Jumaat, 31 Oktober 2014

Fitnah tiket Piala Malaysia, Nasrudin buat laporan polis

KHAIRIL ABDUL RAHIM

.




TEMERLOH: Setelah dua kali membuat fitnah menerusi media sosial terhadap Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan sekretariat parlimennya hari ini membuat laporan polis terhadap pemegang akaun facebook yang dipercayai menggunakan nama samaran Azamuddin Azim.

Laporan dibuat oleh timbalan pengerusi sekretariat, Hassanuddin Salim yang turut dilibatkan dalam fitnah tersebut iaitu kononnya Nasrudin akan memberikan tiket percuma dan menyedikan pengangkutan ke Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Pahang dengan JDT, Sabtu ini.

Antara lain Hassanuddin menyebutkan, pemilik akaun berkenaan pada 29 Oktober telah meletakkan iklan fitnah berkenaan melalui facebook dalam satu grup (Temerloh) dan turut dipaparkan ialah nombor telefon bimbit peribadinya untuk dihubungi.

“Akibatnya, sejak semalam saya dihujani panggilan telefon, mesej dan WhatsApp yang tidak putus-putus dari sekitar daerah ini dan luar yang bertanya dan mahukan tiket percuma berkenaan.

“Fitnah ini bukanlah kali pertama disiarkan individu berkenaan. Pada 25 Jun lalu juga pemilik akaun tersebut telah menggunakan kaedah yang sama mengiklankan kononnya Ahli Parlimen Temerloh akan mengagihkan benih ikan sangkar dan turut memaparkan nombor telefon saya.

“Tetapi hari ini saya dapati pemilik akaun Azamuddin Azim itu telah menukar namanya kepada Khaiz Hafiz dan saya percaya pertukaran itu dibuat apabila kami turut menyiarkan akan membuat laporan polis petang ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat polis daerah di sini.

Tambahnya, demi melindungi diri dan kepentingan beliau meminta bahagian jenayah komersial polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan.

Sementara itu Nasruddin yang turut hadir menyokong penuh laporan polis tersebut kerana tidak mahu fitnah terhadap beliau dan PAS berleluasa berdasarkan posting-posting individu berkenaan sebelum ini.

“Kalau perkara ini benar kita akan maklumkan. Masalahnya kita tidak ada kuota tiket perlawanan antara Pahang menentang JDT itu.  Dalam kes ini saya percaya individu berkenaan berniat jahat serta bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ahli parlimen.

“Benda yang tiada diada-adakan. Bila orang hubungi Hassanuddin tiket itu tidak ada, apabila tak dapat jadi orang akan marah (kerana menipu). Jadi saya kira itu satu strategi yang sangat jahat,” tegasnya.

Katanya, selepas ini akan dibuat laporan SKMM dan apabila sudah dikenal pasti nanti, jika pemfitnah itu tidak tampil memohon maaf, pihaknya akan mengambil tindakan saman. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: