Rabu, 10 Jun 2009

Kedai runcit untuk siswazah: Noh

SINAR HARIAN


TANJUNG KARANG – Padi dan Beras Nasional Berhad (Bernas) akan membina 120 kedai runcit dinamakan `Safe More` melibatkan penyertaan siswazah yang berminat menceburkan diri dalam bidang perniagaan tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, pengumuman itu dibuat setelah Bernas mengadakan perbincangan dengan kementerian sekali gus dijangka mengatasi masalah kekurangan beras di negara ini.

Menurutnya, sehingga kini empat kedai runcit dibina di Shah Alam, Subang Perdana, Bukit Jelutong dan Bukit Tinggi Klang.

Katanya, Bernas merancang untuk membina sebanyak 300 kedai kedai runcit pada tahun 2011 dan sebanyak 3,000 kedai menjelang 2016.

“Apabila kedai runcit ini berjaya diwujudkan di seluruh negara kita berharap rakyat tidak akan menghadapi masalah mendapatkan bekalan beras terutamanya yang dikawal oleh kerajaan iaitu ST15.

“Kerajaan membelanjakan sebanyak RM183 juta dalam tempoh bulan Ogos hingga Februari tahun lepas. Ini bermakna dalam tempoh satu hari, kerajaan memberikan subsidi beras sebanyak RM 1 juta,” katanya kepada pemberita di majlis `Mesra Tani Sepetang Bersama Pesawah` di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai kedai runcit melibatkan siswazah, Noh berkata, Bernas akan melaksanakan sistem francais dengan membuka dan menyusun atur kedai runcit. sekali gus memberi peluang menguruskan kedai tersebut.

Menurutnya, siswazah yang berminat perlu mengikuti kursus selama enam bulan.

“Dengan ini Bernas telah membantu kerajaan dalam dua perkara iaitu memastikan bekalan beras cukup di seluruh negara dan memberi peluang kepada siswazah menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Kedai runcit `Safe More` bukan hanya menjual beras sahaja. Ia seperti mini market menjual pebagai barangan keperluan dan harian yang dibuat secara efisyen dan teratur,” katanya.

Tiada ulasan: