyat didahulukan dalam kita berusaha untuk membangunkan negara," katanya.

Tiada ulasan: