Khamis, 25 Disember 2008

Sembilan kereta terbakar di Kota Damansara

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA – Sembilan buah kereta bernilai kira-kira RM500,000 terbakar dalam kejadian dipercayai berpunca perbuatan khianat di tempat letak kereta sebuah restoran Cina di Kota Damansara dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, polis menahan seorang lelaki ketika cuba mengalihkan kereta Toyota Vios yang mengalami kerosakan kecil dari tempat kejadian sewaktu api telah berjaya dipadamkan, kira-kira dua jam kemudian.

Lelaki berusia 30-an tersebut ditahan apabila pemeriksaan polis mendapati kereta yang cuba dialihkan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Polis turut menemui dua bilah parang, satu gari dan satu kapak di dalam sebuah kereta Toyota Harrier yang terlibat dalam kebakaran tersebut.

Selain itu, antara kereta yang terbakar ialah jenis Proton Wira, Proton Satria Neo, Perodua Kancil dan Toyota Vios.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Shukor Sulong yang ditemui di tempat kejadian memberitahu, polis percaya kebakaran itu bermula dari Toyota Harrier berkenaan.

Menurutnya, beberapa orang saksi mendakwa ternampak tiga penunggang motosikal berlegar-legar di tempat kejadian sebelum kebakaran itu.

“Pihak bomba yang berkejar ke tempat kejadian selepas menerima aduan pada pukul 6.20 pagi, menghubungi pihak polis apabila mendapati terdapat sembilan kereta yang terbakar dan disyaki berpunca daripada perbuatan khianat.

“Setakat ini, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu untuk mengenal pasti punca kebakaran tersebut dan pihak yang bertanggungjawab melakukannya,” katanya.

Menurut Shukor, polis menyiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan.

Tiada ulasan: