Isnin, 15 Jun 2009

Dakwaan salah laku wakil rakyat DAP ke SPRM lagi

MALAYSIA KINI


Ketua Bahagian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong mengemukakan empat aduan melibatkan dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat parti itu untuk kutipan derma ADUN Jawi kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Teh, yang tiba di perkarangan bangunan suruhanjaya itu di Jalan Sultan Ahmad Shah pada kira-kira pukul 12 tengah hari, berkata beliau mempunyai beberapa dokumen yang menyokong aduannya itu dan meminta SPRM mengadakan siasatan dengan segera, lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita di luar pagar bangunan tersebut, beliau berkata semua dokumen itu diserahkan kepada SPRM untuk membantu siasatan dan sekiranya tiada tindakan diambil, perkara itu akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam aduannya, Teh antara ain mendakwa wakil rakyat DAP itu Tan Beng Huat mengeluarkan surat kuasa kepada pembawa surat yang dilantiknya untuk mengambil alih semua dewan milik kerajaan, kuasa dan kewangan serta peralatan daripada semua pengerusi dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) dan kawasan Rukun Tetangga (KRT) di beberapa kawasan di Seberang Perai Selatan (SPS) berikutan pertukaran kepimpinan kerajaan negeri.

Teh mendakwa, surat bertarikh 7 April 2008 itu sebagai bukti penyalahgunaan kuasa oleh Tan yang hanya mengangkat sumpah jawatan sebagai ADUN pada Mei 2008.

Selain itu, Teh mendakwa Tan telah menggunakan kepala surat dan logo kerajaan Pulau Pinang untuk mengutip derma bagi sebuah tokong di Nibong Tebal tetapi wang itu dipercayai tidak diserahkan kepada kerajaan negeri.

Pada 10 Jun lalu, Teh membuat pendedahan yang menggemparkan mengenai kepincangan dalam DAP dengan membidas pucuk pimpinannya di Pulau Pinang yang didakwa gagal mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan salah laku terhadap wakil rakyat itu.

Teh dilaporkan mendakwa kepimpinan DAP terus membisu dan berdiam diri walaupun perbuatan wakil rakyat menyalahgunakan peruntukan RM2,000 untuk sebuah persatuan amal itu dimaklumkan kepada mereka lebih dua bulan lalu.

Guan Eng: Dibelanja sewajarnya

Berikutan pendedahan itu, DAP Pulau Pinang mengarahkan Tan menyerahkan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada setiausaha agung parti Lim Guan Eng, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, sebagai bukti bahawa kerajaan negeri mengamalkan konsep Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti (CAT).

Menurut agensi berita itu lagi, Lim hari ini berkata pihaknya telah menerima laporan awal daripada pegawai kewangan negeri Farizan Darus pada 12 Jun lalu mengenai dakwaan penyalahgunaan peruntukan berkenaan oleh wakil rakyat itu.

Daripada laporan itu, katanya dalam satu kenyataan, Jabatan Kewangan Negeri berpendapat bahawa peruntukan bernilai RM2,000 yang diberikan kepada Persatuan Amal Chin Chee Kok telah dibelanjakan dengan sewajarnya jika bekalan itu melibatkan sebuah penghawa dingin dan dua peralatan elektrik.

Katanya, berdasarkan laporan pesanan yang dikeluarkan pentadbir daerah SPS kepada syarikat pembekal, Northern Victory Enterprise, sememangnya terdapat bekalan sebuah peti televisyen dan peralatan DVD kepada persatuan itu.

Bagaimanapun, katanya, difahamkan sebuah penghawa dingin dibekalkan kepada persatuan itu melalui peruntukan RM2,000 itu dan Jabatan Kewangan Negeri masih menunggu pengesahan daripada Pejabat Daerah SPS mengenai tarikh peralatan elektrik itu dibekalkan.

Status penghawa dingin itu akan dimaklumkan sebaik sahaja laporan
mengenainya diterima oleh Jabatan Kewangan Negeri dan sampul kecil mengenai perkara itu diambil oleh SPRM pada 7 Mei lepas untuk membantu siasatan, lapor agensi berita itu.

Tiada ulasan: