Selasa, 2 Jun 2009

10 laluan maut dinaik taraf elak dari terus meragut nyawa

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Kementerian Kerja Raya mengesan 10 laluan maut di seluruh negara berikutan kekerapan berlaku kemalangan berpunca daripada reka bentuk permukaan jalan yang membahayakan pengguna.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 57 pengguna maut dan cedera ketika melalui jalan tersebut.

Laluan tersebut ialah:

- Kilometer 8, Seksyen 189, Jalan Muar-Melaka, Tanjung Gading, Johor.
- Kilometer 16, Jalan Batu Pahat-Kluang, Johor.
- Seksyen 35.2, Jalan Damar Laut, Pantai Remis, Perak.
- Kilometer 35.2, Jalan Kangar- Mengkuang Layar, Perlis.
- Seksyen 833.1, Jalan Butterworth-Alor Setar, Kedah.
- Seksyen 399, Jalan Kuala Terengganu-Kemaman, Terengganu.
- Seksyen 39, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.
- Seksyen 259.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan.
- Kilometer 33.5, Seksyen 468, Jalan Klang-Teluk Intan, Selangor.
- Seksyen 41.8, Jalan Serting-Tencah, Negeri Sembilan.

''Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk menaik taraf semula jalan tersebut supaya ia selamat digunakan.

''Kerja-kerja menaik taraf laluan tersebut dijangka selesai hujung tahun ini,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini hari ini.

Menurut beliau, kos menaik taraf di setiap laluan itu dianggar bernilai RM200,000 yang diperoleh menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

''Apabila kerja-kerja menaik taraf selesai, kita berharap jalan-jalan tersebut tidak lagi dianggap sebagai laluan maut,'' jelasnya.

Shaziman memberitahu, daripada jumlah mangsa terbabit, Seksyen 399, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan mencatatkan kadar kemalangan tertinggi iaitu 18 orang diikuti 10 orang di Kilometer 33.5, Seksyen 468, Jalan Klang-Teluk Intan sepanjang tahun lalu.

Tiada ulasan: