Jumaat, 2 Oktober 2015

Jerebu tidak mengenal sempadan negara

SINAR HARIAN



Jerebu
Keadaan jerebu terkini di Singapura. Bacaan IPU yang dicatatkan mencecah 250 pada tengah hari tadi. - Foto EPA


PUTRAJAYA - Diplomasi sains perlu diguna pakai untuk menangani masalah jerebu yang melanda negara, kata Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Ahmad Zaidee Laidin.
  
Katanya, diplomasi sains harus digunakan kerana jerebu tidak mengenal sempadan negara dan boleh datang dan pergi menerusi tiupan angin.
  
"Menerusi diplomasi sains, setiap negara akan memikirkan tindakan yang perlu diambil setiap kali komunikasi berlaku," katanya dalam ucapan ketika majlis penutup Bengkel Saintis Muda Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Keberkesanan Sains Komunikasi di Abad ke-21, di sini, semalam.‎
  
Definisi Wikipedia untuk diplomasi sains adalah penggunaan kerjasama saintifik antara negara bagi menangani masalah sama dan mewujudkan perkongsian antarabangsa yang membina.
  
Ahmad Zaidee berkata, selain jerebu, saintis juga perlu dipersiapkan untuk memainkan peranan sebagai penghubung serba boleh dan pendidik dalam isu seperti tenaga, krisis air, penyakit berjangkit seperti wabak Ebola, influenza, denggi, kemarau, banjir dan tanah runtuh.
  
Pada Rabu lalu,‎ Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, pihaknya memerlukan tiga tahun untuk mengatasi pembakaran hutan di negara itu, serta menangani masalah jerebu yang dihadapi negara jiran mereka ketika ini.
  
[ARTIKEL BERKAITAN: Indonesia perlu tiga tahun selesai masalah jerebu]

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) kementerian, Dr Zulkifli Mohamed Hashim berkata terdapat keperluan mendesak untuk menyebarkan maklumat kepada ramai dalam istilah biasa.
  
Bagi menjayakan idea itu, komuniti sains perlu mengasah kemahiran sains komunikasi mereka, katanya.
  
Bengkel anjuran bersama Rangkaian Saintis Muda ASM,  APEC dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu dihadiri 70 peserta tempatan dan luar negara terdiri daripada saintis muda dan pengamal media dari 10 negara anggota APEC.
  
Hasil kajian kes daripada bengkel ini akan digunakan sebagai panduan untuk membangunkan dasar sains komunikasi yang berkesan oleh ekonomi APEC.    - Bernama


Ada cubaan ganggu perlawanan Perak, JDT Ahad ini

Ada cubaan ganggu perlawanan Perak, JDT Ahad ini
Chang Keong (tengah) pada sidang media berhubung persiapan polis dan kawalan keselamatan menjelang perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Perak dan JDT, di Ipoh, Ahad ini. - Foto Sinar Harian


IPOH – Pihak polis mengesahkan menerima maklumat terdapat individu atau kumpulan tertentu yang dijangka akan menimbulkan insiden tidak diingini serta boleh menggugat perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Stadium Perak, Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sebelum ini telah berlaku kekecohan pada dua perlawanan bola sepak melibatkan kedua-dua pasukan tersebut dan polis pernah membuat tangkapan serta menuduh mereka yang terbabit di mahkamah kerana melakukan kekacauan.

“Berikutan itu, semua pegawai dan anggota polis sudah bersiap sedia untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menggagalkan perlawanan tersebut sama ada sebelum, semasa atau selepas perlawanan.

“Kita memberi amaran sekiranya ada pihak yang cuba membuat kekacauan, tindakan undang-undang akan diambil dan siasatan serta pertuduhan akan dilaksanakan di mahkamah mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Pada perlawanan kali ini, kita telah menetapkan supaya penyokong dan penonton tidak membawa barangan larangan seperti senjata berbahaya, suar, mercun dan objek yang boleh mendatangkan kecederaan kepada penonton lain.

“Selain itu, sebarang peralatan bunyian seperti dram dan gong juga tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke stadium pada perlawanan kali ini.

“Sehubungan itu, pemeriksaan rapi akan dilakukan ke atas penyokong dan penonton sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam stadium pada Ahad ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Jerebu Singapura capai tahap sangat tidak sihat

SINAR HARIAN



Singapura Jerebu
Gambar hiasan


SINGAPURA - Keadaan jerebu di Singapura semakin merosot dan boleh mencapai tahap sangat tidak sihat tertinggi dalam tempoh 24 jam jika jerebu lebih padat ditiup ke situ, kata Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA).

Menurutnya, indeks standard pencemaran (PSI) 24 jam dijangka berada antara tahap tidak sihat dan tidak sihat pertengahan, dan mungkin merosot kepada sangat tidak sihat tertinggi jika jerebu lebih padat sampai ke negara itu.

Hari ini, Singapura terus dilanda jerebu yang ditiup angin tenggara ke negara itu.

Sehingga jam 7 malam tadi, bacaan PSI 24 jam adalah 154-197 iaitu tahap tidak sihat manakala bacaan PSI tiga jam pula berada pada 167.

Menurut NEA, jerebu dari Sumatra dan Kalimantan masih merebak ke sebahagian besar rantau ini.

NEA turut menasihatkan mereka yang masih sihat untuk mengelakkan aktiviti berat dan berpanjangan di luar, manakala orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak perlu mengurangkan kegiatan luar rumah.

Mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik dan jantung juga dinasihatkan mengelakkan daripada aktiviti luar, manakala mereka yang berasa kurang sihat  terutama orang tua dan kanak-kanak, serta mempunyai masalah jantung dan paru-paru yang kronik, perlu mendapatkan rawatan. - Bernama


PKR tidak halang ahli hadir ke program lawan‎

Manivannan Gowin
Manivannan
 
 
SHAH ALAM – PKR tidak pernah menghalang mana-mana ahlinya untuk menghadiri mana-mana program atau perjumpaan yang dibuat oleh mana-mana parti selain parti itu.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata, polisi partinya tidak akan meghalang ahli untuk menerima jemputan perjumpaan dari pihak lawan kerana percaya perbincangan yang dibuat oleh dua pihak yang berbeza boleh membawa kepada jawapan dan keputusan yang terbaik.

“Parti lawan bebas menjemput saya dan saya akan hadir, apa masalahnya? Bukankah kita berkhidmat untuk rakyat dan masa depan negara? Bukankah itu sebahagian matlamat dalam perjuangan kita?

“Pertemuan antara dua pihak tidak patut dihalang kerana ia merupakan permulaan kepada sebuah gerakan yang baik dan sihat,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kehadiran bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang menghadirkan diri ke perbincangan yang diikuti dengan pelancaran pakatan pembangkang baharu, Pakatan Harapan yang diadakan baru-baru ini.

Tindakan Saifuddin menyebabkan beliau menerima surat tunjuk sebab yang memerlukan jawapan sebelum menjelangnya 6 Oktober ini.

G Manivannan dalam pada itu turut memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh Saifuddin.

Menurut beliau, kesemua ahli pemimpin dalam parti lawan sepatutnya mencontohi keterbukaan yang dipamerkan oleh Saifuddin.

“Kalau lawan nak pelawa saya, saya sedia hadir untuk berikan idea dan pandangan saya.

"Walaupun beliau bukan ahli Parlimen, tetapi beliau mmpunyai kepimpinan yang berkredibiliti. Beliau tunjukkan profesionalisme dalam bidang politik.

“Kenapa kita nak cantas tindakan seperti itu?Ahli partinya perlu mencontohi sikap beliau, jangan terlalu berpegang kepada elemen kesetiaan (kepada parti) sampai menggadaikan prinsip kesetiaan dan nilai integriti mereka kepada rakyat,” katanya lagi.



Khamis, 1 Oktober 2015

Beranikah JAIPP tegur Najib melalui khutbah?

tengku zul

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP Pahang mempersoal Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sama ada mereka memiliki keberanian menegur Datuk Seri Najib Razak dalam isu berkaitan hal ehwal Islam melalui khutbah.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata Perdana Menteri itu pernah membuat kenyataan menolak hudud atas alasan tertentu tetapi tidak pula dikecam melalui khutbah.

“Beranikah mufti memberi ‘nasihat’ secara terbuka apabila Najib membuat kenyataan menolak hudud?
Mengapa berdiam diri apabila Najib meminta model yang dituduh minum arak, merayu bagi mengelakkan hukuman syariah iaitu sebat?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman semalam yang enggan mohon maaf berhubung khutbah pada sambutan Aidiladha minggu lalu.

Sebaliknya, Abdul Rahman pula mahu DAP memohon maaf kerana mendakwa ‘campur tangan dalam hal ehwal Islam’ sedangkan parti itu sekadar tidak mahu agama diperalat untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Mengikut laporan MalaysiaKini pada 24 September 2011, Najib dilapor berkata hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang itu dikuat kuasa.

Dalam kes minum arak, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 1 Disember 2008 mendenda RM5,000, selain hukuman enam sebatan terhadap model, Kartika Sari Dewi Shukarnor selepas mengaku bersalah berbuat demikian.

Bercakap kepada RoketKini, Tengku Zulpuri turut menyelar Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Sidek Mohd Noor yang menyifatkan teks khutbah itu bukan ‘fitnah tetapi nasihat’.

“Itu tuduhan, bukan nasihat. Kalau nasihat, panggil elok-elok dan cakap baik-baik. Bukannya dibuat secara terbuka yang secara tidak langsung menghukum secara persepsi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau masih menunggu tempoh lima hari yang diberi kepada JAIP untuk menarik balik teks khutbah dan memohon maaf, berakhir sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Masih dalam tempoh bertenang. Biarlah mereka cakap macam-macam. Kita tak gelabah atas kenyataan mereka. Lagipun, kami sedang teliti aspek perundangan,” katanya.

Sebelum ini, DAP mendesak JAIP menarik balik teks khutbah yang menggambarkan dakwaan palsu kononnya parti itu menentang Islam. – Roketkini.com


Pemenjaraan Dr Khir dan Implikasi Terhadap Skandal 1MDB




Oleh A Kadir Jasin


BEKAS Menteri Besar Selangor, (Datuk Seri) Dr Mohamad  Khir Toyo, berkata beliau tidak mel

akukan kesalahan rasuah.  Betullah tu.Dalam sistem penghakiman kita, adalah hak mutlak yang tertuduh untuk menafikan tuduhan ke atasnya dengan mengaku tidak bersalah (plead not guilty).

 Malah orang yang bersalah dan bersedia mengaku salah pun diingatkan (cautioned) oleh hakim jangan mengaku salah. Tapi kalau hendak mengaku juga, dia akan diingatkan dan dibagi amaran padah pengakuan salahnya itu.

Dalam sistem kehakiman Inggeris yang menjadi asas kehakiman kita, penghakiman hanya boleh dibuat oleh mahkamah. Hanya mahkamah berhak menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Malah keadilan (justice) memihak kepada tertuduh (the accused). Mula-mula sekali, tertuduh tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty). Jadi Dr Khir “tidak bersalah” sehinggalah “dibuktikan bersalah”.

Beban mutakhir adalah di bahu pihak pendakwa. Pendakwa wajib membuktikan “tanpa sebarang keraguan” (beyond reasonable doubt) akan kesalahan tertuduh. Maksudnya tanpa syak wasangka.

Pihak pembela pula hanya perlu mewujudkan keraguan yang berpatutan (reasonable doubt) bagi membebaskan anak guaman mereka daripada sabit kesalahan.


Dr Khir dan pasukan pembelaannya gagal cetuskan "reasonable doubt"

Jadi, walaupun Dr Khir “bersumpah” beliau tidak bersalah, pihak pendakwa berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa beliau telah melakukan jenayah yang dituduh manakala peguam beliau gagal menimbulkan keraguan yang berpatutan.

Sekarang sahlah kesalahan beliau. Penafian beliau tidak bermakna lagi di segi undang-undang. Maka dengan itu, Dr Khir dipenjarakan selama 12 bulan dan harta yang terlibat dirampas.

Dengan itu juga, jadilah beliau Menteri Besar Selangor yang kedua dipenjarakan kerana rasuah dan menjadi antara segelintir pemimpin kanan kerajaan yang didapati bersalah melakukan rasuah.

Natijahnya:

1. Sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Dr Khir telah dibuktikan terlibat dengan rasuah.

2. Pemimpin politik masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut undang-undang Negara.

3. 0rang baik dan berprofil rendah menjadi alpa, bongkak dan hilang akal apabila mendapat kuasa. Dr Khir boleh dikatakan tidak dikenali sebelum dilantik entah dari mana (out of the blue) menjadi Menteri Besar pada tahun 2000.

4. Pemenjaraan Dr Khir memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata iaitu tidak ada sesiapa pun berada di atas daripada undang-undang (above the law).


5. Kesabitan kes Dr Khir memberi makna yang istimewa dan tersendiri dalam kaitan dengan penyiasatan dalam negara dan antarabangsa membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone ) Mohd Najib Abdul Razak.

6. Ada beberapa persamaan di antara kes rasuah Dr Khir dengan “derma” RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Mohd Najib, khususnya alasan politik dan dakwaan rakyat jelata tidak rugi apa-apa.

7. Tidak seperti Dr Khir yang menafikan keterlibatannya, Mohd Najib terus berdiam diri malah tidak menafikan kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu sebaliknya para penyokong beliau mendakwa wang itu adalah “derma” daripada seorang dermawan misteri Arab.

8. Para peguam Mohd Najib juga masih berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap Wall Street Journal kerana mendedahkan hal itu walaupun telah mengeluarkan ancaman itu hampir tiga bulan lalu (8 Julai).

9. Pemenjaraan Dr Khir pastinya menaikkan tahap kebimbangan mereka yang terbabit atau dikaitkan dengan skandal 1MDB dan tabung peribadi Mohd Najib.

Anekdot 1: Jumpa Mohd Najib buat kali pertama pada tahun 1977 untuk temu bual bagi pihak akhbar Business Times sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Ahli Parlimen Pekan. Berbual mengenai beliau berjalan kerluar daripada bayang raksasa (giant shadow) bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Bayang raksasa adalah padanan tajuk filem Kirk Douglas (bapa Micheal Douglas) “Cast A Giant Shadow” (1966).



Anekdot 2: Jumpa Dr Khir di Pejabat SUK Selangor, Shah Alam ketika beliau di puncak kuasa. Beliau dan kakitangannya berasa saya terlalu kritikal terhadap beliau.

Waktu itu sudah timbul cakap-cakap yang tidak menyenangkan mengenai tindak-tanduk beliau. Saya mengingatkan Dr Khir agar berhati-hati sambil merujuk kepada “sumpahan” (curse) jawatan MB Selangor.

Akhirulkalam, bukan mudah menjadi saksi kepada sejarah dalam suasana di mana sejarah diabai dan dinafikan! Wallahuaklam

DAP jangan campur tangan urusan Jabatan Mufti


Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man 


PAS menyokong pendirian Mufti Pahang mempertahankan teks khutbah Aidul Adha. Khutbah yang berupa nasihat agama bagi umat Islam yang terikat dengan syarat dan rukun merupakan peringatan baik bagi umat Islam.

PAS mempunyai pengalaman bersama dengan DAP sangat memahami bagaimana sikap DAP terhadap penghayatan dan amalan Islam.

Harus diingat PAS memutuskan hubungan dengan DAP atas isu agama. Majlis Syura membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP kerana penentangan dan sikap melampau DAP terhadap kepimpinan PAS khususnya serangan ke atas Presiden yang membawa usul persendirian ke Parlimen bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Penentangan ini telah membawa kepada berlakunya pelanggaran terhadap syarat tahaluf yang mengikat hubungan politik antara PAS dan DAP.

Penentangan DAP terhadap undang-undang Islam ini bukanlah perkara baru. Bahkan tindakan kepimpinan DAP menyokong beberapa program yang ditentang oleh umat Islam seperti Oktober fest, unisex saloon di Kelantan dan lain adalah bukti umum bagaimana sikap DAP terhadap penghayatan amalan Islam bagi orang Islam.

PAS gesa DAP tidak campur tangan dalam urusan Jabatan Mufti yang mempunyai hak bagi mengeluarkan fatwa dan nasihat agama dalam pelbagai medium samada kuliah, ceramah atau khutbah. Nasihat agar umat Islam bersatu menentang kemungkaran agama dan syariat juga menjadi dasar dan matlamat perjuangan PAS.

PAS menggesa seluruh institusi agama Islam turut berperanan menentang sebarang kemungkaran yang turut dilakukan oleh parti pemerintah. Soal rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dana dalam isu 1MDB, isu 'derma' yang masuk ke akaun peribadi PM sebanyak RM2

6 billion, Kehilangan daya saing negara dan kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kerana kerosakan akhlak pemerintah akan mengundang bala dan bencana bagi negara.

Golongan agamawan juga tidak sepatutnya bersekongkol dengan kemungkaran pemerintah dan tidak terjebak dengan budaya resis yang cuba dipotret bagi menutup isu sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat.

Gesaan agar umat Islam bersatu walau berbeza dasar perjuangan sangat mengejutkan PAS, kerana soal dasar dan matlamat adalah perkara prinsip yang tidak boleh kompromi. Manakala perkara strategi dan uslub boleh berbeza pandangan dan kaedah.

(*)  Tuan Ibrahim Tuan Man .Timbalan Presiden PAS. 
 

KEADILAN arah anggota demo pertahan Masjid Al-Aqsa

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - KEADILAN mengarahkan anggotanya untuk turun berhimpun esok bagi membantah pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjid Al Aqsa, kata Naib Presidennya, Rafizi Ramli.

Ia berikutan tindakan rejim Israel menyerbu Masjid Al Aqsa sehingga menyebabkan pertempuran terbaharu antara polis Israel dan penduduk Palestin baru-baru ini.
Masjid Al Aqsa
Katanya, tindakan rejim Israel itu tidak menghormati kedudukan Masjid Al-Aqsa sebagai salah satu masjid paling suci bagi penganut agama Islam di seluruh dunia.

“Lantaran itu, satu gabungan Selamatkan Al-Aqsa telah ditubuhkan dan dipelopori oleh aktivis-aktivis Palestin di negara ini.

“Satu demonstrasi mengutuk pencerobohan Al-Aqsa oleh rejim Zionis ini juga akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat, 2 Oktober 2015 selepas solat Jumaat,” katanya pada kenyataan media.

Menurut Rafizi, KEADILAN menyokong sepenuhnya perjuangan pembebasan rakyat Palestin dan mempertahankan Al-Aqsa daripada diceroboh.

Beliau juga telah mengeluarkan pekeliling kepada semua anggota dan pimpinan KEADILAN untuk turut bersama-sama hadir dalam demonstrasi itu, esok.

Pada masa sama, katanya, Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Gooi Hsiao Leung akan membawa isu ini kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman agar Malaysia menggunakan kedudukannya di Majlis Keselamatan PBB untuk melindungi rakyat Palestin dan mempertahankan Al-Aqsa daripada dicerobohi.

“Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia untuk menyertai demonstrasi esok demi mengangkat perjuangan sejagat membela rakyat Palestin yang telah ditindas sekian lama,” tegasnya.

Sementara itu  ribuan anggota daripada lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan dilapor akan berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat esok yang dinamakan sebagai ‘Hari Kemarahan’.

Menurut jurucakap Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds, Mohamad Raimi Ab Rahim pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat yang juga sekutu rapat Israel.

AMK gesa Najib beri tekanan ke atas Israel di PBB, OIC

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR- Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Perdana Menteri bertindak lebih tegas dengan mengetegahkan isu pencerobohan Israel ke atas Masjid Al Aqsa di Majlis keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sambil mengecam keras tindakan terbaharu rejim Israel, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pertubuhan-pertubuhan antarabangsa perlu memberi tekanan kepada rejim itu agar menghentikan kekejaman kepada rakyat Palestin.

masjid-624x358“Tentera Israel tetap tidak menghiraukan kecaman masyarakat antarabangsa terhadap tindakan mereka yang menyeksa masyarakat Islam dan Kristian di Palestin dan hari demi hari kerajaan Zionis dengan sengaja memburukkan lagi keadaan.

“Kini, dengan pencerobohan kiblat pertama umat Islam, mereka jelas hendak memperkasakan lagi penguasaan Zionis di tanah suci itu dan mencabar kesabaran umat Islam seluruh dunia,” katanya pada kenyataan media.

Sehubungan itu, AMK menyarankan rakyat Malaysia menyokong pengisytiharan ‘Hari Kemarahan’ dengan menghadiri bantahan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat esok.

“Dunia Barat, khususnya Amerika, perlu berlaku jujur tentang pencerobohan dan kezaliman di Palestin dan tidak tunduk kepada lobi Israel lagi,” ujarnya.

Perkarangan Al-Aqsa menyaksikan pertempuran sejak dua minggu lalu apabila warga Palestin bertindak mempertahankan masjid suci ketiga umat Islam daripada pencerobohan pihak berkuasa Israel.

Di Bethlehem, penunjuk perasaan dilapor membaling batu dan bom api ke arah pihak berkuasa Israel di sempadan dalam pertempuran Selasa lalu.

Selain mengakibatkan sejumlah bangunan di sisi Masjid Al-Aqsa rosak teruk, tentera Zionis Israel juga dilapor menahan penduduk Palestin yang terlibat dalam pertempuran berkenaan.

Perkarangan Al-Aqsa di Bandar Lama Baitulmaqdis menjadi rebutan dan konflik di antara Palestin dan Israel selepas rejim Zionis menawan timur Baitulmaqdis daripada Jordan pada 1967.

Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Najib Boleh Dibentangkan - Azalina

Oleh: TAN YI LIANG
 
 
Datuk Seri Azalina Othman
 
 
PETALING JAYA: Usul undi tidak percaya  terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang melalui Rang Undang-Undang Persendirian, kata Datuk Seri Azalina Othman.

"Walaupun tidak ada peruntukan khas dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk undi tidak percaya, ini tidak bermakna Parlimen tidak membenarkannya, kerana usul undi tidak percaya boleh dibawa di Dewan sebagai Rang Undang-Undang Persendirian di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3), " kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Azalina, yang menulis di blognya berhubung perkara ini pada Rabu berkata di bawah peraturan, sebarang usul perlu diserahkan kepada Speaker secara bertulis tidak kurang daripada 14 hari sebelum, kecuali dalam hal perkara-perkara khas yang ditakrifkan di bawah Peraturan 43, 86 (5) dan 26 (1).

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 15 (1) dengan jelas menyatakan bahawa perkara-perkara kerajaan perlu dibahaskan sebelum perkara-perkara lain di hadapan Dewan Rakyat.

"Parlimen sentiasa memegang prinsip-prinsip demokrasi, di mana setiap Ahli Parlimen mempunyai hak-hak seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat," kata Azalina.

Beliau menegaskan bahawa pada Julai 2008, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail cuba membawa usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) .

"Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul itu bawah peraturan 18(7) kerana ia dikemukakan untuk mengambil ketetapan tidak percaya, sedangkan peraturan yang digunakan Wan Azizah adalah untuk merunding.

"Maka, ini adalah jelas bahawa bukannya usul tidak dibenarkan tetapi ia bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat," kata Azalina.

Beliau bagaimanapun berkata, adalah tidak wajar untuk ahli Parlimen melakukan sebarang sabotaj terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

"Kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira falsafah dan ideologi politik masing-masing, harus sentiasa mendukung sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia," katanya.