MALAYSIA KINI
Tempoh tawaran kerajaan kepada graduan perubatan dari universiti seberang laut yang diiktiraf untuk menduduk ujian kecekapan - yang sepatutnya tamat pada 31 Disember tahun ini - telah dilanjutkan setahun lagi, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam hari ini.
Katanya, peraturan tersebut membabitkan kira-kira 200 graduan perubatan yang memilih untuk memindahkan kredit pengajian mereka ke universiti tempatan, dengan mengikuti program 18 bulan untuk menduduki ujian kecekapan tersebut.
Pada mulanya, program tersebut sepatutnya selesai dalam tempoh tiga tahun, tetapi ia telah dipendekkkan kepada 18 bulan selepas Dr Subramaniam membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet Julai lalu.
Menurutnya, tempoh tersebut telah dipendekkan dari tiga tahun kepada 18 bulan kerana graduan terbabit merasakan tempoh tiga tahun itu adalah terlalu lama kerana ramai daripada mereka berumur melebihi 40 tahun.
Graduan daripada universiti-universiti yang tidak diiktiraf biasanya dikehendaki lulus ujian kecekapan sebelum mereka boleh mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.
"Semalam, Kabinet melanjutkan tempoh untuk menduduki ujian kecekapan itu dari 31 Disember tahun ini kepada 31 Disember tahun depan (2009) kerana ramai daripada graduan terbabit sukar mendapat tempat di universiti tempatan untuk mengambil ujian tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Subramaniam, yang juga setiausaha agung MIC berkata, kabinet telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu graduan terbabit mendapat tempat di universiti tempatan.
"Pelajar (graduan) terbabit akan diagih dan ditempatkan di kolej-kolej perubatan kerajaan yang sedia ada," katanya.
Dr Subramaniam berkata, selepas menduduki ujian tersebut, graduan perubatan terbabit boleh ditempatkan di universiti-universiti tempatan untuk mengambil kursus-kursus yang dikehendaki dan lulus peperiksaan universiti seperti yang disyaratkatn, bagi mendapatkan ijazah masing-masing.
"Mereka kemudiannya akan dilantik sebagai pegawai perubatan di hospital-hospital," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan