Jumaat, 26 Disember 2008

Khuatir keselamatan 80% penduduk Bukit Antarabangsa belum pulang

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Walaupun sudah seminggu kira-kira 2,000 penduduk di sekitar kawasan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, namun majoriti daripada mereka masih belum berbuat demikian.

Presiden Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Antarabangsa, Datuk N. Muneandy ketika dihubungi berkata, hampir 80 peratus penduduk kawasan perumahan yang disahkan selamat masih belum pulang ke rumah masing-masing kerana masih meragui tahap keselamatan di kawasan itu.

"Ramai lagi belum balik, mereka masih ragu-ragu dengan keselamatan persekitaran kawasan kediaman mereka," katanya.

Sabtu lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan laporan keselamatan di kawasan berkenaan berdasarkan laporan kajian geoteknikal yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

Ia melibatkan 188 rumah teres dan unit kondominium.

Kira-kira 81 rumah dan unit kondominium lagi masih belum selamat untuk diduduki.

Tambah Muneandy, memandangkan kerja-kerja pembersihan kawasan runtuhan masih belum selesai sepenuhnya, ia menambah kebimbangan penduduk mengenai keadaan keselamatan di kawasan itu, terutamanya bagi rumah-rumah yang berhampiran dengan kawasan runtuhan seperti di kawasan perumahan di Jalan Wangsa.

"Lagipun jalan utama masih belum siap dan ia menyukarkan penduduk untuk keluar masuk dari kawasan itu.

"Laluan sementara yang ada juga agak sesak, jadi sebahagian besar daripada mereka memilih untuk tidak pulang lagi sehingga semuanya selesai," katanya.

Pada Ahad lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika melawat lokasi tragedi memberi jaminan bahawa laluan utama akan disiapkan sebelum sesi persekolahan dibuka pada Januari depan.

Kata Muneandy lagi, penduduk yang masih belum pulang kini menumpang di rumah keluarga masing-masing dan ada juga yang menyewa mengikut kemampuan masing-masing.

Bagaimanapun katanya kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air sudah disambungkan untuk kegunaan penduduk.

"Elektrik dan air sudah ada, hanya talian telefon sahaja masih belum ada," katanya.

Tiada ulasan: