Isnin, 6 November 2017

Persatuan bekas perajurit kesal khidmat UTK untuk Tun Mahathir ditarik balik


Oleh

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bekas perajurit, Persatuan Patriot Kebangsaan hari ini menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan menari balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyifatkan itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah, amatur dan merendah-rendahkan seorang tokoh negarawan yang berjasa besar, presidennya, Brig Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji berikrar untuk melindungi dan mempertahankan Pengerusi Pakatan Harapan tersebut.

“Siapakah individu yang telah mengarahkan penarikan balik perlindungan peribadi kepada Tun Mahathir?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Brig Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji. Foto: Nazir Sufari | Malaysiakini

Arshad juga menyeru kepada mereka yang menggelar diri sebagai ‘Patriot’ supaya memberikan komitmen bersama mempertahankan Tun Mahathir.

“Tidak kira apa pun beliau hari ini, beliau pastinya tidak berhak menerima layanan yang tidak bertanggungjawab seperti itu oleh kerajaan,” katanya lagi.

Dua hari lalu, Tun Mahathir melalui akaun Twitter rasminya menulis bahawa khidmat UTK bagi menjamin keselamatannya telah ditarik balik oleh pihak kerajaan.

“Genap setahun, Kak Fauziah dan pembantu ditamatkan kontrak oleh kerajaan. Hari ini, khidmat UTK ditarik balik.

“Perjuangan tetap diteruskan,” kicaunya.

Tahun lalu, khidmat pengiring polis untuk beliau turut ditarik balik ekoran kehadirannya di acara anti-kerajaan.

Bekas Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyarankan Tun M untuk memohon pengiring polis untuk ke acara rasmi kerajaan.

Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia tahun lalu, bersama-sama mantan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua-duanya kini di barisan hadapan pakatan pembangkang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – Roketkini.com


Kuala Kedah Bukan Tanah Subur Untuk Umno/Bn

Oleh Nasir Mustafa


Keputusan 4-0 untuk dua pilihanraya umum berturut-turut (PRU 12 dan 13) membuktikan bahawa Kuala Kedah bukanlah tanah yang subur bagi Umno/BN.

Zaman RTM dan TV3 mendominasi dunia maklumat sudah berlalu. Sekarang zaman ICT di mana kebanyakan pengundi di Kuala Kedah boleh mengakses maklumat di hujung jari.

Rakyat tahu isu kleptokrasi Najib, skandal 1MDB, RM2.6 billion, penjajahlaburan China dan sebagainya.

Rakyat merasai detik kepayahan berada di zaman Najib; kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kenaikan input pertanian, beban GST, kemelesetan ekonomi, penutupan kilang, kehilangan pekerjaan, kejatuhan nilai Ringgit serta 1001 duka nestapa ekonomi dan politik di zaman Najib.

Sukarnya Najib kerana mentadbir kerajaan di zaman rakyat semakin cerdik. Secara purata, hampir setiap rumah di Kuala Kedah mempunyai seorang lulusan institusi pengajian tinggi. Apabila rakyat "tahu dan merasai" ia menjadi satu malapetaka buat Najib, Umno dan BN.

Situasi lebih diburukkan apabila tokoh yang dianggap menjuarai penentangan terhadap Najib dan Umno/BN ialah Tun Dr Mahathir yang dahulunya begitu disanjung oleh rakyat Kedah.

Ramai orang Umno yang mengikut jejak Tun Mahathir. Ada seorang AJK Umno Bahagian Kuala Kedah memberitahu saya bahawa lebih separuh AJK Umno Bahagian yang tidak akan mengundi BN pada PRU14. Saya tidaklah mudah untuk mempercayai kata-kata pesaing politik. Mungkin muslihat supaya pembangkang 'syok sendiri' lalu jadi leka dan lalai. Cuma ingin juga saya beritahu bahawa secara kebetulan (mungkin) apa yang diberitahu oleh orang Umno tertentu kepada saya pada PRU 12 dan 13; itulah yang diterjemahkan pada peti undi. Seringkali rakan-rakan Umno'jujur' dalam mendedahkan kelemahan sendiri.

BR1M dan warna-warni Bajet 2018 untuk membeli hati rakyat tampaknya tidak sangat berkesan. Rakyat menerimanya dalam keadaan sedar bahawa itu semua dedak dan umpan!

Seperti beberapa PRU yang lalu, BN cuba memanipulasi persempadan semula pilihanraya untuk mencari jalan mudah menambah undi pukal. BN buntu juga kerana undi Cina masih belum lari dari pembangkang. Mana mungkin melonggokkan Cina hanya dalam satu kawasan mengundi sedangkan mereka bertebaran di seluruh negeri.

Hanya satu peluang terbaik bagi BN untuk menawan empat kerusi Kuala Kedah, merampas kembali lain-lain kerusi di Negeri Kedah seterusnya kembali berkuasa; iaitulah memecahbelahkan perpaduan pembangkang. Ya, itulah satu-satunya cara dan cara yang satu itulah yang giat diusahakan oleh Umno/BN dengan penuh istiqomah.

Akibat pergeseran dalaman pembangkang timbullah pemimpin masyarakat yang berjuang untuk kepentingan diri cuba menangguk di air yang keruh. Jawatan menjadi platform menjana kewangan.

Umno/BN menghidu semua kelemahan lawan mereka. Bermula dengan perbezaan pendapat, usaha dibuat untuk meretak dan memecahbelah pembangkang sehingga akhirnya masing-masing menjadi seteru tegar antara satu sama lain; melampaui perseteruan terhadap musuh tradisi pengamal kleptokrasi itu sendiri, iaitu Umno/BN.

Tidak sukar untuk meneliti senario politik Kuala Kedah atau di mana-mana jua pun. Demokrasi ialah seni perhitungan angka. Lebih satu undi pun, dia adalah pemenang. Dalam situasi Pakatan Rakyat berhadapan satu lawan satu dengan BN pun, sangat getir cabarannya. Menang 4-0 di Kuala Kedah tetapi tersungkur di Kedah. Inikan pula jika pembangkang berpecah kepada dua gagasan untuk berhadapan dengan BN.

Di saat Umno sedang bergelut dalam nafas nazak, mahukah pembangkang terus menjuah ego masing-masing hingga menghampakan harapan majoriti rakyat yang mahu menamatkan riwayat Umno/BN?

MARA utamakan pelajar B40, M40 luar bandar masuki MRSM

AKHBAR RAKYAT

 

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sentiasa memastikan pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) terutamanya di luar bandar, diberi keutamaan mendapatkan pendidikan menengah terbaik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf berkata walaupun kaedah permohonan pelajar ke MRSM menggunakan sistem dalam talian, pihak Mara sentiasa membantu proses permohonan dan pengambilan pelajar dari luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata daripada keseluruhan 37,752 pelajar MRSM sedia ada, seramai 23,628 orang atau 63 peratus adalah pelajar luar bandar manakala pelajar dari bandar berjumlah 14,124 orang atau 37 peratus.

"Jumlah pelajar MRSM daripada kalangan B40 adalah 20,011 orang manakala pelajar daripada golongan M40 pula adalah 12,725 orang," katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan yang menyatakan MRSM tidak mengutamakan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar serta lari daripada matlamat penubuhan asalnya, adalah tidak tepat. -- BERNAMA 

Ahad, 5 November 2017

Perpecahan Melayu Paling Besar Dalam Sejarah

Nuh Abqari

Melayu


BAHANG Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin lama semakin terasa, apatah lagi dengan selesainya pembentangan Bajet Negara 2018 oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak hujung minggu lalu. Senario itu dihangatkan sebelum itu oleh bajet alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) dan yang terbaru, bajet oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang dibentangkan beberapa hari yang lalu. Masing-masing nampaknya berlumba-lumba untuk memberikan tawaran terbaik untuk rakyat menjelang PRU yang perlu dipanggil paling lewat pada Ogos tahun hadapan.

Mendepani PRU yang bakal tiba, senario politik semasa tanahair memberikan isyarat bahawa tiga kelompok komuniti terbesar negara iaitu Melayu, Cina dan India masing-masing sudah terpecah kepada beberapa parti. Orang Melayu umpamanya kini sudah terpecah sokongan mereka kepada sekurang-kurangnya lima parti iaitu UMNO, PAS, PKR, AMANAH dan PPBM. Kaum Cina pula secara amnya terbahagi sokongan mereka kepada hanya dua parti utama iaitu MCA dan DAP. Situasi hampir serupa kita lihat berlaku kepada kaum India yang undi mereka secara majoritinya hanya akan pergi kepada MIC/MyPPP ataupun DAP/PKR.

Amanat Haji Hadi Dan Permulaan Krisis

Hakikat tersebut membentangkan kepada kita bahawasanya pada hari ini, orang Melayu sedang mengalami krisis perpecahan yang paling besar dan kronik dalam sejarah PRU negara. Kalau dahulu, undi orang Melayu hanya akan pergi kepada samada UMNO ataupun PAS, hari ini situasinya tampak berubah sama sekali. Polemik rapuhnya perpaduan orang Melayu ini sebenarnya bukanlah satu isu yang asing. Ia sudah pun membelenggu orang Melayu sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Bermula dengan isu Amanat Haji Hadi yang dikaitkan dengan ‘program’ pengkafiran besar-besaran oleh PAS terhadap orang Melayu yang menyokong UMNO, kita melihat pelbagai program masyarakat Islam ‘hancur’ dan ‘porak-peranda’. Kisah masjid dan surau mempunyai dua imam, sembelihan yang tidak ‘sah’, perkahwinan yang terbatal dan pemulauan majlis-majlis kenduri adalah antara kisah-kisah malang yang menimpa umat Melayu pada ketika itu hanya kerana perbezaan ideologi politik.

Politik Pecah-Belah Mahathir

Isu Amanat Haji Hadi itu walau bagaimanapun adalah isu lama dan tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai sudah basi. Malah, menyalahkan PAS semata-mata dalam hal ini adalah tidak adil dan tentunya tidak akan menjawab segala persoalan mengenai perpecahan Melayu yang semakin parah pada hari ini ketika mana ianya juga sangat berkait rapat dengan pemerintahan dan kepimpinan negara pada waktu itu. Jadi, dalam kita membicarakan perbezaan antara ‘penganut-penganut’ UMNO dengan PAS, tidaklah patut untuk kita melupakan isu-isu yang berkaitan sepanjang bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir memimpin UMNO selama 22 tahun, selain tempoh-tempoh berikutnya setelah beliau meletakkan jawatan selaku perdana menteri.

Sepanjang pemerintahan Mahathir lebih dua dekad, kita menyaksikan bagaimana beliau menyingkirkan tiga timbalannya dalam tempoh tersebut. Semua orang tahu ketiga-tiga individu itu ialah Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba, dan yang terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecatnya pada 1998. Penyingkiran Anwar pada waktu itu mencetuskan gerakan reformasi besar-besaran oleh para penyokongnya yang akhirnya membawa kepada penubuhan PKR yang ada pada hari ini.

Sepuluh tahun sebelum itu, kita melihat bagaimana satu lagi parti Melayu, Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li ditubuhkan berikutan kekalahan tipis Ku Li di tangan Mahathir dalam perebutan jawatan Presiden UMNO. Kekalahan tipis tersebut mendorong Ku Li untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menyaksikan bagaimana UMNO kemudiannya diharamkan sebagai parti politik pada 4 Februari 1988. Keputusan mahkamah inilah yang menjadi titik tolak kepada penubuhan UMNO Baru oleh Mahathir pada 13 Februari tahun yang sama.

Contoh-contoh ini menunjukkan kepada kita bagaimana dalam tempoh 10 tahun sahaja, pemerintahan autokratik Mahathir sudah pun menanam bibit-bibit perpecahan Melayu dengan lahirnya Semangat 46 dan PKR. Mujurlah Semangat 46 kemudiannya dibubarkan pada 1996, hanya lapan tahun setelah penubuhannya.

PPBM Kemuncak Perpecahan Melayu

Kita sangkakan perpecahan Melayu di era Mahathir setidak-tidaknya akan terhenti seketika sebaik sahaja beliau meletakkan jawatan pada 2003. Ternyata sangkaan itu meleset sama sekali kerana rupa-rupanya Mahathir tidak pernah mahu ‘berehat’ dari politik, tidak seperti penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi. Berpunca daripada rasa marah dan ketidakpuasan hatinya terhadap kepimpinan Najib dalam beberapa isu terutamanya penyingkiran anaknya Mukhriz daripada kerusi Menteri Besar Kedah, Mahathir terus bergerak dengan politik pecah-belahnya dengan menubuhkan pula PPBM pada 7 September 2016, bertujuan menarik seramai mungkin ahli UMNO. Dengan tertubuhnya PPBM, maka episod malang terus menimpa orang Melayu sejak tarikh tersebut. Hanya angkara Mahathir seorang, sudah lahir empat parti dengan pembawaan politik yang berbeza – UMNO Baru, Semangat 46, PKR dan PPBM -, cukup untuk menggambarkan betapa seriusnya perpecahan orang Melayu pada hari ini.

Mahathir Dalang Perpecahan

Seolah masih tidak sedar dengan ‘kemusnahan’ yang beliau sendiri cipta, Mahathir tergamak pula menuduh PAS sebagai punca utama perpecahan Melayu hanya kerana parti Islam itu tidak mahu lagi bersama-sama dengan PH yang tampak jelas begitu kuat didominasi DAP. Hari ini sebahagian orang Melayu mungkin boleh menarik sedikit nafas lega melihatkan hubungan yang semakin mesra antara UMNO dengan PAS, sesuatu yang tidak dilihat di bawah pemerintahan Mahathir.

Ini kerana sewaktu pemerintahannya, bekas perdana menteri itu terlalu sibuk untuk bertelagah dan ‘bermusuh’ dengan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekaligus menafikan sama sekali sebarang bentuk kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu. Perbezaan pendekatan politik PAS sewaktu zamannya dengan zaman Najib sudah sepatutnya membuatkan Mahathir sedar bahawa beliaulah sebenarnya dalang dan punca perpecahan Melayu selama ini. Fakta ini dikukuhkan pula oleh kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri baru-baru ini yang menempelak Mahathir sebagai individu yang memang hebat memecah belah bangsa sendiri.

DAP Sebagai Ancaman Terhadap Survival Politik Melayu

Mendepani PRU kelak, kewujudan pelbagai parti Melayu – UMNO, PAS, PKR/AMANAH/PPBM – yang bertanding hanya akan merugikan orang Melayu itu sendiri. Jika sebelum ini survival orang Melayu bergantung sepenuhnya kepada kuasa politik yang dipegang sejak sekian lama, situasi itu tampak pasti akan berubah dengan nasib yang lebih baik menyebelahi parti bukan Melayu khususnya DAP. Apa tidaknya, dalam pertembungan yang seakan pasti berlaku dalam bentuk sekurang-kurangnya tiga penjuru dalam satu-satu kawasan, undi orang Melayu sudah pasti akan berpecah kepada tiga di kawasan majoriti Melayu – BN/PH/PAS – sementara undi orang bukan Melayu pula terutamanya orang Cina tampak akan terus solid buat DAP.

Jadi, sifirnya begitu mudah. Dalam mana-mana pertembungan di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang signifikan, DAP seolah pasti akan keluar sebagai pemenang biarpun kawasan tersebut mempunyai bilangan pengundi Melayu lebih 50 peratus. Mereka tampak mempunyai jalan yang mudah di mana-mana sahaja kawasan yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu lebih 30 peratus kerana dengan faktor perpecahan undi Melayu yang wujud, kelompok ‘minoriti’ inilah yang bakal menentukan siapakah calon yang menang. Situasi sebegini dijangka akan dilihat di lebih 40 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN di seluruh negara menjelang PRU kelak sekiranya orang Melayu masih lagi tidak sedar dan bangkit dari lena mereka.

Bangkit Sebelum Terlambat

Tentunya, kita masih lagi meletakkan harapan agar penguasaan bukan Melayu dalam PRU kelak biarlah terhad dan terbatas. Namun, melihatkan kepada skala perpecahan yang wujud dalam kalangan orang Melayu sendiri, maka sewajarnyalah kita bimbang. Apa lagi yang hendak dikatakan. Nasi nampaknya sudah menjadi bubur buat orang Melayu. Akibat sifat tamak dan gila kuasa yang ada dalam diri Mahathir, hari ini orang Melayu berdepan perpecahan paling teruk dalam sejarah, dan situasi itu tampak hanya menunggu masa untuk diburukkan lagi menjelang PRU yang akan datang.

Kelekaan berterusan orang Melayu dalam hal ini bakal membawa kepada natijah yang bukanlah kecil. Penguasaan besar DAP pasca PRU kelak, jika berlaku, tentulah akan disusuli pula dengan penghapusan pelbagai keistimewaan orang Melayu dan penentangan terhadap institusi masyarakat Islam di negara ini. Lihatlah kepada nasib orang Melayu di Pulau Pinang dan sejauh mana pula institusi Islam diancam di Selangor. Apakah orang Melayu sanggup mempertaruhkan nasib mereka di tangan DAP?

Sikap tidak mahu mengalah dan mementingkan diri yang ada pada Mahathir sudah terbukti banyak memudaratkan orang Melayu. Goyahnya survival politik Melayu hari ini adalah ‘hasil’ tangan Mahathir sendiri. Beliaulah orangnya yang ‘menarik tangan’ sebahagian orang Melayu untuk berbaik dan tunduk kepada DAP walhal dahulu bekas perdana menteri itu jugalah yang menjadi penentang nombor satu parti yang rasis tersebut.

Bukannya kita tidak tahu bagaimana orang Melayu sudah pun ‘tewas’ di Pulau Pinang, seolah ‘dikunci mulut’ pula di Selangor dan situasi itu tampak seakan pasti ‘merebak’ ke beberapa negeri lain seperti Perak dan Johor. Apa pun, kita katakan ianya masih lagi belum lagi terlewat untuk orang Melayu bangkit mempertahankan kuasa politik mereka. Cukup-cukuplah orang Melayu ‘hanyut’ dengan permainan politik Mahathir. Takkan lah kita masih tidak sedar tentang ‘bahaya’ yang menanti pada PRU nanti jika orang Melayu terus berpecah. Janganlah hanya kerana kepentingan peribadi Mahathir, akhirnya kita semua yang merana dan menanggung akibatnya.


Taman Negara P. Pinang ditutup sementara

Wartawan MalaysiaGazette
Taman Negara Pulau Pinang


KUALA LUMPUR – Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) terpaksa ditutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan berikutan ribut yang berlaku malam tadi.

Bencana alam itu telah menyebabkan banyak pokok tumbang disepanjang laluan rentis dan tapak khemah Taman Negara Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pelawat dinasihatkan untuk tidak membuat lawatan ke TNPP dan tidak memasuki kawasan rentis dan laluan laut serta tidak menjalankan aktiviti berkhemah dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini demi menjaga keselamatan diri.

Semua pelawat ke TNPP diminta untuk mematuhi segala arahan semasa yang dikeluarkan oleh Penguasa dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan. – MalaysiaGazette


Johor hantar sukarelawan bantu mangsa banjir Pulau Pinang

Wartawan MalaysiaGazette
Mohamed Khaled Nordin


JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri sedang membuat persiapan untuk menghantar sukarelawan Johor Darul Ta’zim antara 150 hingga 200 orang bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, musibah yang berlaku di Pulau Pinang itu merupakan satu bencana dan tanpa mengira idealogi, kerajaan negeri berasa bertanggungjawab untuk membantu.

“Kita dan beritahu pada Jabatan Belia dan Sukan untuk menggembleng sukarelawan kita. Kita memang ada sukarelawan dan kita akan hantar bantuan secepat mungkin dan rombongan pertama akan digerakkan dalam masa terdekat.

“Musibah di Pulau Pinang itu merupakan satu bencana dan tanpa mengira idealogi dan sebagainya, kita berasa bertanggungjawab dan prihatin untuk menyumbang dan membantu. Jadi, persiapan itu sedang giat dijalankan,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan Puteri UMNO cawangan dan pelancaran Jentera IT Pergerakan Puteri UMNO Johor, di Hotel Holiday villa di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kerajaan negeri akan mengumumkan ganjaran untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada Rabu ini.

Perkara berhubung ganjaran itu, katanya, akan diperincikan dalam mesyuarat Exco yang akan diadakan pada hari tersebut.

“Saya ingin ambil kesempatan untuk ucapkan tahnian kepada pasukan JDT atas kemenanga malam tadi. Johor amat berbangga dengan pasukan itu dan percaya kemenangan juga turut disumbang penyokong setianya daripada Sultan Johor sampaikan rakyat jelata.

“Tidak dinafikan juga peranan peranan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai penggerak JDT,” katanya. – MalaysiaGazette


Banjir P.Pinang: Hubungi CASSA untuk dapatkan bekalan makanan



Wartawan MalaysiaGazette

 
KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) bersama pemimpin akar umbi akan membekalkan makanan halal dan berasaskan sayur-sayuran kepada mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, mana-mana komuniti atau penduduk yang memerlukan bantuan makanan diminta menghubungi talian 012-366 4444.

“Mereka hanya perlu nyatakan tempat dan jumlah makanan yang diperlukan bagi memudahkan logistik,” katanya. – MalaysiaGazette.


Kelantan umum bantuan banjir, hantar sukarelawan

Nizam Zain
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob
 
 
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengumumkan peruntukan kecemasan sebanyak RM50,000 kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kini berdepan dengan bencana banjir besar sejak awal pagi ini.
 
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya komited untuk membantu kerajaan DAP Pulau Pinang itu dengan menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa banjir terlibat.
 
“Pagi tadi saya menerima berita berkenaan keadaan banjir di Pulau Pinang yang semakin membimbangkan. Malah didapati ada pusat-pusat pemindahan banjir yang terputus bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Sebelum itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjawab panggilannya jam 3.30 pagi tadi.
 
Panggilan itu dibuat Guan Eng bagi meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan banjir semakin buruk yang melanda negeri buat kali kedua, tahun ini.
 
Ucapan terima kasih pemimpin utama DAP itu dirakamkan dalam video berdurasi satu minit 19 saat yang kini tular di media sosial.
 
Menurut Guan Eng, ketika panggilan dibuat, paras air semakin naik antara tiga hingga 3.6 meter dan ia melepasti bumbung rumah di Pulau Pinang.
 
Ahmad juga menasihatkan semua pihak agar sama-sama menghulurkan bantuan kepada Kerajaan Pulau Pinang dalam menghadapi musibah itu meskipun mempunyai pendirian politik berbeza.
 
“Dalam situasi sebegini, saya menyeru semua pihak agar dapat membantu mangsa-mangsa banjir di sana dengan mengenepikan sebarang sentimen politik.
 
“Marilah sama-sama kita mendoakan agar keadaan banjir semakin baik dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
 
“Bersabarlah diatas ujian Allah SWT yang menguji rakyat di sana melalui  musibah banjir. Hanya dengan kuasa dan ketentuan Allah jua kita bermohon,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
 
 

Peguam: Penafian Najib beri PAS RM90 juta retorik politik

 
Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, penafian itu hanya untuk menenangkan penyokong Najib atau mengelirukan orang awam yang mudah terpedaya.


syed-najib


PETALING JAYA: Penafian Datuk Seri Najib Razak mengenai pemberian RM90 juta kepada PAS sekadar kenyataan politik yang tidak akan mengubah prosiding mahkamah di London antara Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Clare Rewcastle-Brown, kata seorang peguam.

Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, kenyataan itu hanya untuk menenangkan penyokong Najib atau mengelirukan orang awam yang mudah terpedaya.

“Kenyataan Najib mengenai perbicaraan mahkamah antara 2 individu tiada sebarang nilai. Ia sama seperti beliau bercakap kepada dinding,” katanya kepada FMT.

Syed Iskandar berkata demikian selepas Najib menyifatkan laporan Sarawak Report yang mendakwa beliau memberi RM90 juta kepada PAS sebagai mengarut.

Semalam, presiden Umno itu berkata, isu berkenaan direka pembangkang semata-mata untuk memburukkan beliau di mata masyarakat kerana pembangkang sudah “menggelabah”.

“Mana ada kita bagi. Tapi saya tidak boleh komen kes dalam mahkamah. Ini semua mengarut,” kata perdana menteri semalam.

Syed Iskandar berkata, untuk mempertahankan diri, Najib boleh memfailkan saman terhadap Clare kerana memfitnahnya atau permohonan mencelah dalam kes saman Hadi ke atas Clare atau bersedia memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak Hadi.

“Paling penting ialah keterangan Najib di mahkamah di mana kesahihan keterangannya boleh diperiksa dan diperiksa balas oleh peguam sebelum penghakiman dibuat.”

Syed Iskandar berkata, Najib membuat keputusan terlebih dahulu mengenai isu itu dengan mengkritik pembelaan Clare.

“Tetapi, kenyataan penafian Najib sebelum prodising menunjukkan beliau sedang mempertahankan diri.”

Pada 21 April lalu, Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London terhadap satu artikel Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Najib “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Minggu lalu, media melaporkan Clare yang juga editor Sarawak Report dalam tuntutan balas terhadap saman Hadi itu mendakwa beliau dan Ambiga ada bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.

“Ambiga memberitahu defendan sumbernya yang dikatakan boleh dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar itu sekitar RM90 juta,” kata Clare dalam afidavitnya bertarikh 11 Oktober lalu.

Clare dalam pembelaannya turut menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pegawai PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang daripada dana disyaki 1MDB.

Wanita itu turut mendakwa Hadi berpakat dengan Najib atau ejennya untuk mengeksploitasi prosiding mahkamah di London dalam usaha melepaskan perdana menteri.

Beliau dilaporkan berkata, Hadi memfailkan saman itu bukan untuk melindungi imej sendiri, sebaliknya untuk melindungi reputasi dan tujuan politik PAS serta sekutu politiknya, Najib.

Pulau Pinang lumpuh selepas hujan lebat lebih 15 jam

 
Hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan sehingga 5 pagi ini menyebabkan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh dan hampir keseluruhan kawasan rendah dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m.

penang-flood-3


GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di 5 daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.

Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, seramai 1,968 mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka di 4 daerah.

Beliau berkata, seramai 1,125 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai Tengah, 615 mangsa di Seberang Perai Utara (SPU), 70 mangsa di daerah Timur Laut dan 158 mangsa di pusat pemindahan banjir di daerah Barat Daya.

“Angkatan Tentera Malaysia sudah menghantar anggota mereka di daerah Timur Laut. Di kawasan Seberang Perai, kita masih menunggu anggota tentera dari Kem Sungai Petani dan kita amat perlukannya. Ada ramai mangsa yang hendak kita selamatkan.

“Keadaan sekarang lebih baik sikit kerana hujan telah reda. Sungguhpun begitu, air banjir belum surut dan kita lihat angin masih kuat. Kita bimbang tentang kejadian yang tidak diingini kerana angin kuat dan kita bimbang hujan akan kembali lagi,” katanya hari ini.

Lim berkata, kejadian angin kencang yang melanda negeri ini awal pagi ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Angin yang begitu kuat tak pernah kita lihat bersama hujan lebat (dan ia) benar-benar melebihi keperluan kita. Kita tidak ada sumber yang cukup untuk menangani keperluan mangsa banjir. Terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua pasukan penyelamat yang datang membantu. Saya harap semua dapat terus jaga keselamatan diri dan keluarga.”

Tinjauan Bernama di kawasan Seberang Jaya, dekat sini, mendapati kawasan berkenaan paling teruk terjejas dengan beberapa bahagian Hospital Seberang Jaya (HSJ) dinaiki air, namun keadaan masih terkawal dan tiada pesakit dipindahkan.

Seramai 21 mangsa banjir daripada 6 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya selepas kawasan rumah mereka dinaiki air dengan begitu pantas kira-kira 7 malam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Ramzi Ahmad berkata, hujan lebat dan angin kuat itu turut menyebabkan 4 penerbangan yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan terpaksa dilencongkan.

Katanya, 3 penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Subang, manakala satu penerbangan lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan semuanya mendarat dengan selamat.

“Berikutan cuaca buruk itu, lebih 26 penerbangan yang berlepas dari LTAPP turut mengalami kelewatan, namun operasi di lapangan terbang berjalan lancar. Pada masa ini, semua operasi penerbangan berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Rapid Penang menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata, banyak jalan utama dinaiki air dan demi keselamatan orang ramai, mereka tiada pilihan kecuali menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih.

Mereka turut meminta orang ramai merujuk laman Facebook Rapid Penang di rapidpgfans untuk maklumat terkini.