Rabu, 31 Disember 2008

Pengerusi baru janji mahu kemaskan peranan SPR

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PUTRAJAYA: Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof memulakan khidmat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru pagi ini dengan janji akan memperkemaskan dan memperbaiki aspek-aspek yang difikirkan memerlukan tindakan konstruktif.

"Di mana yang boleh kita perbaiki. Kita akan lihat satu demi satu dan kita akan perkemaskan," kata beliau kepada wartawan selepas melangkah ke Ibu Pejabat SPR di sini pukul 9.55 pagi tadi.

Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negerimenggantikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang bersara semalam.

Berhubung perubahan yang akan dibawa beliau kepada SPR, Abdul Aziz berkata, hal itu bergantung kepada isu dan masalah yang sedang dihadapi suruhanjaya itu.

"Dalam masa dua tiga hari ini, saya akan diberi taklimat oleh para pegawai tentang fungsi dan peranan SPR.

"Jika ada isu dan masalah yang berbangkit, dari situ kita akan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya," katanya.

Berhubung kenyataan Abdul Rashid semalam supaya SPR diberikan kuasa autonomi supaya dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan, Abdul Aziz berkata, hal itu akan dikaji dengan teliti selepas ini.

"Kita akan lihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya. SPR kini mempunyai koordinasi dengan pelbagai badan berkaitan termasuk PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi kawalam keselamatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk daftar pemilih dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk mencetak dokumen," katanya.

Ditanya sama ada pengalamannya dalam Kementerian Dalam Negeri sebelum ini akan membantu tugasnya di SPR memandangkan semua agensi berkaitan berada di bawah kementerian tersebut, Abdul Aziz berkata, setakat ini, kerjasama rapat sedang dijalankan dengan PDRM bagi memastikan kawalan keselamatan terutamanya semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari ini berjalan lancar.

Abdul Aziz berkata, beliau akan ke Kuala Terengganu untuk melihat sendiri suasana dan perjalanan pilihan raya pertama bagi dirinya sebagai Pengerusi SPR.

Ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa daftar pemilih bagi Kuala Terengganu tidak bersih, Abdul Aziz berkata, hal itu tidak benar kerana daftar itu telah dikaji dan disahkan pada 5 Disember lalu.

Interbiu eksklusif Mohammad Sabu

Harakahdaily


"Dalam menghadapi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, terlalu banyak isu seperti pembelian Eurocopter, penjualan IJN, penubuhan suruhanjaya kehakiman, politik wang dalam Umno."

DALAM menghadapi Pilihanraya Kecil P.36 Kuala Terengganu, terlalu banyak isu-isu utama yang boleh meratah Umno-BN seperti pembelian Eurocopter, penjualan IJN, penubuhan suruhanjaya kehakiman, politik wang dalam Umno dan PPSMI yang cukup membelit. Selain isu-isu nasional ini, isu kemiskinan dan pembaziran seperti pembinaan Masjid Kristal dan Monsson Cup juga menjadi igauan buruk kepada calon BN, Wan Farid Wan Salleh.

Pilihanraya kecil ini menjadi ujian bukan hanya Umno tetapi juga kepada pembangkang terutama selepas tsunami politik 8 Mac lalu. Untuk membincangkan tentang isu-isu utama dan isu tempatan di Kuala Terengganu, Harakah mendapatkan pandangan Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu. Ikuti Interbiu Eksklusif Pengarang Berita Harakah, TARMIZI MD JAM dan wartawan, IRWAN MUHAMMAD ZAIN serta jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH bersama beliau di kediamannya di Shah Alam, pada 24 Disember lalu.

HARAKAH: Apa signifikan Pilihanraya Kecil P.36 Kuala Terengganu kepada PAS berdasarkan landskap politik yang cukup bermasalah dengan parti pemerintah hari ini (Umno) ?

MOHAMAD SABU: Pilihanraya kecil di Kuala Terengganu ini adalah satu pilihanraya yang cukup penting terutama sekali dalam pilihanraya lepas tsunami politik yang berlaku di Pantai Barat dan juga Kelantan. Dari Terengganu, Pahang hingga bahagian selatan ia tidak banyak berlaku perubahan dalam pilihanraya yang lepas. Pilihanraya ini diadakan ketika ura-ura peralihan kuasa akan berlaku pada Mac depan. Pilihanraya ini juga akan menguji kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak. Pilihanraya yang akan menguji kepimpinan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said yang tidak mendapat sokongan majoriti kalangan wakil rakyat Umno.

Pilihanraya ini juga menguji adakah PAS berada di tahap pilihanraya yang lalu atau bergerak jauh ke hadapan untuk mendapat sokongan dan kembali memerintah Terengganu pada pilihanraya umum yang akan datang.Oleh itu pilihanraya ini sangat penting kepada BN itu sendiri untuk menguji kepimpinan peringkat nasional, Dato' Seri Najib Tun Razak dan di peringkat negeri, Dato' Ahmad Said dan kepada PAS yang mewakilkan Pakatan Rakyat.

Apakah Pakatan Rakyat ini berkisar perkembangannya di tempat ramai orang bukan Islam yang membuat perubahan dalam pilihan raya umum lalu atau pun ia berjangkit di tempat majoriti orang Islam. Jadi pilihanraya ini begitu penting untuk dijadikan kayu ukur rakyat di Malaysia dan juga di Terengganu.

Mengapa PAS menunggu 1 Januari 2009 untuk mengumumkan calonnya bagi menentang calon BN, Dato' Wan Farid? Di mana kelebihannya?

Ini kerana, Umno dia tak banyak calon yang layak. PAS ada banyak calon yang layak maka Presiden PAS akan menentukan yang mana yang paling layak untuk menjadi calon.

PAS atau Pakatan Rakyat perlu menang dalam pilihanraya ini bagi mencorakkan pendirian rakyat terhadap usaha menuju Putrajaya. Pada penilitian Saudara, sejauh mana 'kemenangan' ini mampu menggerakkan perubahan itu?

Kita lihat terutama di kawasan yang celik IT iaitu di Lembah Klang, Lembah Kinta dan Penang pembangunan bukan lagi menjadi isu yang utama.Yang menjadi isu utama adalah soal kehakiman, hak asasi, pembaziran, rasuah. Ini yang berlaku di kawasan bandar dan separuh bandar. Kuala Terengganu biarpun ianya bandar tetapi boleh dikatakan agak ketinggalan dan terlalu luar bandar. Taraf kemiskinan yang tinggi menyebabkan pembangunan masih menjadi isu yang utama dalam pilihanraya kepada Barisan Nasional dan pihak pembangkang akan mengunakan isu ini juga iaitu kegagalan pihak pemerintah memberikan pembangunan yang seimbang kepada rakyat.

Bagaimana kalau PAS kalah?


PAS kalah dalam pilihanraya kecil perkara biasa. Menang itu satu yang luar biasa.

Terlalu banyak isu yang boleh menggodam Umno dan BN pada pilihanraya ini. Adakah isu-isu seperti yang kita tahu, politik wang dalam Umno, kenaikan harga barang, penubuhan suruhanjaya kehakiman dan macam-macam lagi itu boleh mempengaruhi pengundi Kuala Terengganu?

Isu nasional di Kuala Terengganu tidak berapa memberi kesan tetapi isu-isu kehidupan harian seperti kenaikan harga barang, isu pembaziran misalnya perbelanjaan yang begitu banyak membina Masjid Kristal dan Monsoon Cup dan kemiskinan yang nyata serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memperkayakan beberapa individu. Ini merupakan isu utama di Kuala Terengganu.

Kita beralih kepada isu IJN. Penangguhan pengswastaan IJN kepada Sime Darby sebagai contoh, tentunya akan menyusahkan para pesakit jantung di kalangan rakyat biasa. Kos pasti meningkat sekalipun ada jaminan kerajaan. Apa yang Saudara rasakan?

Kita perlu tentang habis-habisan kerana bila diswastakan ia akan menjadi sebuah hospital yang betul-betul menumpukan kepada perniagaan.

Bila perniagaan sudah tentu orang akan bercakap tentang untung rugi. Berbanding dengan hospital kerajaan atau separuh kerajaan ia bersifat kebajikan biarpun Musa Hitam kata setelah diswastakan, IJN tidak akan berubah fungsi. Itu hanya janji mulut. Tapi hitam putih bila perjanjiannya nanti, perkara-perkara seperti itu bukan ada.

Jadi bila sebut diswastakan tak salah mereka naikkan harga, naikkan caj dan sebagainya dalam perubatan. Sebab bila diswastakan hospital itu sudah jadi sebahagian daripada perniagaan. Jadi saya hairan bila orang seperti Musa Hitam mengatakan tidak akan berubah fungsi itu. Saya rasa itu mengarut.

Apa komen Saudara dengan penangguhan itu? Adakah ianya ada muslihat tertentu?


Tangguh kerana pilihanraya Kuala Terengganu tetapi isu ini bagi orang Kuala Terengganu bukan besar sangat. Mereka bukan tahu berapa orang sakit jantung. Berapa kos bayar bedah!

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Zahid Hamidi menyifatkan 'penangguhan' penjualan IJN kepada Sime Darby itu sebagai sikap prihatin kerajaan BN. Soalnya, menangguh bukan membatalkan. Maknanya ia akan dilaksanakan juga selepas ini. Apa yang patut dilakukan oleh rakyat, NGO dan parti-parti politik untuk menyekat penjualan ini?

Perlu terus suarakan bantahan. Perlu terus buat tentangan. Bahkan perubatan seperti ini, kerajaan perlu lebih banyak beri subsidi untuk rakyat termasuk pegawai-pegawai kerajaan yang menikmati sedikit kemudahan. Sedikit saja mereka dapat, kalau swasta teruk lagi mereka akan tanggung.

Tapi penjualan IJN ini seolah-olah diadakan secara sulit?

Perundingan secara sulit telah berlangsung lama dan Najib juga umumkan selepas selesai Parlimen bersidang. Seolah-olah mahu mengelak daripada dibincangkan di Parlimen. Ia tidak ada ketelusan.

Menyebut ketelusan kita lihat dalam isu pembelian helikopter Eurocopter oleh Kementerian Pertahanan walaupun telah ditangguhkan dan disahkan tiada penyelewengan tetapi rakyat percaya wujudnya 'kesangsian' dan 'kepentingan' pemimpin tertentu. Soal ketelusannya bagaimana?

Ketelusannya memang tidak ada. Kita nak dapat maklumat masih susah sebab adanya OSA. Tapi kita yakin kenapa dibatalkan selepas pertukaran menteri iaitu Perdana Menteri mengambil alih kementerian Pertahanan. Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Ataupun pembelian helikopter itu menguntung kroni Najib bukan kroni Abdullah. Barangkali itu juga punca pembatalan.

Isu ketelusan juga jadi agenda utama rakyat bila mempersoalkan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman dan SPRM baru-baru ini. Di mana bezanya antara dulu dan sekarang?


Suruhanjaya Kehakiman, Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Banyak lagi suruhanjaya yang boleh dibuat tetapi perlaksanaannya yang menjadi isu.

Rasuah tidak boleh dibanteras melalui undang-undang semata-mata. Rasuah hanya boleh dikurangkan melalui etika iaitu akhlak. Kita lihat misalnya bagaimana kita nak buktikan dari sudut undang-undang, misalnya Adun-adun di Selangor atau tempat lain yang jadi Adun satu penggal atau dua penggal, hidup seperti jutawan dengan keretanya, rumahnya tetapi elaun cuma lima hingga enam ribu ringgit sahaja.

Jadi dari segi undang-undang kita susah nak bawa mereka ini ke mahkamah. Tetapi dari segi etika, mereka ini sudah dilihat tidak bersih. Begitulah juga Perdana Menteri, baru-baru ini terdedah sewa rumahnya saja sudah mencecah jutaan ringgit setahun. Jadi ini kehidupan mewah. Jadi orang yang begini nak bercakap soal penyelewengan dan rasuah memang tidak boleh kerana ia bermula dengan etika bukan undang-undang.

Macam kita nak bayar duit kepada polis kerana nak menutup satu kes kalau dia minta duit misalnya, kita tak perlu pergi jumpa polis atau kastam, cukup cuma sms nombor akaun. Kita boleh 'bank-in' dalam akaun mana-mana bank mereka. Jadi membenteras rasuah bukan melalui suruhanjaya. Ia lebih kepada etika dan ini yang banyak dipraktik di negara-negara barat tetapi bukan di negara-negara dunia ketiga.

Sedangkan parti itu sendiri itu parti yang dilanda dengan rasuah. Bagaimana mereka yang mengamalkan rasuah mahu membasmi rasuah. Kerajaan lain yang ganti saja boleh. Itu pun belum tentu lagi tetapi sekurang-kurangnya kerajaan baru itu akan bermula dengan era baru sebelum berlaku kerosakan.

Ada tak perbezaan antara Suruhanjaya ini dengan apa yang sudah ada sebelum ini?

Tiada perbezaan. Kalau Umno yang buat tiada apa-apa perbezaan. Macam Suhakam sajalah. Kita boleh hantar memorandum kemudian buat demonstrasi sikit. Lepas tu habislah, tiada apa-apa tindakan. Salah guna kuasa polis, salah guna badan kehakiman akan tetap berjalan seperti biasa.

Pendapat saudara dengan cakap-cakap yang mengatakan Abdullah menubuhkan suruhajaya ini kerana mahu menjatuhkan Najib?

Itu semua spekulasi. Saya tidak setuju dengan pandangan itu.

Adakah penubuhan kedua-dua suruhanjaya ini mampu memberikan kesan baik kepada rakyat sekalipun ianya tidak diletakkan terus di bawah kuasa Parlimen?

Sudah ada suruhanjaya sebelum ini. SPR itu suruhanjaya, Hak Asasi Manusia juga suruhanjaya tapi fungsinya tidak ada. Sebab itu etika itu lebih penting daripada segala bentuk suruhanjaya dan undang-undang. Dan Malaysia dari segi etika mempraktikkan satu etika yang cukup buruk.

Dari sudut rasuah dan penyelewengan, kita boleh lihat kehidupan ahli-ahli politik, bagaimana kehidupan mereka terutama ahli politik dari parti pemerintah. Kehidupan mereka tidak padan langsung dengan pendapatan. Dan mereka ini antara orang yang berteriak tentang rasuah dan sebagainya. Jadi saya tidak nampak akan berlaku apa-apa perubahan.

Dalam isu PPSMI, banyak pihak dari NGO dan parti-parti pembangkang mendesak agar kerajaan menghentikan dasar tersebut kerana bukan sahaja ia bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan, Perlembagaan malah merugikan masa depan orang-orang Melayu khususnya. Pemerhatian Saudara macam mana?

Saya ingat kerajaan nak kena insaf. Sebab masa buat dulu cuma percubaan. Dan sekarang yang menentang ini ahli-ahli akademik bukan orang-orang politik. Orang-orang akademik yang terlibat dalam pendidikan secara khusus seperti Profesor Nik Safiah Karim, Profesor Khoo Kay Kim, Dr Awang Sariyan dan banyak lagi.

Mereka ini bertindak menentang berdasarkan kajian mereka dan perbandingan dengan negara-negara lain seperti Russia, Jepun, Jerman, Korea dan sebagainya dari sudut pendidikan. Jadi kita lihat Bahasa Melayu itu sendiri akan jahanam pada masa akan datang. Dan orang yang berteriak nak membela orang Melayu yang menjahanamkan Bahasa Melayu.Kalau dulu tulisan Jawi sekarang Bahasa Melayu pula jadi mangsa. Umno yang kononnya berjuang untuk Melayu membunuh Bahasa Melayu dan mereka ini lah sebenarnya pengkhianat bangsa dan bahasa.

Teras menyeru agar rakyat bersatu menyaman kerajaan dalam isu PPSMI ini. Begitu juga Gapena. Bagaimana saudara melihat dari sudut politiknya, kuasa desak yang mampu menundukkan keangkuhan kerajaan dalam isu ini?

Kena pelbagai cara iaitu saman di mahkamah, penentangan di Parlimen, desakan NGO, demonstarsi-demonstarsi untuk menentang tersalah urus kerajaan dalam soal bahasa dan pendidikan. Saya sebut begini sebab bantahan daripada ahli-ahli akademik yang saya kira pandangan mereka perlu diambil kira.

Bercakap soal ketelusan oleh pihak kerajaan. Dalam Umno sendiri terdapat 'Peraturan Eksklusif' yang tidak lut (ada imuniti) oleh undang-undang apabila berlakunya rasuah dan politik wang dalam parti itu. Mereka tidak boleh diseret ke mahkamah. Jawatankuasa Disiplin Umno mengatasi undang-undang. Ini bagaimana?

Ini satu perkara yang perlu dilihat misalnya Umno menuduh dan membuktikan Isa Samad terlibat dalam rasuah atau politik wang. Tapi mahkamah tidak mendakwa beliau. Jadi kita kata nak basmi rasuah dan politik wang ini cuma 'Meranam Joker' saja lah. Lawak sajalah.

Tun Mahathir sendiri mengesahkan terlalu banyak politik wang atau rasuah menjelang pemilihan Umno kali ini. Tidakkah ini mempercepatkan lagi Umno reput dan peluang ini harus direbut oleh pembangkang?

Umno memang menuju kereputan. Tetapi pembangkang tidak boleh mengharapkan kelemahan orang lain untuk mereka muncul. Mereka mesti membuat gerak kerja yang baik untuk mengambil alih kuasa dari Umno yang sedang reput ini. Kalau kita berada di tahap yang ada sekarang, kita belum dilihat secara umumnya berupaya mengambil alih melainkan kita mempertingkatkan lagi kerjasama dan juga menarik perhatian rakyat kepada kita.

Cadangan GMI untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran Mac depan tentunya ada agenda tersendiri. Apa tujuannya dan mengapa bulan Mac itu dipilih? Setakat ini sejauh mana persiapannya?

Cadangan untuk perhimpunan ini sebenarnya datang dari Dewan Pemuda dan dibawa ke mesyuarat PAS Pusat. Dalam mesyuarat itu mereka angkat perhimpunan itu ke tahap PAS Pusat. Dan selepas perbincangan dengan NGO, akhirnya dipersetujui supaya Gerakan Mansuh ISA (GMI) mengepalai perhimpunan ini bersama 80 NGO yang lain. Kita memilih Mac kerana waktu masih ada dua bulan lebih untuk kita memberitahu rakyat. dan masa itu berlaku peralihan kuasa. Supaya mereka yang akan mengambil alih kuasa itu mendegar dan melihat tuntutan rakyat kerana ISA sekarang ini sudah tidak popular kepada rakyat, kepada pemerintah dan kepada sesiapa saja termasuk parti komponen BN yang menyuarakan penentangan mereka terhadap ISA itu.

Peralihan kuasa dari Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Najib Tun Razak tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat. Mungkin ada kepada Umno. Apa yang saudara nampak Malaysia di bawah pentadbiran Najib?

Setiap Perdana Menteri yang baru naik, dia akan buat satu spin untuk membawa diri dia, parti dia dan pemerintahan dia agar dilihat oleh rakyat tempat rakyat bergantung. Ini yang dibuat oleh Dr Mahathir dulu dengan slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah'. Ia meletakkan pengharapan yang tinggi rakyat kepada beliau. Selepas itu pada pilihanraya tahun 1982, kemenangan besar dicapai oleh Dr Mahathir.Waktu itu termasuklah Dato' Seri Anwar Ibrahim menyertai kerajaan Dr Mahathir.

Abdullah pula dia tahu bahawa keruntuhan kerajaan Dr Mahathir terutama kepada orang Melayu adalah antaranya isu agama, isu rasuah, isu pembaziran maka bila beliau naik, dasar-dasar itu lah yang diutamakan. Beliau berhentikan pengumuman projek-projek mewah dan menonjolkan isu agama iaitu Islam Hadhari serta ingin membasmi rasuah yang menyebabkan rakyat memberikan sokongan yang hebat dalam tahun 2004.

Rekod kemenangan BN yang tak pernah dicapai oleh empat Perdana Menteri sebelum itu. Najib saya lihat dia akan tune ke arah mengambarkan bahawa beliau adalah pengganti bapanya. Iaitu beliau akan propangandakan soal pembangunan luar bandar. Ternyata beliau sedikit sebanyak bertuah dalam pilihanraya lepas, kebetulan beliau jaga Felda harga getah dan kelapa sawit berada di tahap yang tinggi.

BN diselamatkan oleh peneroka dalam pilihanraya lepas. Sebab itu kawasan Felda di Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan hampir semua dimenangi oleh BN. Najib akan ambil 'line' itu saya yakin iaitu untuk menonjolkan beliau sebagai sedikit mirip membela Melayu, membela penduduk luar bandar. dan ini akan dispin dalam masa singkat dan saya yakin Pilihanraya Umum ke 13 akan dibuat setahun selepas Najib ambil alihdalam tahun 2010.

Ia tak boleh lama kerana tengok macam Abdullah, kerana lama sangat orang tahu dia kaki tidur, beliau lemah. Najib pun tak akan ambil masa yang lama. Saya jangka Pilihanraya Umum akan diadakan secepat mungkin selepas Mac akan datang.

Apakah saudara atau rakyat boleh menerima Najib yang sarat dengan kes-kes 'penyelewengan' yang berprofil tinggi dan eksklusif sebagai seorang PM kelak?

Itu isunya. Kita kena atasi image building yang akan dibuat oleh kerajaan Najib nanti. Sekarang pun kita sudah mula serang, kita dah mula hentam isu Eurocopter, isu pembelian kapal selam, isu Altantuya dan lain-lain lagi. Jadi ini kita kena gempar dari awal sebab 'image buliding' ini akan berlaku begitu, orang awam terutamanya akan kata itu kesilapan Abdullah, Najib kita belum cuba.

Begitu juga ketika Abdullah ambil alih dari Dr Mahathir, orang kata itu kesalahan Dr Mahathir, Abdullah kita belum tahu lagi. Jadi benda ini kita tak mahu. Sebab itu gerakan untuk meletakkan Najib berada dalam keadaan yang tidak selesa perlu kita laksanakan daripada sekarang hingga pilihanraya akan datang. Kalau kita diam diri, beliau akan bina imej baik sepertimana Abdullah bina.

Barangkali ada motivasi dan ingatan kepada petugas PAS seluruh negara di Kuala Terengganu?


Saya ucapkan selamat bertugas dan selamat memenangkan calon Pakatan Rakyat. - azm _

Kelab Penyokong yakin PAS menang, faham isu Hudud

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Kelab Penyokong PAS akan mengadakan gerak gempur besar-besaran bagi memastikan pengundi Cina dan India memberi undian pukal kepada calon yang dipilih dan sekaligus memberi kemenangan kepada calon PAS nanti

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan, Hu Pang Chaw berkata semua ahli kelab dari seluruh negara akan turun memberi sokongan dihari penamaan calon dan ketika berkempen kelak.

"Kelab Penyokong PAS Cawangan Terengganu telah pun menyediakan satu bilik gerakan di DUN Bandar bagi dijadikan markas gerakan kita.

"Kita pilih DUN Bandar kerana kawasan tersebut merupakan kawasan paling ramai masyarakat bukan melayu iaitu 37 peratus pengundi Cina dan 1.14 peratus India dan lain-lain bangsa.

"Dan kita yakin Dun Bandar akan dapat kita tawan kerana MCA dan Umno semakin lemah dan pengundi juga lebih yakin kerana Pakatan Rakyat telah berjaya lima negeri. Ini akan memberi keyakinan kepada pengundi bukan melayu untuk memilih pakatan kali ini."kata Hu yang dipetik daripada Suara KeADILan online.

Menurut Hu, walaupun DUN Bandar mempunyai 18,952 pengundi berdaftar dari jumlah keseluruhan 80,229 pengundi namun DUN Bandar merupakan undi penentu kepada calun kerajaan maupun pakatan Rakyat.

Katanya, masa pilihan raya 8 Mac lalu, pengundi Cina dan India masih rasa takut-takut untuk menyokong pembangkang kerana Pakatan Rakyat yang diwakili PAS, DAP dan KeADILan belum lagi terbentuk secara sah.

"Sekarang dari tinjauan rambang dan melihat kejayaan di Permatang Pauh pada Ogos lalu kita dah dapat 'lampu hijau' berhubung sokongan padu masyarakat bukan melayu pada Pakatan," Ujar Hu lagi.

Menyentuh isu hudud yang sedang dimainkan oleh media milik kerajaan sekarang Hu berkata isu tersebut tidak menjadi persoalan besar kepada masyarakat bukan melayu di Pantai Timur kerana masing-masing telah diberi kefahaman tentang persoalan hudud.

"Kita memang sedar bahawa isu hudud merupakan isu yang akan dimainkan kerajaan untuk mengabui mata pengundi bukan melayu ketika kempen yang akan berlangsung tahun depan.

"Kami dikalangan orang bukan melayu di pantai timur ni baik di Kelantan atau di Terengganu memang dah faham apa itu hukum hudud kerana Hudud hanya untuk orang Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak terikat dengan hukum tersebut.

"Orang bukan melayu di Pantai Barat mungkin tidak berapa faham kerana telah diputarbelit oleh media kerajaan yang sengaja ditakut-takutkan dengan hukum rejam dan potong tangan. Walhal hudud bukan begitu," ujar Hu.

Sehubungan itu menurut Hu lagi, menerusi kempen yang akan dijalankan nanti isu memperbanyakkan suara pembangkang di parlimen bagi memantau pelbagai penyelewengan kerajaan antara akan dijadikan fokas kempen kepada bukan melayu nanti.

Selain itu menurut Hu, kempen juga bertujuan memberi kesedaran kepada pengundi supaya memilih wakil Pakatan bertujuan memantau segala wang rakyat dan wang royalti yang baru diterima supaya tidak disalah guna oleh kerajaan negeri.

"selain itu isu harga minyak dan barang yang masih tinggi serta agihan wang royalti yang tidak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat juga antara isu yang mampu meraih sokongan masyarakat bukan melayu di negeri itu," kata Hu. - azm _

DAP sedih Maal Hijrah dicemari pembunuhan kejam Israel

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG - "Bagi DAP ini bukan soal agama atau kaum tetapi usaha semua pihak untuk mendapatkan penyelesaian yang adil tanpa mendiskriminasikan sesiapa mengikut agama dan kaum. Ini adalah soal kemanusian sejagat yang harus diselesaikan tanpa sentimen tertentu."

Demikian kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sedih apabila sambutan Maal Hijrah 1430 yang disambut keseluruhan umat Islam sedunia di kotori peristiwa pembunuhan kejam rakyat Palestin di Gaza oleh tentera Israel.

"Walaupun di Malaysia sambutan berkenaan diraikan dengan suasana aman damai dengan masyarakat yang berbilang bangsa.

" Tetapi rakyat di Gaza meraikan dengan tangisan anak kehilangan bapa, isteri kehilangan suami dan sebaliknya.

Bagi yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), serangan ganas itu tidak prikemanusiaan dan mendesak Kerajaan Malaysia mengutuk terhadap Israel agar menghentikan segera pengeboman sebaliknya mencari kedamaian dengan cara perbincangan.

"Dengan rasa rendah diri saya mengucapkan salam Maal Hijrah kepada Umat Islam di mana berada semoga azam untuk sama-sama hidup mesra dengan raykat Malaysia yang berbilang bangsa diteruskan dengan jujur dan ikhlas, " ujarnya dalam kenyataan yang kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan dengan tindakan Israel itu beliau menyarankan Kerajaan Malaysia memanggil Duta Amerika Syarikat untuk menyampaikan bantahan rakyat Malaysia terhadap sokongan membuta tuli Amerika kepada Israel walaupun tahu pembunuhan itu melibatkan kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa.

Beliau juga meminta Kerajaan Malaysia mendesak Amerika Syarikat campur tangan untuk mendapatkan penyelesaian adil dan saksama untuk semua pihak yang berbalah di bumi Palestin.

"Bagi DAP ini bukan soal agama atau kaum tetapi usaha semua pihak untuk mendapatkan penyelesaian yang adil tanpa mengdiskriminasikan sesiapa mengikut agama dan kaum. Ini adalah soal kemanusian sejagat yang harus diselesaikan tanpa sentimen tertentu, " katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru itu, beliau berharap Maal Hijrah kali ini disambut dengan penuh azam yang tinggi untuk memelihara kedamaian dan dijauhkan sengketa yang akan merugikan negara tercinta.- azm_

DAP Selangor arah Santiago, Teng henti bertelagah

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: DAP Selangor menggesa Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim supaya henti daripada bertikam lidah di khalayak ramai.

DAP merupakan parti komponen kedua Pakatan Rakyat mengambil pendekatan sedemikian.

Semalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengeluarakan arahan agar pemimpin-pemimpinnya tidak mengeluarkan kenyataan menerusi media.

Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, Santiago dan Teng - kedua-duanya pemimpin parti negeri itu - tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan serang-menyerang antara satu sama lain menerusi media.

Justeru, kata beliau, kedua-duanya perlu duduk dan berbincang jika berhadapan dengan apa jua isu yang timbul dengan rasional, kata Ean Yong ketika dihubungi The Star hari ini.

Ean Yong yang juga Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan menggesa kedua-dua mereka berhenti daripada bertengkar, sebaliknya menunjukkan perpaduan parti.

Pada Jumaat lalu, Santiago menuntut Teng menarik balik kenyataannya bahawa beliau telah dibeli oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau memberikan tempoh tujuh hari kepada Teng yang juga ADUN Sungai Pinang untuk menarik kenyataannya itu dan memohon maaf secara terbuka.

Teng mengeluarkan kenyataan seumpama itu ekoran isu pemindahan stesen bas Klang Utara ke Meru.

Santiago yang dihubungi mStar Online petang ini berkata, beliau tiada apa-apa perkembangan dalam isu berkenaan.

Santiago memberikan tempoh tujuh hari kepada Teng mulai Jumaat lalu untuk menyediakan bukti bahawa beliau telah dibeli oleh BN.

Teng didakwa membuat kenyataan sedemikian yang disiarkan China Press.

Kerajaan Kedah cadang kekalkan Proton Perdana

BERNAMA


ALOR STAR: Kerajaan Kedah bercadang mengekalkan penggunaan kereta Proton Perdana V6 sebagai kereta rasmi kerajaan negeri itu jika ia didapati memberi kebaikan kepada semua pihak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata cadangan pengekalan kereta nasional itu dibuat setelah kerajaan negeri berpuas hati dengan penerangan mengenai spesifikasi kenderaan yang sebelum ini dilaporkan sering mengalami kerosakan.

Katanya selepas perbincangan dengan wakil Proton Edar, kerajaan bersedia mengekalkan penggunaan Proton Perdana jika pengurusan Proton Edar memberi kerjasama yang baik berhubung penyelengaraan kenderaan itu.

Azizan memberitahu pemberita demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd. Mohamad Shukor Ibrahim di pejabatnya di sini hari ini.

Kerajaan Kedah mempunyai 26 buah kereta Proton Perdana yang digunakan sebagai kenderaan rasmi oleh anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu, Mohamad Shukor mengakui pengeluaran kereta Proton Perdana seawal tahun 2000 mempunyai masalah teknikal.

Katanya kereta jenis Perdana V6 yang digunakan kerajaan-kerajaan negeri perlu diselenggara dengan lebih kerap kerana ia digunakan dengan lasak dan perjalanan jauh.

"Selepas ini Proton Edar akan mengadakan lawatan dengan semua kerajaan negeri untuk memberi penerangan mengenai perkhidmatan sokongan penyelenggaraan dari semasa ke semasa," kata beliau.

500 sertai himpunan bantah kekejaman Israel ke atas Palestin

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Kira-kira 500 aktivis dari pelbagai NGO dan parti politik menyertai himpunan aman membantah kekejaman rejim Israel ke atas Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat tengah hari tadi.

Himpunan yang dikepalai Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu itu bermula pada jam 11.30 pagi dengan peserta berhimpun di hadapan Bangunan Tabung Haji.

Turut hadir ialah, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali; wakil Jemaah Islah Malaysia (JIM); wakil mahasiswa Islam dan beberapa NGO tempatan.

Himpunan hari ini juga turut disertai beberapa aktivis Palestin yang berada di Malaysia.

Mereka membawa bendera Hamas, sepanduk yang mengecam Israel, sambil berselawat dan bertakbir.

Tepat jam 12.00, wakil himpunan, Mohamad Sabu telah menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika yang hanya menerima memorandum tersebut di luar bangunan kedutaan.

Kira-kira 100 anggota Polis dan keselamatan memantau perjalanan himpunan, namun tiada tangkapan berlaku.

Memorandum yang diserah kepada wakil kedutaan antara lain menuntut Amerika segera campur tangan dalam memaksa Israel menghentikan segera serangan ke atas penduduk Palestin.

Jurucakap himpunan, Dr syed Azman yang membacakan memorandum menyatakan NGO dan parti-parti politik di negara ini mahu Amerika mengarahkan sekutunya (Israel) menghormati ketetapan yang telah dibuat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengenai kebebasan wilayah Gaza bagi rakyat Palestin.

Tindakan biadap Israel itu dikecam keras dan seluruh masyarakat dunia kini turut membantah keras kekejaman Israel itu.

Serangan pada sabtu lalu sesungguhnya menunjukkan Israel melanggar ketetapan yang telah dibuat PBB, malah Israel dengan sengaja membunuh lebih 200 penduduk awam di Palestin, katanya.

Serangan tidak beradap ini ditentang keras oleh seluruh dunia, namun Amerika selaku negara pembela Israel masih terus menyokong kekejaman yang dilakukan sekutunya itu, katanya.

Justeru rakyat Malaysia meminta agar Amerika dan beberapa pertubuhan dunia segera mendesak Israel menghentikan kekejaman ke atas penduduk terutamanya di Gaza.

Sementara itu, Naib Presiden PAS yang bercakap selepas penyerahan memorandum menyifatkan Israel kini menjadikan Gaza seperti sebuah penjara yang memuatkan 1.6 juta penduduk Palestin.

Gaza di kepung sejak serangan bermula Sabtu lalu tanpa sebarang bantuan boleh dibenarkan masuk ke sana, katanya.

Namun pertubuhan-pertubuhan neghara bangsa dan umat Islam di dunia ini tidak pun bertindak bagi menekan Israel menghentikan tindakan biadap itu, katanya._

Selasa, 30 Disember 2008

Ezam dakwa 6 kotak rasuah ada pada Anwar....

Jimadie Shah Othman


Bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor - yang terkenal dengan “enam kotak dokumen rasuah” melibatkan pimpinan Umno dan BN - mendakwa bukti-bukti itu tidak ada pada beliau, sebaliknya berada di tangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau ada pada saya, sudah tentu saya tunjukkan. Saya konsisten dengan perjuangan membenteras rasuah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mohamad Ezam berkata, ketika masih bersama PKR, beliau pernah menyuarakan kepada Anwar supaya pemimpin nombor satu parti itu mendedahkan kandungan kotak-kotak itu, tetapi Anwar meminta beliau supaya “tunggu untuk (faedah) politik”.

“Saya tidak setuju. Itu antara sebabnya saya keluar PKR,” katanya, ketika diminta gesaan Pemuda PKR Terengganu supaya beliau mendedahkan kandungan kotak rasuah itu sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Semalam, Ketuanya, Fariz Musa berkata, seluruh rakyat Malaysia pernah dimaklumkan Ezam - sewaktu menjadi ketua Pemuda PKR dahulu - bahawa beliau mempunyai enam kotak bukti rasuah dan penyelewangan Umno/BN.

Oleh itu, tegasnya, Kuala Terengganu merupakan medan terbaik bagi Ezam membuat pendedahan itu.

Fariz mendakwa perkara itu masih menjadi “rahsia yang masih ditutup oleh Ezam”.

Bagaimanapun, Ezam yang juga bekas setiausaha politik Anwar berkata, beliau telahpun tampil membuat penjelasan mengenai perkara itu dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos lalu.

'Perjuangan konsisten'

Bagaimanapun, tambah Ezam, perkara itu tidak dijawab mantan bosnya, Anwar.

“Anwar sendiri yang tidak bongkarkan,” kata Ezam.

Menurutnya lagi, pada tahun 1999, ketika dipanggil memberikan keterangan berhubung dokumen dalam
kotak-kotak itu yang tergolong dalam kategori rahsia rasmi, perkara yang sama telah dijelaskan kepada polis bahawa “ianya disimpan oleh Anwar Ibrahim”.

Ezam berkata, perjuangan beliau menentang rasuah adalah konsistesten.

Tegasnya, jika mempunyai bukti, beliau akan tampil membuat pendedahan seperti dalam kes melibatkan dua tokoh terkenal Umno Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rahim Tamby Chik suatu ketika dahulu, sehingga beliau merengkok dalam penjara.

Mengulas gesaan Fariz semalam, Ezam berkata: “Sebaiknya beliau (Fariz) tutup mulut kalau tidak tahu hal sebenar.”

“Jangan cabar. Kalau saya jawab, kesannya akan langsung kena kepada Ketua Umum (Anwar).”

Ezam kini berada di Jakarta untuk menguruskan Yayasan Nusantara yang ditubuhkannya dan akan pulang berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu selepas penamaan calon 6 Januari depan.

Fitnah: Rashid timbang saman pemimpin pembangkang

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PUTRAJAYA: Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang bersara sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mempertimbangkan untuk menyaman pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang memfitnah beliau sepanjang menerajui suruhanjaya itu.

"Saya menyimpan semua bukti-bukti yang ada dan akan menyerahkannya kepada peguam saya untuk mendapatkan nasihat," katanya selepas Majlis Pecah Tanah tapak bangunan ibu pejabat SPR yang baru, di sini.

Abdul Rashid berkata, beliau serius dalam hal ini memandangkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya seringkali bersifat peribadi.

"Mereka serang saya secara peribadi. Mereka ingat saya ini macam Perdana Menteri sedangkan saya mempunyai ahli-ahli suruhanjaya yang mana kita berbincang setiap kali membuat sebarang keputusan.

"Tengoklah nanti. Saya kutip semua bukti-bukti ini. Jangan main-main kerana saya tidak akan melepaskannya begitu sahaja.

"Mungkin ada ahli Parlimen yang akan hilang kerusi nanti," katanya.

Abdul Rashid berkata, tindakan undang-undang itu nanti hanya melibatkan parti pembangkang memandangkan tiada pemimpin parti pemerintah yang memfitnah beliau.

Ditanya mengapa beliau tidak mengambil tindakan itu semasa memegang jawatan Pengerusi SPR, Abdul Rashid berkata, beliau tidak mahu melibatkan suruhanjaya itu memandangkan tuduhan-tuduhan kepadanya adalah bersifat peribadi.

Abdul Rashid telah menerajui SPR sejak tahun 2001 dan telah mengendalikan tujuh pilihan raya umum sejak menjawat jawatan pengerusi dan sebagai setiausaha sebelum itu.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mencadangkan kuasa yang ada pada SPR ketika ini dikaji semula supaya SPR mempunyai kuasa autonomi semasa menjalankan pilihan raya.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri secara peribadi berhubung hal ini dan nampaknya memberi reaksi positif.

"SPR mesti mempunyai kuasa penuh dalam mengendalikan pilihan raya supaya ia boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, hal itu perlu supaya SPR tidak lagi dituduh sebagai badan yang lemah dan tidak mampu bertindak jika berlaku sebarang masalah.

Abdul Rashid berkata, beliau berpuas hati dengan tugasnya sepanjang menerajui SPR selama tujuh tahun.

"Saya boleh katakan semua pilihan raya yang dikendalikan itu berjaya. Saya sangat gembira," katanya.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk menceburkan diri dalam bidang politik, Abdul Rashid berkata: "Tidak ada. Kalau ada pun, saya simpan dalam hati."

Tok Mun tidak tanding pilihan raya kecil bulan depan

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Bekas calon Bebas Parlimen Kuala Terengganu yang mencuri tumpuan pada pilihan raya umum lepas, Maimun Yusof, 89, hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.

Maimun atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata, dia terpaksa melupakan niatnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, apabila tidak menerima sebarang wang untuk digunakan sebagai deposit bagi melayakkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"Dok payoh (Tak payah) jumpa lagilah, tok tak mboh (tak nak) tanding doh. Takdok pitih (takde duit)... dok buleh buat apa doh (tak boleh buat apa dah)... Nok kumpul duit pun dah dok sempat (nak kumpul duit pun tak sempat)," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Gong Gemia di sini.

Tok Mun berkata, walaupun sebelum ini satu laman blog telah diwujudkan bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang deposit dalam pilihan raya kecil itu, namun beliau mendakwa kesemua wang tersebut telah dilesapkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Warga emas itu mendakwa seorang penyokongnya yang turut membantunya dalam pilihan raya umum lepas telah memberitahunya bahawa laman blog tersebut telah berjaya mengutip kira-kira RM160,000.

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini dia tidak menerima sesen pun wang daripada lama blog yang menggunakan namanya itu dan tidak pasti pihak yang terlibat dalam melesapkan wang tersebut.

Untuk mengelakkan namanya terus dipergunakan, Tok Mun telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 18 Disember lalu berhubung kejadian tersebut.

"Tok dah minta polis sekat laman blog tersebut, duit pun bukan dapat ke Tok. Tak payoh bagi ke situ (blog) lagi," katanya.

Tok Mun turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini dan kesal ada individu tertentu yang cuba mengaut keuntungan yang mudah dengan menggunakan namanya untuk mengutip wang.

Ditanya sama ada beliau masih berminat untuk bertanding jika ada sekiranya pihak mendermakan wang kepadanya dalam tempoh sebelum penamaan calon nanti, Tok Mun berkata: "Tak sempat dah... dah tak boleh buat apa-apa. Masa dah singkat sangat".

"Lagipun, selagi takdok pitih dalam tangan tak boleh cakap. Dah ada baru boleh cakap. InsyaAllah kalau Tok dipanjangkan umur lagi, Tok akan tanding dalam pilihan raya umum depan pulak," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, Maimun memperoleh 685 undi manakala bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili Barisan Nasional (32,562 undi) dan calon PAS, Mohamad Sabu (31,934 undi).

Ceramah PAS "Mansuhkan ISA" kecoh, Pewaris serah memo hapus ternakan babi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


BANGI: Ceramah perdana "Mansuhkan ISA" anjuran PAS dan Gerakan Mansuh ISA di sini malam tadi kecoh dan dicuri tumpuan oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang hadir untuk menyerahkan memorandum meminta parti Islam itu membantu usaha memansuhkan ternakan babi di Masjid Tanah, Melaka.

Kekecohan berlaku apabila wakil penganjur menghalang anggota Pewaris memasuki stadium kerana mendakwa ia menjejaskan kelancaran program itu.

Kira-kira pukul 9.15 malam, selepas lebih 10 minit berunding, penganjur membenarkan hanya lima anggota Pewaris memasuki stadium itu bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Jurucakap polis ketika ditemui berkata, kumpulan berkenaan tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan dan disebabkan kehadiran mereka tidak mempunyai permit.

Timbalan Pengerusi Pewaris, Rahimuddin Md Harun seterusnya menyerahkan memorandum itu kepada Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ketika isteri salah seorang tahanan ISA, Norlaila Othman sedang berucap.

Pewaris, Gabungan Gerakan Melayu Muda (GGMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mewakili penduduk enam buah perkampungan di Melaka yang mahukan pemimpin PAS membantu mereka menyelesaikan masalah ternakan babi yang semakin berleluasa.

Kira-kira 30 anggota polis dari Ibu Polis Daerah Kajang berkawal di kawasan stadium bagi mengawal keadaan.

Sementara itu, Rahimuddin berkata, penyerahan memorandum itu adalah bagi meminta pertolongan pemimpin PAS untuk menyelesaikan masalah babi di Melaka.

"Pewaris yang bertindak mewakili badan bukan Kerajaan (NGO) Islam, persatuan-persatuan seni, barisan dan organisasi budaya Melayu menentang sekeras-kerasnya ladang serta ternakan babi di Melaka khususnya di kawasan Masjid Tanah yang majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu," katanya.

Katanya, pelbagai saluran telah dilakukan gerakan itu bagi menyelesaikan masalah babi, namun sehingga kini tiada tindakan diambil dan oleh kerana itulah mereka meminta bantuan PAS sebagai jalan terakhir.

Ceramah perdana "Mansuhkan ISA" diteruskan pukul 9.30 malam dengan ucapan Mohamad Sabu dan Salahuddin serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata, pihaknya akan mengadakan perhimpunan besar-besar ala BERSIH pada Mac depan untuk menggesa kerajaan memansuhkan ISA.

Kira-kira 2,000 orang menghadiri ceramah itu.

Syed Husin seru pemimpin hentikan perbalahan di media

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali mengingatkan pemimpin-pemimpin KeADILan dan Pakatan Rakyat supaya tidak membuat kenyataan terbuka mengenai perbezaan pendapat dan perbalahan melalui media terutama yang dikuasai parti pemerintah.

"Saya menggesa dan merayu kepada semua pemimpin Pakatan agar berhenti mengemukakan perbezaan serta pertentangan mereka melalui media terutama yang dikuasai parti pemerintah BN," kata dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Suara Keadilan.

Kenyataan itu dikeluarkan disaat media-media BN memperbesarkan laporan mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam yang menyatakan akan keluar parti serta kenyataan balas oleh Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim.

Begitu juga dengan laporan mengenai perbezaan pendapat antara Ahli Parlimen Kelang Charles Santiago dengan Speaker Selangor Teng Chang Khim.

Menurut Syed Husin, masalah ancaman MP Kapar hendak keluar dari KeADILan sudah terlalu dibesar-besarkan oleh sesetengah media yang dikuasai oleh parti pemerintah.

"Mereka menyelewengkan sesetengah kenyataan pemimpin Pakatan untuk menunjukkan gabungan itu berpecah.

"Memang jelas, tujuan mereka (media-media ini) ialah untuk menarik perhatian awam dari kemelut dalam BN dan juga parti-parti komponen utamanya, terutama menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu," tambah beliau.

Menurut Syed Husin lagi, pemimpin-pemimpin berkenaan sebaliknya harus duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian secara dalaman malah ada beberapa saluran dan prosedur bagi berbuat demikian.

Sehubungan itu, tambah beliau mesyuarat Biro Politik-badan tertinggi penentu dasar politik KeADILan akan diadakan pada 31 Disember ini untuk membincang semua perkara berkaitan dan mencari penyelesaian.

Ia akan dipengerusikan oleh Syed Husin sendiri memandangkan Presiden Dr Wan Azizah Ismail dan Penasihat KeADILan Dato' seri Anwar Ibrahim berada di luar negara sehingga 6 Januari depan. - azm _

Isnin, 29 Disember 2008

Lebih ramai ahli Umno PJS ikut Zahar?

Jimadie Shah Othman


Seorang pemimpin Umno Petaling Jaya Selatan (PJS) menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan lebih ramai ahli mengikut jejak langkah bekas ketua bahagian tersebut, Datuk Zahar Hashim keluar dari parti.

"Setakat hari ini Alhamdulillah. Tetapi, anak sungai lagi berubah, inikan pula hati manusia," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut mengenainya, tetapi sekadar berkata: "Satu dua hari ini OK".

Zahar - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - secara rasmi menyertai PAS Rabu lalu.

Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang.

Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian berkenaan awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Serah borang

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Ketika ditanya kesahihan dakwaan Zahar itu, pemimpin berkenaan berkata: "Mungkin ya. Kalau tidak kenapa beliau cakap macam itu."

Ekoran itu, tambahnya, kepimpinan bahagian yang kini dipangku timbalannya Datuk Raja Hapipudin Raja Nong Chik telah beberapa kali mengadakan pertemuan bagi mengukuhkan Umno bahagian itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Sharir ketika dihubungi, mengesahkan penyertaan 28 pemimpin bahagian itu ke dalam PAS Rabu lalu.

Katanya, borang permohonan telah diserahkan Zahar bersama-sama borang permohonan beliau, kepada setiausaha perhubungan negeri Ahmad Yusof Ludin, pada hari yang sama.

"Secara tidak rasminya, (sudah) diterima (sebagai ahli PAS)," katanya.

Diumum kelak

Menurut Roslan, 28 orang itu turut merangkumi 13 ahli jawatankuasa bahagian yang diumumkan Zahar.

Lazimnya, menurut beliau, seperti juga parti-parti lain, ketua cawangan turut menjadi ahli jawatankuasa bahagian.

Senarai pemimpin itu, kata Roslan, akan diumumkan kelak.

Sementara itu, bekas ketua bahagian bahagian itu, Aris Ripen pula mendakwa sebaliknya.

Katanya, daripada lebih 100 cawangan di Petaling Jaya Selatan, hanya dua atau tiga bahagian sahaja yang menuruti jejak langkah Zahar.

Begitu juga dengan ahli jawatankuasa bahagian, tambahnya yang juga ketua cawangan Medan Jati.

'Alu-alukan' kehadiran Ezam bersama 6 kotak rahsia - AMK

Harakahdaily


KUALA TERENGGANU - Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu mengalu-alukan kehadiran bekas ketuanya, Ezam Mohd Nor untuk berkempen dalam Pilihanraya Kecil Parlimen (PRK) Kuala Terengganu dengan turut membawa 6 kotak rahsia besarnya.

Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ezam yang dikatakan telah dijemput oleh calon Barisan Nasional Senator Dato' Wan Farid Wan Salleh bagi membantunya kerana pertarungan yang sengit dalam pilihan raya kecil kali ini.

"Kita (AMK Terengganu) meminta supaya Ezam datang bersama 6 kotak yang pernah didakwa oleh beliau berkaitan rasuah dan penyelewengan pimpinan Umno dan BN.

"Rakyat seluruh Malaysia pernah diberitahu oleh Ezam ketika menjadi Ketua AMK Malaysia, mempunyai 6 kotak bukti rasuah dan penyelewangan UMNO /BN," kata Fariz ketika ditemui Buletinonline semalam.

Beliau berkata sekiranya Ezam masih konsisten dan serius dalam menentang rasuah maka PRK Kuala Terengganu adalah medan yang terbaik untuk beliau mendedahkan rahsia 6 kotak masih menjadi tanda tanya.

"Integriti dan kredibiliti Ezam akan kembali pulih selepas menyertai Umno semula dengan mendedahkan 6 kotak dokumen rasuah dan penyelewengan Umno- BN,

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah pun dibentuk dan diluluskan oleh Parlimen seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mendedahkan kekotoran dalam Umno- BN," katanya.

Ezam pada Mei lalu, menyertai semula Umno setelah menjadi pemimpin muda KeADILan selama satu dekad dengan alasan kononnya menyokong Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menentang rasuah. - azm _

Harussani, Dr Wahbah tokoh Maal Hijrah 1430

Sambutan tahun baru Islam sederhana tetapi meriah di seluruh negara

MSTAR ONLINE


PUTRAJAYA: Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan tokoh ulama dari Syria, Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhayli hari ini diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah 1430 Hijrah Peringkat Kebangsaan.

Pengiktirafan itu diumumkan pada sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, yang dirasmikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Turut hadir pada majlis sambutan Ma'al Hijrah yang bertema "Menjana Ummah Gemilang" itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kedatangan Ma'al Hijrah pada tahun ini disambut penuh tawaduk dalam kesederhaaan di seluruh negara ketika rakyat masih berdukacita dengan kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman Sabtu lepas dan kematian rakyat Palestin yang tidak berdosa ekoran serangan udara Israel di Selatan Gaza.

Berikutan kemangkatan baginda, Sambutan Ma'al Hijrah dan semua majlis rasmi kerajaan di Negeri Sembilan ditangguhkan dalam tempoh tujuh hari.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pelaburan dalam pendidikan keagamaan dan usaha pemantapan kerohanian adalah signifikan untuk menjana kemajuan dan kegemilangan ummah pada masa akan datang.

Beliau berkata, melalui bajet negeri 2009, sejumlah RM20.8 juta diperuntukkan untuk pengurusan sekolahsekolah agama Islam termasuk rumah anakanak yatim.

"Dalam masa yang sama, sebanyak RM21.93 juta disediakan untuk penyenggaraan dan pembangunan masjid, surau, dan sekolahsekolah agama di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains)," katanya pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Datuk Seri Yahya Hussin.

Bagaimanapun, Musa menekankan bahawa keadaan masyarakat khususnya umat Islam tidak akan berubah jika hanya bergantung kepada usaha kerajaan dan penyaluran peruntukan yang besar sematamata.

"Sebaliknya kejayaan dan kegemilangan umat Islam memerlukan penghijrahan sikap yang lebih positif dan proaktif, sepertimana yang dituntut oleh Islam, terutama dalam menjayakan pelbagai program dan dasar pembangunan kerajaan," katanya.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa bimbang dengan masalah keruntuhan pegangan akidah di kalangan umat Islam di negara ini.

Baginda bertitah, walaupun negara ini tidak berhadapan dengan ancaman musuh secara langsung namun keruntuhan pegangan akidah, keruntuhan budaya dan sistem nilai masyarakat sangat membimbangkan.

Banyak budaya yang tidak selari dengan Islam telah menjalar dan berakar umbi di kalangan umat Islam pada masa kini terutama masalah remaja seperti mat rempit, pengkid, murtad, isu serangan pemikiran seperti liberalisme, pluralisme, feminisme yang belum ada penyelesaiannya, titah baginda.

"Ketibaan tahun baru hijrah menuntut umat Islam memperkasakan persiapan diri dan ummah bagi mendepani cabaran global, cabaran keruntuhan pegangan akidah, keruntuhan budaya dan sistem nilai masyarakat," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di sini.

Teks ucapan baginda dibaca oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sultan Ahmad Shah menyeru seluruh umat Islam supaya kembali mengukuhkan saf ummah untuk menghadapi ancaman berkenaan selain meletakkan keyakinan dan tawakal kepada Allah s.w.t.

Pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal EhwaL Khas (JASA) Datuk Mohamed Amin Salih, 62, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang.

Di PERLIS, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat menghindari sebarang bentuk penulisan yang berunsurkan penipuan yang dapat memesongkan dan memecahbelahkan umat serta mendorong ke arah kerosakan akidah dan syariah.

Baginda memberikan contoh blog yang cuba menghina Rasulullah s.a.w yang diwujukan barubaru ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian semasa merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Pelajaran Selangor Abdul Aziz Abbas dan pendakwah bebas Hassan Ismail Batu Bara dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis.

Di PERAK, sambutan ketibaan tahun 1430 Hijrah diraikan dalam suasana sederhana mulai petang semalam di Masjid AnNur Batu 8, Ulu Kinta di sini yang dipenuhi dengan slot ceramah Maal Hijrah, bacaan Yasin dan AlQuran serta terjemahannya.

Program itu turut diisi dengan solat berjemaah, bacaan doa awal dan akhir tahun serta Forum Perdana Maal Hijrah manakala sambutan kemuncak hari ini yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan diteruskan dengan ceramah Perdana bertajuk 'Aman Palestin'.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah berkenan berangkat bersamasama Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara serta Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Raja Shahar Shah ke majlis itu dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat.

Raja Dr Nazrin turut berkenaan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Muhammad Rivai Batubara atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan ilmu Islam dan khidmat bakti yang dicurahkan sebagai pendakwah yang disegani.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Nordin pula menerima Anugerah Khas sempena sambutan kali ini yang turut diraikan kirakira 1,500 hadirin.

Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman meminta seluruh umat Islam mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi pelbagai ancaman yang boleh menggugat kedudukan Islam.

"Islam sering disalah anggap oleh pelbagai pihak. Islam dianggap oleh mereka sebagai penghalang kepada proses pembangunan, malah dituduh kononnya mengkucarkacirkan kehidupan harian mereka.

"Lantas, mereka cuba mempertikaikan kredibiliti Islam itu sendiri dengan membawa contohcontoh untuk menyokong pendapat mereka seperti isu murtad, liberalisasi Islam, sekularisme, penukaran agama, pertikaian fatwa dan sebagainya," katanya pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Kompleks Islam Johor di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman.

Pada majlis itu, pasangan suami isteri Md Noh Ma'ruf dan Fatimah Emran dipilih menerima anugerah Ibu Bapa Mithali Johor, Anugerah Khas Orang Asli diberikan kepada Senator Osman Bungsu manakala Mohd Shaiful Bahari Chu Abdullah, Mohd Azmi Nanak Abdullah dan Noraini Surah Soanga Abdullah pula menerima Anugerah Khas Saudara Kita.Tiada anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor diberikan pada tahun ini.

Isu MP Kapar: Hari Rabu signifikan buat PKR

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Hari terakhir tahun 2008 - Rabu ini - dilihat sebagai hari yang signifikan bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak ia menyaksikan prestasi luar dugaan dalam pilihan raya umum Mac lalu.

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang sehingga semalam tidak berganjak daripada pendiriannya - mahu keluar PKR - dijadual mengumumkan keputusannya secara rasmi pada hari tersebut.

Walaupun ada usaha dan nasihat termasuk daripada Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali dan rakan-rakannya yang mahu Manikavasagam, 43, mengkaji semula pendiriannya, beliau tetap dengan keputusan keras yang bakal diumumkan minggu ini.

Malah, semalam wakil rakyat penggal pertama itu berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKR Negeri dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kenyataan Khalid dan Hadi (semalam) menunjukkan mereka bukan pemimpin politik yang sanggup menyelesaikan masalah yang wujud.

"Saya kecewa dengan kenyataan mereka...mereka tidak sepatutnya keluarkan kenyataan seperti itu semalam," kata Timbalan Pengerusi PKR Selangor ini sambil menambah, Khalid masih bertindak seperti "orang korporat, bukannya orang politik."

Kata Manikavasagam, Khalid masih bertindak seolah-oleh sebagai pemimpin korporat di mana apabila ada kakitangan mahu berhenti kerja ataupun sebaliknya, dengan segera menerimanya tanpa melihat masalah sebenar yang wujud.

"Ini politik, bukan korporat," kata Manikavasagam yang juga anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR ketika dihubungi semalam.

Dalam komennya semalam, Khalid berkata, beliau menyerahkan kepada Manikavasagam untuk membuat keputusan sama ada mahu kekal ataupun keluar dari PKR dengan menganggap beliau sudah matang untuk mengambil sebarang keputusan.

Dalam pada itu, Hadi pula berkata, Manikavasagam juga patut melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kapar jika keluar PKR.

Kata Manikavasagam, beliau dan penyokong kecewa kerana Hadi tidak memperlihatkan semangat sebagai seorang pemimpin politik yang kanan untuk menyelesaikan masalah yang wujud.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Syed Husin berkata, PKR akan membincangkan isu pendirian Manikavasagam Rabu ini.

Katanya, mesyuarat Biro Politik iaitu badan tertinggi penentu dasar politik parti itu akan membincangkan semua perkara yang berkaitan dan mencari penyelesaian.

Ia akan dipengerusikan oleh Syed Husin sendiri memandangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar negara sehingga 6 Januari ini.

Dalam kenyataan itu, Syed Husin yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin mengingatkan pemimpin-pemimpin PKR dan Pakatan Rakyat supaya tidak membuat reaksi terbuka mengenai perbezaan pendapat dan perbalahan melalui media terutama yang dikuasai parti pemerintah.

"Saya menggesa dan merayu kepada semua pemimpin Pakatan agar berhenti mengemukakan perbezaan serta pertentangan mereka melalui media, terutama yang dikuasai parti pemerintah BN," kata beliau.

PKR adalah anggota komponen Pakatan Rakyat yang memerintah lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Raja Hanipuddin Pemangku Ketua Umno PJ Selatan

BERNAMA


SHAH ALAM: Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Selangor sebulat suara menyokong penuh pelantikan Raja Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) bagi tempoh tiga tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira kepimpinan dan pengalaman Datuk Hanipuddin dalam Umno Bahagian PJS.

"Kami di sini menyokong penuh serta yakin dengan kepimpinan Datuk (Hanipuddin). Kita akan melakukan yang terbaik untuk menyokong Datuk sebagai Pemangku Ketua Bahagian PJS khasnya dan Umno Petaling Jaya secara amnya.

"Dan saya yakin semua anggota Umno akan tetap menyokong Umno Bahagian PJS di bawah kepimpinan Datuk Hanipuddin," kata Muhammad kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat tersebut selama satu jam di Bangunan Umno Selangor dekat sini, malam ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian PJS, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim yang digantung daripada jawatan itu sejak awal bulan ini kerana mengkritik kepimpinan tertinggi parti, secara rasmi menyertai Pas pada 24 Dis lepas.

Zahar mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Sementara itu, Hanipuddin, 60, dalam reaksinya berkata beliau menerima keputusan itu dan akan sedaya upaya bekerja keras bagi mengukuhkan lagi parti.

"Boleh dikatakan sebanyak 24 cawangan Umno PJS yang sebelum ini menentang kepimpinan Zahar bertindak menyertai kami semula selepas beliau menyertai Pas," katanya.

Beliau juga menjelaskan hanya 10 ketua cawangan Umno PJS yang keluar bersama-sama Zahar dan bukan 28, seperti dilaporkan sebelum ini.

"Seramai 86 ketua cawangan masih ada bersama kami," katanya.

PAS kutuk Israel pengganas dunia, 229 terbunuh di Gaza

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - PAS hari ini mengutuk sekeras-kerasnya dan mengecam tindakan biadap Israel yang melancarkan kira-kira 30 peluru berpandu melalui pesawat pejuang semalam, mengakibatkan kira-kira 229 terbunuh manakala lebih 300 lagi cedera.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar berkata sikap zalim itu membuktikan bahawa Israel merupakan pengganas dunia yang sebenarnya dan bukan gerakan-gerakan Islam yang dilabel seumpamanya.

"Kita merasa sedih dan kecewa apabila umat Islam yang tidak berdosa terbunuh dan selama 60 tahun konflik Palestin, tidak ada banyak yang berubah malah lebih banyak yang terkorban.

"Ini satu kegagalan nyata dasar yang dilaksanakan oleh Bush dan Blair (Presiden Amerika dan bekas Perdana Menteri Britain) yang memberi keuntungan kepada Israel tetapi memusnah masa depan umat Islam Palestin malah negera-negara lain seperti Iraq dan Afganistan." tegas beliau ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

PAS katanya mahu Persidangan Negara-negara Islam (OIC) bertindak segera malah bersatu mendepani 'musuh' utama yang perlu dihukum dan dilakukan tindakan drastik supaya nasib umat Islam dan penduduk Palestin terbela dan mencapaikan kemerdekaan sewajarnya.

"Jangan OIC bersikap tunggu dan lihat sahaja. Jadikan ini sebagai kemuncak dan nokhtah bahawa kita tidak boleh diperkotak-katikkan dan kita beri pengajaran kepada mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Semalam,pesawat pejuang Israel melancarkan kira-kira 30 peluru berpandu ke arah kedudukan ibu pejabat polis Hamas di Genting Gaza.Serangan besar-besaran yang bermula pada pukul 11.30 pagi (5.30 petang waktu Malaysia) itu memusnahkan ibu pejabat serta beberapa pekarangan polis Hamas dan menyebabkan kerosakan teruk kepada bangunan lain.

Mangsa yang terkorban termasuk di bandar Gaza, Khan Younis dan Rafah, lapor Al- Jazeera dengan memetik kenyataan ketua perkhidmatan ambulans di Gaza.

Antara yang terbunuh ialah ketua polis Gaza, Mejar Jeneral Tawfiq Jabber.

Sejurus selepas serangan itu, Hamas dan puak-puak Palestin lain mengisytiharkan, mereka telah mengarahkan pejuang masing-masing supaya menuntut bela terhadap keganasan rejim Yahudi itu.

"Semua pejuang diarah bertindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel," menurut kenyataan Hamas, Jihad Islam dan puak bersenjata lain yang dipetik daripada agensi berita.

Tentera Israel mengesahkan mereka melancarkan serangan tersebut, yang menyusuli keputusan Kabinet keselamatan Perdana Menteri, Ehud Olmert untuk memperhebatkan tindakan balas ke atas pejuang Palestin yang melancarkan roket ke wilayah Israel.

Israel sebelum ini memberi amaran akan melancarkan serangan ke atas kedudukan Hamas di Gaza berikutan tindakan pejuang Hamas melancarkan roket ke wilayah Israel. Kira-kira 12 roket dan bom mortar dilancarkan oleh pejuang Palestin dari Gaza semalam.

Tempoh gencatan senjata enam bulan antara kedua-dua pihak berakhir di Gaza minggu lepas. - azm _

KT Uji Pemulihan BN Selepas Permatang Pauh

A Kadir Jasin


SETELAH gagal menguburkan karier politik Anwar Ibrahim --- mengguna pakai slogan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin --- di Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, Umno menghadapi cabaran yang lebih besar di Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Umno dan Barisan Nasional boleh berdalih dalam kekalahan teruk di Permatang Pauh. Kerusi itu kubu Anwar sejak tahun 1982 dan dipegang bagi pihaknya oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sejak pilihan raya umum 1999.

Cakap besar dan gagal belajar daripada penolakan pengundi pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah antara sebab besar Umno dan BN kalah dengan lebih teruk di Parmatang Pauh.

Pertaruhan di Kuala Terengganu lebih besar ertinya bagi Umno dan BN. Tidak seperti Permatang Pauh, Kuala Terengganu adalah milik BN.

Calon BN pada PRU 8 Mac, Allahyarham Datuk Razali Ismail, mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu, dengan kelebihan 628 undi sahaja.

Kerusi ini kini mempunyai 80,229 pemilih berdaftar, termasuk 1,035 pengundi pos, yang terdiri daripada 88.2 peratus Melayu, 10.9 peratus Cina dan 0.6 peratus India.

BN telah menamakan senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebagai calonnya manakala Pas akan mengumumkan calonnya pada 1 Januari.

BN meletakkan nilai yang tinggi kepada Kuala Terengganu apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak berkata:

“Kita mesti memenangi Kuala Terengganu kerana kita mahu menjadikannya permulaan kepada pemulihan BN daripada kekalahan di Permatang Pauh."

Soalnya, apakah persediaan BN akan lebih mantap daripada di Parmatang Pauh?

Sama ada dirancang atau spontan, tindakan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membangkitkan soal Hukum Hudud dalam perbahasannya dengan Naib Presiden Pas, Husam Musa, boleh menjadi senjata makan tuan.

Walaupun debat itu telah mencetuskan perselisihan faham antara Pas dengan DAP ia boleh juga membawa mudarat kepada Umno.

Kenyataan Husam bahawa Pas akan tetap melaksanakan Hukum Hudud apabila keadaan mengizinkan telah menimbulkan kemarahan orang kuat DAP, Lim Kit Siang, yang berkata Hukum Hudud bercanggah dengan dasar Pakatan Rakyat yang komited kepada pengekalan Malaysia sebagai negara sekular.

Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran, bagaimanapun, yakin pengundi Cina Kuala Terengganu tidak akan terpengaruh dengan isu Hukum Hudud yang katanya dimainkan oleh BN.

Kalau Khairy bercadang memerangkap Pas dengan membangkitkan isu itu, dia mungkin telah melakukan kesilapan taktik yang besar.

Selama ini Pas mendakwa ia tidak dapat melaksanakan Hukum Hudud di negeri-negeri yang diperintahnya kerana dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pas hanya perlu memulangkan paku buah keras dengan menyoal Umno mengapa, sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, ia tidak melaksanakan Hukum Hudud sedangkan ia berkuasa di Parlimen dan boleh meminda Perlembagaan.

Pada teorinya, pelaksanaan apa jua dasar dan hukum oleh kerajaan negeri boleh dilaksanakan jika tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kini, dengan bilangan yang lebih ramai di Parlimen, parti-parti komponen PR boleh memainkan perasan yang lebih besar meminda Perlembagaan.

Dengan membuka semula debat mengenai Hukum Hudud, Pas boleh memalukan BN, khasnya Umno, dengan meminta Parlimen mendebatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkannya melaksanakan hukum itu di Kelantan.

Dengan 23 Ahli Parlimen, Pas boleh memberi kemenangan kepada pindaan itu jika disokong oleh wakil-wakil BN. Atau setidak-tidaknya menguji pendirian Ahli Parlimen Umno dan Ahli Parlimen PKR yang beragama Islam.

Jadi bahas Hukum Hudud yang didalangi oleh Khairy kononnya untuk memerangkap dan memalukan Husam dan Pas itu boleh menjadi senjata makan tuan kepada Umno dan BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Hatta inilah juga hujah Kulasegaran. Katanya DAP menghormati hasrat Pas melaksanakan Hukum Hudud tetapi ianya tertakluk kepada parti itu memperoleh sokongan dua-pertiga di Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Soalnya apakah DAP akan menyokong Pas di Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan supaya Hukum Hudud boleh dilaksanakan?

Apatah lagi Kulasegaran sendiri berkata tidak apa yang perlu ditakutkan oleh orang bukan Islam kerana Hukum Hudud hanya untuk orang Islam.

Kesimpulannya, bagi BN mempertahankan Kuala Terengganu adalah lebih penting daripada memenangi Permatang Pauh.

Tetapi jika BN mengulangi kesilapan yang dilakukannya di Permatang Pauh, kemungkinan ia kehilangan Kuala Terengganu adalah besar.

Bagi Pas pula, merampas Kuala Terengganu adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang dan bukanlah suatu yang mustahil kerana ia pernah beberapa kali mengusai kerusi itu.

Ini adalah pertandingan di mana kedua-dua belah pihak boleh menang atau kalah hanya dengan mengelakkan kesilapan.

Peruntukan sekolah RM200 juta

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan mula menyalurkan peruntukan berjumlah RM200 juta kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) yang dikenal pasti pada minggu pertama sesi persekolahan 2009.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan tersebut akan diagihkan secara sama rata kepada empat aliran SBK dengan masing-masing bakal menerima RM50 juta.

Baru-baru ini, katanya, satu mesyuarat khas telah diadakan khusus untuk membincangkan kaedah dan strategi terbaik bagi memastikan penyaluran peruntukan itu memberi manfaat yang optimum kepada sekolah-sekolah sasaran.

‘‘Penyaluran kepada SBK ini juga diputuskan supaya mengambil kira beberapa kriteria penting yang telah dipersetujui iaitu SBK yang daif dan usang, kurang selamat dan tidak pernah menerima sebarang peruntukan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

SBK melibatkan empat jenis aliran sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Beliau memberitahu, mesyuarat itu bersetuju dengan kaedah pengagihan peruntukan tambahan RM200 juta tersebut, iaitu penyaluran RM50 juta kepada SJKC melalui Lembaga Pengelola Sekolah dan RM50 juta kepada SJKT melalui Jabatan Kerja Raya.

Sementara itu, katanya, RM50 juta lagi diberikan kepada SABK melalui Kementerian Pelajaran dan RM50 juta kepada Sekolah Mubaligh melalui kementerian dengan kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah.

“Kementerian juga bersyukur terhadap komitmen kepimpinan tertinggi kerajaan kerana walaupun negara kini menghadapi cabaran ekonomi yang amat getir akibat krisis kewangan yang melanda dunia, agenda pembangunan pendidikan dan modal insan masih diberi keutamaan,” katanya.

Semasa penggulungan perbahasan Bajet 2009 pada 4 November lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk memantapkan SBK daripada peruntukan keseluruhan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM7 bilion.

Kerajaan telah menambah peruntukan sedia ada bagi SBK pelbagai aliran di bawah RMK-9 daripada RM100 juta kepada RM300 juta.

Sekiranya dicampurkan dengan peruntukan tambahan RM50 juta yang bakal disalurkan di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-9, maka keseluruhan peruntukan adalah RM350 juta iaitu jumlah paling besar yang pernah diperuntukkan untuk SBK dalam sejarah pelaksanaan Rancangan Malaysia.

Kata Hishammuddin, bagi membuktikan komitmen kerajaan kepada pembangunan SBK, Timbalan Perdana Menteri juga telah menyatakan persetujuannya untuk menghadiri majlis-majlis penyerahan bantuan berkenaan kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

Ahad, 28 Disember 2008

PKR bincang isu MP Kapar Rabu ini

Syed Husin mahu pemimpin Pakatan duduk berbincang selesai masalah

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka membincangkan isu pendirian Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam untuk keluar parti itu Rabu ini.

Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali berkata, mesyuarat Biro Politik iaitu badan tertinggi penentu dasar politik parti itu akan membincangkan semua perkara yang berkaitan dan mencari penyelesaian.

Ia akan dipengerusikan oleh Syed Husin sendiri memandangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar negara sehingga 6 Januari ini.

Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan Suara Keadilan hari ini.

Manikavasagam juga dijadual mengumumkan pendirian rasmi sama ada keluar PKR sebelum Rabu ini.

Dalam kenyataan itu, Syed Husin yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin mengingatkan pemimpin-pemimpin PKR dan Pakatan Rakyat supaya tidak membuat reaksi terbuka mengenai perbezaan pendapat dan perbalahan melalui media terutama yang dikuasai parti pemerintah.

"Saya menggesa dan merayu kepada semua pemimpin Pakatan agar berhenti mengemukakan perbezaan serta pertentangan mereka melalui media, terutama yang dikuasai parti pemerintah BN," kata beliau.

PKR adalah anggota komponen Pakatan Rakyat yang memerintah lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Suara Keadilan menyebut kenyataan itu dikeluarkan di saat media-media BN memperbesarkan laporan mengenai pandangan Manikavasagam yang menyatakan akan keluar parti serta kenyataan balas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam.

Malah, kenyataan itu merujuk kepada laporan mengenai perbezaan pendapat antara Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim - kedua-duanya dari DAP semalam.

Menurut Syed Husin, masalah ancaman Manikavasagam hendak keluar PKR sudah terlalu dibesar-besarkan oleh sesetengah media yang dikuasai oleh parti pemerintah.

"Mereka menyelewengkan sesetengahkenyataan pemimpin Pakatan untuk menunjukkan gabungan itu berpecah.

"Memang jelas, tujuan mereka (media-media ini) ialah untuk menarik perhatian awam dari kemelut dalam BN dan juga parti-parti komponen utamanya, terutama menjelang pilihan raya kecil (kerusi Parlimen) Kuala Terengganu," tambah beliau.

Menurut Syed Husin lagi, pemimpin-pemimpin Pakatan sebaliknya harus duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian secara dalaman.

"Ada beberapa saluran dan prosedur bagi berbuat demikian," katanya.

Timbalan Menteri dilantik Bendahari Agung MIC

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany telah dilantik sebagai Bendahari Agung MIC, kata Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Pelantikan Devamany, Ahli Parlimen Cameron Highlands bagi dua penggal, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam keputusan mengejut Selasa lepas, Samy Vellu memecat sekutu lamanya Tan Sri M. Mahalingam, 73, dari jawatan itu, dengan alasan ia merupakan sebahagian program penjenamaan semula dan satu perubahan biasa dan sudah tiba masanya beliau melantik orang yang lebih muda.

Devamany, 51, dalam reaksi segera memberitahu Bernama beliau merasa bangga di atas pelantikan itu dan berterima kasih kepada Samy Vellu kerana melantiknya ke jawatan itu.

"Saya tahu ia merupakan tanggungjawab yang berat dan saya berikrar untuk melaksanakannya sebaik mungkin. Saya akan meneruskan khidmat saya kepada parti dan masyarakat kaum India dengan lebih bertenaga. "Khidmat saya kepada masyarakat akan diteruskan seperti biasa walaupun jawatan itu perlu berkorban masa. Tapi, itu adalah sebab kita berada di sini dan saya berjanji untuk melaksanakannya dengan lebih cemerlang," katanya.

Devamany menjadi Ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya umum 2004 dan mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum pada Mac 2008.

Beliau dilantik sebagai timbalan menteri selepas pilihan raya itu.

Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Taiping dan mengikuti kursus di Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras pada 1977. Beliau juga mempunyai ijazah sarjana muda dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Malaya.

Devamany juga menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan juga Anggota Jawatankuasa Integriti Nasional.

Beliau dianugerahkan gelaran Datuk oleh Sultan Pahang pada Oktober tahun ini.

PAS mahu Manikavasagam turut lepaskan kerusi MP Kapar

MSTAR ONLINE


SHAH ALAM: PAS mahu Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang dipercayai akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum Rabu ini turut melepaskan jawatan anggota Dewan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, oleh kerana pengundi kawasan Kapar telah memilih Manikavasagam berdasarkan parti iaitu PKR, beliau seharusnya melepaskan kerusi Ahli Parlimen. Manikavasagam dijangka mengumumkan pendirian rasmi sebelum Rabu ini.

Ketika ditanya sama ada tindakan Manikavasagam itu sekarang satu keputusan yang betul selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen atas tiket PKR pada 8 Mac lalu, Abdul Hadi berkata:

"Ia adalah tidak adil dan ia menunjukkan beliau tidak ada prinsip," kata beliau di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Pandamaran, Ronnie Liu dari DAP pula memberitahu, beliau akan menghubungi Manikavasagam untuk memintanya kekal terus dalam PKR.

Ketika dihubungi The Star, perselisihan faham sentiasa wujud di kalangan anggota parti.

"Petuanya ialah belajar untuk menerima perbezaan pandangan dan mendapatkan matlamat bersama untuk terus bekerja," kata Liu.

Manikavasagam juga katanya, perlu mengambil kira keadaan bahawa beliau kemungkinan tiada sumber atau sokongan sebagai Ahli Parlimen Bebas untuk berkhidmat untuk pengundi di kawasannya.

Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pemimpin-pemimpin parti sedang mengadakan perbincangan dengan Manikavasagam untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kami tidak mahu sesiapa meninggalkan parti dan saya berharap apa juga perbezaan yang wujud boleh diselesaikan," kata beliau yang juga Exco Selangor.

PAS Pahang akan hantar 300 petugas terlatih ke Kuala Terengganu

Basiron Abdul Wahab


TEMERLOH - PAS Pahang akan menghantar 300 orang petugas bagi membantu PAS Terengganu menghadapi Barisan Nasional-BN dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu dari 6-17 Januari depan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata, para petugas itu adalah kumpulan tenaga terlatih dalam bidang masing-masing. Mereka akan bertindak sebagai pembantu dan akan turun habis-habiasan bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat-PAS dalam pilihan raya yang dijangka amat sengit itu.

Ini kerana BN amat memerlukan kemenangan bagi memulihkan semangat selepas kalah teruk dalam pilihan kecil Permatang Pauh Ogos lalu. Umno tidak boleh kalah lagi dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu bagi memastikan moral anggota parti itu tidak jatuh.

Katanya, para petugas PAS Pahang akan melibatkan diri secara aktif mengikut arahan dan keperluan pengarah pilihan raya kecil itu.

Roslan juga mengarahkan pencinta perjuangan Islam termasuk ahli, penyokong pemimpin di semua peringkat mengadakan solat hajat dan bermunajat memohon pertolongan Allah dan kemenangan Islam dalam perjuangan kali ini.

Selain itu, ahli-ahli dan penyokong juga diminta menghulurkan infaq bagi membantu jentera parti di dalam pilihan itu tersebut.

Infaq boleh disalurkan melalui PAS Kawasan masing-masing atau terus menyalurkan sumbangan ke akaun Badan Perhubungan PAS Pahang di Bank Islam No Akaun 06028010000076 atau melalui Maybank No Akaun 556057201847, semua sumbangan hedaklah dimaklumkan melalui SMS ke talian 013-922 5143. - mns_

Hudud bukan tanggungjawab PAS sahaja, Umno halang hukum Allah

Mohamed Hanipa Maidin


"Umno jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam."

Agensi berita melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" semata-mata kerana jikna PAS benar benar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan.

Saya percaya para pembaca boleh melihat kontradiksi ucapan kedua-dua pemimpim Umno tersebut. Mahadzir Khalid kata hudud boleh dilaksanakan di Kelantan, Zahid Hamidi pula mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin Umno di atas adalah refleksi wajah sebenar Umno ketika berpolitik. Bagi pemimpin Umno peribadi seorang ahli politik dan peribadi seorang Islam adalah berbeza. Sebagai seorang Islam, ia boleh menerima hudud sebagai hukum Allah tetapi sebagai ahli politik ia sukar atau tidak boleh menerima bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Bagi Umno perbezaan sikap antara orang Islam dan orang politik tidak menjadi satu masalah.

Atas dasar itulah setiap kali isu hudud timbul, Umno meletakkan beban perlaksanaan hukum Allah tersebut hanya kepada PAS seolah-olah PAS sahaja yang diamanahkan melaksanakan perintah Allah tersebut. Hudud adalah perintah Allah dan yang demikian sesiapa sahaja yang mengaku dirinya sebagai orang Islam ia bukan sahaja wajib beriman dengan perintah Allah tersebut tetapi juga mesti berusaha melaksanakan hukum tersebut . Mana-mana orang Islam sama ada di dalam Umno, PAS , Keadilan, NGO atau apa-apa pertubuhan sekalipun wajib berusaha melaksanakan hukum hudud tersebut . Perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif orang-orang PAS sahaja.

Umno benak tuduh PAS politikkan isu Hudud

Jika Umno tidak benak dan dapat memahami bahawa hudud adalah perintah Allah maka Umno tidak boleh, dalam apa keadaan sekalipun, menuduh PAS cuba mempolitikkan isu hudud ini sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid tersebut.

Bagi PAS, tiada satu dikotomi ( pemisahan ) antara orang Islam dan orang politik. Apabila pemimpin PAS bercakap tentang politik ia bercakap sebagai seorang pemimpin Islam dan apabila ia bercakap tentang Islam ia juga bercakap sebagai pemimpin politik. Kenapa begitu ? Kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu Rasul bagi seluruh umat manusia termasuklah orang orang PAS dan orang orang Umno.

Oleh itu sama ada PAS berjuang bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat , PAS tidak akan sama sekali meninggalkan matlamat perjuangannya untuk menegakkkan Islam yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hukum hudud.

Tetapi dalam masa yang sama PAS juga amat maklum di atas kejahilan majoriti rakyat negara ini tentang hukum hudud tersebut dan batasan serta halangan perundangan, perlaksanaan hukum hudud mungkin tidak dapat disegerakan perlaksanaannya meskipun diandaikan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini. Atas dasar itu hasrat melaksanakan hudud tidak pernah menjadi penghalang kepada Pas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.

PAS maklum DAP masih belum menerima hasrat perlaksanaaan hudud di negara ini. Penentangan DAP bagi PAS bukan perkara yang pelik. Jika Umno yang bermajoritikan orang Islam juga menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud apalah yang nak dihairankan DAP yang bermajoritikan orang bukan Islam juga menentang hudud. Apabila Kelantan dan Trengganu ( ketika diperintah oleh PAS ) ingin melaksanakan hudud , siapa yang mencabarnya di Mahkamah ? DAP atau Umno ?

Saya optimistik DAP yang mempunyai ramai para intelektual boleh menerima hudud satu hari nanti kerana isu hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama malahan juga menurut perspektif intelektual. Melihat sokongan yang makin meningkat ke atas kelab penyokong PAS dari kalangan orang bukan Islam, DAP kini tidak boleh menyatakan hudud ditentang oleh semua orang bukan Islam.

Sepertimana yang saya katakan perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif PAS. Ia adalah tanggungjawab bersama baik Umno atau orang-orang Islam yang lain . Meskipun Umno menuduh PAS hanya berpolitik di dalam isu hudud , siapa yang boleh menidakkan kesungguhan PAS untuk cuba melaksanakan hukum Allah tersebut. Bukankah PAS yang telah bersungguh-sungguh menggubal enakmen hudud di Kelantan dan Trengganu ( semasa Pas memerintah ) .

Apa yang lebih menarik sebelum Kerajaan PAS Trengganu mengemukakan enakmen hudud di DUN Trengganu , PAS telah mengadakan seminar dan memanggil semua pihak termasukah Umno untuk memberikan pandangan dan kritikan mereka terhadap Enakmen yang ingin dibentangkan tersebut. Setahu saya ini tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Hal ini juga saya nyatakan kepada salah seorang Ahli Parlimen di London yang bertanyakan saya tentang enakmen tersebut ketika saya melawat Parlimen England bersama Y.B Salahudin Ayub suatu masa dahulu.

Umno halang hukum Allah

Jika PAS berusaha bersungguh-sungguh cuba melaksanakan hukum hudud semasa memerintah Kelantan dan Trengganu, Umno juga tidak ketinggalan bersungguh-sungguh cuba menghalang perlaksanaan hukum Allah tersebut. Tidak cukup pemimpin Nombor 1 UMNO ( pada masa itu ) menulis surat amaran kepada Kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hukum hudud ada juga pemimpin UMNO yang sanggup mencabar undang-undang hudud tersebut di Mahkamah. Malahan yang lebih teruk sekali pemimpin UMNO sanggup melabelkan hukum Alllah tersebut sebagai hukum hudud PAS.

Jika PAS boleh menyokong Bank Islam, Takaful , Universiti Islam mengapakah Umno amat sukar menerima hudud hanya kerana ianya digubal oleh Kerajaan PAS. Mengapa Umno tidak boleh sama sekali memberi ruang kepada PAS dalam isu hudud ini. Jika Perlembagaan menjadi penghalang sepertimana yang dikatakan oleh Zahid Hamidi mengapa selama ini Umno tidak bersedia memindanya bagi membolehkan PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Paling minima yang Umno lakukan adalah jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam. Dalam perkara yang bukan agama jika kamu salah bercakap, kamu hanya membuat kesilapan dan kesilapan tersebut tidak akan menjejaskan aqidah kamu.

Sebaliknya isu agama lain. Jika salah bercakap sila-silap akan tergelincir aqidah. Atas dasar itu dalam isu hudud diamnya para pemimpin Umno lebih baik daripada mereka bercakap. Ini kerana jika mereka diam kita mungkin rasa mereka jahil dalam isu hudud ini sebaliknya jika mereka bercakap barulah kita sedar memang confirmlah mereka ini memang jahil.- azm

(Penulis adalah Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dan seorang peguam)-azm_

Sabtu, 27 Disember 2008

Najib tunduk pilihan Khairy, calonkan Wan Farid?

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Pemilihan Dato' Wan Farid sebagai calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini dikatakan calon pilihan Khairy Jamaluddin sekaligus menunjukkan pengaruh Dato' Seri Najib Tun Razak sangat lemah dalam memilih calon sendiri dan dilihat hanya orang suruhan pihak lain yang nampak lebih berkuasa.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar menegaskan jika benar dakwaan tersebut, dalam konteks BN ingin mempertahankan kemenangan serta kelangsungan masa depan politik parti tersebut, seharusnya Najib diberikan ruang untuk menentukan calon pilihannya.

"Seharusnya Najib diberikan ruang untuk menentukan calon pilihannya kerana dikatakan berlaku peralihan kuasa selepas Mac nanti daripada Abdullah kepada Najib.

"Jika calon Kuala Terengganu ini Najib tidak dapat tentukan, sedangkan soal calon dan untuk mempertahankan kemenangan itu soal jangka masa panjang apabila Najib mengambil alih pemerintahan,"katanya ketika dihubungi.

Jelasnya lagi, calon pilihan Khairy itu juga menunjukkan seperti Naib Pemuda Umno itu lebih bertapak dalam menentukan orang-orang pilihan beliau yang perlu naik sebagai Ahli Parlimen.

Katanya lagi, pemilihan Wan Farid juga dianggap sebagai batu loncatan untuk Khairy merealisasikan hasratnya sebagai Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan akan datang.-azm _

5,000 Pemuda PAS bantu jentera pilihan raya

Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR - 5,000 petugas Pemuda PAS akan berkampung di Kuala Terengganu (P036) bagi membantu melicinkan jentera pilihan raya kecil itu pada 17 Januari nanti.

Petugas-petugas yang dihantar mempunyai tugas dan peranan masing-masing dalam bidang yang dikhususkan.

Selain itu, pelbagai aktiviti berdekatan yang akan dijalankan oleh pemuda PAS termasuklah sukan riadah, hiburan alternatif dan kegiatan sosial sepanjang berkempen nanti.

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan sukarelawan untuk menjadi sebahagian jentera pilihan raya dengan mendaftarkan diri di markas Pemuda bertempat di Kuala Ibai.

Sehingga kini, Pemuda PAS sedang mempersiapkan penempatan untuk petugas-petugas mereka di samping mempergiatkan culaan dari rumah kerumah.

Mengulas pandangan Salahuddin terhadap kemampuan PAS untuk merampas kembali Kuala Terengganu, beliau yakin PAS akan memperoleh kemenangan berdasarkan calon BN yang dikatakan tidak mesra pemuda.

" Kita boleh menang dalam pilihan raya kecil ini, daripada 'feedback' orang muda di Kuala Terengganu, calon BN kurang mesra dengan golongan muda," katanya.-azm _

PM arah tindakan terhadap blog hina Nabi

Polis, Kementerian Penerangan juga mahu tindakan tegas

BERNAMA


PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah laman blog, yang dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menimbulkan masalah besar dalam negara ini.

"Saya sudah beritahu kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya mengambil tindakan segera," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Dusun Buah-Buahan Tropika D-Paradise dekat Alor Gajah, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laman blog tersebut yang turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu.

Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat pihak lain.

Abdullah berkata: "Saya baru saja, dalam ucapan Hari Krismas baru-baru ini, mengatakan kita perlulah bersikap toleran, perlu pastikan kehidupan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan berlainan keturunan, kita mesti sentiasa waspada, sentiasa mengingati diri kita, jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keadaan yang tidak kita suka, ini pula hal berkaitan dengan agama".

"Ini berlaku pula begini, boleh jadi budak itu (penulis blog) tidak dengar apa yang saya cakap, perbuatannya ini akan menimbulkan banyak masalah yang tidak akan menyenangkan kita," kata Perdana Menteri.

Beliau mengingatkan jangan ada mana-mana pihak atau sesiapapun menghina agama dan kepercayaan rakyat Malaysia sama ada Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu memandangkan kesemuanya tinggal dalam sebuah negara.

"Kita bukan bermusuhan sesama kita, kita bukan bergaduh sesama kita.

"Sebenarnya kita semua rakyat Malaysia yang hendak negara kita ini aman, selamat dan makmur dan semuanya hidup dalam keadaan senang, sama-sama maju dan kita sama-sama berjaya dan negara kita sama-sama aman dan makmur," katanya.

Abdullah berkata, semua rakyat perlu sentiasa ingat supaya tidak sesekali melakukan perbuatan yang boleh menghina kepercayaan agama mana-mana kaum.

KOMEN MENTERI PENERANGAN

Dalam pada itu, wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad, mendakwa laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang tidak diketahui motifnya.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.

"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman di Kemaman hari ini.

"Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.

"Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhatihati dan membuat laporan polis," katanya.

Ahmad Shabery berkata, wanita yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat pemotoran besar di Lembah Klang sendiri mengakui beliau keliru dengan motif pihak tidak bertanggungjawab itu selain tertanya-tanya kenapa identitinya dijadikan mangsa.

"Dia mengesan kehadiran laman blog yang menggunakan nama serta identitinya itu beberapa bulan lepas dan telah pun membuat laporan polis serta Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, menteri berkenaan meminta pihak terbabit menyiasat segera laman blog berkenaan untuk membersihkan nama wanita terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bagaimanapun beliau difahamkan laman blog terbabit mempunyai pelayar yang berpangkalan di luar negara dan menyukarkan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak terbabit.

Katanya, beliau yakin laman blog itu sengaja diadakan-adakan oleh pihak yang mempunyai niat buruk terhadap wanita berkenaan serta majikannya.

Beliau berkata wanita itu kini berada dalam keadaan tekanan mental dan fizikal ekoran kejadian tersebut.

Ahmad Shabery yakin wanita tersebut tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog terbabit turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain.

ULASAN POLIS

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata, polis akan menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad itu.

Beliau berkata, perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung khususnya kepada umat Islam dan orang Melayu serta mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa.

Sebuah akhbar tempatan hari ini mendakwa terdapat sebuah laman blog, yang kononya milik seorang wanita Melayu, yang dikesan melemparkan penghinaan terhadap Rasulullah dan menggunakan gambar dan lukisan.

Ketika dihubungi Bernama di sini, katanya dari sudut perundangan, ia dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan polis akan segera menyiasat pemilik serta penulis blog berkenaan.

MP Kapar keluar PKR minggu ini?

Manikavasagam: Hadiah tahun baru bagi parti

Oleh G. MANIMARAN
[EKSKLUSIF]


PETALING JAYA: Permulaan tahun baru 2009 - hanya sembilan bulan selepas pilihan raya umum 8 Mac, bakal disambut dengan 'gegaran' dengan seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dipercayai sudah hampir pasti keluar parti itu.

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang sejak beberapa hari lalu menyatakan hasrat keluar PKR jika itu yang sesetengah pihak mahukan, berkata, "kali ini saya serius untuk mengambil tindakan keras."

Beliau dijadual mengumumkan pendiriannya secara rasmi sebelum Rabu ini.

"Saya sudah membuat keputusan muktamad. Saya tidak bergurau, saya memang serius, saya memang serius kali ini.

"Keputusan ini memang satu tindakan yang keras... ia akan menjadi hadiah tahun baru kepada parti," kata Manikavasagam ketika ditemui mStar Online di sini.

Manikavasagam, 43, juga merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan salah seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor.

Anggota Dewan Rakyat penggal pertama itu memenangi kerusi Parlimen Kapar pada 8 Mac lalu menewaskan penyandangnya, yang juga Ketua Wanita MIC, Komala Devi Perumal dengan majoriti 12,297 undi.

DIPUJUK ANWAR

Manikavasagam, yang kelihatan antara pemimpin lantang bersuara dalam PKR, mengakui beliau pernah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan meletakkan jawatan sebelum ini tetapi telah dipujuk oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.

"Tetapi kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain).

"Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya," kata beliau dalam nada sambil memperlihatkan kekecewaan dengan perkembangan semasa dalam parti tersebut.

KECEWA

Dua hari lalu, Manikavasagam melahirkan hasrat untuk keluar PKR dan mahu menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat.

Menurutu Manikavasagam, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan.

Manikavasagam menambah, beliau sudah kecewa dengan perkembangan sejak sembilan yang lalu.

"Saya sudah kecewa. Pengundi-pengundi saya tahu saya bekerja untuk mereka, saya tidak mahu ditipu lagi selepas mengalami nasib yang sama selama 50 tahun yang lalu," katanya.

Selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, jelas Manikavasagam, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat khususnya DAP.

SOKONGAN PEMIMPIN PKRTIADA

Kata Manikavasagam lagi, apabila dikritik oleh pemimpin parti komponen, tiada pemimpin PKR yang tampil mempertahankan beliau dan wakil-wakil rakyat yang lain.

Dalam penjelasan itu, Manikavasagam secara langsung merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.

Dua bulan lalu Manikavasagam juga pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Sebelum ini, Manikavasagam mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan menuduh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut Oktober lalu.

Khalid merupakan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor.

AMARAN TIMBALAN PRESIDEN

Dalam pertemuan dengan mStar Online, beliau juga memaklumkan bahawa menerima SMS daripada Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang antara lain menyatakan Manikavasagam sering memburukkan parti melalui media.

Syed Husin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR menasihatkan Manikavasagam agar menghentikan perbuatan itu.

Manikavasagam berkata, beliau menjawab SMS itu dengan menjelaskan bahawa pemimpin PKR termasuk Timbalan Presiden seharusnya meneliti tohmahan yang dilemparkan ke atasnya oleh Teng dari pelbagai sudut dan kesukaran yang dialami selama ini.

Katanya, pemimpin PKR tidak menghulurkan bantuan dan sokongan apabila diharapkan dan tidak melihat isu itu dari satu sudut semata-mata.