Ali Bukhari Amir
Mengamuk dan 'perang besar' juga orang-orang kuat Gapena dalam forum kelmarin. Forum itu bertajuk Forum Ke Arah Memantapkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu. Profesor Dato' Dr Abu Bakar Abdul Hamid bertindak sebagai pengerusinya.
Sebelum berlangsung, pengerusi forum, Dato' Dr Abu Bakar Abdul Hamid meminta Dr Abdul Latiff Abu Bakar menyatakan pendirian Gapena berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
"Pena mencabar Gapena menyatakan pendiriannya terhadap isu PPSMI," kata Dato Abu Bakar Abdul Hamid, sejurus sebelum Dr Abdul Latiff Abu Bakar bangkit menyatakan pendiriannya berhubung isu itu.
Dari kejauhan, Dr Abdul Latiff memandang ke wajah Dr Shaharir Mohamad Zain lalu dia mengangkat tangan sebagai isyarat bahawa nantinya dia akan jelaskan semula pendirian badan Gapena itu ke atas isu PPSMI. Dr Shaharir tunduk mengangguk, sebagai membalas isyarat tersebut.
Isu ini berbangkit setelah Gapena menjemput bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap di dalam sebuah acara mereka sebelum ini. Tun Mahathir tetap setia mempertahan dasar PPSMI itu.
"Saya adalah contoh orang yang lahir dalam sistem itu, tetapi saya masih bercakap dalam bahasa Melayu," kata Tun Mahathir dalam acara anjuran Gapena dulu.
Pertamanya, Mahathir buat kesilapan besar jika beliau cuma melihat dirinya saja sebagai hasil produk pendidikan penjajahan British itu.
Kedua, Tun Mahathir adalah anak pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid dan hal ini perlu diperhitungkan juga daripada segi latarbelakang keluarga. Beliau lahir di dalam keluarga yang berpendidikan. Walhal, tak ramai pelajar yang lahir dalam keluarga seperti itu.
Mahathir barangkali juga terbiasa dengan berbahasa Inggeris, hasil asuhan serta didikan keluarganya, khasnya ayah beliau. Ini pun, satu perhitungan juga kalau mahu bandingkan diri dengan para pelajar yang mana bapa mereka tidak berpendidikan tinggi.
Sikap Mahathir mempertahan PPSMI bukan hal ganjil. Beliau tentu mahu mempertahan dasar-dasar lamanya. Ekoran hal Mahathir dijemput Gapena itu, telah berlaku fitnah yang terpalit ke atas badan gabungan penulis itu. Ramai pihak melihat Gapena cuba bermain politik dan banyak andaian yang kurang enak didengar sejak kejadian itu.
Gapena tetap setia membantah PPSMI
Sebenarnya, menurut Dr Abdul Latiff, Gapena tetap setia dalam mempertahan idea dalam membantah PPSMI tersebut. Menurutnya, akhbar itu telah mengambil sudut pemberitaan yang lain dan akhirnya semua ini mendatangkan musibah besar ke atas Gapena.
"Ini politik akhbar, mahu jatuhkan kepimpinan Gapena," jelas beliau lagi. "Jadi, ramailah pihak yang ingat kami bermain politik."
Ketika forum hampir tamat, Dr Abu Bakar Abdul Hamid berkata, "Jika begini sikap yang ditunjukkan oleh Gapena, barangkali.. "
Prof Madya Dato' Zainal Abidin Borhan mencelah, "Di mana Kumpulan Prihatin?" Ada raut kekesalan yang terpamer jelas di wajahnya. "Kenapakah Gapena yang selalu dilihat sebagai pihak yang patut memikul tanggungjawab semuanya?"
Lalu, disanggah Dr Shaharir dari bawah pentas forum, "Tapi, Gapena yang paling besar!"
Biar pecah penjara Kamunting!
"Apa kata kita semua ke penjara. Biar pecah penjara Kamunting!" kata Dr Zainal Abidin Borhan. "Biar selepas ini akan ada lagi Universiti Kedua, Ketiga dan Keempat?"
Di pihak Gapena, ada kemungkinan kumpulan ini tertanya-tanya, adakah mereka akan dipertahankan jika berlaku tangkapan ke atas mereka ekoran bantahan luarbiasa terhadap isu PPSMI? Barangkali, setelah dilihatnya tiada sebarang bentuk bantuan, maka sebab itu juga mereka tidak berani bertindak. Ini andaian awal.
Di pihak Kumpulan Prihatin, mereka melihat Gapena sebagai badan yang paling kuat dan paling ampuh bertenaga dalam menyamnpaikan saran-saran dan kritikan sehingga libasan maut kata-kata Gapena itu mampu melumpuhkan sendi kekuatan kerajaan.
"Jika Gapena buat bantahan luarbiasa ini, kerajaan akan buka mata berbanding kita." kata seorang pensyarah apabila selesainya forum tersebut.
Badai gelora tsunami, garangan demi garangan akhirnya mula surut. Mungkin Kumpulan Prihatin dan Gapena termasuk badan NGO Melayu Muslim yang lainnya patut membuat akad, waad sebagai Sri Tri Buana dan Demang Lebar Daun dalam isu PPSMI.
Kumpulan Prihatin (Demang Lebar Daun) dan Gapena (Sri Tri Buana) patut bersumpah. Antara waadnya, kalau Gapena ditangkap, maka Kumpulan Prihatin mesti menggerakkan seluruh jentera dan kekuatan yang ada untuk memastikan Gapena tidak diapa-apakan.
Waad yang seterusnya, ialah wajib ke atas semua anak-anak Melayu khasnya NGO-NGO untuk masuk penjara dengan hal ini. Oleh kerana dalam debat itu, ada empat orang yang terlibat sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, maka simpulkan bahawa ada empat orang yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memeterai waad, sumpah janji setia ini.
Di pihak Sri Tri Buana (Gapena), mereka adalah Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan Dato' Zainal Abidin Borhan, manakala di pihak Demang Lebar Daun (Kumpulan Prihatin), wakilnya adalah Dr Shaharir Md Zain dan Prof Dr Abu Bakar Abdul Hamid.
Mungkin pada peringkat pusingan pertama ini, mereka sepatutnya mengeratkan kesetiaan bersama-sama dalam isu ini. Dan waad ini turut diikat bersama PKPIM sebagai generasi muda yang kerap disebut Dr Abu Bakar Abdul Hamid kelmarin dalam forumnya.
"PKPIM sudah buat bantahan dalam internet. Cuma setakat hari ini (kelmarin), saya lihat hanya 524 orang sahaja," kata beliau ketika mempromosikan laman web badan pelajar itu kepada sidang hadirin. "Sepatutnya, kita perlukan tandatangan lebih sejuta orang."
Mulanya saya fikir PKPIM dapat melakukan sesuatu yang luarbiasa untuk PPSMI ini dan dapatlah beraksi nakal sedikit sebagai tabiat orang muda; 'the angry young man.' Terkini, mereka mengirim bantahan PPSMI ke Putrajaya.
Rupa-rupanya, 'newspaperman' iaitu orang-orang akhbar-akhbar juga ingin membuat satu aksi nakal juga, semoga terbuka pintu mata hati Hishammuddin Tun Husein untuk segera memansuhkan PPSMI.
Baling kasut atau mahu debat PPSMI di TV9?
"Takkan wartawan kita nak pi baling kasut macam wartawan Iraq baling kasut kat Bush?" kata Ahmad Lutfi Othman kepada saya pada suatu malam.
"Enta tau berapa harga kasut tu sekarang?" tanya beliau. "Dah berapa juta dah."
Saya terdiam banyak kali juga. Akhbar hanya boleh melaporkan kegilaan demi kegilaan. Tapi, kalau akhbar sendiri mahu buat aksi gila, ini betul-betul gila. Di dalam fikiran saya, PKPIM patut menjadi penganjur debat.
Tapi, saya tahu benar sejauhmana kekuatan PKPIM. Dengan sekali sergahan serta ugutan orang-orang kementerian, nescaya mereka berdiam. Paling menakutkan ialah pembatalan pendaftaran pertubuhan itu.
Lalu, saya pun terfikir bahawa pihak yang anjurkan debat kenaikan harga petrol di antara Anwar dan Shabery Cheek itu ialah laman portal Agenda Daily yang usianya lebih muda berbanding Harakah. Kedua-duanya sama, media juga. Bezanya, Harakah lebih lama.
"Kalau PKPIM tak boleh anjurkan debat PPSMI sebab mereka takut, tak kan Harakah tak boleh anjurkan kot?" demikian getus hati saya. Inilah respon kepada soalan ketua saya apabila malam itu kami perah otak, cari idea baru untuk serang PPSMI dalam masa terdekat.
Serahkan urusan Kumpulan Prihatin dan Gapena membuat ikatan waad dan dalam jangka masa terdekat orang-orang akhbar pun boleh bertindak berdasarkan ruang dan batas-batas yang ada. Masih ada lagi ruang rasional sebelum meletupnya kegilaan demi kegilaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan