Khamis, 25 Disember 2008

Isma guna dikir barat cara kempen

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Peniaga getah sekerap dari Rantau Panjang, Kelantan yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari, Isma Airfath Hassanuddin mahu menjadikan hiburan sebagai cara kempen dalam pilihan raya itu.

Isma Airfath, 38, berkata, dengan mengadakan persembahan kebudayaan termasuk dikir barat dan konvoi bermotor menggantikan ceramah politik, ia dapat mengurangkan ketegangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

"Tak perlu berceramah...kita buat dikir barat, pertunjukan pentas untuk raih pengundi. Saya yakin minda pengundi di Kuala Terengganu dah cukup terbuka," di sini hari ini.

Isma Airfath, yang tiba dari Rantau Panjang bersama konvoi kereta mini dan van antik Vokswagen di Taman Batu Buruk petang ini, percaya cara sedemikian dapat mengelakkan sebarang kejadian seperti rusuhan seperti yang berlaku di Kuala Ibai pada pilihan raya umum lepas.

Katanya selama ini kempen pilihan raya di negara ini sering berlaku dalam suasana tegang dan beliau berpendapat sudah sampai masanya keadaan itu ditukar dengan melakukan kempen secara santai.

Tiada ulasan: