Rabu, 10 Jun 2009

59 peratus guna perisian cetak rompak di Malaysia

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kajian mendapati 59 peratus perisian komputer yang digunakan oleh syarikat-syarikat di negara ini merupakan perisian cetak rompak.

Penggunaan perisian haram itu menyebabkan kerugian kira-kira AS$368 juta (RM1.3 bilion) kepada industri perisian tempatan.

Pengarah Kanan Business Software Alliance (BSA) Asia Pasifik, Tarun Sawney berkata, kadar penggunaan perisian cetak rompak di negara ini bagaimanapun lebih rendah berbanding purata di rantau Asia Pasifik iaitu 61 peratus.

''Kadar 59 peratus yang dicatatkan Malaysia pada tahun lalu merupakan yang paling rendah pernah dicatatkan oleh negara ini.

''Pada tahun 2007, Malaysia mencatatkan kadar perisian cetak rompak 59 peratus tetapi dengan nilai kerugian yang lebih rendah iaitu AS$311 juta (RM1.1 bilion),'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd. Roslan Mahayudin di sini hari ini.

Menurut Kajian Cetak Rompak Global 2008, negara Asia Pasifik yang mencatatkan kadar penggunaan perisian cetak rompak yang tinggi ialah Bangladesh (92 peratus), Sri Lanka (90 peratus), Pakistan (86 peratus), Indonesia (85 peratus) dan Vietnam (85 peratus).

Sawney berkata, penggunaan perisian tulen adalah digalakkan kerana ia memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi negara termasuk memberi kesan positif kepada keluaran dalam negara kasar.

''Jika kadar penggunaan cakera padat cetak rompak di Malaysia diturunkan ke 49 peratus pada empat tahun akan datang, ia dapat menjana 2,600 peluang pekerjaan baru serta meningkatkan perolehan cukai kerajaan,'' katanya.

Tambahnya, 663 syarikat dari negara ini telah berjaya menyertai program audit perisian BSA.

''Semua syarikat yang menyertai program audit kita akan bebas daripada tindakan penguatkuasaan kerajaan terhadap penggunaan perisian cetak rompak,'' katanya.

Menurutnya, BSA turut menyediakan ganjaran sehingga RM20,000 kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat mengenai mana-mana syarikat yang menggunakan perisian cetak rompak.

''Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 1-800-887-800, maklumat mengenai diri mereka akan dirahsiakan,'' katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, sejak awal tahun ini, pihaknya mengambil tindakan ke atas 24 syarikat tempatan yang menggunakan perisian cetak rompak.

''Hasil daripada serbuan yang dilakukan, kita menyita 96 komputer dan 1,287 salinan perisian cetak rompak dengan nilai pasaran RM3.6 juta,'' katanya.

Tambahnya, antara perisian yang dirampas ialah Microsoft Windows XP, Microsoft Windows Vista, Microsoft Windows Server, Microsoft Visual Studio, Microsoft Office, Adobe Acrobat, Adobe Illustrator, Adobe Photoshop dan Adode Dreamweaver.

Tiada ulasan: