Jumaat, 2 Oktober 2015

Nik Aziz ketika hidup sokong larangan pembesar suara

 
Pas menyokong larangan itu kerana Pulau Pinang mempunyai masyarakat bukan Islam yang ramai berbanding negeri lain.


nik-abduh,nik-aziz,pembesar-suara


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am Pas, Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika hayatnya menyokong larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Nik Mohamad Abduh.

Ketua Pemuda Pas itu berkata, Islam tidak suka mengganggu ketenteraman orang lain apatah lagi Pulau Pinang yang mempunyai ramai masyarakat bukan Islam berbanding negeri lain.

Malah, katanya, aduan tidak puas hati mengenai pembesar suara pernah dibuat oleh bukan Islam di negeri itu.

“Di Pulau Pinang ada masyarakat bukan Islam yang ramai, mereka merungut. Maka dari sudut siasah syariah adalah betul kita melarang pihak masjid daripada buat perkara yang tidak disuruh oleh nabi.

“Islam tak suka menganggu masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Selamatkan Al-Aqsa di Masjid Jamek di ibu negara pada Jumaat.

Sehubungan itu, Nik Abduh berkata, Pas tidak mempunyai masalah dengan larangan itu malah menyokongnya.


PKR belum terima undangan H60K anjuran PAS

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic


SHAH ALAM: PKR belum terima apa-apa undangan daripada PAS untuk menyertai Himpunan 60 Ribu (H60K), demikian kata Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali.

Kita (PKR) belum pasti setiausaha agung (Rafizi Ramli) sudah terima atau tidak jemputan (daripada PAS). Kita akan bincang dalam mesyuarat yang akan datang.

Ia ekoran PKR Kelantan pada Rabu yang bersedia untuk menyertai Himpunan Fastaqim (H60K) atau baju hijau jika matlamat penganjurannya membawa kebaikan kepada masyarakat.

Perkara itu dinyatakan pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir.

Azmin berkata, segala undangan kepada PKR harus datang kepada setiausaha agung parti, Rafizi.

Sekiranya ada sebarang jemputan, Azmin berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat rasmi parti minggu depan.

"Biasanya (undangan PAS) akan berurusan dengan setiausaha agung dan kita akan bincang dalam mesyuarat parti yang akan datang.

Azmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Menara Top Glove, selepas mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Sebelum ini PAS menerusi Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhasrat untuk menjemput DAP untuk menyertai majlis himpunan berkenaan pada 17 Oktober depan

DAP tak perlu akur gesaan MCA, Gerakan mohon maaf atas dakwaan cetus perkauman - Syefura

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: Aktivis DAP, Syefura Othmen berpendapat parti itu tidak perlu akur dengan gesaan MCA dan Gerakan yang mahu DAP bertaubat dan memohon maaf selepas didakwa menjadi dalang kepada isu perkauman di negara ini.

"Mereka asyik menyalahkan DAP kononnya sering melaga-lagakan antara satu sama lain. Jika begitu, mengapa apa yang dibawa Umno mereka (MCA dan Gerakan) tidak bersuara?" soalnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Syefura berkata demikian mengulas gesaan MCA dan Gerakan yang meminta DAP bertaubat dan memohon maaf kerana menjadi punca tercetusnya api perkauman semasa Himpunan Bersih 4.0 baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng, kelancaran Himpunan Bersih 4.0 'dirampas' sepenuhnya oleh DAP dengan berniat buruk untuk mencapai agenda politik mereka melalui kuasa demonstrasi jalanan.

Tambahnya lagi, ia semakin buruk dengan tindakan peserta himpunan memijak gambar pemimpin-pemimpin Melayu seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta membuat istiadat yang menyinggung perasaan dan emosi kaum Melayu.

Syefura bagaimanapun berkata, perbuatan sesetengah pihak itu tidak boleh disifatkan sebagai tindakan keseluruhan yang mewakili DAP.

"Saya tidak setuju dengan tuduhan perkauman itu. Namun saya juga tidak bersetuju dengan apa juga cara atau tindakan yang dilakukan oleh sesiapa pun yang memijak gambar Najib, Anwar atau Hadi. Pada saya, tindakan itu adalah individu dan tidak boleh salahkan semua orang," ujarnya lagi.

MBI serah surat tuntutan kepada Utusan, NST, TV3

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR:  Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan firma pelaburan negeri Darul Ehsan Investment Group (DEIG) Sdn Bhd menuntut tiga syarikat berkaitan Umno memohon maaf secara terbuka dan menarik balik artikel yang dikatakan berunsur fitnah dan mencemarkan reputasi mereka.
 
MBI mengemukakan surat tuntutan pada 25 September kepada syarikat penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan penerbit Utusan Melayu (M) Berhad dan The New Straits Times Press (M) Berhad, yang masing-masing menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan The New Straits Times (NST).
 
"MBI menuntut penarikan balik secara penuh dan tidak berbelah serta terbuka tuduhan yang merosakkan itu dan permohonan maaf secara terbuka yang sewajarnya, untuk disiarkan mengikut terma yang diluluskan MBI dalam masa tujuh hari dari tarikh surat tuntutan.
 
"Jika gagal berbuat demikian, MBI akan memulakan prosiding undang-undang tanpa sebarang notis," kata MBI dalam satu kenyataan hari ini.
 
Artikel tersebut pertama kali diterbitkan NST pada 21 Ogos di bawah tajuk "Why No State Officials in DEIG? (Mengapa Tiada Pegawai Negeri di DEIG?)", diikuti oleh artikel "Aset RM30B Boleh Lebur Bila-bila Masa" di Utusan pada 22 Ogos.
 
Pada 2 September, TV3 menyiarkan rancangan bual bicara secara langsung mengenai DEIG bertajuk "Soal Jawab: Skandal RM30 bilion DEIG". 


Penganjur perhimpunan perlu bagi notis 10 hari

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan penganjur yang gagal memberikan notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan kini boleh didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan mendenda R. Yuneswaran RM6,000 kerana melanggar Akta Perhimpunan Awam apabila dia gagal memberikan notis 10 hari bagi perhimpunan diadakan pada 2013.

Yuneswaran didakwa terbabit menganjurkan perhimpunan disebut sebagai “Black 505 rally” oleh PKR pada 5 Mei 2013.

“Kami amat berpuas hati bahawa terdapat cukup bukti untuk menyokong pendakwaan responden,” kata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel tiga hakim ketika menyatakan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman sebagai tidak melanggar perlembagaan.

Najib: M'sia akan terima 3,000 pelarian Syria

MALAYSIAKINI


 


Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

"Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil banyak orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman," katanya pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada hari Khamis.

Pengumuman oleh Najib berhubung kesediaan untuk menerima pelarian Syria itu disambut tepukan gemuruh audien.

Adalah dilaporkan sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta pelarian Syira telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan bergelumang dalam kancah kemiskinan.

Najib berkata penyelesaian antarabangsa yang baru diperlukan bagi menangani krisis migrasi.
"Kita mesti menghormati nilai kemanusiaan bersama" dan isu berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka harus menjadi kebimbangan dan perhatian dunia.

"Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar-gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan - dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita.

"Apabila kita melihat gambar memilukan jasad Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu maka kita akan bertindak untuk berbuat lebih baik.

"Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh - tidak akan membiarkannya sahaja," kata Najib.

Perdana menteri turut mengulangi kekecewaan Malaysia terhadap kegagalan PBB menerima pakai resolusi menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa untuk menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 kerana kuasa veto dikenakan.

"Kami akan terus menuntut keadilan menerusi opsyen undang-undang lain kerana kami bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian jenayah yang kejam ini," katanya.

Pada 29 Julai lepas, Rusia menggunakan kuasa veto untuk menghalang cadangan lima negara yang dirintis Malaysia untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa sementara bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 tahun lepas.

Resolusi tersebut mendapat 11 undi menyokong daripada Chad, Chile, Perancis,Jordan, Lithuania, Nigeria, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

China, Venezuela dan Angola, bagaimanapun, berkecuali daripada mengundi.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terkorban apabila pesawat itu ditembak jatuh di Donetsk di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas.
- Bernama


Tuntut kebenaran pun langgar SOSMA?

Mujahid Yusof Rawa


 


Penahanan Naib Ketua Bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hasan di bawah SOSMA dan sebelumnya bawah Kanun Keseksaan kerana memudaratkan proses demokrasi parlimen adalah sesuatu yang tidak perlu.

Ini memandangkan bahawa Khairuddin hanya ingin mendapat kebenaran dari kes 1MDB yang telah menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia.

Penahanan ini membawa implikasi bahawa undang-undang negara digunakan untuk menyelamatkan pemimpin yang korup dan bukan untuk menjaga kepentingan negara dan awam.

Kami berpendirian bahawa SOSMA adalah undang-undang yang memberi kuasa kepada panel penyiasat dan menafikan hak kepada mahkamah dalam menentukan merit pendakwaan dan pengadilan di mahkamah terbuka.

Lagipun SOSMA adalah bertujuan untuk memerangi keganasan yang menjejaskan keselamatan negara. Apakah menuntut kebenaran kepada skandal 1MDB satu ancaman keselamatan kepada negara?

Penahanan Khairuddin dan lain-lain kes menindas kebebasan mengkritik regim korup adalah lambang kepada negara kuku besi yang sedang terbina bawah pimpinan Najib.

Semua yang cintakan keadilan merentasi kefahaman politik harus bangkit pada penindasan ini. Umno memberi nyawa kepada pemimpin kuku besi seperti ini menguasai negara kita Malaysia tercinta.
Teruskan perjuangan menuntut hak dan tolak pemimpin kuku besi!


MUJAHID YUSOF RAWA naib presiden Parti Amanah Negara dan MP Parit Buntar.

MALAYSIAKINI


 


Lebih ramai pihak tampil mendesak bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah keluar Umno selepas hadir dalam pertemuan pembentukan gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan baru-baru ini.

“Kalau ada harga diri yang tinggi, janganlah sampai orang nak kena buang dia,” kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii kepada Malaysiakini.

Beliau mengibaratkan dengan keadaan di tempat kerja yang mana seseorang pekerja harus meletakkan jawatan jika tidak lagi berminat untuk berkhidmat di tempat itu.

“Jangan buat masalah kepada orang lain sampai nak kena buang kerja, nak kena surat amaran atau macam-macam lagi,” katanya.

Razlan juga berkata, berdasarkan ulasan Saifuddin jelas dia berpendapat formula Umno menyelesaikan masalah Melayu tidak seiring dengan idea “politik baru” yang diketengahkannya.

“Jadi kalau beliau percaya kepada politik baru ini boleh diterima rakyat, pergilah buka parti baru atau pergi masuk pembangkang,” katanya.

Walaupun sering mengeluarkan pandangan melawan arus, tindakan Saifuddin hadir ke mesyuarat pembentukan gabungan baru DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) kali ini membuatkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada partinya.


Kamalanathan sah akan tanding pemilihan MIC

SINAR HARIAN


P Kamalanathan
P Kamalanathan


SUNGAI PETANI - Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CRW) MIC yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berhasrat bertanding dalam pemilihan parti itu bulan depan.
  
Beliau bagaimanapun belum memutuskan jawatan yang akan ditandinginya, sama ada Naib Presiden atau anggota Majlis Tertinggi (MT).
  
"Saya belum buat keputusan lagi, saya sedang dapatkan nasihat daripada pemimpin tertinggi, saya ingin mendapatkan respons dan nasihat mereka, ada masa lagi untuk saya membuat keputusan.
  
"Tetapi yang pasti, saya akan bertanding, saya tidak akan bertanding jawatan Presiden mahupun Timbalan Presiden, itu sudah selesai, tinggal jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT)," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Peruntukan Khas kepada empat Sekolah Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kedah di sini, malam tadi.

Hadir sama, Anggota Dewan Negara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah, Senator Datuk Jaspal Singh.
  
Kamalanathan berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan pemilihan MIC kali ini dan memuji tindakan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, mewujudkan jawatankuasa tentang politik wang.
  
Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan RM250,000 kepada empat SJKT di Kedah, iaitu SJKT Ladang Buntar (RM30,000); SJKT Ladang Sungai Raya (RM50,000); SJKT Palanisamy Kumaran (RM70,000) dan SJKT Ladang Wellesley (RM100,000).

Sumbangan fasa pertama ini katanya merupakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), di bawah Pakej Rancangan Khas 2013 untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan sekolah Tamil.
  
"Lebih 150 sekolah dikenal pasti untuk menerima bantuan penyelenggaraan ini, yang akan diberikan secara berterusan, sehingga sebelum akhir bulan ini," katanya.
  
Sementara itu, Kamalanathan berkata bagi Pakej Rancangan Khas 2012, 39 SJKT  menerima bantuan penyelenggaraan dengan 37 daripadanya diberi surat lantikan kontraktor.
  
Daripada 37 sekolah itu, 50 peratus daripada sekolah terbabit telah memulakan projek, manakala baki 50 peratus sedang dalam proses mendapatkan kelulusan merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), katanya. - Bernama


Saifuddin tak sepatutnya hadir majlis pembangkang

SINAR HARIAN


Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi


KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Datuk Saifuddin Abdullah tidak sepatutnya menghadiri Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0, yang diadakan untuk memuktamadkan pembentukan pakatan pembangkang yang baharu.

Katanya, walaupun Pengerusi Tribunal Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, tiada salahnya bagi mana-mana anggota parti menghadiri majlis anjuran parti lain, namun secara peribadi, beliau berpendapat perkara itu tidak harus berlaku.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Ketenagakerjaan dan Transmigrasi Indonesia Hanif Dhakiri di sini, hari ini.

Lembaga Disiplin Umno dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dan di bawah lembaga itu, terdapat Tribunal Disiplin yang  dipengerusikan oleh Megat Najmuddin manakala Panel Rayuan dipengerusikan oleh Tan Sri Sabaruddin Chik.

Ahmad Zahid berkata Megat Najmuddin perlu menjelaskan kepada Majlis Tertinggi Umno mengenai pendiriannya berhubung perkara itu.  

Saifuddin yang juga bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno, menghadiri Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 pada 22 September lepas. 

Majlis itu turut dihadiri Presiden  PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara yang dalam proses pendaftaran, Mohamad Sabu.

Saifuddin dilapor menjelaskan kehadirannya pada program itu atas kapasiti peribadi sebagai Pengerusi Akademi Belia. - Bernama