Rabu, 24 Jun 2009

3 langkah utama jamin keselamatan Selat Melaka

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan tiga langkah utama bagi memastikan keselamatan Selat Melaka sentiasa terjamin serta pembangunannya dapat dibuat secara lebih mapan.

Ujarnya, tiga langkah berkenaan ialah menjadikan keselamatan sebagai satu keutamaan, melindungi perairan melalui kerjasama serta mempromosi pembangunan mapan di selat itu supaya kepentingan negara serta pengguna turut terpelihara.

Beliau berkata, dalam konteks ekonomi, Selat Melaka telah terkenal sebagai salah satu laluan air terpenting di rantau ini apabila 50 peratus perdagangan antarabangsa menggunakannya kerana kedudukan yang strategik.

''Selain itu Selat Melaka juga kaya dengan sumber perikanan serta mempunyai aset-aset pelancongan terkenal. Perairan ini sebenarnya amat penting bagi kita dan negara-negara lain.

''Oleh itu dalam apa jua keadaan kita harus mempunyai sikap ambil tahu terhadap setiap perkembangan bagi mengelak berlakunya konflik di kawasan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Keenam Institut Maritim Malaysia (MIMA) Mengenai Selat Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Pengerusi MIMA, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara yang bersempadan dengan laut, Malaysia komited untuk melaksana dan memenuhi tanggungjawab bagi menjaga kedaulatan perairan Selat Melaka dengan mengikut undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, ia dilakukan melalui pengawasan perairan oleh pasukan keselamatan terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan dilengkapi dengan peralatan-perlatan terkini.

''Ini adalah tanda komitmen Malaysia sebagai salah sebuah negara yang bertanggungjawab menjaga keselamatan perairan Selat Melaka.

''Bagi memastikan tugas tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan Malaysia juga telah membuat pelaburan yang besar bagi menyediakan peralatan-perlatan yang lebih moden,'' katanya.

Kata beliau, antaranya peralatan berkaitan pengemudian, radar, pengawasan visual, menaik taraf kelengkapan pasukan penguat kuasa dan pasukan penyelamat.

Muhyiddin dalam ucapannya juga turut menyatakan komitmen Malaysia untuk bersama-sama dengan negara jiran lain memerangi apa jua ancaman keselamatan serta jenayah di Selat Melaka.

''Selain mengekang ancaman lanun kita juga bersama-sama bertanggungjawab mengekang kegiatan jenayah yang lain antaranya penyeludupan manusia dan barang-barang,'' tambahnya.

Tiada ulasan: