ALOR SETAR –
Pelancong terkejut apabila perlu membayar RM4 untuk sekeping roti canai
kosong di sebuah gerai di Pulau Langkawi baru-baru ini.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff
berkata, selepas kejadian harga ikan siakap lebih RM1,000, kini pihaknya
menerima pula aduan roti canai mahal di pulau tersebut.
Katanya, pengadu mendakwa gerai roti canai di tepi jalan itu mengenakan caj RM4 bagi sekeping roti canai biasa.
“Walaupun kita sedia maklum harga barangan dan bahan mentah mahal
sekarang, namun harga yang dikenakan pemilik gerai itu tidak masuk
akal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, isu sebilangan peniaga mengenakan caj makanan mahal di
pulau tersebut telah lama berlaku terutama ketika musim kemasukan
pelancong.
“Dari dulu sebilangan peniaga makanan di Langkawi ini akan menjual
harga mahal jika tiba musim kemasukan pelancong dan ia kembali disoalkan
setelah pembukaan gelombang pelancongan September lalu.
“Oleh itu, pihak kami meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah untuk selalu membuat pemeriksaan
di premis dan gerai makanan yang mengambil kesempatan menaikkan harga
makanan terlalu tinggi,” katanya.
Tambahnya, sejak dua minggu lalu, lebih 100 aduan pengguna diterima
berkaitan kenaikan harga makanan dan bahan mentah di negeri ini.
“Kami
nasihatkan peniaga makanan tidak mengenakan harga membebankan pengguna
selain meletakkan tanda harga supaya pengguna dapat membuat pilihan
sebelum membuat pesanan,” ujarnya. – K! ONLINE
Zakaria tegaskan menjadi seorang rider adalah pilihannya kerana berasa seronok melakukan pekerjaan itu.
Zakaria Abdul Wahab, 65, di
sebuah restoran untuk mengambil makanan tempahan pelanggannya, beliau
bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing sejak bulan September lalu
selepas bersara sebagai pemandu peribadi di Plaza Damas, Sri Hartamas.
Menjadi seorang penghantar
makanan bagi aplikasi serba ada Grab, sering disangka sebagai pekerjaan
golongan muda yang memerlukan kecergasan fizikal kerana sentiasa perlu
bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Malah, petunjuk prestasi utama (KPI) bagi penghantar makanan atau
“rider” juga sangat bergantung kepada kepantasan menghantar makanan
kepada pelanggan mengikut masa yang ditetapkan.
Namun begitu, cabaran ini bukanlah penghalang bagi warga emas,
Zakaria Abdul Wahab, 65, apabila beliau mengakui sangat seronok
melakukan kerja itu.
Zakaria
menceritakan sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu untuk sebuah
syarikat swasta selama 21 tahun, bagaimanapun sudah bosan dengan
pekerjaannya itu dan ingin mencari pekerjaan yang bersifat lebih bebas.
“Seronoknya menjadi rider ialah saya yang tentukan jadual pekerjaan
dan ini membuatkan saya rasa sangat bebas,” katanya ketika ditemui
MalaysiaNow di Kuala Lumpur.
“Saya bekerja setiap hari bermula jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam
dan melakukan penghantaran sekitar kawasan Mont Kiara atau kawasan
berdekatan dengan rumah di Pandan Jaya.”
Zakaria
Abdul Wahab, 65, menunggang motosikalnya untuk menghantar makanan ke
sebuah lokasi di Hartamas, beliau bekerja sebagai penghantar makanan
e-hailing sejak September lalu selepas bersara sebagai pemandu peribadi.
Menurut Zakaria yang sudah tiga bulan menjadi penghantar makanan
Grab, KPI yang dia tetapkan sebagai penghantar makanan adalah meraih
pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM100 sehari dan sasaran itu
baginya tidaklah begitu sukar.
“Tak susah nak capai RM100 sehari, cuma saya tidak akan keluar rumah apabila cuaca hujan, itu sahaja penghalang saya.
“Saya bersyukur pelanggan yang saya terima semuanya baik, jika
berlaku kelewatan, saya akan maklumkan kepada mereka, dan kebiasaannya
maklum balas yang saya terima amat positif,” katanya.
Sebelum
ini, kisah Zakaria sebagai seorang penghantar makanan warga emas tular
di laman sosial TikTok apabila seorang pelanggan yang memesan makanan
menerusi aplikasi GrabFood memuat naik sebuah videonya sedang menghantar
makanan.
Video yang memaparkan Zakaria berjalan secara perlahan dan membongkok
itu meraih perhatian ramai apabila menerima tontonan hingga ratusan
ribu dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Bagi Zakaria, perkara yang paling membuatkannya terharu ialah apabila
orang ramai secara tidak putus berkongsikan kata-kata semangat
kepadanya selain menghulurkan sumbangan wang tunai.
“Saya doakan yang terbaik kepada semua yang menghulurkan bantuan kepada saya. Semoga Allah murahkan rezeki anda.”
Mampu sara hidup
Dalam pada itu, Zakaria menceritakan, bekerja sebagai penghantar
makanan menyebabkannya mampu untuk menanggung kos perbelanjaan
bulanannya selain membayar bil air dan elektrik serta siaran televisyan
kabel Astro.
“Semua komitmen saya yang lain seperti bayaran pinjaman rumah dan
kereta sudah selesai. Jadi saya tidak begitu terbeban,” katanya.
Tiba
di lokasi, Zakaria Abdul Wahab, 65, hanya meletakkan makanan yang
dibawanya ke balai pengawal, bagi kediaman kondominium penghantar
makanan tidak dibenarkan masuk ke kawasan kediaman, ia adalah garis
panduan yang telah ditetapkan semenjak pandemik Covid-19 melanda.
Di
samping itu, Zakaria turut menafikan beberapa dakwaan pengguna media
sosial yang menyatakan dia menjadi penghantar makanan adalah disebabkan
anak-anaknya tidak mahu bekerja dan perlu menanggung perbelanjaan
keluarganya.
Zakaria menjelaskan, dua anaknya berusia 32 dan 24 tahun yang masih
menetap bersamanya itu sebelum ini mempunyai pekerjaan, tetapi mereka
ditamatkan perkhidmatan disebabkan penularan Covid-19 sejak tahun lepas.
“Anak saya yang berusia 32 tahun sebelum ini bekerja sebagai buruh
binaan manakala yang berusia 24 pula bekerja dalam bidang perhotelan.
“Mereka kehilangan kerja disebabkan Covid-19.
“Saya tidak akan paksa mereka lakukan kerja yang mereka tidak minat.
Saya galakkan hanya mencari pekerjaan yang ‘sejiwa’ dengan hati, barulah
rasa seronok melakukan tugasan yang diberi,” katanya.
Temu
bual Zakaria Abdul Wahab, 65. Kisahnya tular di media sosial, selepas
sebuah video memaparkan kehidupannya sebagai ‘rider’ Grab mendapat
tontonan ratusan ribu orang.
Selain itu, Zakaria berkata, usianya juga tidak menjadi penghalang
untuk berkawan “rider” lain terutamanya yang berusia dalam lingkungan
20-an.
“Mereka (rider lain) anggap saya sebagai kawan juga, apabila selalu bersama mereka, saya rasa sangat muda,” katanya berseloroh.
“Nasihat saya kepada orang ramai ialah carilah pekerjaan yang anda
minat dan jangan jadikan usia sebagai penghalang untuk anda membuat
sesuatu perkara yang diminati.”
Khairy berkata, buat masa
ini kerajaan mengiktiraf vaksinasi lengkap bagi individu penerima dua
dos vaksin AstraZeneca, Sinovac dan Pfizer yang tiada masalah kesihatan.
Vaksinasi penggalak mula
diberikan kepada penerima vaksin lengkap bagi mengekalkan tahap imuniti
melawak virus Covid-19 yang kini bermutasi kepada beberapa varian yang
lebih mudah menular.
Kerajaan belum memutuskan
dos penggalak sebagai syarat untuk seseorang individu itu dikategorikan
telah lengkap menerima vaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy
Jamaluddin.
Beliau berkata ketika ini kementerian kesihatan (KKM) sedang membuat
kajian berdasarkan pengalaman negara lain yang telah menetapkan dos
penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi.
“Pakar-pakar juga sedang mengkaji keberkesanannya dan mereka akan
membuat syor kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak
(CITF-B).
“Kalau
kita dapati kes meningkat, kemasukan ke hospital dan kematian juga
meningkat disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak dan
sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan vaksinasi
lengkap ialah penerima series primer dan juga dos penggalak, maka kita
akan membuat keputusan sama…tetapi (sekarang) belum lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda Awani bertajuk “Dos
Penggalak Jadi Perisai” yang disiarkan menerusi Astro Awani, malam tadi.
Khairy berkata buat masa ini kerajaan mengiktiraf vaksinasi lengkap
bagi individu penerima dua dos vaksin AstraZeneca, Sinovac dan Pfizer
yang tiada masalah kesihatan.
Beliau berkata Malaysia mungkin berdepan dengan gelombang baru
Covid-19 sekiranya liputan pemberian dos penggalak itu tidak
disegerakan.
“Kalau liputan dos penggalak tidak tinggi macam liputan (pemberian
vaksinasi) dos pertama, kedua yang (menjadi) antara terbaik di
dunia…kes, kadar kemasukan ke hospital dan kematian akan meningkat,”
katanya.
Beliau berkata Israel pernah berdepan dengan gelombang ketiga meskipun telah menyelesaikan vaksinasi dalam tempoh yang pantas.
“Israel, mereka mungkin negara terpantas selesaikan vaksinasi,
apabila selesai vaksinasi dos pertama dan kedua kes dan kematian
menurun, ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi.
“Namun, selepas
melihat terdapatnya kumpulan yang tidak mengambil vaksin dan melihat
kepada penurunan keberkesanan vaksinasi hingga tercetusnya gelombang
ketiga, mereka (Israel) percepatkan pemberian dos penggalak dan hari ini
(kes) menurun balik…jadi negara awal ini menjadi ‘leading
indicator’ tentang apa perkembangan yang perlu kita sediakan di
Malaysia,” katanya.
Beliau berkata daripada lebih 1.7 juta dos penggalak jenis Pfizer
yang telah diberikan di negara ini, sebahagian besar kesan sampingan
ringan dilaporkan adalah seperti lenguh, sakit di lengan serta demam dan
data berkenaan didapati sama dengan kesan sampingan yang dialami
penerima vaksin dos pertama dan kedua.
“Daripada jumlah ini (1.7 juta), hanya 11 kes boleh dikategorikan
agak serius macam alahan dan sebagainya, tetapi ia tidak menyebabkan
kemasukan ke hospital yang serius setakat ini,” katanya.
Khairy berkata strategi kesihatan awam yang diguna pakai KKM dalam
pemberian vaksinasi dos penggalak adalah mendidik dan memberi penerangan
kepada rakyat terlebih dahulu dan bukannya dengan cara memaksa, iaitu
sama seperti pendekatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Selepas itu, barulah kita beralih strategi yang mungkin lebih
agresif, misalnya mengatakan bahawa hanya individu yang lengkap
vaksinasi boleh diberikan kebebasan tertentu,” katanya.
Ketibaan
pengembara VTL rakyat Malaysia yang berlepas dari Queen Street
Singapura melalui Tambak Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin
Sentral, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
JOHOR
BAHRU: Kes positif COVID-19 pertama di pintu masuk Malaysia pada hari
pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura,
di sini, membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur
Johor, Mohd Solihan Badri, berkata ujian saringan COVID-19 di Singapura
didapati negatif sebelum ujian pengesanan pantas (RTK-Antigen) On
Arrival Test (OAT) COVID-19 di Terminal Pengangkutan Awam Larkin
Sentral, positif.
"Lelaki yang didapati positif itu menaiki bas pertama bersama 45 lagi
penumpang yang tiba di sini, kira-kira jam 9.10 pagi dari Terminal Bas
Queen Street, Singapura.
"Lelaki berkenaan terus diasingkan sebaik keputusan saringannya
positif dan kini sedang dikuarantin Kementerian Kesihatan (KKM) bagi
menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain
Reaction (RT-PCR).
"Pengesanan kes ini membuktikan sistem VTL Darat yang dilaksanakan di
sini, berkesan apabila mereka yang positif terus diasing dan
dikuarantin sekali gus tidak dibenarkan keluar dari tempat pemeriksaan,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau laluan VTL Darat, di terminal berkenaan, hari ini.
Media hari ini melaporkan satu kes positif COVID-19 dikesan di pintu
masuk Malaysia pada hari pertama VTL Darat antara Malaysia dan
Singapura, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau dilaporkan berkata maklumat itu diterima pagi tadi daripada
pintu masuk antarabangsa Tambak Johor, iaitu satu kes positif dari ujian
RTK-Antigen yang dikesan ketika ujian saringan semasa ketibaan.
"Perkara ini sedang disemak melalui ujian pengesahan secara RT-PCR.
Kita hendak uji melalui RT-PCR bagi mengesahkan keputusan ujian yang
dibuat melalui RTK-Antigen7," katanya.
Dalam pada itu, Solihan berkata, sebanyak 12 bas dengan 350 penumpang
telah tiba dari Singapura menerusi VTL Darat, di sini, sejak tengah
hari tadi.
Katanya, dengan hanya satu kes positif dikesan setakat ini, adalah
menjadi harapan kerajaan Johor supaya VTL Darat Malaysia-Singapura
berjalan lancar sekali gus bilangan kuota harian seramai 1,440 dapat
ditingkatkan nanti.
"Jika VTL Darat Malaysia-Singapura berjalan lancar, sudah pasti
kerajaan Johor akan memohon supaya jumlah kuota harian ditingkatkan.
"Kita tidak menganggap satu kes positif yang dikesan di laluan VTL Darat di sini, sebagai halangan untuk kejayaan skim ini.
"Namun, langkah berhati-hati dan penuh berwaspada akan sentiasa
dilaksanakan dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan
risiko penularan wabak dapat ditangani dengan berkesan," katanya.
ALOR
SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah akan bekerjasama dengan Jabatan
Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perhilitan Negeri bagi menjejaki
kawasan berisiko menjadi punca kemunculan virus Japanese Encephalitis
(JE).
Pengarahnya, Dr Othman Warijo, berkata virus itu akan dijejak di
tempat takungan dan kumbahan ladang ternakan babi atau babi hutan yang
menjadi tempat pembiakan nyamuk culex.
"Jabatan Veterinar dan Perhilitan ada data serta maklumat mengenai
keberadaan haiwan berkenaan. Berdasarkan maklumat berkenaan, operasi
bersama boleh dilakukan.
"Virus ini disebarkan oleh nyamuk menyebabkan jangkitan kepada manusia, haiwan ternakan, burung, kelawar, ular dan katak.
"Selepas jangkitan, virus akan menyerang sistem saraf pusat iaitu
otak dan saraf tunjang. Virus JE tidak berjangkit sesama manusia atau
apabila manusia memakan daging babi yang membawa virus berkenaan,"
katanya hari ini.
Semalam Jabatan Kesihatan Kedah mengisytiharkan wabak JE di daerah
Kota Setar selepas mengesan dua kes jangkitan penyakit itu bulan ini.
Kes pertama dilaporkan pada 18 November lalu disusuli kes kedua pada 25 November dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia.
Mengulas lanjut, Dr Othman berkata tiada rawatan khas untuk JE setakat ini.
"Antibiotik tidak berkesan melawan virus dan tiada ubat anti-viral
ditemui, tumpuan hanya kepada rawatan mengurangkan gejala dan rawatan
komplikasi saja," katanya.
Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19. - Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di
Lembah Klang, termasuk untuk kes bukan COVID-19, dilaporkan tinggi
berbanding negeri lain.
Menurut laman sesawang COVIDNOW yang dikemas kini sehingga 11.59
malam tadi, kadar penggunaan katil ICU di Lembah Klang dilaporkan
sebanyak 81.1 peratus atau membabitkan seramai 121 pesakit, berbanding
62.9 peratus penggunaan katil ICU seluruh negara atau seramai 510
pesakit.
Purata penggunaan katil ICU seluruh negara dalam tempoh tujuh hari
ialah seramai 541 pesakit, sementara bagi Lembah Klang saja 124 katil.
Daripada data itu, kadar penggunaan katil ICU paling tinggi
dilaporkan di Putrajaya iaitu 90 peratus (tujuh kes); Selangor (80.9
peratus atau 86 kes) dan Kuala Lumpur (79.8 peratus atau 28 kes).
Ini diikuti Pulau Pinang iaitu 77.4 peratus atau 32 kes; Kelantan
(77.1 peratus atau 38 kes); Terengganu (71.2 peratus atau 30 kes); Perak
(68.1 peratus atau 46 kes) dan Negeri Sembilan (59.2 peratus atau 18
kes).
Penggunaan katil rawatan di hospital di seluruh negara sebanyak 66.4
peratus yang juga merangkumi kes bukan COVID-19, dengan 39.1 peratus
dilaporkan memerlukan alat bantuan pernafasan dan 33.6 peratus pesakit
COVID-19 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sementara itu, vaksinasi lengkap COVID-19 bagi penduduk remaja
berusia di antara 12 hingga 17 tahun sebanyak 84.7 peratus atau
2,664,877 individu, sementara mereka yang baru menerima
sekurang-kurangnya satu dos seramai 2,776,260 orang.
Bagi tempoh 24 jam lalu, seramai 2,296 individu diberikan pelalian
COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 5,441,137 dos sudah diberikan
setakat ini.
Bagi vaksinasi dewasa, sehingga 11.59 tengah malam tadi, sebanyak
22,504,497 individu lengkap vaksinasi dan 2,194,849 orang sudah
diberikan dos penggalak.
Dengan itu, pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan (PICK) bagi populasi keseluruhan seramai 77.1 peratus atau
membabitkan 25,169,374 individu, sementara mereka yang menerima
sekurang-kurangnya satu dos membabitkan 25,821,111 orang.
Penggunaan katil ICU lebih 60 peratus di seluruh negara. - Foto KKM
IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan mesej tular yang mendakwa varian baharu COVID-19, Omicron dikesan di Perak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,
turut menegaskan setakat ini tiada kes varian berkenaan dikesan masuk ke
Malaysia.
"Tidak benar. Masih tiada lagi kes (varian Omicron) dikesan di Malaysia," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp hari ini.
Beliau diminta mengulas mesej tular mendakwa virus Omicron sudah
dikesan berada di Perak. Mesej itu juga meminta semua pihak supaya
berwaspada.
Varian Omicron atau juga dirujuk dengan strain baharu COVID itu
sebagai B.1.1.529, pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) muncul di Afrika Selatan pada 24 November lalu selain
turut dikesan di beberapa negara lain termasuk Belgium, Hong Kong,
Britain, Jerman, Itali dan Israel.
Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi 'spike' protein
iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang
mencetuskan ledakan kes COVID-19 di India.
Kerajaan memutuskan pengembara Malaysia yang merancang
melawat Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia
dan Zimbabwe tidak dibenarkan, bermula Sabtu lalu susulan penemuan
varian Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata,
sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah
perjalanan dalam tempoh 14 hari ke semua negara terbabit turut
dilaksanakan.
Polis merampas kenderaan yang digunakan sindiket pemerdagangan manusia
membabitkan penyeludupan warga Myanmar melalui Op Pintas di daerah
Seberang Perai Utara.- FOTO ihsan FB PDRM Pulau Pinang
BUTTERWORTH:
Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan
penyeludupan warga Myanmar, apabila menahan 30 individu termasuk empat
dalang, melalui beberapa serbuan Op Pintas di daerah Seberang Perai
Utara, kelmarin.
Serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah
Bukit Aman, bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi
Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner
Rahimi Ra'ais, berkata dalam serbuan hasil risikan itu, pihaknya menahan
dua lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga
Myanmar berusia 43 hingga 66 tahun dipercayai dalang bagi aktiviti itu.
"Keempat-empat mereka dipercayai bertanggungjawab membawa masuk
pendatang tanpa izin (PATI) dengan menggunakan jalan darat menerusi
sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah," katanya dalam kenyataan menerusi
Facebook PDRM Pulau Pinang, hari ini.
Jelasnya, polis turut menahan 21 lelaki dan lima wanita warga Myanmar berusia 20 hingga 35 tahun.
"Siasatan awal mendapati setiap PATI membayar antara RM4,000 hingga
RM5,000 kepada dalang untuk dibawa masuk ke Malaysia, polis turut
merampas empat kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.
"Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut," katanya.
Rahimi berkata, dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A
Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007
(Kesalahan Penyeludupan Migran).
Filem
Daulat menampilkan pelakon Vanida Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff,
Jasmine Suraya Chin, Cristina Suzanne dan Zul Zamir. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Terdapat enam filem yang diberi keputusan Tidak Lulus Untuk Tayangan tahun lalu dan satu filem tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail
Mohamed Said, berkata filem itu termasuk Daulat yang diterbitkan di
negara ini, iaitu filem tempatan.
Filem lain, kata beliau, ialah Real Love yang diterbitkan di
Perancis, Shubh Mangal Zyada Saavdhan dan Pallu Padama Paathuka (India),
White Eye (Israel), Boluomi (Taiwan) serta satu filem terbitan dari
China, Battle At Lake Changjin.
"Di bawah Akta Penapisan Filem ini, memang kuasa mutlak Menteri Dalam
Negeri untuk melantik mana-mana orang sebagai ahli lembaga penapis
filem yang terdiri seorang pengerusi dan timbalan pengerusi serta tidak
kurang dua orang ahli penapis filem yang lain.
"Bermakna jangan kurang dua orang. Boleh tiga orang, lima orang dan
sebagainya," katanya menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng(DAP - Kepong)
pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat hari ini.
Filem Daulat membawa naratif mengenai kisah politik diterbitkan pada
April tahun lalu menampilkan barisan pelakon antaranya Vanida Imran,
Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jasmine Suraya Chin, Cristina Suzanne dan
Zul Zamir.
Menjawab soalan asal Lip Eng mengenai kedudukan Lembaga
Penapisan Filem (LPF), beliau berkata, LPF tidak diletakkan di bawah
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana fungsi LPF terhad
kepada penapisan kandungan filem yang sudah siap untuk ditayangkan
kepada umum.
"LPF tidak terbabit dalam urusan pembikinan atau pengeluaran
filem sebagaimana sedia dilaksanakan secara langsung oleh Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), iaitu satu agensi di bawah
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang melaksanakan fungsi
khusus untuk membangunkan industri filem tempatan, berdasarkan kepada
peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981,"
katanya.