Ahad, 21 Jun 2009

10 lari dari pusat serenti kena tahan

Oleh Norakmah Mat Youb


BUTTERWORTH: Seramai 10 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat di Tasek Gelugor yang melarikan diri selepas merusuh petang kelmarin, ditahan semula.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub, berkata mereka ditahan secara berasingan mulai dari jam 12.30 malam kelmarin hingga 5 petang semalam, sementara 17 lagi masih diburu.

“Pelatih yang ditahan berusia antara 22 hingga 38 tahun. Mereka masing-masing ditahan di Padang Serai iaitu empat orang, Kampung Tok Dik, Kulim (seorang), Tasek Gelugor (seorang) dan Kubang Semang (tiga),” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Kelmarin, sekumpulan 100 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat di sini, merusuh dengan membakar sekurang-kurangnya 11 bangunan termasuk klinik dan pos pengawal.

Dalam kejadian itu, seramai 27 pelatih berjaya meloloskan diri selepas berlaku rusuhan yang mencetuskan kebakaran kira-kira jam 6.30 petang.

Berpuluh-puluh kenderaan kakitangan, van dan lori milik pusat itu menempatkan seramai 522 penghuni, turut dirosakkan dan dibakar.

Kejadian itu dipercayai berikutan segelintir pelatih tidak berpuas hati apabila rakan mereka ditempatkan di sel tahanan berikutan positif dadah.

Ayub berkata, semua pelatih itu dibawa ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kejadian rusuhan di pusat serenti berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) , Datuk Abdul Bakir Zin, berkata pihaknya memindahkan 350 daripada 495 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor, ke tujuh pusat serenti sekitar zon utara sebagai langkah keselamatan.

Beliau yang melawat tempat kejadian, semalam berkata, 35 pelatih dipindahkan ke Pusat Serenti Bukit Chabang, Perlis; Karangan (70); Perlop (70); Serdang (45), Sungai Petani (40), Bukit Mertajam (60) dan Batu Kurau (35), sekali gus mengecilkan pelatih di Pusat Serenti Kampung Selamat kepada 145 orang.

Tiada ulasan: