Rabu, 3 Jun 2009

Kayveas sedia bertemu Murugiah

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Datuk M Kayveas sedia bertemu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah untuk menyelesaikan isu `dua Presiden' dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan mengelak krisis itu berlarutan sehingga menjejaskan imej Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam, Kayveas bagaimanapun meminta Murugiah bersikap ikhlas untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan parti.

"Janganlah lagi terus menerus menjahanamkan imej parti BN. Jika dia jujur mengenai perpaduan parti, dia patut selesaikan masalah dan tidak menjadikan dirinya bahan lawak dan parti sebagai bahan jenaka," katanya.

Kayveas berkata, masalah itu boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak berjumpa dan berbincang sambil mendakwa Murugiah enggan berjumpa dan cuma bercakap kepada media serta orang luar parti.

"Bagaimana nak selesai, saya setiap masa ada di pejabat, lima hari seminggu dan sejak tak lagi berada dalam kerajaan, saya jaga ibu pejabat. Bila-bila masa boleh jumpa saya, tak ada halangan, ada nombor telefon dan saya tak mengelak daripada jawab semua panggilan.

"Jika nak, cakap dengan cara yang terhormat daripada buat drama dan isytiharkan dirinya Presiden. Saya harap dia tak jadi Yang di-Pertuan Agong, ini isyarat yang tak betul dan menghina ramai orang," katanya.

Kayveas juga berkata, beliau sedia dicabar mana-mana pihak bagi jawatan disandangnya pada Perhimpunan Agung parti 7 Jun ini bagi mengakhiri segala kemelut berhubung pucuk pimpinan tertinggi PPP.

Sementara itu, Murugiah ketika dihubungi semalam tetap mempertahankan bahawa beliau ialah Presiden PPP yang sah dan tidak akan mengiktiraf mesyuarat PPP peringkat negeri dan Perhimpunan Agungnya yang dijadualkan 7 Jun ini.

Tegasnya, perhimpunan agung luar biasa (EGM) Ahad lalu yang menyaksikan undi tidak percaya diluluskan bagi menyingkir Kayveas sebelum beliau mengambil alih jawatan itu, dibuat dengan sokongan sebulat suara perwakilan.

"Saya sudah serahkan segala dokumen penting kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung EGM yang diadakan di Putrajaya Ahad lalu dan terpulang kepada budi bicara mereka menentukan kesahihan," katanya.

Tiada ulasan: