Jumaat, 31 Oktober 2014

'Pendapatan tinggi tak jadi M'sia negara maju'

MALAYSIAKINI


 


Malaysia mungkin tidak dapat mencapai status negara maju menjelang 2020 jika hanya menekankan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi tetapi ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
  
Bekas perdana menteri itu berkata hanya memperoleh pendapatan tinggi tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju, tidak seperti kemampuan penyeldikan dan kemahiran boleh melakukannya.
  
"Pendapatan Malaysia hampir mencapai negara maju tetapi pengalaman dan kemahiran rakyatnya sama seperti mereka yang berada di negara membangun.

"Pada ketika ini, saya khuatir dan tidak begitu menaruh harapan bahawa menjelang 2020, Malaysia akan menjadi negara maju," katanya.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Proton, berkata demikian pada ucaptamanya pada Seminar "Memperkasakan Industri Automotif Negara' di Cyberjaya semalam.

Beliau berkata Brunei sebagai negara berpendapatan tinggi tetapi ia bukan negara maju, sambil menambah pendapatan tinggi dan produktiviti yang rendah hanya akan menjadikan kos sara hidup meningkat lebih tinggi.
  
"Pemikiran rakyat Malaysia terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diubah. Rakyat Malaysia masih kurang memahami kepentingan R&D dan sentiasa mempersoalkan pulangan pelaburan dalam bidang ini," katanya.
  
Dr Mahathir berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara membangun yang memiliki industri automotif sendiri dan negara-negara membangun sedang belajar daripada negara ini.
  
Industri automotif boleh menjadi pemangkin dalam menyediakan rakyat Malaysia kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam bidang kejuruteraan, katanya.
  
Hari ini, katanya, Proton menguasai hanya 18 peratus daripada pasaran kereta di negara ini.   
- Bernama

Pakar: Majlis Peguam tak berkuasa larang Gopal

MALAYSIAKINI


 


Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata ketetapan Majlis Peguam yang melarang bekas hakim kanan daripada bertindak sebagai peguam bukanlah satu undang-undang.

Oleh yang demikian ia tidak berkuasa melarang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes rayuan sabitan kes Liwat II.

Abdul Aziz berkata, perlembagaan persekutuan memperuntukkan bahawa setiap individu berkuasa untuk memilih peguam mereka sendiri.

Beliau menjelaskan, selagi peguam itu setuju untuk mewakili Anwar, tiada sebab mengapa orang perlu membangkitkan perkara itu.

"Hujah utama bagi Gopal mewakili Anwar adalah perlembagaan, dan ini adalah undang-undang paling tinggi di negara ini. Ia mengatasi yang lain.

"Perhatikan bahawa ketetapan Majlis Peguam berkenaan perkara itu bukan satu undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini malam tadi.

Katanya, Anwar berhak untuk memilih peguamnya, dan pertikaian mengenai tindakan Gopal bertindak mewakilinya dalam rayuan Liwat II bukan satu isu.

Beliau mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dan MP DAP, Lim Lip Eng – sama ada tindakan Gopal mewakili Anwar akan menjejaskan kebebasan kehakiman.

Abdul Aziz seterusnya membangkitkan bahawa ketua hakim Mahkamah Persekutuan sendiri bersetuju dengan tindakan hakim yang bersara untuk kembali ke mahkamah sebagai peguam.

"Selain Gopal, kita ada bekas hakim seperti (Tun) Salleh Abas dan (Datuk) RK Nathan yang kembali mengamalkan undang-undang,” katanya.

Menurut pensyarah itu lagi, beliau lebih prihatin dengan isu kebebasan hakim berbanding isu sama ada hakim boleh kembali mengamalkan undang-undang selepas bersara.

“Saya rasa dalam kes ini, kedudukan (peguam kanan, Datuk Seri) Shafee Abdullah lebih membimbangkan dan sukar dibayangkan, berbanding isu Gopal mewakili Anwar,” katanya.

Pejabat Peguam Negara menerima kritikan sebelum ini kerana melantik Shafee sebagai pendakwa, dan bukannya dari kalangan pegawai jabatan tersebut.

Penglibatan Shafee dikritik kerana pernah berkhidmat untuk Umno dan peguam itu juga disiasat kerana didakwa mengemukakan afidavit palsu.

Anwar berulang kali berusaha untuk menyingkirkan Shafee dari pasukan pendakwaan tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Majlis Peguam Malaysia (MPM) mengekalkan pendiriannya yang melarang bekas hakim untuk muncul di mahkamah mewakili anak guam mereka seperti dinyatakan dalam resolusi badan itu 15 Mac lepas.
  
Presidennya, Christopher Leong berkata walaupun terdapat kebimbangan badan itu dalam isu ini, yang telah dinyatakan di mahkamah, namun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pada masa ini tidak ada apa-apa dalam undang-undang yang melarang hakim bersara daripada muncul sebagai peguam di mahkamah.
  
"Majlis juga menyatakan isu-isu baru-baru ini atau kontroversi membabitkan kepatutan atau pelantikan dan kemunculan ketua pasukan pendakwa dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  
"Sekali lagi, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tidak ada yang tidak tepat dalam dalam hal ini," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata: "Walaupun atas sebab-sebab yang berbeza, isu bersama dan kebimbangan Majlis Peguam berkaitan kedua-dua pelantikan dan kemunculan pendakwa utama dan peguam utama (bekas hakim) bagi Anwar dalam rayuan itu keadilan mungkin tidak dapat dilakukan atau mungkin dilihat tidak dilaksanakan."

Bagaimanapun, Leong berkata Majlis Peguam tidak akan mengulas lanjut kerana pendengarwn kes rayuan masih berjalan di Mahkamah Persekutuan.
  
Mesyuarat 15 Mac badan itu menerima usul bahawa hakim bersara dari mahkamah yang lebih tinggi perlu dilarang atau dihalang dari segi undang-undang untuk bertindak sebagai peguam di mahkamah.
  
Semalam, ketua pasukan pendakwaan dalam kes rayuan Anwar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa tiada sesiapa boleh menghalang bekas hakim bertindak sebagai peguam dan ia adalah pilihan mereka untuk berbuat demikian.
  
Pada 3 Julai, 2013, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata hakim-hakim bersara bebas untuk muncul di mahkamah mewakili anak guam mereka dan tidak kira siapa yang muncul di mahkamah, pihak kehakiman akan menentukan kes berasaskan merit.
  
Beliau menegaskan bahawa badan kehakiman tidak boleh menghalang bekas hakim daripada menjalankan tugas guaman dan tidak harus menyekat hak mereka untuk berbuat demikian.

Kontroversi timbul selepas bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan dalam kes rayuan Anwar terhadap sabitan kes liwat.
  
Anwar, selaku Ketua Pembangkang, Ketua Umum PKR dan anggota Parlimen Permatang Pauh, didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di ibunegara pada 26 Jun 2008.
  
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, 67, atas kesalahan tersebut.
  
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar di akhir kes pembelaan.
  
Mahkamah Persekutuan sedang mendengar rayuan itu sejak Selasa lepas.

Ku Li gesa kerajaan tangguh GST

MALAYSIAKINI


 


Bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menurutnya akan menyusahkan lagi rakyat.

"Besar kemungkinan pelaksanaan GST pada tahun hadapan akan menambahkan lagi tekanan terhadap kos sara hidup walaupun kesannya sekali sahaja kerana ia diserap oleh keseluruhan sistem ekonomi.

"Demi melegakan beban kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguh sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat," katanya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan panggilan Ku Li, menyuarakan pandangannya itu dalam satu kenyataan mengenai Bajet 2015, yang diedarkan kepada semua MP di Parlimen hari ini.

"Adalah diharapkan perkembangan ekonomi pada waktu itu akan tumbuh pesat dengan kadar jangka panjang.

"Dan sekiranya cukai ini perlu juga dilaksanakan, adalah diharapkan kadarnya dicongak semula," tambahnya.

Saiful mengaku takut pada Anwar, kata Shafee

MALAYSIAKINI

 

LAPORAN LANGSUNG

11.15am: Shafee meneruskan hujahnya di mana beliau menunjukkan beg plastik telus P27.

Beliau berkata IO (pegawai penyiasat) memotong plastik dan membiarkannya tergantung bagi menunjukkan tidak ada niat yang tidak diingini.

Beliau membacakan 'swab' yang diambil dari Saiful di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya bekas plastik dimeterai (sealed) dan Dr Siew Sheue Feng memberi keterangan beliau memeteraikannya dan menandatangan di atasnya dan meminta Saiful untuk menandatanganinya.

Menurut Shafee, ia adalah "tamper proof"

"Saksi pembelaan mengatakan semua ini adalah 'tamper proof', tetapi tidak plastik besar (P27). IGSO menyatakan setiap sampel mesti dipisahkan dan dibungkus," tambahnya.

IGSO ialah Perintah Tetap Ketua Polis Negara.

11.12am: Mahkamah disambung semula.

11.05am:  Bapa Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berada di mahkamah bersama dengan cucunya, MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Mahkamah bersedia untuk menyambung pendengaran.

10.50am: Di tengah-tengah hujan lebat, kira-kira 200 penyokong
Anwar Ibrahim dibenarkan berlindung di khemah sementara di depan Istana Kehakiman.

Makanan dan minuman disediakan oleh pegawai PKR. Terdapat kira-kira 50 anggota polis di situ.

10.47am: Hakim Arifin meminta mahkamah berihat seketika.

10.41am: Shafee kini berhujah tentang beg plastik P27 yang mengandungi semua spesimen yang diambil dari Saiful.

Shafee menegaskan bahawa ia tidak ditutupkan secara 'heat sealed'.

Merujuk kepada keputusan hakim yang membebaskan Anwar, Shafee berkata hakim membuat kesilapan tentang gangguan pada beg plastik tersebut.

Hujahnya, apabila meterai luar rosak, meterai di dalam tetap utuh.

10.37am: Mengenai KY jelly tidak dijumpai di atas karpet yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan, Shafee berkata keterangan Saiful menyatakan bahawa ia mungkin jatuh ke atas permaidani atau tuala yang mereka pakai semasa melakukan seks itu.

Shafee juga menegaskan bahawa karpet tidak dijumpai dari unit kondominium di mana Anwar dan Saiful melakukannya.

"Ironinya karpet itu ditemui di unit lain," kata Shafee.

10.33am: Shafee berhujah bahawa Anwar bukan seorang perayu
biasa kerana dia berkarisma dan mampu mempengaruhi seorang anak muda.

Shafee berkata selepas perilaku seksual itu, Anwar menasihatkan Saiful juga tidak mengabaikan solat.

Katanya, ini menunjukkan mereka adalah mesra dan menunjukkan macam ada kebenarannya.

"Saiful mengaku dia takut pada Anwar," kata Shafee sambil menambah bahawa perbualan itu berlaku ketika mereka sedang minum kopi dan makan karipap.

10.28am: Shafee berkata Saiful mengadu sakit di dubur dan perutnya.

Walaupun Karpal menegaskan kepada Saiful bahawa kejadian itu tidak berlaku, saksi pendakwa  tetap berkata yang ia berlaku.

10.25am: Shafee berkata Saiful menunjukkan (perbuatan fizikal) di tempat kejadian apabila hakim perbicaraan melawat kondominium itu.

Beliau selanjutnya menceritakan insiden liwat itu,  dengan memperincikan bagaimana Saiful diminta memegang zakar Anwar dan memasukkannya ke dalam duburnya di mana dia telah memakai beberapa bahan pelincir.

Shafee memetik Saiful sebagai berkata Anwar sangat kasar dan dia sembur (air maninya) ke dalam Saiful.

10.15am: Shafee seterusnya membaca apa yang didakwa berlaku
pada hari itu untuk menunjukkan bahawa Saiful tidak mungkin mereka keterangannya di mahkamah.

Katanya, pemeriksaan balas oleh Karpal (Singh) di mana sebelum meninggalkan kondominium tersebut, mereka (kedua-dua Anwar dan Saiful) minum Nescafe tiga dalam satu dan karipap.

"Saiful berkata pintu ke kondominium itu terkunci dari dalam apabila mereka melakukannya. Saiful berkata dia mempunyai peluang untuk lari, tapi dia tidak boleh."

"Dia mengakui dia mempunyai peluang untuk lari. Anda tidak dipaksa, Karpal bertanya, tetapi Saiful menjawab dia tak rela."

Shafee berkata, kejadian itu berlaku atas karpet di tepi katil.

Shafee menjelaskan kejadian liwat itu tidak berlangsung 30 minit kerana di antaranya Saiful mencuci dirinya dan ini berjumlah setengah jam.

10.15am: Shafee berkata selepas cuba untuk mengatur jadual hari itu, Anwar bertanya kepada Saiful, "Bolehkah saya f ** k you hari ini?"

Ini menunjukkan hubungan intim antara mereka, hujah Shafee.

Saiful, katanya, keberatan dan Anwar marah dan mereka pergi ke bilik tidur utama dan di sanalah mereka melakukannya.

10.10am: Shafee menjelaskan tugas Saiful sebagai pembantu Anwar.

Katanya, Saiful ikut ke mana-mana bersama tertuduh, Singapura dan Hong Kong dan diberi elaun, di mana dia mengikut tertuduh.

Semua ini, Kata Shafee, walaupun Saiful tidak habis belajar di universiti.

"Anwar juga memberinya Brioni suit, yang saya pun tak ada. Mengapa Anwar perlu mengekalkan hubungan yang demikian (dengan Saiful)," soalnya.

10am: Shafee berkata adalah lebih mudah bagi pihak pendakwa untuk mendakwa dan membuktikan kesnya jika perbuatan itu dilakukan dengan kerelaan, daripada bukan dengan kerelaan.

Katanya, saksi (Saiful) boleh dipercayai dan macam ada kebenarannya.

Beliau menambah bahawa Saiful bukan rakan subahat.

9.54am: Walaupun kritikan Anwar terhadap hakim, Shafee berkata,  hakim yang sama yang membebaskan beliau.

Beliau berkata kejadian liwat didakwa berlaku adalah jam 3 petang dan 4.30 petang di kondominium Desa Damansara.

Shafee berhujah bahawa apabila Saiful berkata, dia tidak berbuat demikian secara sukarela, ia berbeza dengan kerelaan.

"Ia adalah kawasan kelabu (grey area) di mana hati saya berkata tidak, tetapi apa yang hendak saya lakukan apabila majikan saya dominan sepenuhnya? Ia tidak ada kaitan dengan kerelaan."

9.50am: Pendakwa Shafee berkata Anwar juga mengkritik kredibiliti mahkamah perbicaraan yang memanggilnya membela diri.

"Pendek kata, skandal ini lebih buruk dari skandal di Monaco seperti yang dikatakan oleh (hakim) Eusoffe Abdul Kadir," kata Shafee berseloroh dalam menggambarkan kenyataan Anwar dari kandang tertuduh.

"Namun begitu,  bagaimana anda menjelaskan air maninya di bahagian sulit Saiful," kata beliau.

9.35am: Shafee berkata Anwar membuat keributan dengan memberi keterangan di kandang tertuduh yang hakim 'pre-judged' beliau.

Beliau berkata, kita tidak boleh lupa bahawa terdapat 60 penangguhan dan terdapat banyak permohonan yang benar-benar tidak dalam undang-undang seperti di sini dan Komanwel.

Anwar, katanya, juga menyerang badan kehakiman,termasuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Malik Ishak.

Katanya, Anwar seterusnya mendakwa penglibatan Najib, Rosmah, Rodwan dan juga IGP Musa.

Shafee seterusnya menyentuh kenyataan Anwar dari kandang tertuduh mengadu bagaimana dia boleh memberi keterangan di kandang saksi kerana mendakwa wujudnya apa yang dikatakan diskriminasi terhadapnya.

Bagaimanapun, Shafee menegaskan bahawa dalam pengalamannya sebagai seorang peguam, pihak pembelaan tidak pernah dibenarkan memperolehi dokumen seperti kenyataan saksi yang tidak diberikan kepada pihak pembelaan.

Kata Shafee, Anwar membayangkan yang sampel telah sengaja diletakkan oleh pihak polis.

Ini, tegas Shafee, adalah tuduhan yang jelas terhadap IO (pegawai penyiasat) bahawa dia telah mengenakan Anwar.

Menurutnya, DNA 'Lelaki Y' ditemui di tempat sulit Saiful. Malah, tegasnya, DNA 'Lelaki Y' yang sama ditemui di sel IPK KL.

'Bagaimana anda mendapatkan air mani segar dari tertuduh yang mana sudah kira-kira 60 jam lamanya dari pengadu?"

9.30am: Shafee berkata Anwar memasukkan Umno dan media (arus perdana) sebagai sebahagian daripada konspirasi tersebut.

Anwar,  katanya, juga menyerang hakim perbicaraan, dan ia penghinaan mahkamah yang serius oleh ketua pembangkang itu

Meskipun demikian, kata Shafee, hakim perbicaraan tetap sabar.

9.25am: Shafee berkata, menurut Anwar, ia adalah satu konspirasi peringkat tertinggi dari PM hingga ke pegawai penyiasat dan bahkan mengaitkannya dengan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad.

Shafee berkata, Anwar juga mendakwa Saiful Bukhari Azlan terlibat dalam konspirasi itu bersama-sama dengan Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan.

Menurut Shafee lagi, Anwar telah mengadu bahawa dokumen-dokumen tidak disediakan kepada pihak pembelaan dan ketua pembangkang itu mendakwa pihak pendakwa juga merupakan sebahagian daripada konspirasi itu.

9.20am: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memulakan penghujahannya dengan berkata sepanjang kes pendakwaan, keseluruhan pembelaan Anwar adalah tertumpu kepada konspirasi politik untuk mengenakan ketua pembangkang dengan jenayah tersebut.

Katanya, beliau akan menganalisisnya dan akan bermula dengan kenyataan Anwar dari kandang tertuduh.

9.16am: Mahkamah memulakan persidangan dengan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin mengetuai lima anggota panel Mahkamah Persekutuan.

8.55am: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba di mahkamah. Mahkamah bersedia untuk mulakan prosiding.

8.53am: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba bersama isteri beliau yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kelihatan Anwar memeluk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

8.50am: Keadaan di luar perkarangan Istana Kehakiman tenang dan terkawal. Kira-kira 100 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar mahkamah. 

Kesemua penyokong hanya duduk dan berbual sementara menanti pendengaran kes rayuan liwat II selesai untuk hari ini.

8.30am: Peguambela utama, Tan Sri Gopal Sri Ram memasuki dewan mahkamah bersama-sama dengan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Kee Kwong, Ahli Parlimen PAS Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Turut berada mahkamah ialah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Prosiding dijangka bermula pada pukul 9 pagi.

8.15am: Wartawan dan pemerhati antarabangsa dibenarkan masuk ke dalam dewan mahkamah.

Peguam Zamri Idrus, yang mewakili Mohd Saiful Bukhari Azlan, dilihat di mahkamah dengan Timbalan Ketua Pendakwaan (Operasi) Pejabat Peguam Negara, Mohd Hanafiah Zakaria.

Peguambela N Surendran, Eric Paulsen, Sangeet Kaur Deo dan Latheefa Koya juga sudah bersedia untuk prosiding hari ini.

Persidangan hari ke-4

Mahkamah Persekutuan hari ini akan mendengar hujah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik mengetuai pihak pendakwa,  mengapa sabitan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri  Anwar Ibrahim dalam kes liwat - yang kedua dalam tempoh 10 tahun - adalah 'selamat'.

Shafee telah menyatakan semalam bahawa beliau akan mengemukakan fakta penuh kes itu kerana beliau mendakwa pihak pembelaan telah mengemukakan "sebahagian" daripadanya. Beliau kemudiannya akan berhujah mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh peguambela utama Tan Sri Gopal Sri Ram dan peguambela yang lain.

Semalam, Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan lebih banyak masa untuk menyusun semula hujahnya kerana perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

Beliau menegaskan bahawa pasukan Anwar telah mengemukakan alasan tambahan rayuan pada hari Selasa - hari permulaan perbicaraan rayuan tersebut. Pada keseluruhannya, Anwar telah mengemukakan 36 alasan bagi rayuan itu.

Menurut Shafee, 85 peratus hujah pembelaan adalah perkara lama dan hanya 15 peratus yang baru.

Hanya beliau yang akan berhujah bagi pihak pendakwa walaupun ada kehadiran Timbalan Ketua Pendakwaan (Operasi) Pejabat Peguam Negara, Mohd Hanafiah Zakaria, yang telah terlibat dalam perbicaraan itu apabila kes itu mula didengar di Mahkamah Tinggi.

Prosiding hari ini dijangka mengambil masa setengah hari dan akan diteruskan pada hari Isnin di mana selepas hujah Shafee, pihak pembelaan akan berpeluang untuk menjawab.

Setelah itu, lima anggota panel Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada untuk terus mengumumkan keputusan atau mengumumkannya pada hari yang lain.

Jika mahkamah tertinggi di negara ini itu mengekalkan sabitan ke atas Anwar, maka Shafee dijangka akan memohon hukuman yang lebih beratkan terhadap ketua umm PKR itu.

Malaysiakini membuat liputan secara langung.

Shafee nafi ada konspirasi politik dalam kes rayuan Liwat II Anwar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan kes rayuan Liwat II mensasarkan untuk membongkar apa yang dikatakan konspirasi politik oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata ketua pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Mahkamah Persekutuan hari ini.
 
“Keseluruhan pembelaan utama perayu terdapat konspirasi politik. Sekurang-kurangnya dua peguamnya mengutarakan isu ini," kata Shafee sebaik Mahkamah Persekutuan mula bersidang hari ini.
 
Selasa lalu, Peguam Anwar N Surendran berkata, tuduhan anak guamnya terhadap kes liwat membabitkan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, pada 2008 bermotifkan politik.
 
Anwar turut membuat dakwaan berkenaan dalam kenyataan setebal 32 muka surat dari kamar mahkamah.
 
Memetik kenyataan Anwar, Shafee berkata tuduhan berkenaan adalah umum dan tidak mempunyai syarat tertentu.
 
Shafee berkata Anwar sekali lagi membuat dakwaan konspirasi seperti yang dilakukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Shafee berkata beliau akan memeriksa dan menganalisa maksud konspirasi politik seperti didakwa pihak pembelaan.
 
Tiada sesiapa yang meminta Anwar memberikan kenyataan bukan bersumpah, kata Shafee. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh memilih berdiam diri tetapi Anwar mahu menjelaskan mengapa beliau mahu membuat kenyataan itu.
 
Kenyataan bukan bersumpah dari kamar dikira sebagai keterangan yang tidak boleh diterima.
 
Surendran turut meminta mahkamah mempertimbangkan kenyataan bukan bersumpah anak guamnya semasa perbicaraan.
 
Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak kenyataan bukan bersumpah itu dan menyifatkannya penafian kosong pertuduhan.
 
Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar hujah pihak pendakwaan dalam perbicaraan rayuan kes liwat Anwar yang masuk hari keempat hari ini.‎
 
Shafee mengetuai pendakwaan dalam menangkis beberapa perkara yang ditimbulkan peguambela Anwar sepanjang tiga hari lalu.

Peniaga wanita di Kelantan tak tutup aurat bakal diambil tindakan

ANTARAPOS,COM


Post Pic
 
 
 
KOTA BARU: Jika tidak bertudung, anda tidak boleh terlibat dengan aktiviti perniagaan.
 
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan mencetuskan satu lagi kontroversi dengan memberi amaran bahawa mereka akan menguatkuasakan kod pakaian Islam kepada kumpulan yang terlibat dalam perniagaan.
 
PBT Kelantan memulakan Operasi Gempur Aurat iaitu mengenakan denda maksimum RM500 terhadap peniaga dan pekerja wanita yang tidak menutup rambut mereka dan memakai pakaian ketat.
 
Keputusan itu berlaku untuk wanita yang bekerja di pasar basah, pasar raya, pasar raya besar, kedai makanan dan pusat-pusat komersial lain yang memerlukan lesen operasi daripada PBT.
 
Pengusaha bukan Islam juga berisiko didenda jika pekerja mereka yang beragama Islam tidak mematuhi peraturan pemakaian seperti jika majikan mengarahkan pekerjanya untuk memakai pakaian seragam ketat dan berlengan pendek.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB), Nor Azariza Mohd Alawi berkata tindakan keras itu adalah tindak balas kepada aduan orang ramai.
 
"Peraturan pakaian ini adalah salah satu syarat untuk mendapatkan permit perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya yang dipetik mStar Online.
 
Tambah Nor Azariza, peraturan itu hanya dikenakan ke atas orang-orang 'berinteraksi' dengan orang ramai.
 
Sejak Ops Gempur Aurat dimulakan pada September lalu, 34 pesalah telah didenda.
 
Beliau berkata tindakan keras di Kota Baru itu akan berakhir pada Disember depan.
 
Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB, Ropein Hassan berkata, permohonan untuk melonggarkan syarat itu tidak akan dilayan kerana kod pakaian itu ditetapkan dengan jelas dalam permit perniagaan.
 
Beliau berkata pihaknya juga telah mewajibkan peniaga, termasuk bukan Islam untuk menghadiri kursus tentang cara-cara untuk menjalankan perniagaan dari perspektif Islam.
 
"Kami telah mengambil inisiatif untuk mendidik mereka terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan undang-undang kecil ini (pada pakaian)," katanya.
 
Beliau berkata seramai 3,000 peniaga telah mengambil bahagian dalam kursus itu dengan masih terdapat lebih 10,000 senarai menunggu.
 
Pada November 2012, PBT Kelantan mengejutkan banyak pihak apabila menguatkuasakan sekatan ke atas tukang gunting rambut untuk memberi khidmat kepada pelanggan berlainan jantina.

Polis tembak mati dua lelaki disyaki pemberontak Sulu

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang ditembak mati oleh polis di Penampang Baru, Sabah semalam dipercayai anggota pemberontak tentera Sulu.
 
Sebelum ini, kedua-dua individu itu disyaki perompak bersenjata yang terlibat dengan insiden berbalas tembakan dengan polis kira-kira pukul 4 petang.
 
Seorang wanita turut ditahan dalam insiden itu.
 
Keadaan di Penampang Baru kembali normal pada pukul 9.15 malam tadi dan laluan yang dikepung dibuka untuk orang ramai.
 
Terdahulu, polis mengekori kedua-dua suspek sebelum menahan mereka di hadapan beberapa bangunan kedai untuk pemeriksaan.
 
Beberapa saksi memberitahu terdengar bunyi tembakan selama seminit menyebabkan orang ramai bertempiaran lari meninggalkan lokasi itu.
 
Pada Februari 2013, negara dikejutkan dengan pencerobohan pemberontak bersenjata tentera Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu dan Semporna di perairan Pantai Timur Sabah yang menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan negara terkorban.
 
Bagaimanapun, negara berjaya mematahkan tindakan pemberontak itu melalui operasi bersama pasukan tentera dan polis yang dinamakan Operasi Daulat dengan membunuh lebih 100 pemberontak itu dan menangkap ratusan lagi pengikutnya di negeri tersebut.
 
Susulan insiden itu kerajaan menubuhkan perisai keselamatan bagi mengawal insiden pencerobohan, penculikan dan penyeludupan di Sabah, yang dinamakan Esszone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah) dan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah). - Bernama

Fitnah tiket Piala Malaysia, Nasrudin buat laporan polis

KHAIRIL ABDUL RAHIM

.




TEMERLOH: Setelah dua kali membuat fitnah menerusi media sosial terhadap Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan sekretariat parlimennya hari ini membuat laporan polis terhadap pemegang akaun facebook yang dipercayai menggunakan nama samaran Azamuddin Azim.

Laporan dibuat oleh timbalan pengerusi sekretariat, Hassanuddin Salim yang turut dilibatkan dalam fitnah tersebut iaitu kononnya Nasrudin akan memberikan tiket percuma dan menyedikan pengangkutan ke Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Pahang dengan JDT, Sabtu ini.

Antara lain Hassanuddin menyebutkan, pemilik akaun berkenaan pada 29 Oktober telah meletakkan iklan fitnah berkenaan melalui facebook dalam satu grup (Temerloh) dan turut dipaparkan ialah nombor telefon bimbit peribadinya untuk dihubungi.

“Akibatnya, sejak semalam saya dihujani panggilan telefon, mesej dan WhatsApp yang tidak putus-putus dari sekitar daerah ini dan luar yang bertanya dan mahukan tiket percuma berkenaan.

“Fitnah ini bukanlah kali pertama disiarkan individu berkenaan. Pada 25 Jun lalu juga pemilik akaun tersebut telah menggunakan kaedah yang sama mengiklankan kononnya Ahli Parlimen Temerloh akan mengagihkan benih ikan sangkar dan turut memaparkan nombor telefon saya.

“Tetapi hari ini saya dapati pemilik akaun Azamuddin Azim itu telah menukar namanya kepada Khaiz Hafiz dan saya percaya pertukaran itu dibuat apabila kami turut menyiarkan akan membuat laporan polis petang ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat polis daerah di sini.

Tambahnya, demi melindungi diri dan kepentingan beliau meminta bahagian jenayah komersial polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan.

Sementara itu Nasruddin yang turut hadir menyokong penuh laporan polis tersebut kerana tidak mahu fitnah terhadap beliau dan PAS berleluasa berdasarkan posting-posting individu berkenaan sebelum ini.

“Kalau perkara ini benar kita akan maklumkan. Masalahnya kita tidak ada kuota tiket perlawanan antara Pahang menentang JDT itu.  Dalam kes ini saya percaya individu berkenaan berniat jahat serta bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ahli parlimen.

“Benda yang tiada diada-adakan. Bila orang hubungi Hassanuddin tiket itu tidak ada, apabila tak dapat jadi orang akan marah (kerana menipu). Jadi saya kira itu satu strategi yang sangat jahat,” tegasnya.

Katanya, selepas ini akan dibuat laporan SKMM dan apabila sudah dikenal pasti nanti, jika pemfitnah itu tidak tampil memohon maaf, pihaknya akan mengambil tindakan saman. - HARAKAHDAILY

Sister in Islam biadab cabar Majlis Fatwa

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kebiadaban Sister In Islam (SIS) mencabar fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atas pengharamannya kerana berpegang kepada liberalisme dan pluralisme agama adalah bukti bahawa kumpulan tersebut menggerakkan agenda pemesongan ke atas ajaran Islam di negara ini.

"Malah, tindakan SIS itu mencabar institusi Raja Melayu yang menjadi payung naungan Islam di negara ini serta Perlembagaan Negara yang telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan," tegas Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, ia sekaligus juga membuktikan SIS mengetuai gerakan untuk menyebarkan ajaran atas nama Islam secara terpesong tanpa menjejak kepada sumber hukum yang nyata yakni al-Quran, al-Hadith, ijmak ulama dan qias.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS menyokong dan berdiri teguh bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dalam keputusan itu dan merasa kesal atas keengganan SIS untuk akur dengan keputusan tersebut seterusnya bertaubat dan bermuzakarah dengan pihak berwajib bagi membetulkan kesilapan.

Menurutnya, tindakan SIS mencabar fatwa itu ke mahkamah hanya meluaskan sengketa dan degil untuk menjebak masyarakat awam kepada aliran songsang yang dinamakan dengan Islam.

"Inilah satu bentuk pelampau agama yang mesti ditangani pihak kerajaan agar ia tidak membarah dalam masyarakat," katanya lagi.

Beliau menambah, kerajaan boleh mencontohi tindakan tegas Majlis Ulama Indonesia yang memfatwakan haram kepada Jaringan Islam Liberal yang membawa pengaruh sama seperti SIS di Malaysia.

PAS dalam isu itu, ujarnya berpendirian tegas menolak liberalisme dan pluralisme sebagaimana Muktamar Tahunan PAS 2009 meluluskan usul PAS Kawasan Shah Alam yang meminta Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan mengharamkan SIS.

Justru, kata beliau Pemuda PAS menasihati masyarakat awam agar berwaspada dengan agenda pihak-pihak tersebut yang sewenang-wenang mentafsir dan membentuk amalan bertentangan dari ajaran Islam.

"Sentiasalah merujuk para alim ulama dalam perkara ini kerana kita tidak hanya akan hidup di dunia, tetapi akan diperhitungkan di akhirat untuk ketetepan hidup kekal sama ada di syurga atau neraka," ujarnya. - HARAKAHDAILY

Ketuanan Melayu: Makcik Wahidah dibiar merempat

HARAKAHDAILY



Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff menyantuni Makcik Wahidah di Kampung Chubadak Tambahan.


KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Tanah dan Bandar Pemuda PAS Malaysia (LPTB PPM) merasa sedih dan kecewa dengan insiden rumah pasangan keluarga Melayu di Kampung Chubadak Tambahan, Kuala Lumpur yang dirobohkan tempoh hari, ujar pengerusinya, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Rumah tersebut didiami oleh pasangan warga emas iaitu Makcik Wahidah bersama suaminya Haji Halim dan mereka telahpun menduduki tanah tersebut semenjak 45 tahun yang lalu.

Insiden tersebut mengakibatkan dua orang mahasiswa yang mempertahankan rumah beliau daripada diroboh telah ditangkap oleh pihak berkuasa.

"Apa yang menyedihkan, kerja merobohkan rumah beliau dibuat tanpa rundingan atau notis awal dari mana-mana pihak dan tiada langsung bayaran pampasan yang diberikan sepertimana yang telah dijanjikan oleh pihak pemaju sebelum ini," ujar Ahmad Zamri.

Apa yang dikesali juga, katanya sehingga kini tidak ada seorang pun pemimpin Umno sama ada Menteri Wilayah Persekutuan mahupun ketua Umno bahagian tampil memberikan bantuan atau pembelaan terhadap keluarga ini.

Menurutnya, mungkin slogan 'Ketuanan Melayu' atau ‘Rakyat Didahulukan’ hanya untuk membela rakyat yang mesra mereka sahaja tetapi rakyat marhaen seperti Makcik Wahidah ini dibiarkan merempat dan menderita.

Melihat kepada tragedi sedih di Kampung Chubadak Tambahan dan peristiwa-peristiwa sama yang kerap berlaku di kebanyakan perkampungan-perkampungan tradisi lain di seluruh negara, beliau berpendapat sudah sampai masanya untuk pihak kerajaan lebih serius dalam menangani isu-isu berkaitan perkampungan tradisi/warisan dan juga kebajikan peneroka-peneroka bandar seperti yang berlaku kepada keluarga Haji Halim ini.

Katanya, satu polisi khas atau undang-undang khusus perlulah diwujudkan segera bagi mewartakan perkampungan tradisi/warisan ini di sisi undang-undang yang bertujuan untuk mengawal dan melindungi perkampungan tersebut serta menjaga kebajikan peneroka-peneroka bandar yang terpaksa dipindahkan akibat arus pembangunan, perintah mahkamah atau sebab-sebab yang lain.

Tambahnya, pindaan juga perlu dibuat kepada beberapa peruntukan dalam Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi melindungi perkampungan tradisi/warisan ini daripada terus diganggu-gugat dengan sewenang-wenangnya.

"Mereka adalah rakyat negara ini yang telah lama mendiami sesebuah kawasan tersebut dan telah banyak menyumbang ke arah pembangunan bandar dan hal ehwal kemasyarakatan setempat," jelasnya yang juga pengamal undang-undang.

Beliau berkata, sekiranya perpindahan benar-benar tidak dapat dielakkan, maka sewajarnyalah layanan yang adil dan berperikemanusiaan perlu diberi khususnya dari segi penempatan baru yang bersesuaian dan bayaran pampasan yang adil dan munasabah mengikut situasi semasa.

Pihak kerajaan juga, kata beliau haruslah membuat kawalan yang ketat terhadap apa-apa projek pembangunan yang dirancang berdekatan atau di atas tanah kampung tersebut dengan mengambil kira faktor penduduk asal di kawasan itu yang harus diberikan keutamaan.

Tambah beliau, sewajarnya perkampungan tradisi/warisan yang sudah berusia ratusan tahun ini dipelihara dan disusun semula dengan lebih teratur serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas melalui peruntukan dana khas dari kerajaan.

"Dalam insiden di Kampung Chubadak Tambahan ini, saya menegaskan bahawa diplomasi dan rundingan adalah jalan terbaik supaya hak tuan rumah dapat dipertahankan," katanya.

Katanya, golongan penduduk, aktivis atau mana-mana pihak yang berjuang mempertahankan rumah tersebut perlu diberikan ruang untuk berbincang bagi mencapai jalan penyelesaian yang terbaik dalam situasi menang-menang, bukannya ditangkap, diludah dan diperlakukan dengan cara yang sangat tidak bertamadun.

Bag beliau, penyelesaian jangka panjang perlu dibuat bagi memastikan kebajikan dan hak-hak peneroka bandar terus terbela dengan adilnya.

"Biarlah episod hitam di Kampung Chubadak Tambahan ini menjadi detik kezaliman yang terakhir dengan era baru selepas ini di mana kampung-kampung warisan atau tradisi menjadi kebanggaan khususnya kepada orang-orang Melayu di negara ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY