Rabu, 24 Disember 2008

Tingkatkan bantahan, perjuangkan Bahasa Melayu! - Pemuda PAS

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada pihak Gabungan Penulis Nasional (Gapena) khususnya Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein selaku Ketua 1 Gapena yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Sebelum ini kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat beratus-ratus bantahan telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Pemuda PAS, Umno Johor termasuk menteri dan tokoh-tokoh ternama.

Malangnya pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah yang positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, kata Suhaizan

"Sudah sampai masanya individu dan NGOs ini memperkukuhkan hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah ke tahap kedua bantahan ini.

"Pemuda PAS telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah. Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Bagi mengajar orang-orang politik, pendekatan sekadar bantahan dalam persidangan yang kemudiannya dikeluarkan dalam media ini sudah tidak sesuai lagi.

"Orang politik sangat faham bahawa selagi bantahan ini tidak menggugat undi mereka dalam pilihan raya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agung parti, mereka maka selagi itulah mereka tidak akan berganjak.

Katanya individu dan NGOs ini perlu lebih agresif lagi termasuk melebarkan pemahaman dan bantahan ini di kawasan luar bandar di mana impak negatif PPSMI ini lebih terkesan kepada pelajar-pelajar di sana.

Tidak mustahil pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini termasuk menggunakan ASkta Keselamatn Dalam Negeri (ISA) namun demi bahasa Melayu yang akan terus di pinggir dalam negara, perjuangan mesti diteruskan malahan bantahan mesti ditingkatkan bagi memberi ingatan kepada parti pemerintah akan kesan negatif PPSMI, katanya - azm _

Tiada ulasan: