Isnin, 22 Jun 2009

11 pendatang tanpa izin bolos dari depot tahanan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sebelas pendatang tanpa izin yang ditahan di Depot tahanan Semenyih melarikan diri dari kem tahanan itu semalam.

Tiga daripada mereka yang merupakan rakyat Myanmar ditahan semula ketika bersembunyi berhampiran lebuh raya BangiKajang.

"Polis kini sedang memburu lapan lagi yang dipercayai rakyat Myanmar dan Nepal berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun," kata Ketua Polis Daerah Kajang ACP Shakarudin Che Mood ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada kirakira pukul 4.30 petang ketika pemeriksaan rutin oleh pegawai depot berkenaan dan hasil siasatan mendapati satu pagar dipecahkan, dipercayai menjadi laluan keluar tahanan itu.

Dalam perkembangan lain, polis menahan 66 orang dipercayai penagih dadah dalam Ops Tapis di Jalan Chow Kit dan Jalan Haji Taib di sini pada pukul 4.30 petang ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkortik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata kesemua lelaki yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 25 hingga 55 tahun.

"Setelah membuat saringan air kencing, 33 orang didapati positif dadah dan disiasat mengikut Sekyen 3 (1) Akta Penagih Dadah, tiga ditahan kerana lari dari pusat serenti manakala seorang lagi ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata 29 yang lain dibebaskan.

Tiada ulasan: