Mohd Nor Yahya
KETEREH - Parti KeADILan Rakyat Kelantan menggerakkan jentera pilihan raya seramai 120 orang bagi membantu PAS dalam misi menawan Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil, 17 Januari depan.
Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, persiapan dibuat sejak minggu lepas bagi menghantar jentera ke Kuala Terengganu.
"Sebelum ini Setiausaha Kerja KeADIlan, Wan Shahudin Wan Ibrahim dan Pengarah Biro Menjana Tenaga Kemenangan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad telah mengenal pasti beberapa tempat untuk dijadikan markaz.
"PKR Kelantan akan berkampung di Dun Wakaf Mempelam, namun petugas-petugas juga dibenarkan meninjau Dun Ladang dan Bandar. Kami bersama pemimpin pusat seperti yang berlaku di Permatang Pauh Ogos lalu," katanya di sini.
Menurutnya kini giliran KeADILan membantu PAS bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat.
Kata beliau petugas akan ditambah pada hari penamaan calon dan hari pembuangan undi pada pilihan raya terbabit.
Selain itu beliau juga berkata, kumpulan kempen Wanita KeADILan Negeri akan menjalankan kempen dari rumah ke rumah bersama Muslimat PAS.
Manakala kumpulan penceramah akan diketuai Ketua Penerangan KeADILan Kelantan, Tuan Zamri Tuan Zakaria.
Dalam perkembangan sama Angkatan Muda Parti KeAdilan Rakyat Kelantan yakin pengundi Parlimen Kuala Terengganu akan menebus kesilapan mereka pada pilihan raya umum lalu.
Ketuanya, Wan Khairul Ihsan Wan Mohammad berkata, berdasar masalah dalaman Umno yang semakin membarah sekarang dan ditambah kenaikan harga barang, rakyat di Kuala Terengganu tidak akan mengulangi kesilapan sama seperti sebelum ini.- mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan