Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PETALING JAYA: Bekas Pengarah Urusan sebuah firma pembangunan hartanah, Othman Omar, 49, dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuatkuasa 1 Februari depan, menggantikan pemangku jawatan itu, Datin Paduka Low Siew Moi.
Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKNS dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.
Khalid berkata, pemilihan Othman adalah berdasarkan kelebihan pengalamannya yang menyeluruh dalam bidang pembangunan dan hartanah merangkumi pelbagai projek daripada pembinaan projek kos murah/sederhana hingga projek mega.
"Kerajaan negeri percaya, pengetahuan dan pengalaman beliau amat berguna bagi PKNS dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baharu (redevelopment of new townships) di Petaling Jaya, Kajang dan Klang," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Khalid berkata, kerajaan negeri yakin Othman dapat bekerjasama baik dengan semua pegawai kanan PKNS yang sedia ada sekaligus membawa PKNS mencapai matlamat asalnya.
"Kita yakin beliau akan membawa PKNS mencapai matlamat asal untuk memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi, selain meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat terutama di kalangan kaum Melayu yang mahu bekerja keras dan berusaha tanpa ihsan daripada mana-mana pihak," katanya.
Othman sebelum ini mempunyai pengalaman 25 tahun dalam industri pembinaan dan hartanah di Malaysia, Australia dan United Kingdom.
Beliau mendapat ijazah kepujian daripada University of Tasmania, Australia dalam bidang kejuruteraan awam pada tahun 1984.
Sebelum dilantik menerajui PKNS, Othman adalah Pengarah KLWK Sdn Bhd, sebuah anak syarikat SP Setia Berhad.
Othman ketika mengulas mengenai pelantikannya itu berkata, beliau menerimanya sebagai tanggungjawab untuk merealisasikan aspirasi kerajaan negeri agar PKNS dapat terus menerajui pembangunan di Selangor.
Pelantikan Low memangku jawatan Pengurus Besar PKNS menggantikan Datuk Harun Salim yang bersara hujung Oktober lepas, telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk kakitangan PKNS sendiri yang mahu seorang Bumiputera mengisi jawatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan