Rabu, 31 Julai 2019

Kenapa lama sangat laporan perubatan, forensik kes rogol siap?

Wartawan MalaysiaGazette
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Perak dan Peguam Negara didesak supaya mendedahkan status terkini kertas siasatan kes rogol Exco negeri itu terutama membabitkan laporan pakar forensik dan perubatan,

Desakan yang dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO bersandarkan kes membabitkan Paul Yong adalah kes berprofil tinggi yang membabitkan pemimpin kerajaan negeri dan hubungan dengan negara jiran.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pihaknya turut melahirkan rasa kerisauan dan kebimbangan dengan dakwaan yang sedang berlegar dalam media sosial bahawa laporan pakar forensik dan perubatan dalam kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Paul hilang.

Begitu juga dengan kenyataan media Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, semalam yang menggesa Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, memberi penjelasan yang sepenuhnya dan meminta maaf kepada mangsa dan rakyat jelata kerana kertas siasatan kes rogol dikembalikan akibat polis gagal melampirkan laporan pakar forensik dan perubatan.

“Mengikut laporan media pada 16 Julai, Ketua Polis Perak telah menghantar kertas siasatan kes rogol ini kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada 14 Julai lagi.

“Malah beliau juga menyebut polis berjaya melengkapkan siasatan ke atas Paul Yong dalam tempoh 24 jam sahaja menandakan kes ini adalah satu kes mudah yang ‘clear-cut’.

“26 Julai lalu, Ketua Polis Perak sendiri mengakui bahawa kertas siasatan kes rogol yang dikemukakan kepada Pendakwa Raya telah dikembalikan kepada pihak polis bagi mendapatkan laporan daripada pakar perubatan dan Jabatan Kimia.

“Mengapa terlalu lama laporan daripada pakar perubatan dan jabatan kimia ini disiapkan?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Asyraf juga mecabar ketua, timbalan ketua dan naib-naib ketua wanita DAP seperti Chong Eng, Teo Nie Ching, Hannah Yeoh dan Jannie Lasimbang, khususnya Hannah Yeoh selaku timbalan menteri wanita, supaya menyatakan pendirian mereka mengenai kes rogol ini.

“Tindakan mereka berdiam diri dalam kes ini membuktikan mereka adalah rasis sebenar!,” dakwanya. – MalaysiaGazette

Shafee Abdullah berjaya ketepi prosiding hina mahkamah, AG diarah bayar RM30,000

MALAYSIA GAZETTE
MGF12122018_ARUL-KANDA-MAHKAMAH08
Tan Sri Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung kenyataannya kepada media berkaitan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 Ini susulan keputusan Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara

Mohd Firuz dalam penghakimannya berkata saman pemula yang difailkan oleh Peguam Negara kurang butiran berhubung tuduhan menghina mahkamah terhadap Muhammad Shafee.

“Orang yang dituduh menghina mahkamah harus tahu dengan tepat apakah pertuduhan yang dihadapinya. Peguam Negara mesti menyatakan secara adil dan sejelas-jelasnya kata-kata yang didakwa dituturkan oleh Muhammad Shafee,” kata beliau.

Hakim juga mendapati bahawa kata-kata yang didakwa diucapkan itu tidak secara sengaja dituturkan oleh Muhammad Shafee tetapi hanya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh seorang wartawan.

Mahkamah juga memerintahkan Peguam Negara membayar kos RM30,000 kepada Muhammad Shafee yang dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula itu.

Pada 1 Mac, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk memulakan prosiding terhadap Muhammad Shafee kerana menghina mahkamah.

Dalam permohonan yang difailkan pada Februari tahun ini, Thomas berkata Muhammad Shafee adalah seorang peguambela dan peguamcara mewakili Najib yang didakwa atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, pada 7 Feb 2019, selepas selesai prosiding mahkamah membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi, defendan telah ditemubual oleh beberapa wartawan di luar kamar mahkamah dan temubual itu dirakam oleh seorang juruvideo dari Kinitv.com dan disiarkan menerusi KiniTV yang boleh dilayari melalui https://m.kinitv.com/video/70311O8.

Thomas mendakwa bahawa defendan tahu atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataan yang menyinggung perasaan itu adalah bersifat menghina terhadap hakim dan akan menjejaskan pelaksanaan keadilan dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem kehakiman di Malaysia.

Beliau seterusnya berkata, dengan mempertimbangkan kata-kata itu secara keseluruhannya, ia secara munasabah memberi tanggapan kepada orang awam bahawa jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu, hakim perbicaraan adalah tidak betul, hakim dipengaruhi, saksi-saksi diajar dan bukti direka-reka.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan arahan dari Peguam Negara sama ada untuk merayu terhadap keputusan itu.
— BERNAMA


Kesatuan guru tepis bantahan Dong Zong terhadap khat

Pengenalan kepada seni khat akan dimasukkan dalam buku teks 
Bahasa Melayu untuk sekolah-sekolah aliran mulai tahun depan.
 
PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak melihat sebarang masalah pada langkah Kementerian Pendidikan memasukkan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah aliran.

Perkembangan ini susulan bantahan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong yang berkata pengajaran khat akan membebankan lagi para pelajar dan guru, dan tiada kaitan dengan penguasaan bahasa kebangsaan.

NUTP bagaimanapun berkata penambahan khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 akan mendedahkan para pelajar kepada seni itu, dan tidak patut dipolitikkan.

“Kami berpendirian apa sahaja yang mendidik dan bukan keagamaan boleh diterima. Khat cuma seni tulisan, dan pendedahan padanya tidak bermakna kandungan keagamaan diajar kepada para pelajar kita,” kata Setiausaha Agung Harry Tan.

Beliau berkata ia sama seperti mempelajari tulisan sambung sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Di sekolah-sekolah, kita juga ada seni tulisan Cina, tapi itu tidak bermakna para pelajar beragama Islam diajar agama lain,” tambahnya.

Tan berkata bahagian tentang khat dalam buku teks itu bersifat pengenalan.

“Para pelajar perlu kesan garis bentuk dalam buku-buku teks, tetapi itu cuma pendedahan,” katanya, dan menambah para murid hanya diberi 5 ungkapan untuk latihan tulisan khat.

Beliau berkata hasil kerja khat para pelajar tidak termasuk dalam penilaian mereka, dan mereka tidak perlu membeli pena khat istimewa.

Dong Zong dan Jiao Zong mendakwa khat “tidak sesuai” dimasukkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Bagaimanapun bantahan kepada pengenalan khat kepada para pelajar tidak patut dilihat sebagai keengganan meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa, kata mereka.

Pendaftar perlu tunggu 120 tahun tunai haji, kata Fuziah

Fuziah Salleh berkata, kerajaan sedang mengkaji cara mengurangkan 
tempoh menunggu giliran untuk menunaikan haji, termasuk 
menghentikan pendaftaran kali ke-2. (Gambar Reuters)
 
PETALING JAYA: Mereka yang mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji pada bulan ini perlu menunggu 120 tahun untuk menunaikan haji, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Oleh itu, katanya, kerajaan sedia mengkaji kemungkinan membenarkan warga emas memotong giliran menunaikan haji lebih awal berbanding jadual asal pada masa depan.

Beliau berkata, perkara itu bukan dasar TH buat masa ini kerana fokus kerajaan ketika ini ialah mencari jalan memendekkan tempoh menunggu giliran haji, termasuk memohon kuota tambahan setiap tahun.

“Setakat ini, (perkara) sedang dikaji adalah bagaimana nak kurangkan tempoh menunggu, antara perkara dilaksanakan ialah menghentikan pendaftaran haji kali ke-2, itu juga boleh memendekkan tempoh menunggu.

“Tetapi untuk warga emas, potong giliran itu belum diletakkan sebagai dasar dalam Tabung Haji, namun boleh dikaji sebagai dasar pada masa depan,” katanya dipetik Bernama pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab celahan Yang Dipertua Dewan Negara, SA Vigneswaran yang ingin tahu jika perkara itu merupakan dasar TH.

Vigneswaran mencelah ketika Rahimah Mahamad mengemukakan soalan tambahan berhubung gerak kerja kerajaan dalam mengutamakan warga emas untuk mengerjakan haji.

Lembaga pengarah FIC perlu letak jawatan elak legasi Felda hancur





Minggu lepas, Felda dan syarikat pelaburan induknya, Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC) disaman pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dalam pertikaian melibatkan pemberian tanah.

SPSB berkata, berdasarkan perjanjian dengan FIC pada 2014, mereka sepatutnya diberikan 24 bidang tanah yang keseluruhannya seluas 20.66 ekar untuk dimajukan di tanah milik Felda di Jalan Semarak, tetapi syarikat itu hanya menerima satu bidang tanah daripada Felda.

Sekali pandang, mungkin ini nampak pelik kerana FIC bertindak tidak profesional, sedangkan FIC adalah syarikat yang kerap mengendalikan pelaburan berjuta ringgit. Tetapi, jika selidik kembali amalan FIC dalam pelaburannya, nescaya saman daripada SPSB ini tidaklah terlalu mengejutkan.

Pada pendapat penulis, penting untuk perdana menteri dan menteri hal ehwal ekonomi bertindak secepat mungkin menyelesaikan situasi ini dan mengambil langkah menstruktur semula Felda keadaan menjadi lebih parah.

Berdasarkan prestasi sebelum ini, FIC tidak membawa sebarang nilai kepada Felda dan penerokanya.

Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah anak syarikat Felda yang berfungsi sebagai sayap pelaburan induk dalam sektor bukan perladangan seperti hartanah, perhotelan dan pelaburan strategik lain di dalam serta luar negara.

Kita mungkin tidak akan tahu kenapa Felda yang tugas utamanya untuk membantu masyarakat luar bandar keluar daripada kancah kemiskinan melalui program perladangan, melabur dalam industri tiada kaitan dengan teras perniagaannya.

Bagaimanapun, kita boleh lihat dengan jelas pelbagai kepincangan tadbir urus yang berlaku dalam pelaburan ini.

Sebagai contoh, dalam kes KLVC, nilai tanah yang dibayar kepada Felda lebih rendah daripada harga pasaran. Ini berlaku kerana terdapat kegagalan komunikasi antara pihak pengurusan dan lembaga pengarah FIC.

Menurut Kertas Putih Felda, dalam mesyuarat lembaga pengarah FIC, pihak pengurusan berpendapat pulangan minimum RM500 juta untuk tanah itu adalah munasabah, namun penilaian lanjut jurunilai bebas serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mendapati tanah itu mempunyai nilai purata RM618 juta.

Selain itu, projek KLVC ialah pelaburan berisiko tinggi untuk FIC kerana langsung tiada kajian dijalankan ke atas pelaburan itu dan ia berisiko mengalami kerugian seperti kerugian dari segi hasil sewaan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion selama 20 tahun.

Selain KLVC, FIC turut membuat pelaburan merugikan dalam Felda Wellness Corporation (FWC), Hotel Park City Grand Plaza Kensington (GPK), Felda House dan Grand Felda House.

FWC yang diasaskan pada 2013 mendapat modal permulaan RM5 juta dan peruntukan RM102 juta dari Felda. Namun, nilai syarikat itu terus merosot dan setakat 31 Disember 2017, kedudukan liabiliti bersih FWC mencecah RM185.6 juta, termasuk baki hutang FIC dan Felda berjumlah RM186 juta.

Dalam pelaburan GPK di London pula, lembaga pengarah FIC meluluskan pembelian itu pada harga £60 juta (RM305 juta) pada September 2014. Namun, jurunilai bebas mendapati nilai GPK merosot kepada £26 juta pada Jun 2015, 9 bulan selepas pembelian itu yang menyebabkan kerugian sebanyak £34 juta.

Bagi Felda House dan Grand Felda House di Wembley, London, FIC membeli 2 hartanah itu pada harga £58.5 juta dan £109.26 juta yang keseluruhannya berjumlah £167.76 juta. Tetapi, seperti pelaburan KLVC, berlaku percanggahan komunikasi antara lembaga pengarah dan pengurusan FIC.

Lembaga pengarah meluluskan harga pembelian £163 juta, iaitu £4.76 juta lebih rendah daripada £167.76 juta yang dibayar FIC. Ia turut membelanjakan £648,000 untuk kerja tambahan pada Grand Felda House tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Percanggahan komunikasi antara pihak pengurusan dan lembaga pengarah seolah-olah menjadi “tema” dalam setiap pelaburan FIC.

“Tema” lain yang kerap berlaku dalam pelaburan anak syarikat Felda itu termasuk seperti melabur tanpa kaji selidik mendalam, membeli pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran, kelemahan tadbir urus, tidak patuh kepada dasar Felda dan penglibatan pihak ke-3 yang tidak sah.

Pelaburan ini bukan saja merugikan FIC dan Felda, tetapi memberi imej buruk kepada status Felda sebagai agensi utama kerajaan.

Siapakah individu dalam lembaga pengarah Felda yang membuat keputusan menyimpang daripada objektif asal Felda dan melabur dalam syarikat tiada kaitan dengan teras perniagaannya berasaskan perladangan?

Jika individu ini masih berada dalam Felda, beliau seharusnya bertanggungjawab dan meletak jawatan secara profesional. Jika tidak, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan memecat individu ini sebelum mereka menghancurkan legasi Felda serta menyukarkan hidup peneroka.

Dengan prestasi kewangan Felda yang merudum sekarang, FIC perlu melakukan perubahan drastik untuk mengelakkan ia terus menanggung kerugian. Selain itu, ia perlu mengutamakan pelaburan dalam sektor perladangan, bukannya perhotelan atau hartanah.

Bukankah sudah tiba masa untuk Felda kembali ke asal-usulnya dalam bidang perladangan?
 
*Hanna J ialah pembaca FMT.

Semua mesyuarat PKR tak hadir kalau saya boikot, kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menolak dakwaan dia dan beberapa pemimpin PKR lain cuba memboikot mesyuarat parti.

Amirudin, yang juga ketua PKR Selangor berkata, sudah tentu dia tidak menghadiri semua mesyuarat parti jika pihaknya berniat melakukan boikot.

“Mesyuarat terakhir bulan puasa lepas saya hadir tapi yang bulan lepas saya tak sempat sebab ada di luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Dewan Negeri Selangor.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Amirudin, Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita Haniza Talha tidak hadir mesyuarat parti mereka.

Amirudin sebelum ini menjelaskan jadual program di kawasan yang jauh dan kesesakan lalu lintas menyebabkan dia tidak smepat menghadiri mesyuarat.

Sementara itu, Haniza ketika ditemui media hari ini menjelaskan pemimpin PKR boleh dikecualikan menghadiri mesyuarat 3 kali berturut-turut atas sebab munasabah.

“Tada ada isu sebab saya ada alasan munasabah. Saya ada tugas yang saya terpaksa uruskan di kawasan, jadi itu memerlukan saya dan tak boleh diganti dengan orang lain,” katanya.

Mengulas nasihat bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail agar pemimpin PKR mencontohi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang masih mementikan urusan parti walaupun sibuk, Haniza menganggapnya sebagai “pandangan peribadi”.

NGO desak PM tukar MB Perak yang didakwa anti-Orang Asli

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) mendesak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menukar Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang didakwa anti-Orang Asli.

Pengerusi Dolah Tekoi berkata mereka mahu Faizal diganti dengan seseorang yang lebih positif membela rakyat.

“Beliau langsung tidak mahu mendengar keluhan rakyat, jauh sekali berunding bagi menyelesaikan suatu isu berbangkit tetapi lebih suka berkonfrontasi,” katanya kepada FMT.

“Setiap hari beliau hanya keluarkan kenyataan yang tidak membina tetapi lebih kepada kontroversi terutama dalam isu tanah adat Orang Asli.”

Faizal pada Isnin dilapor berkata tiada tanah di Perak yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk Orang Asli, mengikut undang-undang tubuh negeri itu.

Beliau menambah tiada konflik antara kerajaan Perak dan Orang Asli, hanya permasalahan di Hulu Perak kerana Orang Asli menghalang aktiviti pembalakan yang mempunyai kelulusan di Hutan Simpan Air Chepam, Gerik baru-baru ini.

Dolah berkata kenyataan Faizal itu akan mengundang kebencian pengundi Orang Asli terhadap kerajaan.

Beliau percaya masalah timbul bukan kerana undang-undang tubuh negeri tetapi sifat peribadi Faizal.

“Namun ia menggambarkan pendirian kerajaan negeri kerana dia seorang menteri besar,” katanya.

Dolah kecewa dengan kepimpinan Faizal kerana menjangkakan kedudukan Orang Asli akan lebih baik bawah Pakatan Harapan.

“Saya sangat meluat dengan janji yang dicanang semasa pilihan raya lalu yang kononnya mahu membela nasib Orang Asli,” katanya.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara dibuka secara rasmi esok

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengguna dilarang memberhentikan 
kenderaan untuk mengambil gambar bagi mengelakkan kesesakan 
trafik. (Gambar Bernama)
 
KUALA TERENGGANU: Selepas lebih enam 6 minggu ditutup kepada orang ramai, jambatan angkat atau “drawbridge” yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dibuka semula mulai 6 pagi esok.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua jenis kenderaan dibenar menggunakan jambatan angkat, tetapi pengguna dilarang memberhentikan kenderaan kerana tindakan itu boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.

“Pengunjung yang ingin melawat (jambatan angkat ini) diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.

“Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi, dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator jambatan itu.

“Pada masa ini, kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan kepada pasukan operator Terengganu Incorporated Sdn Bhd sehingga 30 September ini.

“Semoga pembukaan jambatan ikonik ini akan memberi impak kepada sektor pelancongan Terengganu, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan negeri ini di mata dunia.”

Beliau turut berharap agensi pelancongan dapat menyenaraikan lawatan ke jambatan angkat itu dalam pakej mereka.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638m itu mempunyai 2 menara berkembar setinggi 16 tingkat.

Jambatan bernilai RM248 juta itu adalah yang ke-4 menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Untuk rekod, jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun lalu untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem “signalling” jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Setelah tamat pengujian sistem, jambatan angkat itu ditutup semula kepada orang ramai pada 17 Jun lalu bagi tujuan pentauliahan komponen lain serta beberapa penambahbaikan.

Pergolakan politik uji ketabahan pendokong PH

Oleh Zin Mahmud



Pendokong Pakatan Harapan (PH) yang tidak berparti pasti kecewa dengan pergolakan politik sepanjang minggu lalu membabitkan Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan mengheret sama Mahathir Mohamad.

Ia berlaku dalam keadaan misi PH sendiri belum sempurna selesai. Baru setahun lebih tentunya kerajaan PH tidak dapat menyelesaikan perkara yang diharapkan oleh kebanyakan pengundi. Usaha menentang rasuah masih berjalan. Perbicaraan berkait dengan kleptokrasi juga masih berlangsung. 
 
Banyak azam manifesto belum dapat dilaksanakan. Reformasi juga belum bergerak walaupun banyak perkara dicapai dan disempurnakan kerajaan PH.

Dalam pada itu, pihak yang menentang PH pula bukan saja bebas tetapi terus meningkatkan asakan. Malah bekas perdana menteri yang sedang dibicarakan dilantik sebagai penasihat partinya. Sementara presiden Umno yang sedang dibicarakan kembali daripada cuti. Umno pula mengukuhkan kerjasama dengan PAS kerana percaya pada kejayaan yang bakal melalui strategi ini. Gabungan Umno dan PAS ini dinamakan Lim Kit Siang sebagai klepto-teokrasi. Suatu istilah menarik yang boleh dihuraikan pada kesempatan lain.
 
Tetapi apa yang berlaku dalam Umno dan PAS itu tidaklah mendatangkan perasaan puas hati pada semua penyokongnya. Kembalinya Najib Razak dan Zahid Hamidi berperanan menimbulkan rasa tidak selesa dalam sebahagian penyokong parti itu. Reaksi Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin mencerminkan sentimen ini. Begitu juga dalam kalangan pendokong PAS. Pastinya ada yang masih berasa curiga terhadap Umno.

Namun pergolakan politik paling besar tetap pada apa yang berlaku dalam PKR. Persaingan antara Anwar dan Azmin pula hanyalah sambungan kepada pertelagahan Mahathir-Anwar. Walaupun secara rasminya, situasi politik Mahathir dan Anwar adalah baik, dengan penegasan perjanjian peralihan kuasa di antara keduanya pasti berlaku tetapi manuver siasah yang kelihatan menunjukkan suatu pergolakan sedang berlaku, dan bukannya sekadar spekulasi.

Keadaan ini pasti mendatangkan kekecewaan kepada banyak pendokong PH terutamanya yang secara khusus bukan menjadi penyokong mana-mana parti apatah lagi kepada pemimpin tertentu seperti Mahathir, Anwar atau Azmin.

Walaupun terdapat banyak penyokong Mahathir, yang turut menyumbang kepada kemenangan PH pada pilihan raya lalu tidaklah semua merupakan penyokong PPBM atau mana-mana parti PH. Malah ada antara mereka merupakan penyokong Umno sebelum ini.

Selepas setahun berlalu, ada antara mereka kecewa dengan kerajaan PH. Sebilangan mereka tidak pernah pun menyokong PKR dan DAP. Mereka juga tidak pernah menyokong PAS atau penggantinya dalam PH iaitu Amanah. Tetapi mereka yakin pada Mahathir dan menyokong kerajaan PH kerana beliau. Terhadap menteri-menteri lantikan Mahathir pula, ada kala mereka menyuarakan suara-suara sinis.

Namun mereka tentu sedar, Mahathir tidak akan menjadi perdana menteri untuk waktu lama. Lambat laun kepimpinan kerajaan PH akan diserah pada orang lain, khususnya Anwar, suatu keadaan yang tidak mereka harapkan sangat. Maka tiba-tiba dirasakan tiada siapa yang layak menjadi pengganti Mahathir.

Kekecewaan pendokong PH dipercayai terserlah dalam pelbagai bentuk. Reaksinya juga berbeza dalam kalangan Melayu dan bukan Melayu. Orang bukan Melayu umumnya kelihatan padu menyokong PH. Untuk itu pada pilihan raya lalu, mereka juga boleh dikatakan padu menyokong Mahathir. Walaupun sebahagian besar hanya menjadi penyokong Mahathir selepas beliau menyertai PH. Sebahagian pula penyokong DAP dan mereka menyokong Mahathir kerana parti itu berbuat demikian. Mereka inilah juga menyokong Anwar semasa adanya Pakatan Rakyat dan sebelum itu, Tengku Razaleigh Hamzah ketika zaman Gagasan Rakyat.

Buat masa ini, DAP tetap teguh dengan Mahathir dan Anwar. Maka begitu juga pendirian sebahagian pendokong DAP, walaupun mereka juga bukannya pendokong Mahathir dan Anwar. Malah ada juga bukan Melayu yang bukannya penyokong DAP. Mereka penyokong PH kerana ia bukan Umno.

Penyokong PH daripada orang Melayu lebih berbagai ragam. Tetapi asas dan asal kekuatan PH adalah pada parti Melayu yang menentang Umno. Maka asasnya terletak pada Amanah dan sebahagian penyokong PKR yang menentang Umno lama sebelum penubuhan parti itu, iaitu ketika sebahagian mereka anggota PAS dan Parti Rakyat Malaysia. Walaupun golongan ini tegar menentang Umno tetapi bilangannya tidak cukup kuat untuk menumbangkan BN.

Kekuatan mereka bertambah setelah adanya PKR. Penyokong-penyokong Anwar yang asal menjadikan gerakan menentang Umno begitu besar. Walaupun tidak berjaya menggugat BN sebelum 2008, tetapi ia tetap dapat menyediakan suatu platform besar bagi sesiapa yang akhirnya mampu menumbangkan kekuasaan Umno.

Tetapi PKR tidak asing dengan pergolakan politik dalaman walaupun ketika ia hanya parti pembangkang tanpa kuasa. Bagi mereka yang masih ingat, Chandra Muzaffar pun pernah menjadi timbalan presiden yang disingkirkan pada awal penubuhan parti itu.
 
 Namun perpecahan serius hanya kedengaran selepas pilihan raya umum tahun 2008 ketika mana PKR mula mempunyai kuasa di peringkat negeri, khususnya Selangor. Orang ramai mula mendengar adanya kumpulan penyokong Wan Azizah Wan Ismail dan kelompok Azmin. Anwar yang berada di penjara tidak terheret dengan pergolakan itu.

Maknanya fenomena Azmin sebagai ketua kelompok muncul dalam PKR lama sebelum penyertaan Mahathir ke dalam PH. Ia juga tidak jelas kelihatan ketika PH sibuk berkempen untuk menumbangkan BN menjelang pilihan raya umum 2018.

Tetapi selepas keputusan pilihan raya umum 2019, muncul spekulasi terdapat usaha untuk menubuhkan kerajaan Umno-PKR dengan membelakangkan bukan sahaja Mahathir dan PPBM tetapi juga harapan pendokong PH yang mahukan BN diketepikan.

Walaupun kemudian BN dapat diketepikan dan kerajaan PH pimpinan Mahathir berjaya ditubuhkan tetapi orang ramai susah diyakinkan bahawa pergeseran antaranya tidak berlaku.

Anwar kemudiannya bukan saja dapat menyandang jawatan presiden PKR tetapi juga mampu memasuki Dewan Rakyat dan pada bila-bila masa boleh dipanggil untuk menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir.

Tetapi di sebalik senyuman Mahathir dan janjinya untuk berundur supaya digantikan dengan Anwar, ternyata manuver politiknya meragukan banyak pendokong presiden PKR itu.

Daripada pelantikan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi hinggalah kepada pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Mahathir memberi satu isyarat yang penyokong PKR tidak boleh tidak endahkan. Lebih-lebih lagi penyokong-penyokong Azmin berjaya menguasai pemilihan parti itu. Sementara Mahathir pula terus menerima ahli Umno untuk menyertai PPBM.

Para penyokong PH tanpa parti hanya melihat pergolakan itu dengan kecewa kerana bimbang ia akan menjejaskan kerajaan PH dan segala harapan yang diletakkan padanya. Tetapi apakan daya realiti politik kepartian sebegitu rupa. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan tetapi boleh dikurangkan mengikut azam pelaku-pelakunya.

Karenah ahli politik adalah cermin masyarakat jua. Namun idealisme yang disokong oleh pendokong PH melangkaui mana-mana ahli politik sama ada Mahathir, Anwar mahupun Azmin. 
 
 

Tak hadir mesyuarat: Ini soal pengurusan parti, kata Azmin


   

Mohamed Azmin Ali tidak mengulas panjang berkenaan isu ketidakhadirannya dalam mesyuarat PKR dan hanya berkata ia adalah soal dalaman parti.

“Apa kena mengena dengan Malaysiakini, itu soal pengurusan parti," kata timbalan presiden PKR itu kepada pemberita, sebelum meninggalkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Jemaah Haji Parlimen Gombak, malam ini.

Isu kehadiran dalam mesyuarat PKR mengundang perhatian selepas pemimpin parti itu diingatkan untuk hadir mesyuarat memandangkan jadual telah diedarkan dua atau tiga bulan lebih awal.

Semalam, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi mempersoal mengapa dirinya menjadi sasaran berkenaan isu itu, selepas tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sehari sebelumnya.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah bagi seseorang pemimpin tidak dapat hadir ke mesyuarat parti, apatah lagi jika turut menjadi anggota kerajaan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak hadir ke mesyuarat MPP dan mesyuarat Biro Politik sejak pemilihan parti pada November 2018.

Saifuddin yang juga menteri kabinet berkata Azmin tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.

'Minta Saifuddin semak jadual'

Sementara itu setiausaha politik Azmin, Hilman Idham juga berkata Azmin tidak hadir sebelum ini disebabkan urusan kerajaan.

“Dia (Azmin) dah maklumkan bahawa dia tak boleh hadir sebab urusan kerajaan. Sebagai menteri dia ada tanggungjawab, sebagai kerajaan. Kalau dia ada waktu, dia boleh hadir. Kalau tidak, dia hadir mesyuarat kerajaan.
Hilman Idham
“Mintalah setiausaha agung (Saifuddin) semak jadual (kehadiran Azmin),” kata adun Gombak Setia itu lagi, ketika ditanya berkenaan kenyataan Saifuddin berhubung ketidakhadiran Azmin sejak November 2018.

Mesyuarat Biro Politik - yang mengendalikan soal eksekutif - diadakan seminggu sekali, manakala mesyuarat MPP - badan pembuat keputusan tertinggi parti - sebulan sekali.

MPP memiliki 41 anggota, dengan 28 dipilih ketika pemilihan tahun lalu manakala 13 lagi menerusi lantikan. Sejumlah 22 anggota tersenarai dalam calon kem Azmin (biasanya disebut sebagai 'cai') ketika pemilihan lalu.

Terdahulu, Azmin dalam ucapannya mengucapkan selamat kepada bakal jemaah yang akan berlepas ke Makkah bagi menunaikan ibadah Haji bagi tahun ini.