Ahad, 5 November 2017

Perpecahan Melayu Paling Besar Dalam Sejarah

Nuh Abqari

Melayu


BAHANG Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin lama semakin terasa, apatah lagi dengan selesainya pembentangan Bajet Negara 2018 oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak hujung minggu lalu. Senario itu dihangatkan sebelum itu oleh bajet alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) dan yang terbaru, bajet oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang dibentangkan beberapa hari yang lalu. Masing-masing nampaknya berlumba-lumba untuk memberikan tawaran terbaik untuk rakyat menjelang PRU yang perlu dipanggil paling lewat pada Ogos tahun hadapan.

Mendepani PRU yang bakal tiba, senario politik semasa tanahair memberikan isyarat bahawa tiga kelompok komuniti terbesar negara iaitu Melayu, Cina dan India masing-masing sudah terpecah kepada beberapa parti. Orang Melayu umpamanya kini sudah terpecah sokongan mereka kepada sekurang-kurangnya lima parti iaitu UMNO, PAS, PKR, AMANAH dan PPBM. Kaum Cina pula secara amnya terbahagi sokongan mereka kepada hanya dua parti utama iaitu MCA dan DAP. Situasi hampir serupa kita lihat berlaku kepada kaum India yang undi mereka secara majoritinya hanya akan pergi kepada MIC/MyPPP ataupun DAP/PKR.

Amanat Haji Hadi Dan Permulaan Krisis

Hakikat tersebut membentangkan kepada kita bahawasanya pada hari ini, orang Melayu sedang mengalami krisis perpecahan yang paling besar dan kronik dalam sejarah PRU negara. Kalau dahulu, undi orang Melayu hanya akan pergi kepada samada UMNO ataupun PAS, hari ini situasinya tampak berubah sama sekali. Polemik rapuhnya perpaduan orang Melayu ini sebenarnya bukanlah satu isu yang asing. Ia sudah pun membelenggu orang Melayu sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Bermula dengan isu Amanat Haji Hadi yang dikaitkan dengan ‘program’ pengkafiran besar-besaran oleh PAS terhadap orang Melayu yang menyokong UMNO, kita melihat pelbagai program masyarakat Islam ‘hancur’ dan ‘porak-peranda’. Kisah masjid dan surau mempunyai dua imam, sembelihan yang tidak ‘sah’, perkahwinan yang terbatal dan pemulauan majlis-majlis kenduri adalah antara kisah-kisah malang yang menimpa umat Melayu pada ketika itu hanya kerana perbezaan ideologi politik.

Politik Pecah-Belah Mahathir

Isu Amanat Haji Hadi itu walau bagaimanapun adalah isu lama dan tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai sudah basi. Malah, menyalahkan PAS semata-mata dalam hal ini adalah tidak adil dan tentunya tidak akan menjawab segala persoalan mengenai perpecahan Melayu yang semakin parah pada hari ini ketika mana ianya juga sangat berkait rapat dengan pemerintahan dan kepimpinan negara pada waktu itu. Jadi, dalam kita membicarakan perbezaan antara ‘penganut-penganut’ UMNO dengan PAS, tidaklah patut untuk kita melupakan isu-isu yang berkaitan sepanjang bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir memimpin UMNO selama 22 tahun, selain tempoh-tempoh berikutnya setelah beliau meletakkan jawatan selaku perdana menteri.

Sepanjang pemerintahan Mahathir lebih dua dekad, kita menyaksikan bagaimana beliau menyingkirkan tiga timbalannya dalam tempoh tersebut. Semua orang tahu ketiga-tiga individu itu ialah Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba, dan yang terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecatnya pada 1998. Penyingkiran Anwar pada waktu itu mencetuskan gerakan reformasi besar-besaran oleh para penyokongnya yang akhirnya membawa kepada penubuhan PKR yang ada pada hari ini.

Sepuluh tahun sebelum itu, kita melihat bagaimana satu lagi parti Melayu, Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li ditubuhkan berikutan kekalahan tipis Ku Li di tangan Mahathir dalam perebutan jawatan Presiden UMNO. Kekalahan tipis tersebut mendorong Ku Li untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menyaksikan bagaimana UMNO kemudiannya diharamkan sebagai parti politik pada 4 Februari 1988. Keputusan mahkamah inilah yang menjadi titik tolak kepada penubuhan UMNO Baru oleh Mahathir pada 13 Februari tahun yang sama.

Contoh-contoh ini menunjukkan kepada kita bagaimana dalam tempoh 10 tahun sahaja, pemerintahan autokratik Mahathir sudah pun menanam bibit-bibit perpecahan Melayu dengan lahirnya Semangat 46 dan PKR. Mujurlah Semangat 46 kemudiannya dibubarkan pada 1996, hanya lapan tahun setelah penubuhannya.

PPBM Kemuncak Perpecahan Melayu

Kita sangkakan perpecahan Melayu di era Mahathir setidak-tidaknya akan terhenti seketika sebaik sahaja beliau meletakkan jawatan pada 2003. Ternyata sangkaan itu meleset sama sekali kerana rupa-rupanya Mahathir tidak pernah mahu ‘berehat’ dari politik, tidak seperti penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi. Berpunca daripada rasa marah dan ketidakpuasan hatinya terhadap kepimpinan Najib dalam beberapa isu terutamanya penyingkiran anaknya Mukhriz daripada kerusi Menteri Besar Kedah, Mahathir terus bergerak dengan politik pecah-belahnya dengan menubuhkan pula PPBM pada 7 September 2016, bertujuan menarik seramai mungkin ahli UMNO. Dengan tertubuhnya PPBM, maka episod malang terus menimpa orang Melayu sejak tarikh tersebut. Hanya angkara Mahathir seorang, sudah lahir empat parti dengan pembawaan politik yang berbeza – UMNO Baru, Semangat 46, PKR dan PPBM -, cukup untuk menggambarkan betapa seriusnya perpecahan orang Melayu pada hari ini.

Mahathir Dalang Perpecahan

Seolah masih tidak sedar dengan ‘kemusnahan’ yang beliau sendiri cipta, Mahathir tergamak pula menuduh PAS sebagai punca utama perpecahan Melayu hanya kerana parti Islam itu tidak mahu lagi bersama-sama dengan PH yang tampak jelas begitu kuat didominasi DAP. Hari ini sebahagian orang Melayu mungkin boleh menarik sedikit nafas lega melihatkan hubungan yang semakin mesra antara UMNO dengan PAS, sesuatu yang tidak dilihat di bawah pemerintahan Mahathir.

Ini kerana sewaktu pemerintahannya, bekas perdana menteri itu terlalu sibuk untuk bertelagah dan ‘bermusuh’ dengan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekaligus menafikan sama sekali sebarang bentuk kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu. Perbezaan pendekatan politik PAS sewaktu zamannya dengan zaman Najib sudah sepatutnya membuatkan Mahathir sedar bahawa beliaulah sebenarnya dalang dan punca perpecahan Melayu selama ini. Fakta ini dikukuhkan pula oleh kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri baru-baru ini yang menempelak Mahathir sebagai individu yang memang hebat memecah belah bangsa sendiri.

DAP Sebagai Ancaman Terhadap Survival Politik Melayu

Mendepani PRU kelak, kewujudan pelbagai parti Melayu – UMNO, PAS, PKR/AMANAH/PPBM – yang bertanding hanya akan merugikan orang Melayu itu sendiri. Jika sebelum ini survival orang Melayu bergantung sepenuhnya kepada kuasa politik yang dipegang sejak sekian lama, situasi itu tampak pasti akan berubah dengan nasib yang lebih baik menyebelahi parti bukan Melayu khususnya DAP. Apa tidaknya, dalam pertembungan yang seakan pasti berlaku dalam bentuk sekurang-kurangnya tiga penjuru dalam satu-satu kawasan, undi orang Melayu sudah pasti akan berpecah kepada tiga di kawasan majoriti Melayu – BN/PH/PAS – sementara undi orang bukan Melayu pula terutamanya orang Cina tampak akan terus solid buat DAP.

Jadi, sifirnya begitu mudah. Dalam mana-mana pertembungan di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang signifikan, DAP seolah pasti akan keluar sebagai pemenang biarpun kawasan tersebut mempunyai bilangan pengundi Melayu lebih 50 peratus. Mereka tampak mempunyai jalan yang mudah di mana-mana sahaja kawasan yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu lebih 30 peratus kerana dengan faktor perpecahan undi Melayu yang wujud, kelompok ‘minoriti’ inilah yang bakal menentukan siapakah calon yang menang. Situasi sebegini dijangka akan dilihat di lebih 40 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN di seluruh negara menjelang PRU kelak sekiranya orang Melayu masih lagi tidak sedar dan bangkit dari lena mereka.

Bangkit Sebelum Terlambat

Tentunya, kita masih lagi meletakkan harapan agar penguasaan bukan Melayu dalam PRU kelak biarlah terhad dan terbatas. Namun, melihatkan kepada skala perpecahan yang wujud dalam kalangan orang Melayu sendiri, maka sewajarnyalah kita bimbang. Apa lagi yang hendak dikatakan. Nasi nampaknya sudah menjadi bubur buat orang Melayu. Akibat sifat tamak dan gila kuasa yang ada dalam diri Mahathir, hari ini orang Melayu berdepan perpecahan paling teruk dalam sejarah, dan situasi itu tampak hanya menunggu masa untuk diburukkan lagi menjelang PRU yang akan datang.

Kelekaan berterusan orang Melayu dalam hal ini bakal membawa kepada natijah yang bukanlah kecil. Penguasaan besar DAP pasca PRU kelak, jika berlaku, tentulah akan disusuli pula dengan penghapusan pelbagai keistimewaan orang Melayu dan penentangan terhadap institusi masyarakat Islam di negara ini. Lihatlah kepada nasib orang Melayu di Pulau Pinang dan sejauh mana pula institusi Islam diancam di Selangor. Apakah orang Melayu sanggup mempertaruhkan nasib mereka di tangan DAP?

Sikap tidak mahu mengalah dan mementingkan diri yang ada pada Mahathir sudah terbukti banyak memudaratkan orang Melayu. Goyahnya survival politik Melayu hari ini adalah ‘hasil’ tangan Mahathir sendiri. Beliaulah orangnya yang ‘menarik tangan’ sebahagian orang Melayu untuk berbaik dan tunduk kepada DAP walhal dahulu bekas perdana menteri itu jugalah yang menjadi penentang nombor satu parti yang rasis tersebut.

Bukannya kita tidak tahu bagaimana orang Melayu sudah pun ‘tewas’ di Pulau Pinang, seolah ‘dikunci mulut’ pula di Selangor dan situasi itu tampak seakan pasti ‘merebak’ ke beberapa negeri lain seperti Perak dan Johor. Apa pun, kita katakan ianya masih lagi belum lagi terlewat untuk orang Melayu bangkit mempertahankan kuasa politik mereka. Cukup-cukuplah orang Melayu ‘hanyut’ dengan permainan politik Mahathir. Takkan lah kita masih tidak sedar tentang ‘bahaya’ yang menanti pada PRU nanti jika orang Melayu terus berpecah. Janganlah hanya kerana kepentingan peribadi Mahathir, akhirnya kita semua yang merana dan menanggung akibatnya.


Tiada ulasan: