Ahad, 4 Oktober 2015

Bacaan IPU di Palangkaraya kini lebih 2,000

Bacaan IPU di Palangkaraya kini lebih 2,000
 
 
Jerebu

Gambar hiasan.
 
 
JAKARTA – INDONESIA . Penduduk di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, kini mungkin tiada mempunyai ruang untuk bernafas dengan lega kerana mereka berada dalam keadaan sangat berbahaya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu kini melebihi 2,000.
  
Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika, bacaan IPU di kawasan itu meningkat secara mendadak dari bacaan IPU baik kepada 2,000 pada pukul 10 pagi tadi dan bacaan itu terus meningkat sehingga sekarang.
  
Kualiti udara di Palangkaraya sentiasa berada dalam lingkungan berbahaya sejak beberapa hari lepas.
  
Palangkaraya mengalami darurat jerebu sejak dua minggu lepas dan keadaan itu telah melumpuhkan semua aktiviti harian masyarakat dan semua sekolah ditutup sejak Isnin lepas.
  
Jerebu di kawasan itu dikatakan berpunca daripada kebakaran tanah gambut di Kalimantan dan keadaan jerebu menjadi tidak menentu walaupun usaha-usaha untuk memadam kebakaran hutan masih berterusan.
  
Sementara itu di Jambi, bacaan IPU masih ditahap berbahaya walaupun telah menurun dari 800 pada pagi tadi kepada 400 tengah hari ini. - Bernama

Sekolah diarah tutup dua hari


jerebu
Terdapat segelintir orang ramai masih melakukan aktiviti luar seperti memancing berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika negara dilanda jerebu hari ini. - Foto Bernama




ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Semua sekolah di seluruh negara kecuali di Kelantan, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak diarah tutup selama dua hari, mulai esok.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu dibuat kerana keadaan jerebu semakin teruk.

"Kementerian Pendidikan telah buat keputusan bahawa semua negeri di semenanjung Malaysia kecuali Kelantan, Sabah dan Sarawak diarah tutup mulai esok hingga Selasa.

"Bagaimanapun, keadaan jerebu di Kelantan, Sabah dan Sarawak masih dipantau," katanya kepada media semasa lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, di sini, hari ini.

Menurut Mahdzir, penutupan operasi itu tidak perlu diganti semula melibatkan semua guru, murid dan kerani sekolah.

Sementara itu, peperiksaan seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),  Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2015 akan berjalan mengikut waktu yang sudah dijadualkan.


"Calon-calon akan dibantu serta diberi peringatan agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib semasa bencana jerebu," katanya.


Jangan sibuk salahkan orang lain, bidas Amanah

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub


SHAH ALAM - Sikap suka menyalahkan penubuhan Pakatan Harapan sebagai punca pergolakan dan perpecahan dalaman parti pembangkang tanpa melakukan muhasabah serta penambahbaikan hanya satu tindakan yang merugikan pakatan pembangkang itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub menegaskan sepatutnya semua parti pembangkang memperbaiki kesilapan lalu dan seterusnya memberi fokus kepada agenda meneruskan harapan rakyat pada PRU14 akan datang.

“Ini adalah keperluan yang mendesak ketika ini, daripada sibuk menuding jari kononnya orang lainlah yang membawa angkara perpecahan dan masalah kepada parti sendiri. Amanah juga akan sentiasa melakukan koreksi diri untuk memperkukuhkan peranan kami dalam Pakatan Harapan.

“Janganlah kita leka menyalahkan orang lain dan tanpa melalukan apa-apa sumbangan untuk sama-sama melaksanakan agenda besar Pakatan Harapan yang menjadi aspirasi rakyat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas: Agihan kerusi masalah utama]

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang menyalahkan pihak luar kononnya menjadi punca kepada pergolakan dalaman Pas dengan bertindak mengapi-apikan rasa tidak puas hati, melaga-lagakan pimpinan dan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan.

"Kepada PKR yang masih menjadi rakan kerjasama Pas, kami harap tidak berlaku perpecahan kerana bibit-bibit tersebut telah kelihatan. Adanya pihak yang ingin menjadi juara bagi mengawal parti pembangkang yang lain serta usaha BN khasnya Umno melihat semua komponen parti pembangkang menjadi lemah.

"Pas mendoakan agar PKR tidak mengalami nasib yang sedang dialami oleh Pas," Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata semalam.

Tuan Ibrahim juga yakin Amanah tidak akan berjaya mendapatkan sokongan rakyat pada PRU14 akan datang apabila parti pembangkang baharu itu didakwa akan memecahkan undi pembangkang sedia ada.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata lagi, Amanah lebih gemar berlapang dada dan sentiasa menerima parti-parti pembangkang ke meja rundingan.

“Amanah berpandangan pintu rundingan dan meja perbincangan sentiasa terbuka luas kepada semua parti-parti pembangkang di negara ini untuk berbincang tentang kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi.


Jumaat, 2 Oktober 2015

ALAMAK....NAK LEMPANG PULAKK!!

shahbudindotcom

 

 
 
 
Semalam Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran  "mahu melempang" kepada orang-orang Cina yang cuba mengadu masalah mereka kepada pihak luar.

Saya nak beri amaran kepada Cina-Cina di Malaysia, jangan bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang melindungi mereka, katanya.

Nak kena lempang macam tu, tambahnya sambil ketawa kecil.

Dalam masa yang sama, Tajuddin juga meminta orang Cina di negara ini agar berhenti daripada berangan bahawa ada pihak luar yang akan membela mereka.

Menurut beliau, kedatangan Duta Besar China, Huang Huikang ke Jalan Petaling baru-baru ini adalah untuk memberi mesej mengenai keselamatan kepada rakyat negaranya yang melancong ke Malaysia dan bukannya untuk membela orang-orang Cina di sini.

Sebagai timbalan menteri, berucap pula di depan khalayak yang berbagai serta dihadiri oleh media, tindakan Tajuddin menyelitkan unsur-unsur politik dalam majlis yang berkaitan bidang tugasnya tidaklah menjadi apa-apa kesalahan, tetapi menggunakan perkataan kasar seperti "lempang" adalah tidak wajar sama sekali, walaupun dalam nada yang bergurau

Apakah tidak boleh peringatan itu disampaikan dalam bentuk ucapan biasa saja tanpa menyebut perkataan "lempang" dan sebagainya?

Dan bak kata orang Perak pula, dah kuat bebenor ke berbanding orang Cina...

Imej kerajaan tentunya akan bertambah buruk dengan perbuatan Tajuddin ini serta menggambarkan seolah-olah pemimpin yang seharusnya menunjukkan contoh teladan lebih baik serta menjadi ikutan rakyat, gagal mempamerkan wibawa sebenar apabila berdepan dengan situasi yang mengganggu emosi.

Kalau dalam ucapan pun boleh begitu, bagaimanakah pula bila berdepan dengan pihak yang tidak sebulu dengannya di meja mesyuarat atau perundingan?

Apakah mungkin akan berlaku fail melayang atau kerusi berterbangan?

Tetapi barangkali sebelum amaran "mahu melempang" itu berulang lagi atau kejadian lempang benar-benar menjadi kenyataan nanti sebagaimana dikhabarkan turut pernah berlaku sebelum ini kepada seseorang yang sudah menjadi ketua sebuah kerajaan negeri sekarang ini, Perdana Menteri Najib Razak perlu menjadikan Tajuddin menteri penuh dengan seberapa segera.

Lagi pula Tajuddin bukan saja lebih senior dalam politik berbanding bossnya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Shabery Cheek, malah turut lebih dulu "makan garam" berbanding Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir.

Ahhh...beri atau janjikanlah mana satu untuk Tajuddin!!

NGO wanita tolak kenyataan Rosmah di luar negara

MALAYSIAKINI


 


Kumpulan-kumpulan wanita hari ini menolak kenyataan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, bahawa perkahwinan kanak-kanak di Malaysia jarang berlaku.

“Malangnya perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku lebih kerap daripada yang digambarkan,” kata Gabungan Organisasi Wanita Bertindak Bagi Kesamarataan Gender (JAG).

“Perkahwinan kanak-kanak sudah pasti bukan jarang-jarang berlaku di Malaysia, seperti disebut Rosmah.”

Memetik timbalan meneri wanita, keluarga dan masyarakat Heng Seai Kie pada 2010, JAG berkata kira-kira 16,000 wanita bawah 15 tahun berkahwin pada tahun itu.

Empat tahun selepas itu, kata JAG, keadaan di Malaysia mencetuskan kebimbangan antarabangsa, apabila laporan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) 2014 merekodkan lebih 15,000 kanak-kanak Malaysia berkahwin sebelum umur 19.

Di Malaysia Timur, kata JAG, perkahwinan masih berlaku ketika kemiskinan lebih tinggi dan pembangunan tidak sampai ke kawasan pedalaman.

Berhubung resolusi bagi menamatkan perkahwinan kanak-kanak oleh Majlis Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), JAG berkata Malaysia patut menggiatkan usaha menamatkannya.

JAG terdiri daripada gabungan NGO wanita, termasuk Sisters in Islam (SIS), All Women’s Action Society (AWAM), Persatuan Pertolongan Wanita (WAO) dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER).

Bernama kelmarin melaporkan Rosmah berkongsi pengalaman Malaysia mengatasi masalah perkahwinan kanak-kanak semasa mesyuarat pagi Yayasan Ford di New York pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Isteri Datuk Seri Najib Razak berkata perkahwinan kanak-kanak jarang berlaku di Malaysia berikutan sistem pendidikan negara yang baik dan kadar kemiskinan yang rendah.

Perundangan Malaysia, menurut Rosmah menyekat dan mempunyai pendekatan lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada dipaksa untuk berkahwin pada awal usia.

Rosmah berada New York kerana mengiringi Najib sempena lawatan kerja dan menghadiri sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB.

Salah seorang bayi kembar Erin meninggal dunia

Salah seorang bayi kembar Erin meninggal dunia
Foto yang dimuatnaik di laman Instagram Erin Malek.
 

PELAKON Erin Malek selamat melahirkan anak lelaki pertama semalam dan turut mengumumkan seorang lagi anak kembarnya telah meninggal dunia semasa kandungannya mencecah usia 16 minggu kehamilan.

Erin yang sebelum ini dilaporkan mengandung anak kembar mengesahkan perkara tersebut menerusi akaun Instagramnya yang memaparkan foto dia memegang bayinya sambil diperhatikan suaminya.

"Alhamdulillah, ia adalah detik yang tidak boleh dilupakan untuk saya dan Farriz. Kami ingin memperkenalkan dan mengucapkan selamat datang kepada putera kecil kami, Mohamed Faliq bin Mohamed Farriz," tulisnya.

Erin turut memberitahu, kembar kepada bayinya itu meninggal dunia pada usia 16 minggu kandungan.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kembar bayi saya meninggal dunia pada usia 16 minggu kandungan kerana jantungnya berhenti berdegup akibat cecair berlebihan di dalam perut sehingga menyebabkan seluruh badannya bengkak.

"Bagaimanapun, atas nasihat doktor, saya masih boleh meneruskan kandungan itu melalui kehamilan 9 bulan tanpa menjejaskan kembarnya yang lagi satu," katanya.

Tambahnya lagi, perasaannya bercampur baur menghadapi perkara tersebut dan apabila melihat anak lelakinya itu, dia pasti mengingatkannya kepada kembar bayinya itu.

Bagaimanapun, pasangan tersebut percaya ALLAH mempunyai perancangan yang lebih baik untuk mereka dan kedua bayinya itu.

"Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh peminat yang memberikan  sokongan penuh dan doa," ujarnya.


RoS lulus penubuhan Amanah semalam

THE MALAYSIAN INSIDER



Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah) diluluskan semalam berdasarkan kepada keputusan Kongres Luar Biasa yang diadakan pertubuhan berkenaan pada 25 Ogos dan 8 September lepas. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2015. 
Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah) diluluskan semalam berdasarkan kepada keputusan Kongres Luar Biasa yang diadakan pertubuhan berkenaan pada 25 Ogos dan 8 September lepas. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah). 
 
Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata permohonan itu diluluskan semalam berdasarkan kepada keputusan Kongres Luar Biasa yang diadakan pertubuhan berkenaan pada 25 Ogos dan 8 September lepas.

"Kelulusan yang diberikan ini antara lain merangkumi pindaan nama pertubuhan tersebut daripada Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia kepada Amanah, pertukaran alamat daftarnya serta pindaan perlembagaannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata melalui kongres luar biasa itu parti berkenaan melantik jawatankuasa baharu iaitu Mohamad Sabu sebagai pengerusi dan Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi. Ahli jawatankuasa lain ialah Mujahid Yusuf (naib pengerusi 1), Hasanuddin Mohd Yunus (naib pengerusi 2), Mohd Anuar Mohd Tahir (setiausaha agung), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (penolong setiausaha), Asmuni Awi (bendahari agung) dan Suhaizan Kaiat (setiausaha organisasi).

Razin berkata parti itu turut melantik 13 ahli jawatankuasa lain dan 2 juruaudit.

Pada 31 Ogos lepas, Mohamad yang merupakan pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan pembentukan Amanah, yang merupakan penjenamaan semula Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik GHB.

Bagaimanapun, Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Amanah selagi pertukaran nama belum diluluskan.

GHB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas. – Bernama
 
 

Mufti Perlis sokong P. Pinang larang pembesar suara

 
Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta kepada Islam sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak.


dr-asri,pembesar-suara


PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong cadangan Jawatankuasa Mufti Pulau Pinang untuk melarang pembesar suara di luar masjid dan surau di negeri itu kecuali untuk azan dan iqamah.

Katanya, menurut syariat Islam, hanya azan yang boleh diangkat suara (kuat) dan selain daripada itu tiada nas yang menyuruh orang Islam menguatkan suara bagi menjaga ketenteraman orang lain.

“Bahkan perbuatan mengganggu orang lain dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak,” katanya yang membuat penjelasan itu di Facebooknya.

Katanya, walaupun bacaan al-Quran dan zikir amat baik namun tidak boleh paksa orang lain mendengar bacaan itu.

“Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat (tidak boleh solat) seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain,” jelasnya.

Asri berkata, ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara kerana menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam.

“Ini menyebabkan mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih daripada lima minit,” katanya.

Katanya, Islam pun tidak membenarkan mengangkat suara bacaan ketika solat kerana bimbang mengganggu tumpuan orang lain yang sedang beribadat atau menyakitkan mereka.

“Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi orang lain, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya,”katanya.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid.

Katanya, larangan itu bukan kerana isu politik semata-mata tetapi arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni kerana suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta kepada Islam sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak.

Pemimpin Pas cedera ditampar ketika dialog

 
Abdul Fatah ditampar ekoran perselisihan dalam perkara-perkara tertentu melibatkan parti


Abdul-Fatah-Haron_polis_slap_600


PETALING JAYA: Yang Dipertua Pas kawasan Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron mengalami kecederaan di muka selepas ditampar ahli parti itu.

Kejadian berlaku dalam satu Majlis Dialog Pas di Kampung Banggol Kulim, Pasir Mas, Kelantan kira-kira jam 9.30 malam Khamis.

Berita Harian Online melaporkan, bekas ahli Parlimen Rantau Panjang itu ditampar lelaki terbabit ekoran berselisih faham dalam perkara–perkara tertentu melibatkan parti.

Lelaki berkenaan telah meluru ke arah mangsa dan terus menamparnya sebelum sesi dialog bermula.

Insiden yang berlaku itu telah menjadi viral selepas Abdul Fatah sendiri memuat naik gambar mukanya yang cedera.

Kejadian yang berlaku itu turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim.


Perarakan Gospel juga patut dilarang -ISMA

 
ISMA berpendirian larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah bercanggah dengan hak kebebasan beragama.


Presiden-ISMA,-Abdullah-Zaik-Abdul-Rahman


PETALING JAYA: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menentang cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk mewartakan larangan pembesar suara di luar masjid dan surau di Pulau Pinang kerana tindakan itu bercanggah dengan kebebasan hak beragama yang diamalkan di negara ini.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, sekiranya cadangan itu diwarta dan dikuasakan, Kerajaan Pulau Pinang juga perlu mengambil tindakan sama dengan mewartakan larangan perarakan Gospel.

“Tindakan kerajaan Pulau Pinang tidak selari dengan dasar liberal yang mana pihak berkuasa tidak boleh ,mengambil apa-apa tindakan penguatkuassaan terhadap amalan mana-mana agama.

“Kalau nak wartakan, wartakan juga larangan Perarakan Gospel dan lain-lain yang mengganggu keselesaan orang ramai,” katanya kepada FMT.

Kerajaan Pulau Pinang akan mewartakan keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk laungan azan dan iqamah dalam jangka masa terdekat selepas mendapat perkenaan Yang Dipertuan Agong.

Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyokong cadangan Kerajaan Pulau Pinang itu kerana mengikut syariat Islam hanya azan yang boleh dilaungkan tambah lagi Islam amat menitikberatkan ketenteraman orang lain.