Isnin, 29 Disember 2008

Lebih ramai ahli Umno PJS ikut Zahar?

Jimadie Shah Othman


Seorang pemimpin Umno Petaling Jaya Selatan (PJS) menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan lebih ramai ahli mengikut jejak langkah bekas ketua bahagian tersebut, Datuk Zahar Hashim keluar dari parti.

"Setakat hari ini Alhamdulillah. Tetapi, anak sungai lagi berubah, inikan pula hati manusia," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut mengenainya, tetapi sekadar berkata: "Satu dua hari ini OK".

Zahar - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - secara rasmi menyertai PAS Rabu lalu.

Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang.

Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian berkenaan awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Serah borang

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Ketika ditanya kesahihan dakwaan Zahar itu, pemimpin berkenaan berkata: "Mungkin ya. Kalau tidak kenapa beliau cakap macam itu."

Ekoran itu, tambahnya, kepimpinan bahagian yang kini dipangku timbalannya Datuk Raja Hapipudin Raja Nong Chik telah beberapa kali mengadakan pertemuan bagi mengukuhkan Umno bahagian itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Sharir ketika dihubungi, mengesahkan penyertaan 28 pemimpin bahagian itu ke dalam PAS Rabu lalu.

Katanya, borang permohonan telah diserahkan Zahar bersama-sama borang permohonan beliau, kepada setiausaha perhubungan negeri Ahmad Yusof Ludin, pada hari yang sama.

"Secara tidak rasminya, (sudah) diterima (sebagai ahli PAS)," katanya.

Diumum kelak

Menurut Roslan, 28 orang itu turut merangkumi 13 ahli jawatankuasa bahagian yang diumumkan Zahar.

Lazimnya, menurut beliau, seperti juga parti-parti lain, ketua cawangan turut menjadi ahli jawatankuasa bahagian.

Senarai pemimpin itu, kata Roslan, akan diumumkan kelak.

Sementara itu, bekas ketua bahagian bahagian itu, Aris Ripen pula mendakwa sebaliknya.

Katanya, daripada lebih 100 cawangan di Petaling Jaya Selatan, hanya dua atau tiga bahagian sahaja yang menuruti jejak langkah Zahar.

Begitu juga dengan ahli jawatankuasa bahagian, tambahnya yang juga ketua cawangan Medan Jati.

Tiada ulasan: