Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat pemilihan parti pada Mac depan wajar ditangguhkan jika siasatan berhubung aduan politik wang tidak dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Tegas beliau, jika Umno mahu terus bertahan dan kekal sebagai parti yang masih relevan dalam politik arus perdana, kesemua kes aduan politik wang yang didakwa berlaku sepanjang proses pencalonan lalu perlu diselesaikan sebelum pemilihan.
Pencalonan jawatan tertinggi parti berakhir awal bulan lalu kecuali lima bahagian dan pemilihan sepatutnya diadakan bulan ini tetapi telah ditunda hingga Mac depan.
Dalam temu bual dengan Astro Awani semalam, Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu tidak menolak kemungkinan dalam 800 kes politik wang yang kini disiasat Lembaga Disiplin, mungkin terdapat calon bakal pemimpin, yang turut dikaitkan dengan kes rasuah sepanjang tempoh pencalonan lalu.
"Kredibiliti pemilihan itu akan dipersoalkan. Orang yang terpilih nanti tidak akan mempunyai legitimasi, tidak mempunyai kedudukan yang wajar kerana pemilihan dibuat secara tidak betul dan tidak adil.
"(Ia) akan dipertikaikan selama-lamanya dan ini tidak boleh membawa kestabilan kepada parti. Orang akan terus mempertikaikan kedudukan pemimpin seumpama itu, apatah lagi kalau dia berkuasa, membuat keputusan-keputusan menyentuh kepentingan rakyat.
"Maka keputusan yang dibuatnya nanti akan dipertikaikan juga kerana pemilihannya tidak dibuat dengan cara yang baik. Ini semua merosakkan dan boleh membawa akibat yang buruk," kata beliau yang pernah menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno kali ini.
Beliau hanya memperoleh satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri.
Jawatan Presiden dimenangi tanpa cabaran oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak manakala jawatan Timbalan Presiden akan menjadi saingan tiga calon iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang menyiasat aduan membabitkan calon jawatan Timbalan dan Naib Presiden.
Dalam temu bual dengan mStar Online bulan lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, setiap kali ada pemilihan gejala politik wang semakin buruk dalam Umno.
Pun begitu, jelas beliau, kali ini jumlah aduan yang diterima kira-kira 900 kes iaitu lebih dua ganda berbanding ketika 2004, tetapi bukan seratus peratus di bawah Tata Etika Umno, sebaliknya hanya 40 hingga 45 peratus.
Justeru, Tengku Razaleigh berkata, Perlembagaan Umno perlu dipinda untuk mengeluarkan semua peruntukan yang bertentangan dengan Akta Pertubuhan dan Perlembagaan Persekutuan.
Malah, beliau juga mengesyorkan supaya keanggotaan dalam Lembaga Disiplin Umno yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat salah laku anggota dipilih dalam perhimpunan agung parti.
Ketika ini badan terbabit terletak di bawah Majlis Tertinggi, yang menubuhkannya sebagai badan berkecuali dalam parti.
"Kalau dia ini adalah lantikan Majlis Tertinggi, dia bertanggungjawab kepada Majlis Tertinggi, dia pun duduk di bawah Majlis Tertinggi sedangkan ada yang melakukan rasuah ini daripada kalangan ahli Majlis Tertinggi... barangkali.
"Jadi, bagaimana hendak harapkan Lembaga Disiplin yang dilantik oleh Majlis Tertinggi hendak bertindak terhadap Ahli Majlis Tertinggi, misalnya...," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan