Isnin, 22 Disember 2008

Polis siasat isu pasport Malaysia disalahgunakan di luar negara.

BERNAMA


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat kes pasport rakyat Malaysia yang disalahgunakan oleh anasir-anasir atau individu yang tidak bertanggungjawab, termasuk pengganas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kes salahguna pasport itu diketahui oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam Persidangan Interpol di Rusia barubaru ini dan kejadian sebegini telah memberi imej yang buruk terhadap Malaysia.

"Pada Persidangan Interpol barubaru ini, mereka membangkitkan bahawa beberapa pasport Malaysia dikesan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di beberapa kawasan lain.

"Jadi kami sedang melihatnya...siapa orang itu, ada tidak sindiket tempatan bekerjasama dengan sindiket antarabangsa, apa yang mereka buat, apa tujuan mereka menyalahgunakan pasport itu dan berapa yang terlibat sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah anjuran Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Katanya jika isu-isu ini tidak dikendalikan, ia akan memberi gambaran buruk bahawa terdapat banyak sindiket di Malaysia yang tidak terkawal. Ditanya sama ada pasport-pasport terbabit adalah tulen, Ismail berkata: "Kami tiada maklumat lanjut...kita sedang bekerjasama dengan Interpol untuk mendapatkan data yang lebih tepat, berapa yang tulen, berapa yang mungkin dipalsukan."

Ditanya mengenai statistik jenayah di negara ini pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, Ismail berkata ia masih lagi di bawah kawalan di mana kenaikan kes-kes yang direkodkan hanya lebih dua peratus sahaja, selari dengan jumlah penduduk yang bertambah.

Katanya perkonsian pintar antara polis, agensi-agensi penguatkuasa undangundang yang lain, badan bukan kerajaan dan orang ramai diperlukan untuk mencegah dan memerangi jenayah.

Selain itu, PDRM juga akan diperkuatkan dari segi tenaga kerja, iaitu peningkatan kekuatan tenaga polis daripada 100,000 anggota kepada 150,000 anggota menjelang 2011.

"(Jumlah tenaga polis) perlu dinaikkan untuk kurangkan ratio penduduk dengan anggota polis. Umpamanya kalau di Petaling Jaya, rationya adalah seorang polis dengan beberapa ribu penduduk... Ini kira tinggi jadi kita nak kurangkan," katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis itu, Ismail berkata kemajuan teknologi maklumat yang menjadikan dunia sebagai tempat tanpa sempadan menyebabkan usaha memerangi jenayah semakin mencabar, di mana penjenayah dan sekutunya mampu berkomunikasi dengan pantas dan mengancam keberkesanan pihak penguatkuasa undang-undang.

Seminar dua hari tersebut disertai oleh 235 orang anggota polis, agensi dan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta.

Tiada ulasan: