Oleh Nazarali Saeril
SHAH ALAM: Tapak pusat penyebaran ajaran sesat Qadiani yang mempercayai ada nabi lain selepas Nabi Muhammad s.a.w di Kampung Nakhoda, Gombak, akan dirampas kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, berkata Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum ini membenarkan tapak berkenaan digunakan untuk dijadikan kediaman.
“Bagaimanapun, kumpulan ajaran sesat itu melanggar peraturan ditetapkan MPS dan menggunakannya untuk membina pusat ibadat yang berfungsi seperti masjid,” katanya, semalam.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Taklimat Khas Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Turut hadir Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid.
Taklimat itu diadakan bagi memberi penerangan kepada orang ramai termasuk bukan Islam berkaitan enakmen yang diwartakan sejak 20 tahun lalu.
“Kerajaan negeri sedang meneliti peruntukan undang-undang dan peraturan MPS termasuk Kanun Tanah Negara bagi membolehkannya mengambil tindakan termasuk merampas tanah berkenaan.
“Ajaran Qadiani mempunyai kira-kira 500 pengikut dan mereka percaya tidak perlu mengerjakan solat, tidak berpuasa Ramadan atau mengerjakan haji,” katanya.
Hassan turut memaklumkan enakmen itu penting untuk difahami khususnya bukan Islam kerana ia memberi kefahaman usaha penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
2 ulasan:
ISLAM AGAMA KEDAMAIAN
Islam adalah agama yang sempurna dan puncak kepada semua agama. Agama Islam adalah ajaran yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Yang Paling Mulia dan terakhir membawa syariat iaitu Nabi Muhammad saw. Kecintaan luar biasa yang diperlihatkan oleh Rasulullah saw kepada Allah swt telah menyebabkan Allah swt memberi jaminan kepada umat manusia jika mereka ingin dicintai oleh Allah swt, tiada lain kecuali mengikuti langkah-langkah kehidupan dan akhlak Baginda saw.
Katakanlah jika kamu (manusia) benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku (Rasulullah saw), nescaya Allah mencintaimu (3 : 31)
Nabi Muhammad saw adalah seorang Nabi yang diberi amanah oleh Allah swt. Kehidupan Baginda saw begitu terbuka dan tidak ada sesuatu yang tersembunyi. Al Quran, Sunnah dan Hadis adalah rujukan utama untuk mengetahui setiap langkah kehidupan Baginda saw. Adalah satu pembohongan jika mendakwakan sesuatu dengan mempergunakan nama Nabi Muhammad saw tetapi tidak bersumber Al Quran, Sunnah dan Hadis Shahih Baginda saw.
Ajaran yang benar akan mewujudkan orang-orang yang benar (shaadiqin). Orang-orang yang benar akan mewujudkan persekitaran dan kehidupan yang benar. Golongan ini akan menampakkan kehidupan mereka penuh dengan ketenangan, kegembiraan dan keberkatan. Mereka memiliki hubungan baik sesama manusia, baik yang beragama Islam ataupun bukan Islam serta akhlak mereka sering menjadi ikutan dan disenangi oleh orang lain.
1. Bencilah Dusta
Umat Islam perlu memeriksa diri, sejauhmanakah kita mengamalkan pesan-pesan suci Rasulullah saw. Baginda saw amat membenci dusta, dusta adalah sumber segala kejahatan. Baginda saw bersabda:
“ Tidaklah aku harus memberitahukan kepadamu tentang dosa yang amat besar? Beliau mengulangi kata-kata itu tiga kali. Para sahabat menjawab, Ya Rasulullah! Tentu dengan senang hati sampaikanlah hal itu kepada kami. Bersabda Baginda saw” kalau begitu dengarlah. Dosa yang pertama ialah syirik ( menyekutukan Allah ), dan sesudah itu durhaka kepada orang tua”. Baginda saw pada saat itu bersandar pada sebuah bantal tapi sekarang beliau bangkit lalu bersabda dengan nada yang keras “Jauhilah dusta, jauhilah dusta, jauhilah dusta!” Baginda saw terus mengulang-ulang kata itu sehingga para sahabat dapat melihat bayangan kesedihan di wajahnya. ( Bukhari dan Muslim ).
2. Berkata Benar
Apa yang dibimbangkan oleh Baginda saw terbukti benar kerana penyakit dusta ini akan menjangkitkan penyakit lain. Penyakit tersebut sangat berbahaya dalam masyarakat kita. Al Quran juga sering memberi peringatan mengenai penyakit ini iaitu sikap suka menokok tambah atau mengada-adakan sesebuah cerita. Terdapat segelintir masyarakat yang tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu perkara. Mereka hanya mendengar cerita di atas cerita atau menerima berita yang bersifat sepihak sahaja. Kemudian mereka menokok tambah dan diceritakan kembali kepada orang lain sehingga apa yang diceritakan itu kelihatan seolah-olah benar. Allah swt memberi amaran kepada golongan ini:
“Dan janganlah engkau turut apa-apa yang engkau tidak ada ilmu padanya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan ditanya”(17:36)
Allah swt juga memberi saranan kepada orang-orang beriman jika mereka mendapat sesuatu berita walaupun dari seorang fasik sekalipun, berita itu harus diselidiki. Peringatan Allah swt yang berbunyi:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” ( 49:6).
Selain itu, Allah swt juga mengajarkan kita untuk menjauhi sikap berprasangka buruk kerana penyakit ini amat buruk kesannya. Buktinya, apabila sikap berprasangka buruk ada pada seseorang ini mengakibatkan mereka akan menolak segala kebaikan dan kebenaran yang dilakukan oleh pihak pesaingnya. Sebagai contoh, apa yang dialami oleh umat Islam pada hari ini. Oleh kerana masyarakat Barat memiliki prasangka buruk terhadap orang Islam menyebabkan mereka menganggap semua orang Islam adalah pengganas. Begitu juga jika kita percaya sesuatu golongan itu dikatakan sesat, maka pemikiran kita terus beranggapan golongan itu sebagai bukan Islam. Padahal kemungkinan tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak benar. Oleh itu, Allah swt berpesan:
“Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain” (49:12)
3. Menghina dan Kasar
Berbalik kepada sikap suka berdusta, mengada-adakan cerita dan berprasangka buruk, semua sikap ini akan memudahkan seseorang untuk terjerumus kepada sikap suka menghina dan berkata kasar terhadap orang lain. Allah swt memberi peringatan terhadap permasalahan ini. Allah swt berpesan agar kita menjauhi sikap suka memburuk-burukkan orang lain dan mengeluarkan kata-kata yang kasar. Firman-Nya:
“Allah tidak menyukai ucapan yang buruk (diucapkan) dengan terus-terang kecuali oleh orang yang teraniaya” ( 4:148).
“Hai, orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum, mencemuhkan kaum lain, mungkin mereka itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah wanita mencemuhkan wanita lain, mungkin mereka itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah kamu memburuk-burukkan di antara kamu, begitu juga jangan memanggil-manggil dengan nama buruk.” (49:11)
Perhatikanlah di sekeliling kita, jika kita melihat ada seorang atau perkumpulan menghina orang lain dan berkata kesat serta kasar kepada pihak lain, maka pihak yang menghina itu bukanlah pengikut sebenar Nabi Muhammad saw kerana mereka membelakangkan pesan-pesan suci Al Quran.
4. Toleransi
Sebenarnya sikap kasar dan suka menghina ini akan membangkitkan pula sikap sombong dan tidak bertoleransi. Oleh kerana, Rasulullah saw memiliki akhlak yang selari dengan perintah Allah swt maka Baginda saw menjunjung tinggi sikap toleransi yang diajarkan oleh Al Quran, walaupun ke atas penganut agama lain. Bagaimana Rasulullah saw mampu memiliki sikap ini? Jawapannya Baginda saw tidak memiliki sikap sombong dan berprasangka buruk terhadap orang lain. Ini yang diperlihatkan oleh Baginda saw:
Suatu perutusan suku Kristian dari Najran menghadap kepada Baginda saw di Madinah untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam masalah keagamaan. Perbincangan itu diadakan di dalam masjid dan berjalan beberapa jam. Kemudian perutusan itu meminta izin meninggalkan masjid bagi mengadakan upacara kebaktian di suatu tempat yang tenang. Rasulullah saw bersabda bahawa mereka tidak perlu meninggalkan masjid yang memang merupakan tempat khusus untuk kebaktian kepada Tuhan dan mereka dapat melakukan ibadah mereka di dalam masjid (Zurqani).
Terdapat juga satu kisah lain, iaitu:
Hazrat Abu Bakar Al Shiddiq ra berbincang dengan seorang Yahudi, kemudian Hazrat Abu Bakar ra telah mengeluarkan kenyataan bahawa Nabi Muhammad saw adalah lebih mulia daripada Nabi Musa as. Orang Yahudi sangat marah dan mengadukan pekara ini kepada Nabi Muhammad saw. Rasulullah saw melayan permasalahan ini dengan penuh bijaksana dan memperlihatkan bagaimana ketinggian akhlak Rasulullah saw dalam menjaga hati penganut agama lain. Baginda saw bersabda kepada Hazrat Abu Bakar ra “Anda seharusnya tidak mengatakan itu kerana perasaan orang lain harus diperhatikan juga. Sesiapapun tidak boleh mengangkatku di atas Nabi Musa as” ( Bukhari)
Kenyataan Rasulullah saw tidak berarti bahawa sememangnya Nabi Musa as lebih mulia daripada Rasulullah saw. Tetapi sekalipun Rasulullah saw tahu bahawa Baginda saw lebih mulia daripada Nabi Musa as, tetapi mengatakan hal itu kepada orang Yahudi harus dihindarkan untuk menjaga perasaannya dan mengelakkan permusuhan.
5. Kafir
Pelajarilah sikap toleransi yang diamalkan oleh Baginda saw. Malangnya sikap ini yang semakin pudar di kalangan umat Islam dan menyebabkan mereka bersikap tertutup kepada penganut agama lain dan juga sesama Islam yang berbeza fahaman. Selain itu, di dalam Al Quran terdapat perintah umat Islam untuk bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir tetapi apakah Rasulullah saw banyak memberikan contoh sikap begitu? Dalam Sirah, Baginda saw lebih banyak memperlihatkan sikapnya yang amat lemah lembut dengan orang-orang kafir. Malah ada wanita Yahudi yang cuba membunuh Baginda saw dengan meracunkan makanannya, itu pun dimaafkan dan diperlakukan dengan baik. Jelaslah Rasulullah saw amat memahami terhadap perintah ayat Al Quran tersebut, perintah itu adalah merujuk kepada sikap tidak bertolak ansur sedikitpun terhadap kejahatan dan keburukan hati orang-orang kafir dan bukan bersikap keras dan tegas dalam pergaulan hidup dengan mereka. Ini adalah kerana terbukti dalam banyak kisah Baginda saw sering memperlihatkan sikap hormat, sopan dan lemah lembut di dalam pergaulannya dengan orang kafir. Akhlak seperti ini yang banyak memainkan peranan melembutkan hati orang-orang kafir untuk memeluk agama Islam. Peristiwa ini juga membuktikan kadang-kadang kita tidak memahami bahasa-bahasa kiasan dan perumpamaan yang digunakan di dalam Al Quran.
Terdapat satu lagi perkara untuk membuktikan perbezaan penafsiran dan pemahaman Rasulullah saw dengan para sahabat mengenai perintah Al Quran. Selepas Fatah Mekah, ada delegasi orang kafir Banu Tsaqif dari Taif datang ke Mekah. Baginda saw membina khemah di dalam masjid sebagai tempat orang-orang kafir itu untuk bermalam. Datang para sahabat mengatakan kepada Baginda saw, tak boleh benarkan orang-orang kafir tidur di masjid kerana orang musyrik itu najis mengikut firman Allah swt. Rasulullah saw menerangkan firman Allah swt “Innamal musyrikuuna najasun” itu merujuk kepada kekotoran hati, bukan badan yang dimaksudkan oleh firman Allah swt. Renungkanlah, sahabat Baginda saw yang fasih berbahasa Arab dan tinggal bersama-sama Rasulullah saw juga tidak dapat menangkap atau memahami dengan baik ayat-ayat suci Al Quran. Inilah bukti bahawa umat Islam pada hari ini yang berada lebih kurang 1400 tahun jauhnya, sudah tentu lebih parah dalam memahami dan mengerti rahsia-rahsia suci yang terdapat di dalam Al Quran.
6. Berhala
Selain itu, ramai pihak salah faham mengenai tindakan Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw memecahkan berhala ketika peristiwa Fatah Mekah. Rasulullah saw membinasakan 360 berhala di sekeliling dan di dalam Kaabah, pemusnahan ini adalah untuk mengembalikan fungsi Kaabah kepada tujuan asalnya sebagai tempat peribadatan sewaktu dibina oleh Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as. Tindakan ini bukan bermaksud Rasulullah saw mengizinkan orang Islam untuk membinasakan berhala-berhala di kuil-kuil peribadatan agama lain. Buktinya, kajilah sabda Rasulullah saw ini dengan sebaik-baiknya.
Aku minta dengan sangat kepadamu supaya takut kepada Tuhan dan berlaku adillah terhadap orang-orang Muslim yang berangkat beserta kamu. Pergilah berperang atas nama Allah dan gempurlah musuh di Syria yang adalah musuhmu dan musuh Allah. Jika kamu datang ke Syria, kamu akan berjumpa dengan mereka yang banyak mengadakan zikir Ilahi di dalam rumah-rumah peribadatan mereka, kamu hendaknya jangan berbantah dengan mereka dan jangan menganggu mereka. Di negeri musuh janganlah membunuh wanita dan kanak-kanak atau orang buta atau orang-orang yang sudah tua, jangan menumbangkan pohon dan merebahkan bangunan-bangunan (Halbiyya, Jilid 3)
Dan juga hayatilah firman Allah swt ini:
Dan sekiranya Allah tidak menangkis sebahagian orang dengan perantaraan sebahagian yang lain, nescaya biara-biara serta gereja-gereja Nasrani dan rumah-rumah ibadah orang Yahudi serta masjid-masjid yang didalamnya nama Allah banyak disebut telah dibinasakan. Dan pasti Allah akan menolong siapa yang menolong Dia. Sesungguhnya Allah Mahakuasa, Maha Perkasa. Mereka yang jika Kami teguhkan mereka di bumi ini, akan mendirikan sembahyang dan membayar zakat dan mengajak kepada kebajikan dan melarang dari kejahatan. Dan kepada Allah-lah terserah akibat dan segala urusan. (2: 39-40)
Firman Allah swt dan sabda Nabi Muhammad saw ini membuktikan keindahan dan kecantikan serta kebenaran Islam adalah agama daripada Allah swt Yang Maha Pengasih dan Penyayang, serta Pemilik Alam ini. Agama Islam tidak memerlukan kekerasan dan ugutan untuk memenangkan agama-Nya. Islam bukan agama yang ada campurtangan manusia yang sering menggunakan kekerasan dan ugutan untuk memenangkan agama mereka. Perhatikan baik-baik perkara ini, dalam keadaan perang sekalipun, umat Islam tidak dibenarkan merosakkan rumah peribadatan agama lain, apalagi dalam keadaan aman. Jika rumah peribadatan agama lain juga tidak boleh dirosakkan apalagi merosakkan masjid atau rumah Allah swt.
7. Membunuh sesama Islam
Di Pakistan, Iraq, Afghanistan, Mesir, dan beberapa buah negara Islam lain, ada gologan radikal atau pelampau agama ini sanggup membunuh orang Islam lain. Lebih hina lagi, mereka membunuh orang Islam lain yang sedang solat di dalam masjid. Semua ini berpunca apabila ada segolongan ulama tidak menyenangi atau berbeza penafsiran dan pandangan dengan segolongan ulama yang lain. Selalunya senjata keji yang digunakan untuk menghalalkan darah orang Islam yang lain ialah dengan mengeluarkan fatwa mengkafirkan pesaingnya.
Perkara ini sering terjadi di dalam sejarah beberapa tokoh suci Islam yang kita sanjungi pada hari ini, seperti cucu kesayangan Rasulullah saw iaitu Imam Hussein, terpisah badan dan kepalanya akibat fatwa yang dikeluarkan oleh sekumpulan ulama. Begitu juga Imam Shafie, Imam al Bukhari, Imam Ahmad bin Hambal, Imam Ghazali dan beberapa tokoh ulama Islam yang lain. Mereka dikafirkan dan dituduh sesat kerana pandangan-pandangan mereka bertentangan dengan sekumpulan para ulama pada waktu itu. Perbezaan pendapat ini menyebabkan para ulama tersebut tersinggung dan mereka-reka pelbagai fitnah dan mengeluarkan fatwa untuk menuduh tokoh-tokoh suci Islam tersebut sebagai murtad, kafir dan sesat sehingga kerajaan dan masyarakat terikut-ikut melakukan penganiayaan dan kezaliman ke atas mereka.
Hari ini, cuba perhatikan di negara-negara Islam yang berlaku pembunuhan sesama Islam. Jika pembunuhan seperti ini terjadi, lihatlah apa yang akan terjadi kepada negara tersebut. RENUNGKANLAH. Selalunya mereka berbunuhan disebabkan ulama mereka mengkafirkan pesaingnya, sehingga pengikutnya sanggup membunuh saudara Islamnya sendiri yang dianggap sebagai kafir. Padahal di pandangan Allah swt, selagi seseorang mengaku sebagai Islam dengan mengucapkan Kalimah Syahadah, individu tersebut adalah Islam. Allah swt amat murka urusan keimanan dipermain-mainkan, Dia telah mendatangkan azab dan kehancuran kepada golongan tersebut. Ini janji Allah swt:
Dan barangsiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah jahanam: ia akan menetap di dalamnya. Dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya dan menyediakan baginya azab yang sangat besar. (4 : 93).
Oleh itu, masyarakat di negara ini perlu berhati-hati. Jika seseorang mengucapkan Kalimah Syahadah dan kita anggap mereka sesat dan membunuhnya maka bersiaplah untuk menghadapi azab dan laknat Allah swt yang sangat besar dan pedih.
8. Peringatan Allah swt
Malah Allah swt memberi satu jalan keluar yang terbaik kepada umat Islam untuk tidak terperangkap kepada permasalahan ini atau menjadi pengikut kepada golongan ulama seumpama ini. Perhatikan baik-baik ayat suci Al Quran di bawah jika mereka ingin terselamat daripada kemurkaan-Nya.
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan”. (4:94)
Apa yang perlu diberi perhatian ialah berdasarkan ayat Al Quran tersebut, hanya perkataan salam yang diucapkan dengan cara Islam menyebabkan Allah swt telah memerintahkan jihad itu harus diberhentikan, kerana yang ingin mereka perangi itu bukanlah musuh Islam tetapi adalah orang Islam. Jika perkataan salam sahaja sudah memadai, apalagi jika sesuatu perkumpulan tersebut mengakui diri mereka sebagai Islam dan terpampang Kalimah Syahadah di masjid mereka. Oleh itu, berhati-hati jika kita ingin memerangi sesuatu perkumpulan kerana terlalu percaya kepada cerita-cerita yang kita dengar daripada pihak lain. Gunakan petunjuk Al Quran ini agar kita terselamat daripada kemurkaan-Nya. Allah swt juga memberi peringatan yang sangat keras kepada golongan yang mahu menghalangi orang Islam lain daripada menyebut nama Allah swt di dalam rumah-Nya.
“Dan siapakah yang lebih aniaya dari orang yang menghalangi menyebut nama-Nya di dalam masjid-masjid Allah dan berusaha untuk merosakkannya? Mereka tidak layak masuk ke dalamnya kecuali rasa takut. Bagi mereka di dunia ada kehinaan dan bagi mereka di akhirat tersedia azab yang besar”(2:114).
Berdasarkan ayat Al Quran di atas, rumah Allah swt adalah tempat di mana nama Allah swt dipuji dan diagungkan. Oleh itu, mana-mana tempat atau bangunan yang digunakan secara tetap untuk menyembah Allah swt adalah masjid. Oleh itu, sesiapa yang menghalangi seseorang untuk menyebut dan menyembah Allah swt di dalam rumah-Nya maka Allah swt akan memberi kehinaan dan mendatangkan azab yang sangat pedih kepada mereka.
Malah Allah swt memberikan keizinan kepada mereka yang dianiaya dan diusir tanpa sebab yang benar untuk mengangkat senjata melawan golongan yang melakukan penganiayaan dan pengusiran, semata-mata kerana mereka berkata Tuhan kami ialah Allah swt. Allah swt berjanji untuk memberi kemenangan dan berfirman:
Telah diperkenankan untuk mengangkat senjata bagi mereka yang telah diperangi, disebabkan mereka telah diperlakukan dengan aniaya dan sesungguhnya Allah berkuasa menolong mereka. Orang-orang yang telah diusir dari rumah mereka tanpa sebab yang benar, hanya kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah.” (22:39-40)
9. Siapa Islam?
Jika diperhalusi, semua masalah ini berpunca apabila ada pihak yang menokok tambah dan membuat definisi sendiri tentang status seorang itu Islam atau tidak tanpa merujuk Al Quran dan Hadis Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw. Dalam hadis Shahih Muslim, Kitabul Iman, Jibril yang datang kepada Rasululah saw dalam bentuk manusia bertanya kepada Baginda saw: “Hai Muhammad! Beritahukanlah kepadaku tentang Islam.” Rasulullah saw bersabda : “Islam, ialah hendaknya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Utusan Allah, mendirikan solat, memberikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan beribadah haji ke Baitullah jika engkau mampu menempuh di jalannya. Orang itu (Jibril) berkata “Engkau benar!”. Justeru itu, tiada pihak atau mana-mana ulama sekalipun di dunia yang boleh menokok tambah kepada definisi Islam yang ditetapkan oleh Rasulullah saw. Ini bermakna walaupun umat Islam berbeza penafsiran dan pandangan mengenai sesuatu perkara di dalam Islam., tiada sesiapa atau perkumpulan ulama manapun yang boleh mengkafirkan seseorang atau satu perkumpulan Islam yang lain. Ini adalah kerana selagi golongan tersebut mengamalkan Rukun Islam yang disabdakan oleh Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw, mereka adalah ISLAM.
10. Ulama
Dalam seminar Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam yang diadakan pada tahun 2001, terdapat satu pandangan yang mampu memberikan gambaran mengenai keparahan sesetengah umat Islam di negara ini. Prof Dato’ Dr Abdul Rahman Embong mengatakan: “Umat Melayu Islam dituntut menerima apa yang dihujahkan oleh pendakwah dan ulama tanpa mempersoalkannya, maka dari segi pemikiran, masyarakat Melayu Islam hari demi hari terus menjadi penurut dan pematuh, suatu kelompok yang tidak berani berfikir di luar acuan dan parameter yang telah ditafsirkan, kerana jika mereka mereka berbuat demikian, mereka akan dipandang serong, dikenakan pelbagai label dan bahkan dipulau.”
Sebenarnya hal yang sama telah lama dibimbangkan oleh Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw. Baginda bersabda:
“Akan datang, satu zaman pada manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. Ulamanya akan menjadi wujud paling buruk di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” ( Baihaqi )
Apa yang menakutkan kita ialah perkara ini sedang berlaku di hadapan mata. Lihatlah disekeliling kita, berapa ramai orang Islam yang mengaku Islam tetapi memekak telinga terhadap laungan azan yang memerintahkan mereka untuk solat, sedangkan ini Rukun Islam yang kedua penting. Malah nama-nama Islam terpampang di dada akhbar melakukan kes jenayah seperti membunuh, merompak dan merogol. Bermakna golongan ini tidak memperdulikan perintah Al Quran. Inilah salah satu maksud Al Quran hanya tinggal tulisan. Manakala masjid-masjid kosong dari petunjuk kerana sepatutnya masjid menjadi tempat meningkatkan hubungan rohani dengan Allah swt dan membolehkan umat Islam terselamat daripada melakukan dosa. Tetapi sebilangan besar umat Islam tidak merasakan kelazatan dan berkat rohani ini. Sekali lagi, kaji dengan cermat sabda suci Nabi Muhammad saw ini Baginda saw menerangkan hal ini berpunca daripada sebilangan ulama-ulama yang menabur fitnah dan akhirnya segala fitnah-fitnah itu akan kembali kepada mereka. Ini bermaksud jika sekumpulan ulama memfitnah sebuah perkumpulan lain sebagai sesat atau menghina Islam, sebenarnya para ulama tersebut yang sesat dan menghina Islam. Inilah rahsia disebalik sabda suci Nabi Muhammad saw dan yang lebih memilukan ulama seperti ini adalah wujud yang paling buruk di bawah kolong langit mengikut pandangan Rasulullah saw. Hadis ini juga memperlihatkan, nanti Allah swt yang akan memberi petunjuk kepada sesebuah masyarakat untuk membezakan kepalsuan dan kebenaran. Dengan syarat, masyarakat tersebut mesti berusaha dahulu melakukan selidikan dan kajian sendiri dan banyak berdoa kepada Allah swt untuk diberikan petunjuk dan bimbingan-Nya. Lebih menakutkan lagi, ada hadis yang memperlihatkan segelintir masyarakat dan ulama di dalam umat Islam yang diumpamakan oleh Baginda saw sebagai “kera” dan “babi”. Mengapa perumpamaan yang keras seperti ini disabdakan oleh Rasulullah saw?
“Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umar, Juz XIV/38727)
Berdasarkan hadis ini, terdapat segolongan dalam masyarakat Islam yang disabdakan oleh Baginda saw, yang tidak tahu apa-apa mengenai ilmu agama lalu merujuk kepada para ulama mereka. Apabila para ulama mereka mengeluarkan fatwa atau memberi pandangan maka golongan rakyat tersebut kemudiannya bertindak mengikut semua seruan ulamanya tanpa menyelidiki kebenaran fatwa tersebut. Sifat ini yang diumpamakan oleh Rasulullah saw sebagai “kera” iaitu suka meniru sahaja tanpa memahami apa yang diperlakukannya. Sifat babi yang kita ketahui adalah suka kepada kekotoran atau najis dan tidak tahu malu. Ini bermaksud golongan ini dan para ulama mereka bukan sahaja suka meniru atau menurut sahaja, malah tidak tahu malu untuk melakukan pembohongan dan fitnah. Ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw, mengapa golongan ini disabdakan seperti “babi” kerana mereka menabur fitnah-fitnah kepada orang-orang Islam yang lain sebagai sesat dan bukan Islam padahal golongan yang dikatakan sesat itu adalah orang Islam. Fitnah dan pembohongan ini yang menyebabkan Rasulullah saw terpaksa menggunakan perumpamaan yang sangat keras tersebut kerana Rasululah saw mengetahui fitnah dan pembohongan seperti ini akan menyebabkan berlakunya kerosakan. Lebih biadap lagi, mereka memakai dan melaungkan nama Allah swt (Yang Maha Pengasih dan Penyayang) semasa melakukan kerosakan tersebut. Padahal Allah swt tidak suka kepada kerosakan.
“Dan carilah apa yang dianugerahkan Allah kepadamu untuk akhirat, janganlah kamu melupakan bahagiannya di dunia dan berbuat baiklah, sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang berbuat kerosakan.” (28:77).
Namun begitu, tidak semua ulama adalah sejahat itu kerana Baginda saw juga pernah bersabda bahawa para ulama umatnya juga adalah setaraf dengan para Nabi Bani Israil. Daripada sabda ini memperlihatkan betapa tinggi tingkat kerohanian para ulama umat Nabi Muhammad saw yang menyamai nabi-nabi Bani Israil. Sekali lagi, perhatikan dan selidiki pesan suci Nabi Muhammad saw ini bahawa "Ulama dalam ummatku sama seperti nabi-nabi Bani Israil..." Kajilah rahsia di sebalik kekuatan yang tersembunyi di dalam sabda suci ini. Adalah menjadi hak Allah swt untuk menganugerahkan pangkat kerohanian ini dan manusia tiada kuasa untuk menahannya. Golongan ulama ini yang diumpamakan seperti para Nabi Bani Israil hanya penerus syariat kepada Nabi Muhammad saw. Mereka tidak membawa ajaran baru atau kitab suci baru kerana pintu syariat telah tertutup tetapi pintu kerohanian sentiasa terbuka luas. Jika umat Bani Israil dikurniakan anugerah pangkat kerohanian yang tinggi oleh Allah swt ke atas para Nabi mereka, sudah tentu umat Nabi Muhammad juga akan dianugerahkan pangkat kerohanian tersebut kerana Allah swt pasti menganugerahkan pangkat ini kepada umat Rasulullah saw yang benar-benar mematuhi dan mencontohi Baginda saw.
11. Sesat?
Berbalik kepada ulama yang jahat itu, kita perlu berhati-hati jika mendengar satu perkumpulan dikatakan sesat. Golongan ulama sering mengatakan bahawa mereka memerangi ajaran sesat dengan tindakan yang keras dan tegas kerana golongan ini boleh mengancam dan memecah-belahkan umat Islam. Sedangkan Allah swt memiliki pandangan yang lain, Allah swt tidak membenarkan manusia mencampuri soal keimanan kerana jika manusia yang mencampurinya maka lebih banyak kerosakan yang akan berlaku. Kebanyakan kita menyokong pandangan ulama ini kerana kita berfikir menggunakan emosi dan logik tetapi Allah swt yang Maha Mengetahui tidak membenarkannya. Allah swt memberi peringatan ini:
“Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka (terpecah) menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanya (terserah) kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat”(6:159).
Allah swt memberi petunjuk yang sangat jelas tentang masalah ini. Jika kita ingin menyeru seseorang atau perkumpulan ke jalan Allah swt mesti dengan hikmah dan tauladan yang baik. Perbincangan atau muzakarah adalah platform yang terbaik dan amat digalakkan oleh Allah swt tetapi secara sopan untuk membantah akidah mereka dan bukan dengan cara ugutan atau kekerasan. Pelajari dan hayati pesan-pesan suci Allah swt ini:
“ Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” ( Surah An Nahl:125)
Berdasarkan ayat di atas, walau bagaimanapun sucinya niat kita, tetapi jika bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw, perkara itu bukan mendatangkan keberkatan tetapi akan mendatangkan kecelakaan kepada kita. Allah swt juga amat tegas memberi peringatan kepada umat manusia yang mahu menggunakan kekerasan untuk menyebarkan Islam. Allah swt berfirman:
“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang beriman semuanya? Dan tiada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah: dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.”(10:99-100).
Oleh itu, janganlah umat Islam bimbang kerana keimanan adalah satu kurnia daripada Allah swt dan manusia tidak diberikan hak untuk memaksa seorang itu untuk beriman apalagi menggunakan ugutan, penganiayaan, diskriminasi dan kekerasan. Golongan yang bersemangat mahu menggunakan kekerasan, mereka melakukan dua kesalahan yang besar iaitu pertama, mereka tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Kedua, mereka yang menghalangi penganut agama lain untuk jatuh cinta dengan Islam kerana mereka menonjolkan Islam sebagai agama keganasan. Kebiadapan seperti ini pasti mendatangkan kemurkaan Allah swt. Jelaslah, golongan ini sebenarnya pengacau, perosak dan pengganas yang mencemarkan kesucian Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad saw. Oleh itu, kita perlu mendalami hal agama dan jangan bergantung kepada golongan yang mendakwa diri sebagai Pembela Islam sedangkan tindakan mereka tidak bersumberkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Pelajari dan contohi kecantikan akhlak dan strategi Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw. Baginda saw menyebarkan Islam melalui akhlak dan menonjolkan keindahan Al Quran, selebihnya adalah tanggungjawab Allah swt untuk menjadikan umat Islam sebagai umat yang terbaik ke atas penganut agama yang lain. Ini sesuai dengan janji-Nya:
“kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia.” (3:110).
MUZAKARAH JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS)
DENGAN JEMAAT AHMADIYAH MUSLIM MALAYSIA
Kesediaan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengadakan pertemuan dengan pihak Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia merupakan satu langkah yang terpuji. Diharapkan semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri Selangor yang memperjuangkan hak rakyat, keadilan dan ketelusan mesti menyokong agar pertemuan ini dapat dilakukan secara terbuka. Cara ini adalah yang terbaik untuk meningkatkan lagi percambahan pemikiran masyarakat dan menjernihkan permasalahan yang timbul sepertimana yang dilaporkan di dalam media massa. Pertemuan ini bukan untuk mencari kalah atau menang tetapi mencari titik persamaan bagi memartabatkan Islam serta membolehkan masyarakat mendapat sumber primer dan bukan sumber sekunder yang selalunya ada unsur tokok tambah dan pengubahsuaian.
Masalah ini timbul apabila terdapat kenyataan bersifat ugutan oleh salah seorang ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor iaitu Datuk Dr Hassan Mohd Ali, Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor. Beliau mengatakan “Ajaran Qadiani bakal berkubur” di dalam beberapa akhbar seperti Harian Metro pada 6 November 2008 dan pada 23 Disember 2008, akhbar Sinar Harian memuatkan kenyataan beliau yang mengatakan “Kerajaan Negeri Selangor akan merampas tanah milik Jemaat Ahmadiyah.”
Ugutan
Ugutan ini semata-mata dibuat kerana Jemaat Ahmadiyah merupakan golongan minoriti Islam yang memiliki beberapa perbezaan pandangan dengan golongan Islam yang lain. Perbezaan ini menyebabkan Jemaat Ahmadiyah dilempari dengan pelbagai fitnah sehingga dianggap sesat dan telah difatwakan terkeluar dari Islam. Fatwa ini menyebabkan mereka dipandang serong dan dibenci oleh masyarakat. Buktinya, jika ada orang Jemaat Ahmadiyah yang meninggal dunia, jenazahnya tidak diterima dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam. Diskriminasi ini cukup untuk memberi penjelasan mengenai nasib malang yang telah lama ditanggung oleh golongan ini dan jawapan mengapa Jemaat Ahmadiyah terpaksa menggunakan bangunannya sendiri sebagai rumah Allah s.w.t atau masjid.
Kenyataan YB Datuk Dr Hassan Ali menampakkan seolah-olah beliau beranggapan solat anggota Jemaat Ahmadiyah adalah tidak sama dengan solat orang Islam yang lain dan tidak diterima oleh Allah s.w.t. Jika beliau tidak memiliki permikiran sebegini, pasti beliau tidak berani untuk mengeluarkan kenyataan untuk merampas tanah milik Jemaat Ahmadiyah. Kenyataan beliau ini yang menimbulkan rasa sedih bagi setiap anggota Jemaat Ahmadiyah kerana di jiwa raga mereka hanya ada Islam dan kecintaan yang mendalam ke atas Nabi Muhammad s.a.w, Khataman Nabiyyin. Ini yang diajar dan ditekankan oleh pendiri Jemaat Ahmadiyah, Mirza Ghulam Ahmad. Anggota Jemaat Ahmadiyah yang berada di 198 buah negara (www.alislam.org) tidak pernah mengangkat kemuliaan pendiri Jemaat Ahmadiyah melebihi kemuliaan Nabi Besar Junjungan kita Muhammad s.a.w. Tetapi fitnah-fitnah menuduh mereka lebih memuliakan Mirza Ghulam Ahmad daripada Nabi Muhammad s.a.w. Sedangkan tulisan-tulisan dan syair-syair Mirza Ghulam Ahmad memuji-muji Rasulullah s.a.w dan memperlihatkan kecintaannya yang amat luar biasa terhadap Baginda s.a.w. Malah tulisan-tulisannya yang banyak menutup mulut musuh-musuh Islam di zamannya yang selalu menghina Rasulullah s.a.w.
Namun begitu, musuh-musuh Jemaat Ahmadiyah sering membuat pelbagai propraganda dengan memotong-motong pandangan Jemaat Ahmadiyah. Mereka sering mempergunakan isu Jemaat Ahmadiyah mengaku ada Nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. Kenyataan sebegini tanpa memberi kesempatan Jemaat Ahmadiyah untuk memberi penjelasan pasti akan memudahkan masyarakat bertambah benci kepada mereka, seolah-olah Mirza Ghulam Ahmad membawa agama dan kitab suci yang baru dan cuba merendah-rendahkan Kenabian Rasulullah s.a.w. serta menghina Islam. Sedangkan ini bukan akidah Jemaat Ahmadiyah.
YB Datuk Dr Hassan Mohd Ali telah mengeluarkan kenyataan yang keras kerana beliau merasakan fatwa tersebut tidak memadai untuk menekan Jemaat Ahmadiyah, beliau mahu tindakan yang lebih keras lagi agar Jemaat Ahmadiyah ini terkubur. Kenyataan ini membuktikan beliau ingin memaksa anggota Jemaat Ahmadiyah tidak boleh menzahirkan diri mereka sebagai Islam atau mahu menanggalkan Islam pada jiwa ahli Jemaat Ahmadiyah. YB Datuk Dr Hassan Mohd Ali juga mahu memutuskan hubungan anggota Jemaat Ahmadiyah dengan Allah s.w.t dan memberhentikan golongan ini memuji-muji Nabi Muhammad s.a.w serta membaca ayat-ayat suci Al Quran di dalam rumah Allah s.w.t. Ini menunjukkan beliau beranggapan seakan-akan anggota Jemaat Ahmadiyah tidak berhak untuk hidup di Selangor ini. Inikah keadilan yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat? Sebagai pemimpin Islam, YB Datuk Dr Hassan Mohd Ali harus memperlihatkan perintah Allah s.w.t yang memerintahkan kita untuk bersikap adil walaupun ke atas orang-orang yang kita tidak sukai. Firman Allah s.w.t:
“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa”. ( 5: 8 )
Bidang Kuasa JAIS
Sebenarnya berdasarkan fatwa terhadap Jemaat Ahmadiyah, secara praktiknya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya berkuasa ke atas orang Islam tidak boleh mengganggu Jemaat Ahmadiyah yang telah dianggap sebagai terkeluar daripada Islam. Tetapi pihak berkuasa masih lagi mahu menekan Jemaat Ahmadiyah melalui helah baru iaitu Jemaat Ahmadiyah melanggar fatwa dan menghina Islam. Mereka juga telah memasang papan iklan yang amat besar di Selayang mengatakan “Qadiani bukan ajaran Islam, hindari ajaran sesat”. Diharapkan masyarakat dapat menilai siapa yang menghina dan mempergunakan Islam, mereka yang melemparkan fitnah, berlaku tidak adil, menggunakan ugutan dan kekerasan serta mahu merampas hak orang lain adalah sebenarnya yang menghina Islam kerana mereka memakai nama Islam, padahal tindakan-tindakan ini bukan ajaran Nabi Besar Junjungan kita Muhammad s.a.w.
Sememangnya pihak Jemaat Ahmadiyah pernah melakukan pertemuan dengan pihak JAIS, tetapi pertemuan itu diadakan secara tertutup. Apa yang mengecewakan ialah selepas pertemuan tersebut, pihak JAIS mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Jemaat Ahmadiyah tetap berdegil. Sedangkan dalam pertemuan tersebut Jemaat Ahmadiyah telah kemukakan banyak bukti menjawab fitnah-fitnah yang dilemparkan kepadanya serta membuktikan bahawa mereka mengamalkan Rukun Islam dan Rukun Iman sama seperti orang Islam yang lain. Tetapi pihak JAIS terus meminta mereka bertaubat dengan mengucapkan Kalimah Syahadah "Laa ilaha Illallah, Muhammadur-Rasulullah”. Ini menyebabkan pihak Jemaat Ahmadiyah sudah serik dan tidak yakin untuk melakukan apa-apa pertemuan dengan pihak JAIS jika ianya diadakan secara tertutup. Untuk maklumat para pembaca, setiap anggota Jemaat Ahmadiyah tiada masalah untuk melafazkan Kalimah Syahadah kerana sejak kecil lagi mereka hanya memiliki satu Kalimah Syahadah yang sama seperti orang Islam yang lain, iaitu "Laa ilaha Illallah, Muhammadur-Rasulullah”.
Status Islam
Jika diperhalusi, semua masalah ini berpunca daripada pihak yang menokok tambah dan membuat definisi sendiri tentang status seseorang itu Islam atau tidak, tanpa merujuk Al Quran dan Hadis Nabi Besar Junjungan kita Muhammad s.a.w. Dalam hadis Shahih Muslim, Kitabul Iman, Jibril yang datang kepada Rasululah s.a.w dalam bentuk manusia bertanya kepada Baginda s.a.w, “Hai Muhammad! Beritahukanlah kepadaku tentang Islam.” Rasulullah s.a.w. Bersabda : “Islam, ialah hendaknya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Utusan Allah, mendirikan solat, memberikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan beribadah haji ke Baitullah jika engkau mampu menempuh di jalannya. Orang itu (Jibril) berkata “Engkau benar!”.
Justeru itu, pihak JAIS atau mana-mana ulama sekalipun tidak boleh menokok tambah definisi untuk menentukan seseorang itu Islam atau tidak. Tiada pihak yang boleh memberi definisi yang tepat mengenai Islam kecuali Nabi Besar Junjungan kita Muhammad s.a.w. Jika hal ini dilanggar maka timbullah permusuhan, kekecohan dan penganiayaan yang selalunya bersenjatakan dengan mengkafirkan orang lain. Perkara ini sering terjadi di dalam sejarah beberapa tokoh suci Islam yang kita sanjungi pada hari ini seperti cucu kesayangan Rasulullah s.a.w iaitu Imam Hussein, terpisah badan dan kepalanya akibat fatwa yang dikeluarkan oleh sekumpulan ulama. Begitu juga Imam Shafie, Imam al Bukhari, Imam Ahmad bin Hambal, Imam Ghazali dan beberapa tokoh ulama Islam yang lain. Mereka dikafirkan dan dituduh sesat kerana pandangan-pandangan mereka bertentangan dengan sekumpulan para ulama pada waktu itu. Perbezaan pendapat ini menyebabkan para ulama tersinggung dan mereka-reka pelbagai fitnah dan mengeluarkan fatwa untuk menuduh tokoh-tokoh suci Islam tersebut sebagai murtad, kafir dan sesat sehingga kerajaan dan masyarakat terikut-ikut melakukan penganiayaan dan kezaliman ke atas mereka.
Fitnah
Apa yang dikesalkan oleh pihak Jemaat Ahmadiyah ialah tokoh Islam yang berwibawa seperti YB Datuk Dr Hassan Mohd Ali juga terikut-ikut mempercayai fitnah-fitnah para ulama ortodoks sehingga kenyataan-kenyataannya jelas membuktikan sikap bencinya terhadap Jemaat Ahmadiyah. Beliau cuba menghalangi hak asasi sebagai seorang Islam untuk melakukan peribadatan kepada Allah s.w.t Yang Maha Esa dan memenuhi pesan suci Nabi Muhammad s.a.w. Malah ugutannya melanggar hak asasi manusia yang diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu hak untuk memeluk suatu agama yang diinginkannya. Pihak Jemaat Ahmadiyah tidak memperdulikan jika seluruh dunia mahu mengkafirkan Jemaat Ahmadiyah kerana urusan keimanan bukan urusan manusia. Ini adalah hak dan urusan Allah s.w.t dan tiada sesiapapun di dunia ini boleh mencabut atau merampas Islam di jiwa mereka. Lebih memilukan lagi di negara-negara Barat, pemerintahnya bukan Islam memberi kebebasan kepada orang Islam seperti Jemaat Ahmadiyah dan organisasi Islam yang lain untuk bebas berdakwah, mengamalkan, menganuti, beribadat sebagai Islam. Tetapi di negari ini yang sering melaungkan Islam sebagai agama Kedamaian melayan anggota Jemaat Ahmadiyah seperti warganegara yang tiada hak sebagai rakyat dan manusia.
Sebenarnya, sejak tahun 1970-an lagi, institusi agama Islam di negara ini terikut-ikut dan terlalu percaya terhadap fitnah-fitnah yang ditanam oleh segelintir para ulama di negara-negara Arab dan Pakistan yang sememangnya amat memusuhi Jemaat Ahmadiyah. Mereka mempercayai bulat-bulat apa yang difitnah terhadap Jemaat Ahmadiyah tanpa membaca atau merujuk buku-buku Jemaat Ahmadiyah, mereka hanya memetik dan mencedok buku-buku yang dikeluarkan oleh musuh-musuh Jemaat Ahmadiyah sahaja sebagai rujukan mereka untuk memfatwakan Jemaat Ahmadiyah sebagai sesat dan terkeluar daripada ajaran Islam. Golongan ini memfitnah Jemaat Ahmadiyah memiliki Kalimah Syahadah yang berbeza, mengagungkan Mirza Ghulam Ahmad melebihi daripada Rasulullah s.a.w, memiliki kitab suci yang lain, mengubah ayat-ayat suci Al Quran, tidak solat, solat menggunakan niat sahaja atau solat yang berkiblat ke Qadian, naik Haji ke Qadian India, ejen Inggeris dan Zionis serta menghapuskan jihad. Semua ini adalah fitnah dan pembohongan besar yang berniat jahat iaitu untuk menambahkan kebencian dan prasangka buruk masyarakat terhadap Jemaat Ahmadiyah. Nada dan kenyataan YB Datuk Dr Hassan Ali sama dengan para pelampau agama di Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.Yang terbaru adalah di Indonesia apabila dua orang pelampau agama iaitu Rizieq Shihab (Front Pembela Islam) dan Munarman (Panglima Komander Laskar Islam) telah membakar api kebencian dan melemparkan fitnah-fitnah terhadap Ahmadiyah. Fitnah-fitnah ini menyemarakkan api kebencian masyarakat terhadap Jemaat Ahmadiyah Indonesia yang kemudiannya mendorong berlakunya penyerangan ke atas masjid-masjid dan mencederakan anggota-anggota mereka. Akhirnya, Rizieq Shihab dan Munarman telah dipenjara selama 18 bulan oleh Kerajaan Indonesia. (www.thepersecution.org)
Lafaz Kalimah Syahadah
Pelajarilah kisah ini kepada mereka yang menuduh Jemaat Ahmadiyah melafazkan Kalimah Syahadah hanya di mulut sahaja tetapi di hati mereka dituduh mempercayai Kalima Syahadah yang lain. Rasulullah s.a.w pernah kecewa dan sangat kesal kepada Usamah bin Zaid apabila Rasulullah s.a.w diberitahu bahawa Usamah membunuh seorang kafir yang mengucapkan Kalimah Syahadah. Usamah bin Zaid membela dirinya dengan mengatakan bahawa beliau yakin bahawa orang kafir itu hanya mengucapkan Kalimah Syahadah kerana takut kepada senjata yang mahu menikamnya. Rasulullah s.a.w sangat marah dengan alasan yang diberi tersebut sambil bersabda:
“Apakah engkau sudah membelah hatinya untuk membuktikan kenyataan itu.”? (Shahih Bukhari, Kitab al Maghazi, bab ba’tsi an-Nabi Usmata ibna Zaid ila al-huruqat min juhainah, halaman 612).
Berdasarkan hadis sahih ini, sesiapapun tidak boleh menuduh seseorang mengucapkan Kalimah Syahadah hanya berpura-pura. Tuduhan ini tidak boleh dilakukan kerana itu bukan urusan manusia tetapi urusan Allah s.w.t. Ini merupakan salah satu sebab mengapa Jemaat Ahmadiyah telah memasang papan Kalimah Syahadah "Laa ilaha Illallah, Muhammadur-Rasulullah” di bangunannya bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat dan menangkis fitnah-fitnah yang dilemparkan kepadanya.
Untuk pengetahuan umum, anggota Jemaat Ahmadiyah Malaysia adalah peneroka awal kepada pembukaan Kampung Nakhoda, Batu Caves dan mendirikan surau sejak tahun 1959. Kemudian pada tahun 1964, mereka mendirikan masjid pertama di Kampung Nakhoda untuk anggotanya solat berjemaah. Jemaat Ahmadiyah tidak pernah menimbulkan permusuhan atau kekacauan dengan penduduk setempat. Penduduk Kampung Nakhoda selalu mendengar dan melihat anggota Jemaat Ahmadiyah melaungkan azan dan solat lima waktu sehari semalam mengikut waktu. Laungan azan ini juga membuktikan bahawa mereka memiliki Kalimah Syahadah dan mengerjakan solat lima waktu sehari semalam yang sama dengan orang Islam yang lain. Tetapi ada juga segelintir penduduk yang termakan dengan fitnah-fitnah ke atas Jemaat Ahmadiyah merasa tidak senang apabila mendengar anggota Jemaat Ahmadiyah melaungkan azan. Dalam Edisi Siasat ada penduduk mengatakan “apa perasaan kita apabila mendengar orang Hindu melaungkan azan.” Kenyataan ini memperlihatkan betapa rapuhnya pemikiran masyarakat mengenai Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sehingga mereka tidak dapat membezakan yang mana satu ajaran Islam dan bukan Islam.
Peringatan Allah s.w.t
Justeru itu kepada tokoh-tokoh Islam yang berkobar-kobar ingin menguburkan Jemaat Ahmadiyah dan merampas tanah milik mereka. Ada pesan suci Al Quran dan amaran Allah s.w.t berkenaan perkara ini.
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan”. (4:94)
Apa yang perlu diberi perhatian ialah berdasarkan ayat Al Quran tersebut, hanya perkataan salam yang diucapkan dengan cara Islam menyebabkan Allah s.w.t telah memerintahkan jihad itu harus diberhentikan kerana yang ingin mereka perangi itu bukanlah musuh Islam tetapi adalah orang Islam. Jika perkataan salam sahaja sudah memadai, apalagi jika Jemaat Ahmadiyah memiliki dan mengagungkan Kalimah Syahadah di jiwa mereka.
Kepada golongan yang mahu menanggalkan Kalimah Syahadah di masjid Jemaat Ahmadiyah dan berusaha untuk menghalangi mereka menggunakan bangunan ini sebagai rumah Allah s.w.t. Ini amaran Allah s.w.t kepada mereka. Allah s.w.t berfirman:
“Dan siapakah yang lebih aniaya dari orang yang menghalangi menyebut nama-Nya di dalam masjid-masjid Allah dan berusaha untuk merosakkannya? Mereka tidak layak masuk ke dalamnya kecuali rasa takut. Bagi mereka di dunia ada kehinaan dan bagi mereka di akhirat tersedia azab yang besar”(2:114).
Berdasarkan ayat Al Quran di atas, betapa zalim dan aniaya jika kerajaan dan masyarakat terikut-ikut menyokong golongan ini yang menghalangi seseorang menyebut nama Allah s.w.t di dalam masjid-masjid-Nya.
Hak Allah s.w.t
Terdapat dua ayat suci Al Quran yang boleh dijadikan rujukan kepada mereka yang menuduh Jemaat Ahmadiyah cuba memecah-belahkan agama Islam dan mahu menggunakan pemaksaan dan kekerasan ke atas Jemaat Ahmadiyah. Allah s.w.t berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka (terpecah) menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanya (terserah) kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat”(6:159).
“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang beriman semuanya? Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah: dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya”(10:99-100).
Oleh itu, janganlah umat Islam terikut-ikut dengan momokan dan propraganda para ulama ortodoks yang bercakap bukan menggunakan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w tetapi menggunakan perasaan dan akal fikiran mereka sahaja.
Ulama
Berkenaan dengan ulama ini, terdapat satu hadis yang umat Islam perlu berikan perhatian dan renungan. Baginda s.a.w bersabda:
“Akan datang, satu zaman pada manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. Ulamanya akan menjadi wujud paling buruk di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” ( Baihaqi )
Berdasarkan hadis shahih ini, lihatlah disekeliling kita, berapa ramai orang Islam yang mengaku Islam tetapi memekakkan telinga terhadap laungan azan yang memerintahkan mereka untuk solat. Nama-nama Islam terpampang di dada akhbar melakukan kes jenayah seperti membunuh, merompak dan merogol yang bermakna golongan Islam ini tidak memperdulikan perintah Al Quran dan ada sesuatu yang tidak kena pada peranan masjid yang sepatutnya menjadi tempat meningkatkan hubungan dengan Allah s.w.t dan membolehkan umat Islam terselamat daripada melakukan dosa, tetapi kebanyakan masjid telah menjadi tempat perebutan kuasa. Berdasarkan hadis ini, Nabi Muhammad s.a.w sendiri yang memberi penjelasan bahawa semua ini adalah angkara dan berpunca daripada ulama-ulama. Tetapi akhirnya segala fitnah-fitnah itu akan kembali kepada mereka yang bermaksud Allah s.w.t yang akan menghina mereka dan masyarakat nanti akan menyedari bahawa golongan ulama ortodoks ini yang sebenarnya manusia yang paling buruk di bawah kolong langit. Pesan suci Rasulullah s.a.w ini amat penting diberikan perhatian oleh umat Islam agar mereka tidak menjadi pengikut-pengikut ulama-ulama tersebut.
Dalam seminar Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam yang diadakan pada tahun 2001, pelbagai tokoh telah memberi beberapa pandangan dan membongkar kemelut orang Melayu. Salah satu teguran dan pandangan yang perlu diberi perhatian ialah yang dikemukakan oleh Prof Dato’ Dr Abdul Rahman Embong. Beliau mengatakan “Umat Melayu Islam dituntut menerima apa yang dihujahkan oleh pendakwah dan ulama tanpa mempersoalkannya, maka dari segi pemikiran, masyarakat Melayu Islam hari demi hari terus menjadi penurut dan pematuh, suatu kelompok yang tidak berani berfikir di luar acuan dan parameter yang telah ditafsirkan, kerana jika mereka mereka berbuat demikian, mereka akan dipandang serong, dikenakan pelbagai label dan bahkan dipulau”.
Namun begitu, ini bukan bermakna semua ulama Islam itu adalah seperti itu kerana Baginda s.a.w juga pernah bersabda bahawa para ulamanya juga adalah setaraf dengan para Nabi Bani Israil. Daripada sabda ini memperlihatkan betapa tinggi tingkat kerohanian para ulama umat Nabi Muhammad s.a.w yang menyamai Nabi-nabi Bani Israil. Sekali lagi, ini pesan suci Nabi Muhammad s.a.w bahwa "Ulama dalam ummatku sama seperti nabi-nabi Bani Israil...". Kajilah kekuatan tersembunyi di sebalik sabda suci ini. Yang jelas tokoh-tokoh suci yang terdapat dalam umat Nabi Muhammad s.a.w menyamai pangkat rohani kenabian nabi-nabi Israil. Tetapi mereka tidak membawa ajaran baru atau kitab suci baru tetapi mereka memperkasakan dan menggilap kembali ajaran Islam yang semakin pudar. Tokoh-tokoh suci ini yang akan membimbing umat Islam untuk kembali memahami, mengamalkan dan meresapi ajaran Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi Yang Terakhir Membawa Syariat iaitu Al Quran. Ayat-ayat suci Al Quran tidak akan berubah jangan katakan satu huruf, satu titik pun tidak akan berubah kerana Al Quran akan hidup sehingga hari Kiamat di bawah peliharaan Allah s.w.t. Sesiapa pun tidak boleh melakukan pembohongan dengan memakai Al Quran kerana Al Quran sendiri akan membongkar pembohongan mereka. Oleh itu, janganlah umat Islam mengkafirkan orang Islam yang lain kerana semata-mata berbeza penafsiran. Perbezaan penafsiran tidak dapat dielakkan dan jalan keluarnya ialah perbincangan. Melalui perbincangan, masyarakat akan terbuka mindanya dan dapat menentukan penafsiran yang mana yang benar dan selari dengan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Islam itu berdiri dengan hujah dan hikmah bukan dengan emosi dan fitnah.
Selidikilah
Oleh sebab itu, umat Islam perlu berhati-hati apabila mendengar sesuatu cerita dan jangan menyebarkannya jika kita tidak memiliki pengetahuan di dalam perkara tersebut. Kita perlu selidiki dahulu sama ada benar atau tidak sesuatu berita tersebut. Masalahnya, merupakan suatu kebiasaan apabila mendengar sesuatu berita, kita langsung percaya dan menjatuhkan hukuman dengan memberi persepsi buruk kepada golongan yang dituduh tersebut. Jadikan pesan suci Al Quran untuk memecah masalah ini, Allah s.w.t berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” ( 49:6)
Oleh itu, kesediaan JAIS untuk mengadakan muzakarah dengan Jemaat Ahmadiyah adalah satu langkah yang terpuji. Pertemuan kali ini tidak lagi secara tertutup kerana tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat, muzakarah ini mesti diadakan secara terbuka. Mudah-mudahan pertemuan ini akan menjalin kerjasama yang lebih erat di antara umat Islam untuk mencari titik persamaan dan bukan titik perbezaan bagi memartabatkan Islam. Sepertimana yang dikatakan oleh seorang cendiakiawan Islam Indonesia, Dr Abdul Munir Mulkhan (2000) dalam kertas kerja berjudul Jalan Baru Solidaritas Muslim bagi Kemanusiaan sewaktu seminar International “Revitalisasi Persatuan Umat Islam di Era Millenium III di Universiti Gadjah Mada. Beliau mengatakan; “konsensus atau negosiasi di atas dilakukan untuk kepentingan sosial kolektif komunitas Muslim dalam beragam mazhab. Dengan demikian terbuka bagi Sunni, Syiah, Sufi, Ahmadiyah, Nahdatul Ulama (NU) atau Muhammadiyah dan aliran lain untuk saling belajar mengenai pengalaman kegagalan atau kesuksesan masing-masing. Elastisitas Sunni, Imamiah Syiah, jaringan global Ahmadiyah, pelembagaan aksi sosial dan pendidikan tinggi Muhamadiyah, atau pesantren dan kedekatan publik NU biar diramu menjadi suatu jalan baru Muslim dalam memerankan dirinya di tengah perkembangan peradaban baru di millennium ketiga ini.” Pandangan ini seharusnya dikembangkan bukan sahaja di Indonesia atau Malaysia tetapi harus diantarabangsakan ke seluruh umat Islam yang berbangsa-bangsa dan bermazhab-mazhab untuk membentuk Ukhuwwah Islamiyah. Tiada jalan lain untuk memenangkan Islam kecuali dengan mencontohi akhlak dan pesan suci Nabi Besar Junjungan kita Muhammad s.a.w. Penghulu Segala Nabi dan Nabi Yang Paling Mulia serta Pembawa Rahmat Sekalian Alam.
Catat Ulasan