AIDCNews
Roslan SMS
– Meletakkan seseorang yang sarat dengan masalah dan rekod lampau yang
penuh pincang sebagai pemimpin dan ketua pasti akan mengakibatkan
sesuatu badan atau kumpulan itu turut dilihat bermasalah. Malah prospek
untuk si bermasalah tadi mempalitkan pula kepincangan beliau kepada
badan atau kumpulan berkenaan serta orang kebanyakan di sekeliling
sangatlah besar.
Mungkin bagi Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng, menaikkan Tun Dr
Mahathir Mohammad meneraju Pakatan Harapan dalam keadaan Datuk Seri
Anwar Ibrahim masih merengkuk dalam penjara adalah langkah yang bijak
walaupun Tun punya banyak masalah lampau.
Anwar sudah hilang pengaruhnya kerana terlalu lama dalam penjara dan
perjuangannya sudah bukan relevan lagi. DAP terlalu percaya bahawa
diwaktu ini Tun punya pengaruh besar, malah jauh mengatasi pengaruh
Anwar yang dilupakan.
DAP terus optimis mereka akan terus mengawal dan menguasai undi bukan Melayu.
Masalahnya untuk melangkah ke Putrajaya, undi rakyat bukan Melayu
berkenaan sahaja tidak memadai. DAP perlukan sokongan masyarakat
majoriti Melayu. Lantas kehadiran Tun dilihat sebagai perkakas buat DAP
kerana Tun dipercayai punya pengaruh besar dikalangan masyarakat Melayu.
Campurkan kedua-duanya yakni undi bukan Melayu yang DAP kononnya
kuasai dan tambahan undi Melayu yang kononnya akan menderu masuk melalui
PKR-PBBM dan Pan kerana pengaruh Tun maka tercapailah cita-cita
kedua-dua anak beranak tadi dan parti mereka untuk melangkah dan
menguasai Putrajaya.
Sebelum ini paling besar pencapaian politik yang mampu diperolehi DAP
adalah sekadar menguasai kerajaan Negeri Pulau Pinang selain berperanan
dengan parti-parti lain di Perak dan Selangor.
Namun dengan bantuan Tun dan memperkudakan ketiga-tiga parti tadi,
PRU 14 kelak Pakatan Harapan pada anggapan kedua beranak ini akan
berjaya menguasai kerajaan Persekutuan, paling kurang dengan 113 kerusi
Parlimen sebagaimana dibayangkan Kit Siang sebelum ini.
PAS kata pihak DAP akan kalah semua kerusi yang ditandinginya.
DAP akan muncul sebagai rakan kongsi paling dominan dalam PH mungkin
menguasai seklitar 50 ke 60 kerusi Parlimen atas kepercayaan 85 ke 90
peratus pengundi bukan Melayu akan terus menyokong mereka. DAP
mensasarkan semua kerusi bukan Melayu dan campuran di Semenanjung selain
semua kerusi yang sama termasuk kerusi bukan Islam di Sabah dan
Sarawak.
Manakala di kerusi-kerusi campuran, pengaruh Tun akan membawa undi Melayu buat calon-calon DAP.
Baki 53 kerusi kononnya akan dimenenagi PKR mungkin dalam 30 kerusi, PBBM 20 kerusi dan Pan 3.
Runtuhlah dominasi Umno selama hampir 60 tahun melalui Barisan
Nasional dan sebelumnya Perikatan diperingkat kerajaan Persekutuan dan
melangkah masuklah Lim anak beranak dan rakan-rakan kongsi mereka dari
PKR, PBBM dan Pan menguasai Putrajaya.
DAP bersendirian memang mustahil berkuasa di Putrajaya akan tetapi
DAP dengan bantuan Tun dan kuda-kuda tunggangannya jelas mampu menjadi
rakan kongsi paling dominan dalam kerajaan Persekutuan yang baru dan
dengan penguasaan majoriti kerusi dari 113 yang disasarkan sudah
pastilah DAP yang paling berpengaruh dalam kerajaan Persekutan baru di
bawah PH. Tercapailah cita-cita dan agenda DAP berdekad-dekad lamanya.
Soalnya berupayakah DAP menjelmakan mimpi ngeri ini?
Jika benar undi masyarakat bukan Melayu dapat mereka kuasai sehingga
ke paras 85 ke 90 peratus ianya akan menjadi realiti dan jika benar
pengaruh Tun dapat membantu PH sehingga menguasai lebih 50% undi Melayu
bersiap-sedialah untuk kita nobatkan pimpinan DAP sebagai Perdana
Menteri Malaysia yang ke 7.
Namun bagi saya yang bakal menggagalkannya, merobah mimpi ngeri buat
rakyat menjadi malapetaka buat DAP tidak lain melainkan Tun Dr Mahathir
itu sendiri .
Mimpi DAP ini sesungguhnya bertenggek semata-mata pada Tun.
Bersediakah rakyat Malaysia memadam dan melupakan segala rekod lampau
Tun yang banyak menzalimi rakyat dan meletakkan ekonomi negara semakin
tempang di bawah kerajaan yang sedia ada?
Sudikah para pengundi Melayu yang DAP sasarkan kononnya sehingga 50%
bakal berpihak ke PH menyerahkan kembali mandat pada Tun dan kali ini
meletakkan pula negara dalam genggaman DAP dengan bantuan Tun?
Tun sebelumnya adalah antara Perdana Menteri yang paling keras
layanannya terhadap perkembangan Islam dan yang paling kuat menekan dan
menzalimi gerakan Islam khususnya PAS.
Tun bukan sahaja PM semasa insiden pembunuhan 14 ahli dan aktivis PAS
di Memali, Tun juga telah menangkap dan memenjarakan tanpa bicara
pimpinan PAS bawah ISA, menggagalkan usaha dan inisiatif membangunkan
sistem pendidikan Islam dan tahfiz, dan paling kuat menganaktiri dan
memboikot kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu.
Malah bukan ahli dan penyokong PAS sahaja diperlakukan
sewenang-wenang diwaktu pemerintahan Tun, semasa ulangtahun memperingati
30 tahun Operasi Lalang baru-baru ini akhbar The Star menggariskan
beberapa kezaliman Tun yang pasti tidak dapat dilupakan rakyat Malaysia
termasuklah Operasi Lalang itu sendiri, layanan terhadap sekolah dan
pendikan Cina, menyerang sistem kehakiman dan memecat Ketua Hakim Negara
dan hakim-hakim kanan ketika itu dan banyak lagi.
Jika rakyat Malaysia khususnya para pengundi Melayu boleh memaafkan
Tun dan sanggup melupakan kerakusan lampaunya, maka terimalah agenda
DAP dan bersedialah membentuk Malaysia baru yang sekular dan ultra
liberal.
*Roslan Shahir Mohd Shahir adalah Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor