Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR - Harga minyak dunia dijangka terus merudum dan diramal boleh mencecah serendah AS$25 (RM86.50) setong pada tahun depan berikutan permintaan yang sangat lemah, terutama di kalangan negara-negara industri dunia.
Kejatuhan permintaan minyak dari negara-negara itu dipercayai pertama kali berlaku selepas tahun 1980an.
Ketua Penyelidik Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew yakin kejatuhan permintaan bagi komoditi itu akan berterusan memandangkan tiada tanda-tanda krisis ekonomi akan pulih.
''Berdasarkan situasi semasa, kedudukan harga minyak sekarang merupakan tindak balas kepada kemelesetan ekonomi global.
''Saya berpendapat harga minyak memang tidak boleh meningkat dalam tempoh singkat memandangkan pasaran menjangkakan OPEC akan terus mengurangkan jumlah pengeluaran sehingga harga minyak kembali stabil,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.
Rabu lalu, OPEC sebulat suara bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyaknya sebanyak 2.2 juta tong sehari atau kira-kira tujuh peratus daripada kuota kartel mulai Januari untuk mengelakkan harga komoditi itu terus susut.
Pengurangan itu dipercayai yang terbesar pernah dilakukan oleh OPEC, yang mengeluarkan 40 peratus keperluan minyak mentah dunia.
Malah, harga minyak mentah bagi penghantaran Januari dan Februari masih kekal rendah di bawah AS$40 (RM138.40) setong.
Harga emas hitam itu pernah mencatatkan rekod tertinggi iaitu AS$147 (RM508.62) setong pada Julai lalu.
OPEC dijadual mengadakan satu lagi perjumpaan pada 19 Januari ini untuk membincangkan pengurangan pengeluaran sekiranya harga minyak terus jatuh.
Mengulas lanjut, Teng Siew berkata, kejatuhan minyak dunia sekarang memang sesuatu yang di luar jangkaan dan sukar untuk meramalkan bila ia akan naik semula.
''Kejatuhan minyak tahun ini memang dianggap 'gila' kerana tidak sesiapa pun yang menyangka ia boleh jatuh ke tahap sekarang. Ini adalah kejatuhan dalam sejarah industri minyak,'' ujarnya.
Beliau tidak menafikan spekulasi hebat terhadap harga komoditi itu merupakan penyumbang terbesar terhadap kejatuhan harga komoditi tersebut.
Bagaimanapun, beliau percaya, harga minyak dijangka meningkat sedikit menjelang akhir tahun depan.
Dalam pada itu, Teng Siew berkata, meskipun harga minyak dunia jatuh namun adalah tidak praktikal sekiranya harga minyak di negara ini terus diturunkan.
''Kejatuhan harga minyak dunia tidak boleh dibandingkan dengan harga minyak di pasaran tempatan,'' ujarnya.
Beliau menyifatkan, harga baru bagi minyak sekarang adalah 'cukup bersesuaian' dan tidak perlu diturunkan lagi walaupun sekiranya harga minyak mentah dunia terus menjunam.
Jelas beliau, tindakan kerap menurunkan harga minyak tidak akan memberi kebaikan kepada pengguna pada masa depan.
''Kita perlu ingat Petronas akan menjadi pengeksport minyak mentah dalam tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan rakyat Malaysia tidak selama-lamanya bergantung pada subsidi.
''Selain itu, kerajaan juga perlu mendidik rakyat agar tidak menggunakan banyak minyak,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan