Khamis, 9 Oktober 2008

Felda: Peneroka kesal jadi mangsa sabotaj
Basiron Abdul Wahab


KUALA LIPIS - Felda diminta menyiasat dakwaaan peneroka Felda Sungai Koyan 1 yang mendakwa borang permohonannya bagi pinjaman membaiki dan membina rumah telah disabotaj pihak tertentu menyebabkan beliau gagal mendapatkan pinjaman berkenaan.

Peneroka berkenaan, Sulaiman Hamzah,72, dari Felda Sungai Koyan 1, mendakwa, ketika Felda mengumumkan projek berkenaan kira-kira dua tahun lalu, beliau adalah di antara peneroka awal yang mengemukakan permohonan.

Malangnya, beliau tidak mendapat apa-apa balasan daripada pihak Felda walaupun peneroka yang memohon kemudian daripadanya telah mendapat jawapan dan telah membina rumah baru hasil daripada pinjaman tersebut.

"Setelah dua tahun menunggu jawapan daripada Felda, timbul rasa curiga lalu saya membuat semakan di Pejabat Wilayah Mempaga bagi mengetahui status permohonan saya, malangnya pihak pejabat wilayah memaklumkan tidak menerima sebarang permohonan di atas nama saya,"ujar warga emas itu.

Katanya, ekoran itu beliau membuat semakan di pejabat Felda Sungai Koyan 1 bagi mengetahui di samping menjejaki borang permohonan dahulu daripada pegawai bertugas.

Setelah memberi beberapa maklumat kepada pegawai berkenaan termasuk nama pegawai yang menerima borang permohonannya dahulu akhirnya beliau dimaklumkan bahawa borang permohonannya didapati tidak lengkap kerana borangnya telah hilang.

"Setelah memberikan segala maklumat diperlukan, termasuk nama pegawai yang menerima borang permohonan dahulu, saya terkejut kerana dokumen permohonan saya didapati hilang atau tidak lengkap sedangkan semasa menyerahkan permohonan dahulu semuanya telah dipastikan lengkap.

"Bagaimanapun pegawai bertugas mencadangkan supaya saya membuat permohoan baru,"katanya.

Sulaiman kesal kerana sikap tidak amanah pegawai berkenaan dalam menjalankan tugas selaku kakitangan Felda menyebabkan nama Felda menjadi buruk di mata masyarakat peneroka.

Menurut Sulaiman selain beliau ramai lagi rakannya menghadapi masalah sama dan peneroka yang menerima nasib sepertinya adalah daripada kalangan peneroka yang menganggotai Parti Islam Se Malaysia (PAS) atau disyaki sebagai penyokong PAS.

Beliau percaya, kerja sabotaj ini dilakukan oleh pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan parti politik.

"Inilah yang berlaku di dalam Felda yang tidak ditahui oleh masyarakat luar iaitu sikap maharajalela anggota parti tertentu," katanya.

Beliau percaya, tindakan buruk pihak berkenaan juga pastinya tidak disenangi oleh Felda dan pemimpin Umno juga.

"Saya berharap Felda dan Umno perlu membersihkan diri daripada kakitangan atau petualang yang bermaharajalela menindas peneroka selama ini. Mereka ini musuh kepada Felda, kerajaan dan peneroka sebenarnya. Tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak terbabit,"tegasnya.

Untuk rekod, Sulaiman adalah di antara peneroka awal yang menyerahkan ladangnya kepada Felda kerana komitmennya terhadap agensi berkenaan, tetapi malangnya beliau tetap menjadi mangsa 'pelampau Umno' kerana dianggap menyokong PAS, tindakan yang dibenarkan dalam sistem demokrasi dan tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang negara dan Felda juga. - mks. _

Tiada ulasan: