Ahad, 1 Ogos 2021

Usah ‘bising-bising’ sebaliknya sama-samalah bantu rakyat, kata TPM


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tempoh 14 hari yang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan keputusan dasar parti.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan pihak tertentu supaya berhenti berbuat ‘bising’ yang langsung tidak membantu rakyat menghadapi penularan Covid-19 dan kesan yang dihadapi.

Katanya isu rakyat yang tiada pendapatan akibat penularan Covid-19 sekarang ini lebih utama dan perlu difokuskan, bukannya berbalah sehingga merugikan negara.

“Sudah berulang kali saya katakan, tidak kira dari parti mana sekali pun, fokus kita kepada isu mendesak sekarang ini iaitu Covid-19, isu rakyat tiada pendapatan. Ini masalah lebih besar daripada apa yang bising hari ini.

“Sebab itu saya kata, lupakan peperangan dalam politik, yang penting kita kena bersama tidak kira dari parti mana, bantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Sebelum ini pun beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sudah berkali-kali mengingatkan pemimpin parti termasuk UMNO sendiri supaya menumpukan usaha membantu kerajaan dan rakyat, tetapi masih ada yang berdegil, dan terus memainkan sentimen kebencian di kalangan rakyat.

Pemimpin atasan pembangkang terutama Ahli Parlimen mereka yang saling sahut menyahut dengan sekutu mereka di dalam UMNO sendiri sering memainkan isu-isu remeh dan tidak langsung membantu rakyat menghadapi masalah akibat Covid-19.

Ismail Sabri berkata apa yang paling mendesak sekarang ini ini adalah berusaha bersama membantu rakyat yang terkesan, bukan berbalah yang akhirnya hanya merugikan negara.

Sementara itu beliau berkata orang ramai tidak perlu melakukan bantahan di jalanan kerana kerajaan sentiasa mengambil inisiatif mendengar suara dan pandangan rakyat.

Sambil menegaskan bahawa perhimpunan seperti yang diadakan hari ini melanggar undang-undang, beliau berkata perhimpunan di tempat awam akan hanya mengundang peningkatan risiko penularan Covid-19.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Senarai sembilan PPV untuk ‘walk in’ mulai Isnin


Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih akan menjalankan operasi vaksinasi jumpa terus atau 'walk-in' tanpa janji temu bagi penduduk di Lembah Klang bermula esok, 2 Ogos ini.

Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih akan menjalankan operasi vaksinasi jumpa terus atau ‘walk-in’ tanpa janji temu bagi penduduk di Lembah Klang bermula esok, 2 Ogos ini.

PPV terbabit ialah:

  • KL Convention Centre HCO F;
  • KL Convention Centre HCO G;
  • KL Convention Centre HCO H;
  • Bangi Avenue Convention Centre;
  • Hotel Wyndham, Klang;
  • Dewan Tun Razak, Sabak Bernam;
  • Dewan Komuniti Serendah;
  • Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA; dan
  • Ideal Convention Centre, Shah Alam.

Mulai 2 Ogos hingga 4 Ogos PPV walk in itu akan dibuka khusus untuk penerima vaksin berusia 40 tahun ke atas atau mereka daripada kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami kesan yang teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti di Lembah Klang.

Manakala walk in bagi semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang bermula 5 Ogos hingga 22 Ogos, kata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan hari ini.

“Masa jumpa terus bermula jam 2 petang setiap hari tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing,” katanya.

Dalam kenyataan sama CITF memaklumkan untuk bukan warganegara Malaysia di Lembah Klang pula, tarikh dibenarkan jumpa terus bermula 9 Ogos dan hanya akan dijalankan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 2 petang setiap hari tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing.

CITF berkata antara dokumen yang diperlukan iaitu bukti menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang seperti alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain lagi.

“Golongan komorbid diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka komorbid seperti kad rawatan atau kad janji temu.

“Tambahan bagi bukan warganegara, mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah, mereka akan melalui proses yang telah ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara yang telah dikeluarkan oleh CITF,” katanya.

“Pelaksanaan vaksinasi jumpa terus ini adalah berdasarkan ‘siapa dahulu, dia dapat’ bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV, dengan individu jumpa terus akan diletakkan di bawah ‘senarai menunggu’ untuk hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari berkenaan sudah habis digunakan,” tambahnya.

“Adalah dimaklumkan bahawa golongan ibu hamil tidak perlu untuk jumpa terus bagi mendapatkan vaksinasi sebaliknya janji temu mereka akan diberikan melalui MySejahtera.

“CITF juga ingin mengingatkan bahawa jumpa terus hanyalah untuk penduduk di Lembah Klang. Individu yang telah mendapat janji temu adalah tidak dibenarkan untuk jumpa terus dan mereka juga tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan jumpa terus sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh yang akan datang,” katanya.

Katanya operasi vaksinasi tanpa janji temu (jumpa terus) ini adalah berlandaskan kepada keperluan untuk melindungi penduduk di Lembah Klang dalam zon merah memandangkan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Sementara itu, CITF memaklumkan bagi vaksinasi secara jumpa terus melalui program jangkauan di kawasan pinggiran Lembah Klang pula, ia akan bermula secara berperingkat pada 9 Ogos ini.

“Jadual pergerakan iaitu tarikh dan lokasi bergantung kepada perancangan pihak terlibat seperti badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan yang menganjurkan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) serta lain-lain agensi seperti Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan di kawasan sasaran.

“Hebahan tarikh, masa dan lokasi akan dilakukan melalui media sosial, media tradisional dan melalui kerjasama dengan Pejabat Daerah yang berkenaan serta Jabatan Penerangan Negeri Selangor,” katanya.

SOP diperketat, tempoh berada di PPV disingkat


Lokasi hentian menurunkan penerima vaksin di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil. – Gambar Agenda Daily

Prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemberian vaksin (PPV) terutama yang berskala mega diperketat, sementara sistem pengisian borang persetujuan suntikan ditingkatkan bagi mengurangkan risiko lokasi itu menjadi tempat penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata selain aspek penjarakan masa dan fizikal, pihaknya juga berusaha mempercepatkan proses vaksinasi individu di dalam PPV, antaranya menerusi ciri baharu aplikasi MySejahtera iaitu borang persetujuan digital.

Menerusi pengenalan ciri baharu itu, Khairy berkata penerima vaksin tidak perlu lagi mengisi borang secara manual, sekali gus membantu melancarkan proses vaksinasi, menjimatkan masa serta mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Di Lembah Klang, dalam keadaan jangkitan menular secara sporadik, susah kita memastikan bahawa punca itu di tempat-tempat tertentu terutama di PPV, malah saya sedang melihat isu ini untuk kita pastikan SOP kita di PPV mega dapat diperketat dan ditingkatkan tiap-tiap hari.

“Menerusi pendekatan-pendekatan seperti itu dan mempercepatkan proses vakinasi, saya difahamkan sekarang ini untuk dos kedua sebagai contoh, 20 minit masuk, lepas itu dengan tempoh pemerhatian 20 minit, selesai, ini akan mengurangkan masa kita berada di dalam PPV,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program ‘Janji Temu Bersama Ras: Tangani Pandemik Covid-19 Bersama’ terbitan Bernama TV yang dihoskan Senator Datuk Ras Adiba Radzi malam ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi melaksanakan kajian sistem pengudaraan di beberapa PPV mega dalam memastikan kualiti pengudaraan berada dalam keadaan baik.

Mengulas kesesakan yang berlaku di PPV KLCC baru-baru ini, beliau berkata ia berpunca daripada penerima vaksin bukan warganegara yang datang serentak walaupun mempunyai waktu janji temu yang berbeza-beza, namun pihaknya dapat mengendalikan hal itu dalam tempoh singkat.

Sementata itu Khairy berkata operasi lonjakan kapasiti bagi meningkatkan kadar pemberian vaksinasi dan membendung penularan jangkitan akan diteruskan di kawasan lain selepas ia selesai dijalankan di Lembah Klang.

Katanya operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang itu merupakan yang ketiga seumpanya dilaksanakan mengikut pendekatan kawalan wabak, kali pertama dijalankan di Labuan yang terbukti menunjukkan penurunan jangkitan dan kemasukan ke hospital.

Khairy berkata setakat ini Malaysia mempunyai kadar pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 yang agak tinggi dengan 82 peratus daripada populasi dewasa sudah membuat pendaftaran dan hanya 18 peratus masih belum berbuat demikian.

“Saya percaya mereka akan daftar apabila mereka dengar pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri iaitu apakah kemudahan-kemudahan yang akan diberi kepada mereka yang telah lengkap menerima dua dos vaksin, saya tidak mahu mendahului Perdana Menteri,” katanya.

Berhubung penetapan harga siling vaksin Covid-19, Khairy berkata perkara itu akan dibincangkan beliau bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam masa terdekat ini.

“…agar tidak ada penjualan (vaksin) dibuat dengan harga terlalu tinggi, walaupun ini pasaran swasta namun vaksin ini satu barang diperlukan untuk pandemik, jadi tidak adil mana-mana pihak dapat keuntungan terlalu besar daripada penjualan vaksin ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata Malaysia sedang berunding dengan Kesatuan Eropah supaya menerima sijil digital vaksin MySejahtera untuk rakyat Malaysia masuk ke negara Eropah.

Adakah perintah Agong dalam parameter Perlembagaan? – Vigneswaran

MGF_03042021_PERHIMPUNAN-AGUNG-MIC_12
Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Mengapa kerajaan membatalkan Ordinan Darurat sebelum tarikh luputnya secara semula jadi?

Itu persoalan yang dijawab Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

“Penjelasan yang paling logik dan mungkin kerana kerajaan beranggapan Yang Di-pertuan Agong menyatakan secara tersirat tidak mahu Ordinan Darurat diteruskan sehingga tarikh tamatnya.

“Dalam penafsiran harafiah, dapat dinyatakan niat Seri Paduka Baginda untuk memanggil kembali sidang Parlimen secepat mungkin.

“Namun ketika Parlimen bersidang, Seri Paduka tidak akan lagi bersuara mengenai Ordinan Darurat kerana nasibnya akan diputuskan oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vigneswaran yang juga bekas Yang Di-pertua Dewan Negara berkata, sejak pengisytiharan Ordinan Darurat 2021 pada Januari lalu, negara telah mengalami ketidakstabilan politik dan ekonomi yang merugikan nyawa dan kehidupan.

Bagaimanapun, katanya, persidangan semula Parlimen memberi peluang kepada negara untuk menyusun semula sayangnya ia telah terganggu.

“Bagaimanapun, atas arahan Seri Paduka baginda pada 29 Julai lalu di mana Seri Paduka Baginda meminta agar pembatalan Ordinan Darurat dibahaskan semasa sidang Parlimen pada 2 Ogos 2021 ia seperti langkah keterbelakang untuk membina semula kestabilan negara kita.

“Saya tidak bermaksud untuk melemahkan atau menunjukkan sebarang bentuk rasa tidak hormat terhadap titah Agong tetapi saya menyatakannya secara fakta.

“Ini kerana titah Agong sebelumnya telah mengumumkan bahawa Ordinan Darurat akan berakhir setelah 1 Ogos dan tidak akan dipanjangkan keperluan untuk mengadakan perbahasan pada 2 Ogos ini kerana ia hanya membuang masa yang diberikan untuk ahli Parlimen untuk memulakan protokol dan prosedur lain untuk membangunkan semula negara,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan Ordinan Darurat akan luput pada 1 Ogos ini maka ahli Parlimen perlu membincangkan isu-isu semasa yang lebih penting untuk ditangani.

“Betul bahawa senarai kertas pesanan untuk sesi Parlimen disusun oleh pemerintah hari ini dan bukan Raja Berperlembagaan.

“Perampasan seperti itu tidak pernah terjadi sebelumnya dan tidak seharusnya berlaku sekarang memandangkan kubu kuat negara kita mengenai doktrin pemisahan kuasa,” kata Vigneswaran.

Menurutnya, sidang Khas Parlimen adalah untuk membahaskan rancangan pemulihan Covid-19 dan untuk menetapkan arahan lebih lanjut menangani masalah berkaitan sehingga kerajaan memutuskan tidak ada usul atau resolusi lain dipertimbangkan.

Raja Berperlembagaan memainkan peranan aktif dalam eksekutif walaupun Artikel 40A (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan semasa menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan atau undang-undang Persekutuan, YDPA akan bertindak sesuai dengan nasihat Jemaah Menteri atau seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa umum Kabinet tetapi berhak atas permintaannya bagi setiap maklumat mengenai pemerintahan yang ada pada Kabinet.

“Terdapat syarat wajib bagi YDPA untuk bertindak atas nasihat atau setelah mempertimbangkan nasihat Kabinet atau PM.

“Namun, kita sekarang mempunyai keadaan di mana YDPA memberi nasihat kepada Kabinet mengenai apa yang harus dilakukan. Aktivisme raja sangat dihargai tetapi persoalannya di sini adalah apakah perintah Agong berada dalam parameter Perlembagaan walaupun ini adalah semak dan keseimbangan utama yang dicari oleh negara,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, masing-masing (YDPA dan pemerintah) mempunyai peranan yang jelas.

“Mengapa linen kotor dicuci di khalayak ramai menyebabkan krisis keyakinan kepada orang-orang yang sudah dibebani krisis kesihatan?

“Perbezaan pandangan, jika ada, tidak boleh dibahaskan di khalayak ramai tetapi mesti disusun secara menyeluruh,” kata Vigneswaran.- MalaysiaGazette

Kembali tumpu lawan Covid-19, awas berita palsu – PN

MGF10092020_BENDERA-PN04
Usaha melawan pandemik COVID-19 harus kembali diberi tumpuan bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin, selain membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional kata ketua-ketua penerangan Parti-parti dalam Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR – Usaha melawan pandemik COVID-19 harus kembali diberi tumpuan bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin, selain membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional.

Ketua-Ketua Penerangan parti-parti dalam Perikatan Nasional melalui kenyataan berkata perkara itu merupakan keutamaan sebenar negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya.

“Kami menyeru seluruh lapisan masyarakat meneliti siri penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai situasi terkini kerana terlalu banyak pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan untuk menyelamatkan diri.

Ini termasuklah dengan sengaja mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial. Justeru rakyat mesti peka dengan gerak kerja tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber yang sahih untuk mengetahui situasi sebenar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu algi, sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, mereka berikrar untuk terus membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan parti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta Ahli-ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin serta kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran COVID-19.

Sementara itu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyuarakan pendapat sama dan menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam menerajui pentadbiran negara.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Tenggara Jawahir Husein berkata dalam keadaaan pandemik COVID-19 semasa, tumpuan haruslah diberikan terhadap usaha menangani penularan jangkitan itu, selain meminta semua pihak mengetepikan kepentingan politik dan mengekalkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Masyarakat Insane Kaseh Johor Zuraini Tahir pula berkata pihaknya melahirkan kekecewaan dengan permainan politik yang mementingkan kedudukan daripada menjamin keselamatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Pandangan sama turut diutarakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Wanita Parit Sulong Sarmila Amir menyeru semua pihak bersatu padu bagi menjamin keharmonian negara dalam menghadapi COVID-19. – BERNAMA

Penduduk Lembah Klang boleh ‘walk-in’ di 9 PPV terpilih mulai 2 Ogos ini

 
Individu mendapat janji temu tidak dibenarkan ‘walk-in’ dan tidak dibenarkan 
membatalkan janji temu diberikan bagi tujuan ‘walk-in’

PETALING JAYA: Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang dibuka untuk penerima ‘walk-in’ bermula 2 Ogos ini, kata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).

Dalam satu kenyataan badan bertindak itu, berkata PPV berkenaan adalah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue; Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick KLIA serta Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

CITF berkata, vaksinasi ‘walk-in’ bagi warganegara di Lembah Klang berumur 40 tahun ke atas atau kumpulan komorbid bermula 2 Ogos hingga 4 Ogos ini, manakala 5 Ogos hingga 22 Ogos pula, terbuka untuk semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.

Bagi bukan warganegara pula, hanya PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, dikhususkan untuk program vaksinasi ‘walk-in’ warga asing yang bermula pada 9 Ogos hingga 11 Ogos ini bagi mereka berusia 40 tahun ke atas atau golongan komorbid.

Sementara itu, pada 12 Ogos hingga 22 Ogos ini, terbuka kepada semua bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang.

“Masa untuk ‘walk-in’ bermula jam 2 petang setiap hari tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing. Penerima vaksin perlu menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang seperti kad pengenalan, bil utiliti, kad pelajar, manakala golongan komorbid perlu membawa bukti seperti kad rawatan atau kad janji temu.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah, mereka akan melalui proses ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara dikeluarkan oleh CITF,” menurut kenyataan itu.

Katanya, program itu berdasarkan ‘siapa cepat’ bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV, yang mana individu ‘walk-in’ akan diletakkan dalam senarai menunggu untuk hadir semula pada keesokan hari, sekiranya bekalan vaksin pada hari berkenaan habis.

Dalam pada itu, CITF berkata program vaksinasi ‘walk-in’ menerusi program jangkauan di kawasan pinggiran Lembah Klang, ia akan bermula secara berperingkat mulai 9 Ogos ini.

“Jadual pergerakan, iaitu tarikh dan lokasi bergantung kepada perancangan pihak terlibat, seperti NGO dan agensi kerajaan yang menganjurkan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) serta lain-lain agensi seperti Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan di kawasan sasaran.

“Hebahan tarikh, masa dan lokasi akan dilakukan melalui media sosial, media tradisional dan melalui kerjasama dengan Pejabat Daerah yang berkenaan serta Jabatan Penerangan Negeri Selangor,” katanya.

CITF menegaskan, sistem ‘walk-in’ hanya untuk penduduk di Lembah Klang yang tidak mempunyai sebarang jani temu di aplikasi MySejahtera.

“Individu yang mendapat janji temu adalah tidak dibenarkan untuk ‘walk-in’. Mereka juga tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan ‘walk-in’ sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh yang akan datang,” kata CITF.

Lelaki maut di tepi jalan akibat Covid-19

 FMT Reporters

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh, ketika 
mengesahkan lelaki berkenaan sebagai mangsa wabak. (Gambar Facebook)

KUALA LANGAT: Seorang lelaki berusia 53 tahun ditemukan terbaring di tepi Jalan 3 Tepi Laut, Pekan Tanjung Sepat, di sini, Rabu lalu, maut akibat Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh, ketika mengesahkan perkara berkenaan, berkata pihaknya dimaklumkan penemuan itu oleh orang awam, pada jam 5 petang, hari sama.

“Anggota kemudian menghubungi pegawai kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Sepat untuk bantuan ambulans ke lokasi kejadian dan sebaik pasukan itu tiba, pemeriksaan mengesahkan lelaki tempatan berumur 53 tahun terbabit sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan seperti menurut laporan Harian Metro.

Ahmad Ridhwan berkata, siasatan awal dijalankan mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Banting untuk prosedur lanjut, sebelum mengesahkan kematian akibat Covid-19.

Terdahulu, video berdurasi 19 saat tular di laman sosial menunjukkan pasukan perubatan melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan yang terbaring di tepi jalan.

Usahawan kosmetik terkenal dipanggil kerana langgar SOP

Usahawan kosmetik berkenaan adalah selebriti terkenal dan mempunyai ramai 
pengikut di media sosial. (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Hanya dengan menanda (tag) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial, seorang usahawan kosmetik terkenal akan dipanggil polis bagi membantu siasatan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menikmati durian bersama beberapa individu lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata tangkap layar siaran secara langsung itu dikesan ditularkan seorang pengguna media sosial, kira-kira jam 1.10 tengah hari, semalam.

“Tangkap layar itu dikongsi lebih 4,000 kali di media sosial berkenaan bersama komen netizen yang turut menanda (tag) media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa tindakan diambil terhadap pengusaha kosmetik terbabit.

“Pada jam 4 petang tadi, kita terima satu laporan polis berkaitan gambar tangkap layar itu dan siasatan mendapati usahawan kosmetik berkenaan seorang selebriti terkenal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata, gambar tangkap layar yang tular itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan usahawan kosmetik itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

“Kita sudah menjalankan siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Usahawan kosmetik itu akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Susulan itu, Ku Mashariman berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP PPN Fasa 1 yang ditetapkan kerajaan, selain berhati-hati ketika memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau kandungan media sosial supaya tidak mewujudkan satu spekulasi negatif yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam.

Sukar bernafas, Fazli Zainal dikejarkan ke hospital

Oleh MOHAMMAD SHAHEMY AZMI
 
FAZLI memberitahu dia telah disahkan positif Covid-19 sejak Ahad lalu namun hari ini mula mengalami simptom sesak nafas.

PETALING JAYA – Penyanyi Fazli Zainal terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima alat bantuan pernafasan selepas bacaan oksigen dalam badannya berada pada tahap tidak normal iaitu 75 disebabkan positif Covid-19.

Fazli atau nama sebenarnya Fazdli Zainal, 44, ketika dihubungi Kosmo! Online memaklumkan bahawa dia kini berada di Hospital Ampang dan sedang menunggu ujian darah dan sinar-X yang dilakukan oleh pasukan perubatan di sana.

“Oksigen dalam badan saya rendah iaitu 75 berbanding normal iaitu 95. Bila waktu malam saya selalu sukar untuk bernafas dan batuk.

“Hari ini, saya rasa tidak sedap badan dan minta kawan untuk hubungi ambulan dan dibawa ke Hospital Ampang,” katanya.

Ujar pelantun lagu Harapan itu lagi,  dia telah diberi bantuan alat pernafasan kerana dikhuatiri tahap bacaan oksigen dalam badannya akan turun dengan mendadak ketika tiba di hospital.

Katanya, dia telah disahkan positif Covid-19 sejak Ahad lalu selepas menjadi kontak rapat seseorang sebelum dia mengambil keputusan untuk melakukan ujian calitan.

“Selepas disahkan positif, saya pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 pada keesokan harinya dan disuruh untuk menjalani kuarantin di rumah memandangkan keadaan saya berada pada tahap satu dan dua.

“Selasa lalu saya mula demam dan hanya makan ubat sahaja. Cuma hari ini saya rasa sesak nafas dan dibawa ke hospital,” jelasnya.

Sempat berkongsi gambar keadaannya di hospital, Fazli memaklumkan bahawa buat masa ini dia ditempatkan di wad kecemasan memandangkan Hospital Ampang mempunyai masalah kekurangan katil di wad.

Terdahulu, berita tentang keadaan Fazli telah dikongsi oleh rakan artis iaitu penyanyi Sharifah Zarina apabila memaklumkan bahawa penyanyi itu terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan.

“Mohon doa kalian buat sahabat artis, Fazli Zainal. Dia telah dibawa Kementerian Kesihatan Malaysia ke Hospital Ampang.

“Tahap oksigen dia dah jatuh sehingga paras 75 dan perlukan bantuan oksigen. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha menyembuhkan,” kongsi penyanyi tersebut. -K! ONLINE