Oleh MOHD SAYUTI OMAR
SEHINGGA rencana ini ditulis siapakah yang bakal diturunkan oleh PAS dan BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari depan masih menjadi teka teki. Walaupun kedua pihak sudah ada nama-nama calon yang disenaraipendekkan namun tidak ada siapa berani mengesahkan. Segalanya boleh bertukar disaat-saat akhir.
Ini biasa berlaku. Parti politik tidak suka mendahului di antara satu sama lain dan semacam mahu menyembunyikan calon masing-masing atas maslahat strategi politik. Bagaimana pun teka teki ini akan terjawab tidak beberapa lama lagi memandangkan tarikh penamaan calon sudah hampir dekat.
Biarlah siapa yang akan menjadi calon dan akan diturunkan kedua pihak tersebut tidak perlu bagi kita. Usah pedulikan. Anggaplah ianya tidak penting dan kepentingan itu adalah perkiraan parti-parti politik saja. Yang pentingnya baik PAS atau BN akan menurunkan calon masing-masing untuk mempertahankan maruah dan bagi menjamin pilihan raya itu berlaku dan menarik.
BN menurunkan calonnya dengan harapan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi tahun 2004 itu manakala PAS juga mempunyai iltizam sama untuk merampas balik kerusi itu yang pernah dimenanginya beberapa kali. Kali terakhir PAS menang ialah pada tahun 1999.
Kejayaan dan kekalahan akan memberi impak tersendiri. Bagi BN ia boleh menggambarkan kekalahan itu kemerosotan pengaruh BN di Terenggau dan juga di luar Terengganu. Sebaliknya bagi PAS kemenangan akan menyebabkan semangat rakyat akan meledak dan pengaruh PAS di Terengganu juga akan membumbu tinggi dengan tiba-tiba. Kemenangan itu penting bagi PAS memupuk semangat dan membuat persediaan untuk pilihan raya ke-13.
Dengan mengenepikan soal colon cuba kita lihat sejauh manakah peluang dan potensi masing-masaing pada pilihan raya itu. Apakah isu-isu yang akan digunakan untuk meraih atau menarik hati kira-kira 82,000 pengundi di kawasan Parlimen itu yang terdiri daripada 88.14% Melayu, 10.94% Cina, 0.65% India dan 0.27% lain-lain bangsa itu.
Isu-isu yang mungkin akan dimainkan oleh PAS nanti antara ialah;
1. Masalah peralihan kuasa dalam Umno yang dirancangkan pada Mac depan nanti.
2. Masalah ketidakyakinan anggota BN terhadap Umno.
3. Masalah perpecahan Umno Terengganu yang kini mempunyai dua kumpulan, satu kumpulan bekas MB Terengganu, Idris Jusoh dan satu lagi kumpulan Menteri Besar, Ahmad Said.
4. Isu rasuah dalam pemilihan Umno yang menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat ketika ini.
5. Isu diskriminasi kerajaan Pusat berhubung wang ehsan royalti minyak di Terengganu yang berbeza layanannya semasa PAS memerintah berbanding BN memerintah.
Hari ini Umno berhadapan dengan masalah peralihan kuasa pada Mac depan yang dilihat pengunduran Abdullah itu dibuat secara paksa. Peralihan kuasa itu berlaku kerana adanya desakan agar Abdullah Ahmad Badawi berundur dari memimpin Umno dan meninggalkan Putrajaya. Isu ini sudah pastikan akan dieksplotasikan oleh PAS bagi menggambarkan Umno dalam keadaan kucar kacir.
Begitu juga isu ketidakyakinan MCA dan Gerakan kepada Barisan Nasional (BN) yang ditulangi oleh Umno akan ditimbulkan. Isu ini semakin ketara dan gagal dikawal oleh Umno. Beberapa pemimpin MCA dan Gerakan masing-masing menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan meminta BN direform dengan pelbagai cara.
Apapun yang menariknya isu perbalahan dan perpecahan Umno Terengganu dirasakan menjadi isu yang paling panas.Isu ini bakal memberi gangguan teruk kepada Umno.
Manakala di pihak Umno pula akan menimbulkan beberapa isu di sekitar PAS dan hubungannya dengan Pakatan Rakyat. Antara isu-isu yang kemungkinan akan dibangkitkan nanti ialah;
1. Masalah ketidaksekataan sesetengah pemimpin dalam menerima Pakatan Rakyat dan berhubung polisi dan dasar-dasar tertentu dalam kerajaan Pakatan Rakyat.
2. Ketidaksefahaman pemimpin PAS terhadap projek 16 September yang digembar-gemburkan oleh Anwar.
3. Masalah PAS yang dikatakan dianaktirikan di negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Pulau Pinang.
4. Isu muqabalah antara PAS dengan Umno.
Itulah isu ataupun masalah yang dikira akan ditimbulkan oleh kedua pihak. Selain itu, isu tempatan semasa yang akan dibangkitkan dari masa semasa akan memanaskan lagi pilihan raya berkenaan.
Manakala dilihat kepada sejarah masa lalu di kawasan itu ia sungguh menarik. Kedudukanya hampir sama rata sahaja. Baik PAS maupun BN silih berganti menguasai Parlimen berkenaan kecuali pada tahun 1974 dan 1990 di mana tahun 1974 ketika itu PAS berada dalam BN dan tahun 1990 ianya dimenangi oleh Semangat 46.
PAS pernah menguasi kerusi itu sebanyak dua kali pada tahun 1969 menerusi calonnya Daud Samad, pada tahun 1999 menerusi Syed Azman Syed Ahmad. Tahun 1974 walaupun Mustafa Ali dari PAS memenangi kerusi berkenaan ia tidak boleh dikira kerana ketika itu PAS berada dalam BN ia boleh dianggap sebagai kemenangan bersama.
Manakala BN pulang memenangi sebanyak tujuh kali pada tahun 1964 (Ismail Kasim) 1978 dan 1982 (Abdul Manan Othman) 1986, Zuber Embong (1995), 1995 Bakar Daud, 2004 dan 2008 (Razali Ismail).
Di lihat kepada staistik itu jelas menunjukkan kekuatan PAS dan BN hampir sama rata. Tidak ada mana-mana parti antara keduanya mendominasi antara satu sama lain.
Di sini boleh diperkatakan nasib atau kemenangan kedua parti itu bergatung kepada isu-isu semasa. Pengundi Cina sebanyak 10.9% juga menjadi penentu dan ia tidak boleh dipandang remeh. Misalnya kemenangan PAS tahun 1999 adalah isu pemecataan Anwar Ibrahim dari Umno. Isu itu telah menyebabkan masyarakat setempat bersimpati dan menolak Umno.
Apabila isu berkenaan mengendur lima tahun kemudian, kerusi itu kembali semula kepada Umno sehingga tahun 2008 lalu menerusi calonnya Allahyraham, Razali Ismail.
Begitu juga kemenangan parti Semantat 46 pada tahun 1990 menerusi Abdul Manan Othman kerana ketika itu berlaku perpecahan dalam Umno ekoran perlawanan Tengku Razaleigh Hamzah dengan Dr Mahathir Mohamad.
Kesimpulannya kalah menang atau peralihan sokongan pengundi kerana isu. Sekiranya berlaku sesuatu isu peringkat nasional menyebabkan ia boleh mengubah mood pengundi. Ironisnya isu-isu nasional itu berdasarkan masa lampau berlaku merubah senario menyebabkan BN yang kalah.
Hari ini tidak ada isu besar yang mendadak melainkan krisis keyakinan rakyat kepada BN. Apakah isu ini akan mempengaruhi pengundi? Sekiranya isu yang berlaku dalam Umno dan BN ibarat api dalam sekam itu mempengaruhi pengundi tidak syak lagi calon PAS akan menang. Ini pun bergantung sejauh mana kesungguhan dan kepaduan Pakatan Rakyat memberi sokongan serta siapakah tokoh yang bakal diturunkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan