Jumaat, 26 Jun 2009

5 nama disebut calon BN di Manek Urai

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Umno bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah, antara nama disebut sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini.

Beliau antara empat lagi nama termasuk seorang wanita yang layak mewakili BN bagi menghadapi Pas pada pilihan raya itu.

Menurut sumber, apa yang menarik jika Wan Zaid dipilih sebagai calon BN, ia akan mengembalikan sejarah kepemimpinan di DUN itu kerana arwah ayahnya, Wan Abdullah Wan Su juga adalah bekas wakil rakyat Manek Urai.

Cuma perbezaan ialah Wan Abdullah ketika itu menjadi wakil rakyat Pas selepas menewaskan calon BN, Husin Sulaiman pada pilihan raya umum 1978 yang menyaksikan Pas hanya memenangi dua kerusi iaitu Manek Urai dan Sering daripada 38 kerusi DUN Kelantan yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, calon dikatakan menjadi pilihan dan paling popular ialah Naib Ketua bahagian itu, Jalal Muda yang juga anak tempatan Manek Urai yang dilahirkan di Kampung Pahi.

Beliau yang bekerja sebagai Pegawai Seranta Felda dikatakan mendapat sokongan lebih 95 peratus di kalangan ahli Umno bahagian itu untuk menjadi calon BN yang juga disenangi rakyat kawasan itu.

Tiga lagi nama yang disebut ialah Ketua Pemuda bahagian, Tuan Aziz Tuan Mat; Ketua Wanita bahagian, Rohani Majid dan Abdul Ghani Mahmud yang dikatakan diletakkan dalam senarai calon simpanan.

“Jalal antara tokoh yang paling menonjol dan boleh diterima rakyat, manakala Wan Zaid sebagai ahli bekas Ketua Umno bahagian dan veteran Umno yang sudah lama menerajui bahagian Kuala Krai.

“Namun, apa penting pucuk pimpinan parti perlu membuat penilaian tepat memilih calon untuk menghadapi Pas, sekali gus memberi peluang kepada BN merampas kerusi DUN Manek Urai,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno berkata, calon BN yang akan bertanding pada pilihan kecil itu akan diumumkan oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Manek Urai, Ahad ini.

Tiada ulasan: