Khamis, 4 Jun 2009

Dadah: Anak ahli politik didakwa

Oleh KHAIRI MOHAMAD


KOTA BHARU - Seorang anak pasangan ahli politik di negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memiliki pil kuda dan pil Eramin 5.

Irfan Ismail, 27, dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Setia Kasih, Wakaf Bata di Machang kira-kira pukul 1.30 pagi pada 23 Mei lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Mengikut kertas pertuduhan, Irfan dikatakan memiliki 1,050 biji pil kuda anggaran berat 105.6 gram dan pil eramin 5 dengan berat kira-kira 12 gram yang disyaki mengandungi dadah jenis Metaphetamine.

Pil tersebut dijumpai di dalam kereta milik tertuduh di hadapan sebuah rumah di Taman Setia Kasih, Machang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Tiada ulasan: