Sabtu, 20 Disember 2008

Tempoh graduan perubatan duduki ujian kecekapan dilanjut setahun

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tawaran kerajaan kepada graduan perubatan dari univesiti luar negara yang tidak diiktiraf untuk menduduki ujian kecekapan yang berakhir pada akhir bulan ini, dilanjutkan setahun lagi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, peraturan itu membabitkan kira-kira 200 graduan perubatan yang memilih untuk memindahkan kredit mereka kepada universiti tempatan dengan menjalani program bagi menguji kecekapannya selama 18 bulan.

Pada mulanya, program ini tamat dalam masa tiga tahun, tetapi ia dipendekkan kepada 18 bulan setelah menteri itu membangkitkan perkara ini pada mesyuarat Kabinet Julai lepas, katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya tempoh itu dipendekkan kepada 18 bulan daripada tiga tahun kerana graduan perubatan merasakan bahawa tempoh tiga tahun adalah terlalu lama kerana kebanyakkan mereka berumur 40 tahun ke atas.

Graduan daripada institusi yang tidak diiktiraf pada lazimnya dikehendaki lulus dalam ujian kecekapan sebelum mereka mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

"Semalam, Kabinet melanjutkan tarikh akhir untuk menduduki ujian kecekapan itu dari 31 Disember tahun ini kepada 31 Disember tahun depan kerana ramai graduan perubatan mendapati sukar untuk memasuki institusi tempatan bagi menduduki ujian ini," kata beliau.

Subramaniam berkata, Kabinet mengarahkan Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu graduan perubatan mendapatkan tempat di institusi tempatan bagi tujuan ini.

"Penuntut (graduan) akan dibahagikan dan ditempatkan di kolej perubatan kerajaan.

"Setelah menduduki ujian ini, graduan perubatan boleh ditempatkan di universiti tempatan yang diluluskan untuk menduduki kursus yang diperlukan dan lulus peperiksaan universiti yang dikehendaki bagi memperoleh ijazah.

"Mereka kemudian ditempatkan sebagai pegawai perubatan di hospital," tambah beliau. BERNAMA

Tiada ulasan: