Ahad, 21 Disember 2008

80,229 pengundi di Kuala Terengganu

Oleh ZULKIFLI JALIL


PUTRAJAYA - Sebanyak 80,229 pengundi berdaftar meliputi 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pengundi pos akan membuang undi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen P.036 Kuala Terengganu, 17 Januari depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik dalam satu kenyataan hari ini berkata, senarai itu berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang diwartakan oleh SPR pada 5 Disember lalu.

''Sehubungan itu, SPR menyediakan perkhidmatan semakan maklumat pengundian bagi pemilih-pemilih berdaftar dalam bahagian Parlimen itu untuk urusan pengundian.

''Ia termasuk maklumat berikut seperti nama pusat mengundi di mana seseorang pemilih itu akan mengundi, nombor tempat mengundi (saluran) dan nombor siri pemilih yang tersenarai dalam Buku Daftar Pemilih," kata beliau.

Pemilih juga boleh membuat semakan mengenai maklumat pengundian masing-masing dengan melayari www.spr.gov.my.

Untuk tujuan itu juga, SPR menyediakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) yang akan bermula esok hingga 17 Januari dengan menaip SPR jarak nombor kad pengenalan dan hantar kepada 15888.

Pada pilihan raya umum Mac lalu di P.036 Kuala Terengganu, calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Razali Ismail menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu serta calon bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Tiada ulasan: