BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Parti Barisan Progresif India (IPF), V. Mathiyalagan gagal dalam cubaannya untuk menghalang Puan Sri Jayashree Gnanapandithan daripada menjadi presiden parti itu selepas Mahkamah Tinggi berkata ia tidak ada kuasa melayan permohonan perintah sementara yang dikemukakan oleh Mathiyalagan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md Yusof berkata Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyebut dengan jelas bahawa mahkamah tidak ada kuasa melayan atau menentukan apa saja saman, permohonan atau prosiding atas apa juga alasan berhubung keputusan parti.
Dalam menolak permohonan Mathiyalagan itu, beliau berkata bahawa untuk saman utama, mahkamah menyerahkan kepada defendan, yang telah menyatakan hasrat untuk mengetepikannya, untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi tujuan itu.
Peguam K. Saraswathy yang mewakili Mathiyalagan berkata, beliau akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan hari ini.
Dalam samannya, Mathiyalagan menamakan Jayashree serta setiausaha agung, K. Velayutham dan penolong setiausaha agung parti, K. Neducheralanathan sebagai defendan, dengan memohon deklarasi bahawa Jayashree bukan presiden IPF yang sah dan supaya surat pelantikan presiden itu bertarikh 20 April 2008 dianggap tidak sah dan terbatal.
Beliau mendakwa kenyataan majlis tertinggi IPF mengenai pelantikan Jayashree sebagai pemangku presiden dan kemudiannya presiden bagi menggantikan suaminya, mendiang Tan Sri M.G. Pandithan, adalah palsu.
Dalam afidavitnya pada 11 Disember, Jayashree berkata tidak ada unsur penipuan atau pemalsuan dalam pelantikannya sebagai presiden parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan